Perkembangan Ekonomi, Monetari dan Kewangan pada Tahun 2025

Kegiatan ekonomi global lebih kukuh daripada jangkaan pada tahun 2025 meskipun berdepan ketidaktentuan luaran yang ketara: Pertumbuhan global kekal stabil pada 3.4% (2024: 3.3%) walaupun prospek ekonomi berhadapan dengan risiko akibat sekatan perdagangan yang semakin meningkat dan ketidakpastian dasar yang ketara. Pertumbuhan di Amerika Syarikat (AS) disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil, manakala pertumbuhan kawasan euro terus pulih berikutan inflasi yang semakin menurun dan keadaan monetari yang akomodatif. Di China, aktiviti eksport yang dipercepat (frontloading) disebabkan oleh kebimbangan tentang tarif serta sokongan dasar yang bersasar telah membantu negara tersebut mengekalkan pertumbuhan. Hal ini memastikan bahawa sasaran pertumbuhan tahun 2025 oleh pihak berkuasa China dipenuhi, meskipun sektor harta tanah terus lemah dan sentimen pengguna lembap. Ketara sekali, perdagangan global mencatatkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan berikutan rundingan tarif, pengecualian khusus mengikut produk dan aktiviti penghantaran eksport yang dipercepat yang membantu meredakan kesan awal perkembangan tarif. Permintaan berkaitan teknologi yang kukuh, terutamanya daripada ledakan pelaburan yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI), telah meningkatkan aktiviti perdagangan walaupun sokongan daripada aktiviti eksport yang dipercepat sebelum ini semakin berkurang.

Inflasi keseluruhan global mereda pada tahun 2025: Inflasi keseluruhan global menjadi sederhana pada tahun 2025, disokong oleh keadaan bekalan komoditi yang bertambah baik, ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan dan inflasi import yang lebih rendah berikutan banyak mata wang yang mengukuh berbanding dolar AS. Disinflasi menjadi lebih ketara menjelang separuh kedua tahun 2025 dalam kebanyakan ekonomi, yang mengukuhkan trend menurun inflasi global. Walau bagaimanapun, disinflasi di AS terbukti tidak berpanjangan apabila kesan pindahan tarif beransur-ansur menjadi semakin jelas, terutamanya untuk barangan tahan lama.

Keadaan kewangan global semakin longgar berikutan dasar monetari global yang terus akomodatif dalam menghadapi volatiliti yang didorong oleh tarif: Keadaan kewangan global menjadi longgar pada tahun 2025, disokong oleh dasar monetari yang lebih akomodatif dalam kalangan bank-bank pusat utama, meskipun terdapat beberapa tempoh volatiliti yang timbul susulan ketidakpastian tentang langkah perdagangan AS dan jangkaan yang berubah-ubah tentang haluan kadar dasar monetari global. Sentimen pasaran kewangan menjadi lemah pada awal tahun disebabkan oleh pengumuman tarif AS yang menyeluruh. Keadaan ini mencetuskan penjualan aset risiko yang meluas, dolar AS yang lebih lemah dan pengimbangan semula portfolio ke arah aset selamat alternatif. Penangguhan tarif selepas itu dan kemajuan rundingan perdagangan membantu menstabilkan pasaran kewangan, lantas mendorong pemulihan dalam aktiviti pengambilan risiko. Menjelang akhir tahun 2025, pelonggaran dasar monetari yang hampir serentak oleh bank-bank pusat utama memperkukuh peralihan global ke arah keadaan kewangan yang lebih akomodatif. Berlatarkan persekitaran ini, pasaran sedang pesat membangun mencatat aliran masuk portfolio dan pengukuhan mata wang.

Peralihan sentimen pasaran global dan kelemahan dolar AS yang meluas, bersama dengan prospek pertumbuhan dalam negeri yang positif menyumbang kepada nilai ringgit yang lebih kukuh dan aliran masuk bersih bukan pemastautin ke dalam pasaran bon Kerajaan dan korporat: Perkembangan pasaran kewangan Malaysia sebahagian besarnya dipengaruhi oleh peralihan dalam aliran modal global, apabila pelabur mempelbagaikan pelaburan mereka daripada aset AS dalam keadaan ketidakpastian berkaitan dengan perdagangan dan pelonggaran dasar monetari dalam kebanyakan ekonomi maju. Berikutan perkembangan luaran ini dan disokong selanjutnya oleh asas makroekonomi dalam negeri yang kukuh serta prospek pertumbuhan yang menggalakkan, Malaysia terus menarik aliran masuk asing ke dalam pasaran bon. Pasaran bon domestik mendapat manfaat daripada pengimbangan semula portfolio global, dengan aliran masuk bersih bukan pemastautin meningkat kepada RM36.5 bilion (2024: RM0.5 bilion). Keadaan ini menjadi sebahagian daripada sebab penurunan yang menyeluruh dalam kadar hasil bon domestik. Sementara itu, pasaran ekuiti meningkat semula mulai suku kedua berikutan sentimen risiko global yang bertambah baik dan perolehan korporat domestik yang kukuh. Dalam pasaran pertukaran asing, ringgit mencatatkan penambahan nilai paling kukuh berbanding dolar AS di rantau ini. Pada awalnya, hal ini didorong oleh peningkatan minat pelabur dalam aset pasaran sedang pesat membangun, dan kemudiannya diperkukuh oleh pengurangan kadar dasar oleh bank-bank pusat utama dan sentimen yang positif terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, berteraskan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% (2024: 5.1%), disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan yang membantu mengurangkan kesan persekitaran global yang sangat mencabar. Perbelanjaan isi rumah kekal kukuh, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar yang lebih bersasar. Aktiviti pelaburan meningkat dengan kukuh, didorong oleh kemajuan yang berterusan dalam projek berbilang tahun dan kelulusan pelaburan yang padu, terutamanya dalam perkhidmatan berteknologi tinggi dan perkilangan maju.

Sektor luaran menunjukkan daya tahan meskipun berdepan perubahan dinamik dalam perdagangan global dan ketidaktentuan yang ketara. Akaun semasa imbangan pembayaran mencatatkan lebihan yang lebih tinggi, iaitu sebanyak RM31.8 bilion atau 1.6% daripada KDNK (2024: RM27.7 bilion atau 1.4% daripada KDNK). Hal ini disumbangkan oleh lebihan yang berterusan dalam akaun barangan dan pemulihan dalam akaun perkhidmatan menjadi lebihan. Lebihan dalam akaun barangan disokong oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang mampan. Struktur eksport Malaysia yang pelbagai juga mewujudkan daya tahan yang berterusan. Walaupun pertumbuhan import barangan perantaraan menjadi sederhana, import modal terutamanya untuk pusat data dan peralatan teknologi maklumat kekal kukuh, disebabkan oleh aktiviti pelaburan yang berterusan. Pemulihan dalam akaun perkhidmatan disokong oleh peningkatan eksport perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi serta pendapatan perjalanan yang lebih tinggi. Sementara itu, akaun kewangan mencatatkan pemerolehan bersih aset asing yang lebih tinggi, iaitu sebanyak RM21.4 bilion (2024: pemerolehan bersih sebanyak RM4.9 bilion) dalam keadaan aliran keluar portfolio bersih. Jumlah ini sebahagiannya diimbangi oleh aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI) yang kukuh.

Inflasi keseluruhan terus menurun pada tahun 2025, manakala inflasi teras meningkat sedikit: Pada tahun 2025, inflasi keseluruhan menurun kepada 1.4% (2024: 1.8%), mencerminkan penambahbaikan keadaan bekalan global dan kesan disinflasi daripada beberapa langkah dasar dalam negeri. Harga komoditi dan tenaga global yang lebih rendah mengurangkan kos pengeluaran manakala ringgit yang lebih kukuh membantu mengawal kos import. Kesan pelarasan dasar dalam negeri juga lebih sederhana daripada yang dijangkakan. Hal ini disebabkan oleh reka bentuk langkah-langkah seperti penstrukturan semula tarif elektrik dan pelancaran BUDI95 secara berperingkat yang membantu mengurangkan beban kos isi rumah. Inflasi teras meningkat sedikit kepada 2% (2024: 1.8%), didorong terutamanya oleh komponen perkhidmatan yang berwajaran lebih tinggi, selaras dengan permintaan dalam negeri yang kukuh. Walau bagaimanapun, tekanan harga kekal terkawal, dengan rebakan inflasi berada di bawah purata jangka panjang.

Dasar monetari kekal memberikan sokongan kepada ekonomi dalam keadaan harga yang stabil: Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) telah dikurangkan sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada bulan Julai 2025 sebagai langkah awalan untuk memelihara momentum pertumbuhan Malaysia sambil mengekalkan harga yang stabil. Walaupun keadaan ekonomi dalam negeri kekal berdaya tahan, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) menilai bahawa ketidaktentuan yang ketara daripada langkah tarif dan perkembangan geopolitik menimbulkan risiko tambahan terhadap prospek pertumbuhan menjadi perlahan. Persekitaran inflasi yang sederhana menyediakan ruang dasar untuk tindakan awal. Secara keseluruhan, pendirian dasar monetari adalah bersesuaian dan memberikan sokongan terhadap ekonomi. Susulan pengurangan OPR, kos dana keseluruhan bank-bank menurun selaras dengan kadar antara bank dan kadar deposit yang lebih rendah. Apabila digandingkan dengan transmisi efektif kepada kadar rujukan, kadar pemberian pinjaman terhadap pinjaman baharu dan sedia ada menjadi lebih rendah, lantas menyokong aliran kredit kepada isi rumah dan perniagaan. Keadaan mudah tunai dalam sistem perbankan domestik juga kekal menyokong pengantaraan kewangan, dibantu oleh pengurangan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) daripada 2% kepada 1% pada bulan Mei 2025.

Pengembangan kredit yang berterusan kepada sektor swasta bukan kewangan: Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.4% pada tahun 2025 (2024: 5.2%), disokong oleh keadaan ekonomi dalam negeri yang berdaya tahan dan kos pinjaman yang lebih rendah susulan pengurangan OPR. Pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5% (2024: 5.7%). Isi rumah kekal sebagai penyumbang utama bagi pertumbuhan pinjaman, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan dan kadar pemberian pinjaman yang lebih rendah. Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman menjadi sederhana berikutan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih perlahan dalam kalangan bukan PKS. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman untuk tujuan berkaitan pelaburan kekal melebihi tahap sebelum pandemik, yang menunjukkan momentum pelaburan yang terus kukuh. Bon korporat terkumpul berkembang sebanyak 6.9% (2024: 3.4%), mencerminkan beberapa terbitan besar untuk perbelanjaan modal dalam keadaan kadar hasil bon yang lebih rendah dan struktur pembiayaan yang fleksibel. Secara keseluruhan, keadaan kredit kekal menyokong keperluan pembiayaan, disokong oleh penampan modal dan mudah tunai bank-bank yang kukuh. Bantuan bayaran balik pinjaman terus tersedia untuk peminjam yang menghadapi cabaran untuk membayar hutang, manakala kemudahan pembiayaan dan jaminan kredit terus menawarkan sokongan bersasar untuk pembiayaan PKS.

Prospek dan Dasar bagi Tahun 2026

Pertumbuhan global dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2026: Pertumbuhan ekonomi global akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pelaburan yang mantap dalam teknologi, terutamanya AI. Walau bagaimanapun, pertumbuhan perdagangan global diunjurkan menjadi lebih perlahan apabila rangsangan sementara daripada aktiviti penghantaran eksport yang dipercepat semakin berkurang dan kesan tarif mula dirasai. Namun demikian, permintaan untuk E&E, jentera dan peralatan (machinery and equipment), eksport produk berkaitan AI dan aktiviti pelancongan yang stabil akan memberikan sokongan terhadap pertumbuhan perdagangan. Namun begitu, pertumbuhan dan perdagangan global dijangka terus berdepan rintangan susulan ketidakpastian berhubung dengan konflik yang berlangsung di Timur Tengah serta kadar tarif yang lebih tinggi. Trend disinflasi global yang sedang berlaku kini berdepan ketidakpastian yang lebih tinggi kerana konflik di Timur Tengah mengganggu pasaran tenaga dan rantaian bekalan, serta meningkatkan risiko inflasi yang lebih tinggi pada tahun 2026. Keadaan kewangan global dijangka secara amnya kekal akomodatif, didorong oleh dasar monetari yang menyokong. Namun, bank-bank pusat dijangka mengekalkan pendekatan berhati-hati berikutan risiko inflasi yang lebih tinggi susulan konflik di Timur Tengah. Sentimen pasaran kewangan terus tertakluk pada perubahan dalam jangkaan dasar monetari, dinamik perdagangan dan geopolitik yang sentiasa berubah, serta risiko pembetulan pasaran (market corrections). Secara keseluruhan, risiko terhadap prospek pertumbuhan global cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan. Tarif yang lebih tinggi boleh menjejaskan aliran perdagangan global, manakala konflik yang berpanjangan dan bertambah buruk di Timur Tengah serta gangguan bekalan yang berpanjangan boleh terus mendorong harga komoditi menjadi lebih tinggi, menjejaskan pasaran kewangan, inflasi global dan pertumbuhan. Sebaliknya, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh daripada jangkaan, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap pertumbuhan serta sokongan dasar yang lebih besar dalam ekonomi utama boleh mendorong pertumbuhan menjadi lebih pesat.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 5% pada tahun 2026: Permintaan dalam negeri diunjurkan kekal sebagai teras pertumbuhan ekonomi pada tahun 2026 berikutan perbelanjaan sektor swasta yang stabil. Perbelanjaan isi rumah akan terus didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang kekal kukuh dan sokongan fiskal yang berterusan. Aktiviti pelaburan akan terus berkembang meskipun pada kadar yang lebih sederhana. Persaingan yang semakin sengit daripada lebihan pengeluaran di China akan terus menjejaskan eksport bukan E&E. Namun demikian, sektor E&E dijangka mendapat manfaat daripada permintaan semikonduktor yang kukuh dan realisasi pelaburan pusat data yang berterusan. Aktiviti pelancongan juga dijangka kekal stabil, dipacu oleh usaha promosi bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pengecualian visa bagi pelawat dari China dan India. Walau bagaimanapun, konflik di Timur Tengah boleh memberikan kesan negatif terhadap eksport dan aktiviti pelancongan.

Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal tertakluk pada ketidakpastian: Secara keseluruhan, risiko pertumbuhan menjadi perlahan dari segi luaran berpunca daripada perdagangan global yang lebih lemah berikutan konflik di Timur Tengah dan tarif. Momentum AI global juga kekal sensitif terhadap perubahan dalam pasaran kewangan global yang boleh mempengaruhi pengeluaran dan perdagangan. Di dalam negeri, pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan boleh menjejaskan prospek pertumbuhan. Prospek pertumbuhan global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan E&E yang lebih mantap dan aktiviti pelancongan yang lebih rancak pula mampu merangsang lagi prospek pertumbuhan Malaysia.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka berpurata antara 1.5% hingga 2.5% dan 1.8% hingga 2.3% pada tahun 2026: Kadar inflasi dijangka kekal sederhana dan menghampiri purata jangka panjangnya pada tahun 2026. Walaupun harga komoditi global diunjurkan mengalami turun naik yang lebih besar berikutan konflik di Timur Tengah, kadar pertukaran yang lebih kukuh dijangka membantu mengekang kenaikan kos import. Langkah-langkah dasar dalam negeri juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan kos global terhadap harga dalam negeri. Secara keseluruhan, prospek inflasi kekal bergantung terutamanya pada faktor luaran. Risiko kenaikan inflasi boleh berpunca daripada gangguan bekalan yang berpanjangan, ketidakpastian dasar perdagangan dan harga komoditi yang tinggi, yang boleh diburukkan lagi oleh konflik di Timur Tengah dan keadaan cuaca buruk. Sebaliknya, risiko penurunan inflasi mungkin berpunca terutamanya daripada permintaan global yang lebih lemah dan harga komoditi yang lebih rendah.

Keadaan monetari dan kewangan domestik akan kekal menyokong keperluan pembiayaan dalam keadaan ekonomi yang terus berkembang: Permintaan kredit akan didorong oleh pertumbuhan dalam negeri dan prospek pendapatan yang positif. Bekalan kredit juga dijangka kekal tersedia, disokong oleh keadaan pembiayaan yang kondusif dan kedudukan mudah tunai dan penampan modal bank-bank yang kukuh. Secara keseluruhan, keadaan kewangan domestik dijangka kekal menggalakkan, disokong oleh keadaan kewangan global yang secara amnya akomodatif dan asas ekonomi Malaysia yang kukuh. Kesemua faktor ini juga dijangka mengekalkan sentimen pelabur yang positif terhadap pasaran kewangan domestik. Faktor luaran seperti perubahan luar jangka berhubung dengan hala tuju dasar monetari AS, pelarasan dalam penilaian ekuiti berkaitan AI dan ketidaktentuan geopolitik yang ketara, boleh menyebabkan tempoh volatiliti pasaran yang meningkat. Walau bagaimanapun, sebarang kesan limpahan kepada keadaan kewangan domestik akan kekal terurus kerana asas ekonomi Malaysia yang kukuh, asas pelabur institusi domestik yang mendalam serta permodalan sistem perbankan yang mantap. BNM akan terus memastikan mudah tunai sistem perbankan yang mencukupi untuk menyokong pengantaraan kewangan dan mengekalkan keadaan pasaran yang teratur.

Dasar monetari akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di samping mengekalkan persekitaran harga yang stabil: Dasar monetari pada tahun 2026 akan terus berpandukan imbangan risiko kepada prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia. Konflik di Timur Tengah merupakan perkembangan yang signifikan dengan implikasi terhadap pasaran kewangan, inflasi global dan pertumbuhan. Kesan keseluruhan terhadap Malaysia akan bergantung pada tempoh dan tahap intensiti konflik tersebut, serta tahap gangguan terhadap pengeluaran tenaga global dan rantaian logistik. Yang penting, Malaysia berhadapan dengan konflik ini daripada kedudukan yang kukuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang teguh, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang mantap serta kedudukan luaran yang berdaya tahan. Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga turut memberikan sedikit perlindungan daripada rintangan luar. Namun begitu, MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan berkaitan konflik ini bagi memastikan dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan sambil mengekalkan keadaan harga yang stabil.

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?