Prospek dan Dasar pada Tahun 2026

2026: Pertumbuhan Berdaya Tahan Meskipun Berhadapan Rintangan Luaran

Pertumbuhan global dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2026

Pertumbuhan ekonomi global dijangka terus berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2026 (2.7%–3.2%; 2025: 3.4%), disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan termasuk pelaburan yang mantap dalam teknologi dan pendigitalan, terutamanya kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI). Keadaan dasar monetari semasa dan langkah fiskal dijangka memberikan rangsangan tambahan kepada kegiatan ekonomi. Walau bagaimanapun, pertumbuhan global dijangka menghadapi rintangan berterusan daripada impak tarif yang lebih tinggi dan ketidakpastian berkaitan tarif tersebut, serta konflik geopolitik yang semakin meruncing di Timur Tengah.

Pertumbuhan dalam ekonomi maju diunjurkan kekal berdaya tahan, diperkukuh oleh perbelanjaan isi rumah dalam persekitaran dasar monetari dan fiskal yang secara amnya menyokong. Di AS, penggunaan akan terus memacu kegiatan ekonomi meskipun terdapat tanda-tanda kelembapan dalam pasaran pekerja baru-baru ini, manakala pindahan kesan tarif yang seterusnya kepada harga dijangka paling ketara pada separuh pertama tahun 2026 sebelum beransur-ansur berkurang selepas itu. Keadaan ini akan disokong oleh langkah fiskal berterusan seperti pelanjutan potongan cukai, pelonggaran dasar monetari dan peningkatan kekayaan bersih isi rumah. Sementara itu, pelaburan yang kukuh dalam teknologi dan pendigitalan, terutamanya dalam aplikasi berkaitan AI dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan. Di kawasan euro, pertumbuhan akan kekal disokong oleh pasaran kerja yang berdaya tahan dan langkah fiskal yang menyokong. Khususnya, perbelanjaan kerajaan Jerman yang berterusan untuk projek pertahanan dan infrastruktur dijangka menyokong pertumbuhan.

Ekonomi serantau dijangka berkembang dengan stabil, didorong oleh perbelanjaan isi rumah dan dasar fiskal dan monetari yang menyokong. Pelaburan akan disokong oleh permintaan yang kukuh untuk AI, sekali gus mencerminkan peranan penting rantau ini dalam pengeluaran semikonduktor global. China, China Taipei, Jepun dan Korea menyumbang bahagian yang besar daripada kapasiti fabrikasi termaju yang diperlukan untuk rantaian bekalan AI serta elektrik dan elektronik (E&E).[1] Walau bagaimanapun, ekonomi yang bergantung pada perdagangan mungkin berdepan dengan rintangan daripada perdagangan global yang lebih perlahan memandangkan rangsangan sementara daripada aktiviti penghantaran eksport yang dipercepat (frontloading shipment) semakin berkurang. Di China, meskipun sokongan fiskal berterusan, pertumbuhan dijangka terus menjadi perlahan, terjejas akibat kelemahan pasaran harta tanah yang berpanjangan dan tekanan berkaitan tarif.

Pertumbuhan perdagangan global diunjurkan perlahan pada tahun 2026 apabila rangsangan sementara daripada aktiviti penghantaran eksport yang dipercepat pada tahun 2025 semakin berkurang dan kesan tarif mula dirasai, terutamanya dalam segmen produk bukan E&E.[2] Meskipun kadar tarif menjadi lebih rendah susulan keputusan Supreme Court AS pada bulan Februari 2026, ketidakpastian mengenai tarif kembali meningkat, sekurang-kurangnya dalam jangka masa terdekat. Konflik geopolitik juga akan menjejaskan rantaian bekalan dan keputusan pelaburan, sekali gus menyebabkan pertumbuhan perdagangan global kekal di bawah purata yang pernah dicatatkan. Meskipun berdepan dengan rintangan ini, perdagangan akan terus disokong oleh permintaan yang lebih kukuh untuk barangan E&E, serta jentera dan peralatan (machinery and equipment, M&E), berteraskan peningkatan aktiviti teknologi dan pelaburan infrastruktur. Dengan perbelanjaan AI global diunjurkan mencecah sekitar USD2.5 trilion pada tahun 2026[3] (2025: USD1.8 trilion), eksport produk berkaitan AI juga dijangka menyokong perdagangan global. Penilaian syarikat teknologi yang tinggi dan risiko pembetulan pasaran yang berkaitan boleh menimbulkan risiko kepada prospek positif ini. Sementara itu, pertumbuhan yang stabil dalam aktiviti pelancongan global akan memberikan sedikit imbangan kepada kelemahan dalam perdagangan barangan.

Trend disinflasi global yang sedang berlaku kini berdepan ketidakpastian yang lebih tinggi kerana konflik yang berterusan di Timur Tengah mengganggu pasaran tenaga dan rantaian bekalan. Hal ini meningkatkan risiko inflasi yang lebih tinggi pada tahun 2026 melalui kenaikan harga tenaga dan kos pengangkutan. Selain itu, langkah-langkah berkaitan tarif juga boleh memberikan tekanan ke atas harga, terutamanya di AS kerana pemindahan kos tarif kepada harga pengguna mengekalkan tekanan harga pada paras yang lebih tinggi berbanding dengan harga di ekonomi utama yang lain. Inflasi perkhidmatan di ekonomi maju juga mungkin kekal lekat memandangkan tekanan upah yang berterusan.

Keadaan kewangan global dijangka secara amnya kekal akomodatif pada tahun 2026, didorong oleh dasar monetari yang menyokong. Walau bagaimanapun, kadar dan skala pengembalian dasar monetari ke paras yang wajar dijangka perlahan, memandangkan bank-bank pusat mengekalkan pendekatan berhati-hati susulan risiko inflasi yang semakin ketara berikutan harga tenaga yang lebih tinggi. Dalam persekitaran ini, pasaran kewangan berkemungkinan kekal sensitif terhadap perubahan dalam jangkaan mengenai hala tuju dasar monetari AS. Kesannya, pengumuman data inflasi, pasaran pekerja AS dan perkembangan geopolitik yang akan datang berpotensi untuk terus mencetuskan episod volatiliti dalam pasaran kewangan global.

Meskipun perkembangan dalam rundingan perdagangan pada tahun 2025 telah membantu meredakan sebahagian ketidakpastian global, pasaran kewangan masih terdedah kepada episod volatiliti yang tinggi. Keadaan ini mencerminkan sensitiviti yang meningkat terhadap perubahan dalam jangkaan dasar monetari, dinamik perdagangan dan geopolitik yang sentiasa berubah, serta risiko pembetulan pasaran (market corrections) dalam keadaan penilaian aset yang tinggi dalam segmen yang mempunyai hubungan dengan pelaburan berkaitan AI. Berlatarkan persekitaran ini, penurunan berterusan dalam perbezaan kadar faedah meskipun pada kadar sederhana antara ekonomi maju dengan beberapa pasaran sedang pesat membangun boleh menyokong aliran masuk modal. Aliran masuk ini akan lebih ketara bagi pasaran sedang pesat membangun yang mempunyai asas ekonomi yang kukuh dan prospek ekonomi yang menggalakkan.

Risiko terhadap pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan

Risiko terhadap prospek pertumbuhan global terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan. Tarif yang lebih tinggi dan lebih khusus berasaskan produk boleh menjejaskan aliran perdagangan global. Konflik yang berpanjangan dan bertambah buruk di Timur Tengah boleh terus mendorong harga komoditi menjadi lebih tinggi, menjejaskan pasaran kewangan, inflasi global dan pertumbuhan. Kebimbangan tentang penilaian pasaran kewangan yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko pembetulan pasaran, dengan potensi limpahan kepada kegiatan ekonomi. Sebaliknya, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh daripada jangkaan, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap pertumbuhan ekonomi dan sokongan dasar yang lebih besar dalam ekonomi utama boleh membantu mengurangkan kesemua risiko ini.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 5% pada tahun 2026

Pertumbuhan Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada tahun 2026 (Rajah 2.2). Permintaan dalam negeri terus kekal sebagai teras pertumbuhan ekonomi, disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil. Keadaan pasaran pekerja dijangka kekal kukuh, dengan pertumbuhan guna tenaga yang berterusan dan kadar pengangguran yang menurun. Pendapatan berterusan yang disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil serta pelarasan gaji penjawat awam[4] akan menyokong penggunaan swasta. Selain itu, sokongan fiskal dalam bentuk bantuan tunai dan langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 dijangka terus merangsang penggunaan, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

Aktiviti pelaburan dijangka mengekalkan momentumnya selaras dengan kitaran peningkatan pelaburan semasa, meskipun berkembang pada kadar yang lebih sederhana. Pelaksanaan projek pelaburan bernilai tinggi yang diluluskan pada tahun 2025 akan menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang berterusan. Asas ekonomi Malaysia yang kukuh, ekosistem pengeluaran yang mendalam dan menyeluruh, serta langkah dasar yang menyokong dijangka terus mengekalkan keyakinan pelabur. Oleh itu, risiko daripada pemindahan semula pelaburan asing (reshoring) ke negara asal susulan tekanan perdagangan global dijangka kekal terkawal.[5] Permintaan global yang kukuh untuk teknologi dan perkhidmatan berkaitan AI, bersama-sama dengan pendigitalan dan automasi yang berterusan, akan menyokong pertumbuhan pelaburan pada tahun 2026. Pengembangan kapasiti dalam sektor swasta akan didorong oleh sektor E&E serta teknologi maklumat dan komunikasi (information and communications technology, ICT). Pelaksanaan berterusan pelan induk nasional merentas sektor swasta dan awam, termasuk inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) juga akan memberikan dorongan tambahan kepada kegiatan ekonomi. Projek pelaburan awam yang sedang dilaksanakan, terutamanya dalam projek berkaitan pengangkutan dan tenaga, akan terus menyokong pertumbuhan sepanjang tahun. Projek tersebut termasuk projek Kasawari Carbon Capture Storage (CCS) oleh PETRONAS, inisiatif Hidro dan Solar oleh Tenaga Nasional Berhad serta projek LRT Laluan Mutiara.

Prospek perdagangan Malaysia dijangka kekal mencabar pada tahun 2026 memandangkan pengeksport berdepan dengan perkembangan baharu serta ketidakpastian berkaitan dengan tarif dan konflik geopolitik. Walau bagaimanapun, struktur eksport Malaysia yang pelbagai dan beberapa faktor sokongan dijangka dapat mengimbangi kesan daripada cabaran tersebut. Sektor E&E dijangka mendapat manfaat daripada permintaan semikonduktor yang kukuh pada tahun 2026[6] berikutan pengembangan dalam teknologi global, pendigitalan dan peningkatan penggunaan AI yang lebih pantas. Ekosistem E&E yang mantap dan pelaburan terdahulu dalam peralihan ke arah aktiviti bernilai tambah lebih tinggi, seperti pembungkusan termaju (advanced packaging), telah mengukuhkan keupayaan sektor ini untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan. Pelaksanaan pelaburan pusat data, terutamanya yang mempunyai keupayaan AI akan memperkukuh rangkaian ekosistem ICT Malaysia dan menggalakkan peralihan ke arah aktiviti perkilangan yang lebih canggih. Di samping itu, kemudahan pusat data yang baru beroperasi dijangka turut memberikan sokongan kepada eksport perkhidmatan ICT.[7] Walau bagaimanapun, momentum AI global kekal sensitif terhadap perubahan dalam pasaran kewangan global yang mempengaruhi keadaan pembiayaan dan peruntukan modal kepada pelaburan berkaitan AI. Sebagai contoh, pembetulan terhadap penilaian ekuiti berkaitan AI boleh menyebabkan pelaburan yang lebih rendah dalam syarikat AI dan seterusnya memberikan kesan limpahan kepada aktiviti pengeluaran dan perdagangan yang berkaitan.

Eksport perkhidmatan juga akan mendapat manfaat daripada pelancongan ke dalam negeri yang berterusan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Ketibaan pelancong akan disokong oleh pengecualian visa untuk pelawat dari China dan India serta sambungan penerbangan antarabangsa dan usaha promosi yang berterusan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Prospek eksport bukan E&E dijangka kekal bercampur-campur, mencerminkan lebihan pengeluaran yang berterusan di China serta konflik geopolitik terkini. Lebihan pengeluaran ini berpotensi mengekalkan tekanan persaingan yang tinggi dalam beberapa segmen bukan E&E terpilih, manakala konflik geopolitik pula boleh mempengaruhi keadaan harga dan permintaan, khususnya bagi produk petroleum dan kimia.

Sementara itu, pertumbuhan import dijangka meningkat sejajar dengan pemulihan secara beransur-ansur import barangan pengantaraan bagi menyokong pengembangan berterusan eksport perkilangan. Hal ini sebahagiannya akan diimbangi oleh pertumbuhan import barangan modal yang kembali normal selepas pengembangan yang kukuh pada tahun 2025.

Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal tertakluk pada ketidakpastian. Dari segi luaran, risiko pertumbuhan menjadi perlahan berpunca daripada perdagangan global yang lebih perlahan daripada jangkaan disebabkan oleh konflik geopolitik di Timur Tengah dan tarif. Di dalam negeri, pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan akibat keadaan cuaca buruk atau penyelenggaraan yang tidak dirancang boleh menjejaskan prospek pertumbuhan. Dari sudut kemungkinan pertumbuhan menjadi pesat, prospek pertumbuhan global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan yang lebih mantap untuk E&E dan aktiviti pelancongan yang lebih rancak boleh meningkatkan prestasi eksport dan prospek pertumbuhan Malaysia.

Kadar inflasi dijangka kekal sederhana dan menghampiri purata jangka panjangnya pada tahun 2026

Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana, berpurata antara 1.5% hingga 2.5% pada tahun 2026. Harga komoditi global diunjurkan mengalami turun naik yang lebih besar berikutan konflik geopolitik di Timur Tengah. Walau bagaimanapun, kadar pertukaran yang lebih kukuh dijangka membantu mengekang kenaikan harga import. Langkah-langkah dasar dalam negeri juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan kos global terhadap harga dalam negeri. Sehubungan dengan itu, tekanan kos yang dihadapi oleh syarikat dijangka kekal terkawal, dengan amalan penetapan harga yang secara amnya terus berhati-hati dalam segmen runcit dan perkhidmatan. Secara keseluruhan, perkembangan ini menunjukkan trajektori inflasi yang secara relatifnya lebih terkawal sepanjang tahun.

Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka menghampiri kadar purata jangka panjangnya. Hal ini selaras dengan jangkaan bahawa kegiatan ekonomi akan terus berkembang sejajar dengan potensi, tanpa menjana tekanan inflasi yang ketara yang didorong oleh permintaan. Inflasi teras diunjurkan berpurata antara 1.8% hingga 2.3% pada tahun 2026.

Prospek inflasi kekal bergantung terutamanya pada risiko luaran. Risiko kenaikan inflasi boleh berpunca daripada gangguan bekalan yang berpanjangan dan ketidakpastian dasar perdagangan, termasuk peningkatan kos input susulan harga komoditi global yang tinggi. Hal ini mungkin diburukkan lagi oleh konflik geopolitik di Timur Tengah dan gangguan cuaca. Dalam senario sedemikian, sektor yang lebih sensitif kepada harga import, seperti makanan, boleh berdepan dengan tekanan kos yang lebih tinggi. Sebahagian pengeluar dan peruncit juga mungkin mengambil kesempatan untuk menaikkan harga. Dari sudut risiko penurunan inflasi, permintaan global yang lebih lemah boleh menjejaskan aktiviti dalam negeri, manakala harga komoditi global yang lebih rendah boleh mengurangkan kos import dan meredakan tekanan inflasi. Perkembangan kadar pertukaran juga akan mempengaruhi tekanan kos import, yang seterusnya boleh memberikan kesan kepada inflasi.

Keadaan monetari dan kewangan domestik dijangka kekal menyokong kegiatan ekonomi

Perkembangan dalam pasaran kewangan domestik secara amnya dijangka kekal menggalakkan. Hal ini disokong oleh keadaan kewangan global yang secara umumnya akomodatif dan asas ekonomi Malaysia yang kukuh. Dalam pasaran bon, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) dijangka secara umum kekal disokong oleh persekitaran kadar faedah global dan aliran masuk asing secara beransur-ansur. Persekitaran kadar pertukaran yang lebih menggalakkan berpotensi meningkatkan pulangan terselaras mata wang (currency-adjusted returns) dan menarik minat pelabur terhadap bon domestik. Sementara itu, prestasi pasaran ekuiti domestik dijangka disokong oleh keyakinan pelabur yang semakin meningkat, selari dengan prospek pertumbuhan Malaysia yang positif.

Keadaan pembiayaan akan kekal menyokong pertumbuhan pada tahun 2026, didorong oleh pertumbuhan kredit yang mampan dalam keadaan pengembangan ekonomi yang berterusan dan keadaan peminjaman yang kondusif. Bank-bank kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan kredit berikutan penampan modal mereka yang kukuh, keadaan mudah tunai yang menyokong serta kos pembiayaan yang terurus. Oleh itu, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan dijangka terus tersedia. Dari segi permintaan, pertumbuhan kredit akan terus disokong oleh kegiatan ekonomi yang stabil, keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan serta langkah sokongan dasar dalam negeri yang berterusan. Pertumbuhan pinjaman perniagaan dijangka kekal kukuh sejajar dengan momentum pelaburan yang mampan, manakala penerbitan bon korporat berkemungkinan kekal menarik susulan kadar hasil yang berdaya saing.

Risiko terhadap keadaan kewangan domestik berpunca terutamanya daripada perkembangan luaran. Khususnya, perubahan luar jangka berhubung dengan jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari AS, pembetulan pasaran berikutan penilaian yang tinggi terhadap ekuiti berkaitan AI, dan ketidaktentuan geopolitik yang ketara, khususnya di Timur Tengah, mampu mencetuskan episod volatiliti dalam pasaran kewangan global. Perkembangan ini boleh menyebabkan tempoh turun naik yang tidak menentu dalam aliran modal dan kadar pertukaran. Walau bagaimanapun, kesan limpahan kepada keadaan kewangan domestik dijangka kekal terurus. Hal ini mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh, asas pelabur institusi domestik yang mendalam serta permodalan sistem perbankan yang mantap dengan penampan yang mencukupi. Penyesuaian harga aset dijangka berlaku secara teratur, disokong oleh urus niaga dagangan yang kukuh dan penyertaan pelabur yang meluas. Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau perkembangan dan memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik untuk menyokong fungsi pasaran yang lancar. Dalam pasaran pertukaran asing, BNM akan terus mengekalkan keadaan yang teratur. Hal ini termasuk langkah berterusan untuk menggalakkan aliran dua hala melalui libat urus dengan pengeksport dan syarikat korporat, serta menerusi program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI).

Dasar monetari akan terus memberikan tumpuan pada usaha menggalakkan keadaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan di samping memastikan inflasi kekal terkawal

Pada tahun 2026, keputusan dasar monetari akan terus berpandukan penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) terhadap risiko kepada prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia. MPC kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Pertumbuhan dalam negeri dijangka terus kukuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan berikutan perbelanjaan sektor swasta yang stabil. Walau bagaimanapun, rintangan luaran menimbulkan risiko pertumbuhan menjadi perlahan, termasuk perdagangan global yang lebih rendah berikutan ketidakpastian berkaitan geopolitik dan tarif. Di dalam negeri, pengeluaran komoditi yang lebih rendah berbanding jangkaan boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Dari sudut positif, pertumbuhan mungkin mendapat manfaat daripada aktiviti global yang lebih kukuh, permintaan yang lebih tinggi untuk barangan E&E dan aktiviti pelancongan yang lebih rancak.

Inflasi diunjurkan kekal sederhana. Walaupun harga komoditi global mungkin menghadapi volatiliti yang lebih tinggi berikutan perkembangan terkini, kesannya terhadap inflasi dalam negeri dijangka terkawal. Risiko kenaikan inflasi boleh berpunca daripada tekanan kos luaran yang muncul kembali, manakala risiko penurunan inflasi mungkin timbul daripada pertumbuhan global yang lebih perlahan serta keadaan permintaan dalam negeri yang lebih sederhana.

MPC berhasrat untuk mengekalkan pendirian dasar monetari yang menyokong kegiatan ekonomi, sementara mengekalkan kestabilan harga. Pendirian ini dipandu oleh penilaian semasa terhadap imbangan risiko kepada prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia, dengan mengambil kira keadaan ekonomi dan kewangan. Oleh itu, dasar monetari akan kekal bergantung pada data, dengan MPC memantau rapi perkembangan semasa dan potensi limpahannya kepada ekonomi Malaysia.

Permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan

Pada tahun 2026, permintaan dalam negeri, terutamanya perbelanjaan sektor swasta, akan kekal sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada pengembangan teknologi global yang berterusan dan aktiviti pelancongan, disokong oleh Tahun Melawat Malaysia 2026 meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, termasuk konflik di Timur Tengah.

Penggunaan swasta diunjurkan berkembang sebanyak 5% (2025: 5.2%). Pertumbuhan akan didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang kekal kukuh dan pertumbuhan pendapatan yang berterusan. Guna tenaga akan terus berkembang, diterajui oleh pengambilan pekerja dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Kadar pengangguran dijangka kekal rendah pada 2.9%. Pertumbuhan pendapatan juga akan disokong oleh kegiatan dalam negeri yang terus mampan dan dasar berkaitan pendapatan melalui pelarasan gaji penjawat awam di bawah Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Langkah-langkah fiskal seperti pemindahan wang tunai dan BUDI95, di samping pengurangan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada bulan Julai 2025, akan turut menyokong perbelanjaan isi rumah.

Pembentukan modal tetap kasar (PMTK) dijangka berkembang sebanyak 7.4% (2025: 9.6%). Pertumbuhan akan didorong oleh projek berbilang tahun merentas kedua-dua pelaburan dalam struktur, serta pelaburan berkaitan jentera dan peralatan (machinery and equipment, M&E), disokong oleh pelaksanaan pelaburan diluluskan yang menggalakkan. Oleh itu, kitaran peningkatan pelaburan dijangka berlanjutan hingga tahun 2026, meskipun pada kadar yang lebih sederhana.

Pelaburan swasta diunjurkan berkembang sebanyak 7.5% (2025: 9.4%). Pelaksanaan pelaburan diluluskan yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam subsektor teknologi tinggi seperti teknologi maklumat dan komunikasi (information and communications technology, ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E) dijangka menyokong perbelanjaan modal oleh pelabur domestik dan asing. Yang ketara, kira-kira 84.9% daripada projek perkilangan yang diluluskan antara tahun 2021 hingga 2025 sedang berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan. Pengembangan dalam teknologi global serta kemajuan dalam automasi dan pendigitalan dijangka merangsang pelaburan dalam aktiviti bernilai tinggi dan dipacu inovasi. Selain itu, aktiviti pembinaan pada peringkat awal yang mampan (2025: RM40.5 bilion; 2024: RM33.9 bilion) menggambarkan prospek pelaburan yang positif pada masa hadapan. Walaupun rancangan pelaburan baharu kekal kukuh, kadar pertumbuhan dijangka sederhana disebabkan oleh kesan asas yang besar daripada pelaburan yang tinggi pada tahun-tahun sebelumnya. Keadaan ini akan menyebabkan sedikit normalisasi pada kadar pertumbuhan pelaburan swasta pada tahun 2026.

Pelaburan awam dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana, iaitu 7.3% (2025: 10.3%). Hal ini mencerminkan status beberapa projek infrastruktur besar yang hampir siap. Pertumbuhan akan disokong oleh pelaburan pemangkin dalam sektor strategik seperti utiliti, tenaga dan pengangkutan. Tumpuan akan diberikan kepada projek meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga elektrik, menaik taraf rangkaian kereta api serta menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam. Pelancaran projek di bawah pelan induk nasional, termasuk Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), serta kemajuan berterusan projek sedia ada akan terus menyokong pertumbuhan pelaburan awam pada tahun 2026.

Penggunaan awam dijangka berkembang sebanyak 4.9% (2025: 6.6%). Pertumbuhan akan didorong terutamanya oleh perbelanjaan emolumen Kerajaan yang berterusan susulan Fasa 2 pelarasan gaji penjawat awam di bawah SSPA. Walau bagaimanapun, perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan dijangka berkembang dengan lebih sederhana, selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan di samping memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang mampan.

Pengembangan dalam kebanyakan sektor ekonomi

Kebanyakan sektor ekonomi dijangka berkembang pada tahun 2026, kecuali sektor pertanian dan perlombongan. Sektor perkhidmatan dan perkilangan dijangka terus memacu pertumbuhan secara keseluruhan.

Sektor perkhidmatan dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2% (2025: 5.5%). Subsektor berkaitan pengguna dijangka kekal berdaya tahan memandangkan perbelanjaan isi rumah kekal menggalakkan. Aktiviti pelancongan akan berkembang berikutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, walaupun terdapat gangguan perjalanan susulan konflik di Timur Tengah. Aktiviti berkaitan permulaan operasi pusat data akan menyokong pertumbuhan subsektor ICT. Subsektor perkhidmatan harta tanah dan perniagaan dijangka mengukuh, selaras dengan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti pembinaan. Subsektor pengangkutan dan penyimpanan akan memperoleh manfaat daripada aliran trafik penumpang udara yang didorong oleh ketibaan pelancong, permulaan projek LRT3 dan lebuh raya baharu. Pertumbuhan subsektor kewangan dan insurans akan disokong oleh permintaan pinjaman yang mampan dan pelancaran produk insurans yang selaras dengan keperluan pengguna. Sementara itu, Fasa 2 pelarasan gaji penjawat awam di bawah SSPA akan terus menyokong subsektor perkhidmatan kerajaan.[8]

Sektor perkilangan akan terus berkembang, namun pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 4.3% (2025: 4.5%). Industri E&E akan disokong oleh permintaan berkaitan dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) yang terus kukuh, manakala industri berkaitan pengguna dijangka memperoleh manfaat daripada perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan. Walau bagaimanapun, pertumbuhan industri berkaitan sumber dijangka kekal lembap. Hal ini mencerminkan persaingan yang sengit akibat kapasiti global berlebihan dalam industri ini yang berlarutan.

Sektor pertanian diunjurkan menguncup sebanyak -1% (2025: 2.2%). Pengeluaran minyak sawit mentah dijangka kembali ke paras normal susulan kadar hasil yang kukuh yang dicatatkan pada akhir tahun 2025, manakala aktiviti penanaman semula yang sedang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak akan turut memberikan kesan terhadap pengeluaran. Sementara itu, kaedah penanaman inovatif seperti program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Dua Tahun dijangka menyokong pengeluaran padi. Penambahbaikan teknologi yang berterusan akan turut menyokong pengeluaran tanaman makanan lain seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sektor perlombongan diunjurkan menguncup sebanyak -1.2% (2025: 0.7%). Telaga yang semakin matang terus menjejaskan pengeluaran minyak. Selain itu, aktiviti penyelenggaraan yang dirancang di telaga minyak dan gas dijangka memberikan kesan pada pengeluaran.

Pertumbuhan dalam sektor pembinaan dijangka berkembang sebanyak 9.1% (2025: 12.2%), didorong oleh aktiviti yang berterusan merentas semua subsektor. Walaupun beberapa projek infrastruktur besar hampir siap, pertumbuhan dalam subsektor kejuruteraan awam akan berterusan. Pertumbuhan ini akan disokong oleh perbelanjaan pembangunan Kerajaan yang mampan termasuk untuk penyediaan dan naik taraf infrastruktur awam penting seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026. Subsektor bukan kediaman akan terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk ruang perindustrian, yang sebahagiannya didorong oleh rancangan projek pusat data yang stabil. Subsektor kediaman akan terus menyaksikan pelancaran projek perumahan baharu mampu milik oleh pemaju swasta dan awam. Aktiviti dalam ketiga-tiga subsektor ini juga akan menghasilkan lebih banyak kerja pada peringkat awal dan siap dibina, sekali gus merangsang subsektor pertukangan khas.

Pertumbuhan eksport dan import berterusan pada tahun 2026

Eksport kasar Malaysia dijangka berkembang sebanyak 8.6% pada tahun 2026 (2025: 6.4%). Eksport perkilangan, yang mencakupi 86% daripada jumlah eksport pada tahun 2025, akan kekal sebagai pemacu utama dengan unjuran pengembangan sebanyak 9.6% (2025: 7.7%). Pertumbuhan ini akan disokong oleh eksport E&E yang kukuh, seiring dengan peralihan global ke arah teknologi berkaitan AI. Peranan penting Malaysia dalam rantaian bekalan E&E global akan mendapat manfaat daripada permintaan berterusan terhadap semikonduktor dan komponen elektronik termaju. Sementara itu, prospek bagi eksport bukan E&E dijangka lebih bercampur-campur. Eksport produk petroleum bertapis dan petrokimia berpotensi mendapat manfaat daripada harga produk yang lebih tinggi berikutan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, manakala produk bukan E&E lain dijangka terus terjejas akibat persaingan serantau yang sengit, didorong oleh eksport yang lebih tinggi dari China.

Eksport komoditi dijangka pulih sedikit sebanyak 1.6% pada tahun 2026 (2025: -2.4%). Hal ini disumbangkan terutamanya oleh pemulihan eksport perlombongan yang diunjurkan meningkat sebanyak 13% (2025: -10.8%), disebabkan oleh harga global minyak mentah dan eksport LNG yang lebih tinggi. Sementara itu, eksport pertanian dijangka mencatatkan penurunan sebanyak -7.6% disebabkan oleh pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah. Hal ini berikutan kadar hasil yang kembali normal selepas pengeluaran yang luar biasa tinggi pada tahun 2025 dan aktiviti penanaman semula yang masih berlangsung.

Potensi peningkatan prospek eksport termasuk permintaan teknologi yang lebih kukuh daripada jangkaan, pelancongan ke dalam negeri yang giat, serta pelancaran ICT dan pusat data yang lebih pantas. Kesemua faktor ini boleh memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan eksport keseluruhan. Pada masa yang sama, risiko masih wujud daripada potensi gangguan terhadap perdagangan global akibat ketegangan geopolitik dan perdagangan yang sedang berlaku, kesan pelarasan seterusnya susulan eksport yang dipercepat (frontloading) ke AS, serta impak penambahan nilai ringgit yang lebih besar daripada jangkaan terhadap daya saing eksport Malaysia. Gangguan bekalan akibat keadaan cuaca buruk dan penyelenggaraan yang tidak dirancang juga boleh menjejaskan eksport berkaitan komoditi.

Import kasar dijangka meningkat sebanyak 9% pada tahun 2026 (2025: 6%). Import modal dijangka menjadi sederhana namun kekal pada paras yang tinggi, susulan pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2025 disebabkan oleh pelaburan berkaitan pusat data dan E&E. Sementara itu, import barangan perantaraan dijangka pulih selaras dengan jangkaan pertumbuhan berterusan dalam eksport barangan perkilangan.

Lebihan akaun semasa yang mampan

Akaun semasa imbangan pembayaran dijangka kekal dalam lebihan, antara 1.5% hingga 2.5% daripada KDNK pada tahun 2026 (2025: 1.6% daripada KDNK). Keadaan ini didorong terutamanya oleh lebihan barangan dan perkhidmatan yang berterusan meskipun berdepan dengan persekitaran luaran yang mencabar, yang sebahagiannya diimbangi oleh defisit akaun pendapatan primer dan sekunder yang semakin besar.

Akaun barangan diunjurkan mencatatkan lebihan yang lebih tinggi sebanyak RM128.1 bilion (2025: RM110.9 bilion), apabila paras eksport terus melebihi import. Sementara itu, akaun perkhidmatan dijangka mencatatkan lebihan yang lebih tinggi sebanyak RM5 bilion (2025: RM1.2 bilion), disokong oleh lebihan yang lebih besar dalam akaun perjalanan. Hal ini mencerminkan ketibaan pelancong yang berterusan, disokong sebahagiannya oleh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Di samping itu, kemudahan pusat data baharu yang mula beroperasi juga akan menyediakan sokongan kepada eksport perkhidmatan ICT.

Akaun pendapatan primer diunjurkan kekal dalam defisit (-RM74.2 bilion, 2025: -RM69.5 bilion). Defisit ini didorong oleh pembayaran pendapatan terakru yang berterusan kepada pelabur asing di Malaysia berikutan keuntungan berterusan syarikat multinasional (multinational companies, MNC) yang beroperasi di Malaysia. Akaun pendapatan sekunder juga dijangka kekal dalam defisit (-RM13.2 bilion, 2025: -RM10.8 bilion), disebabkan terutamanya oleh kiriman wang keluar oleh pekerja asing. Walau bagaimanapun, hal ini dijangka diimbangi sebahagiannya oleh kiriman wang masuk daripada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara.

Ekonomi kekal hampir pada keluaran potensi untuk tahun 2026

Keluaran potensi mencerminkan jumlah barangan dan perkhidmatan yang boleh dihasilkan oleh sesebuah ekonomi tanpa menyebabkan tekanan inflasi yang berlebihan berdasarkan faktor pengeluaran yang tersedia (iaitu tenaga kerja dan modal) serta produktiviti. Jurang keluaran ialah ukuran perbezaan antara keluaran sebenar dengan keluaran potensi sesebuah ekonomi. Hubungan ini merupakan salah satu penunjuk utama dasar monetari, iaitu anggaran lebihan kapasiti dalam ekonomi yang memberikan isyarat awal tekanan inflasi serta menyokong perumusan dasar monetari.

Memandangkan keluaran potensi dan jurang keluaran ekonomi tidak dapat diperhatikan secara langsung, perkara ini hanya boleh disimpulkan atau diperoleh daripada maklumat lain. Pelbagai teknik digunakan untuk membuat anggaran keluaran potensi, termasuk penapis statistik, pemodelan ekonometrik fungsi pengeluaran dan model berasaskan Dynamic Stochastic General Equilibrium (DSGE). Oleh itu, anggaran ini tertakluk pada tahap ketidakpastian yang tinggi.[9]

Pada tahun 2025, keluaran potensi[10] Malaysia dianggarkan telah berkembang sebanyak 4.8% (2024: 3.9%; purata 2011-2019: 4.9%). Pengembangan ini didorong oleh pengumpulan modal yang lebih tinggi sejajar dengan aktiviti pelaburan yang mantap (2025: 9.6%; 2024: 12%; purata 2011-2019: 6.8%). Penggunaan tenaga kerja bertambah baik dengan kadar pengangguran menurun ke bawah paras sebelum pandemik manakala kadar penyertaan tenaga kerja meningkat kepada 70.9% (2024: 70.5%; purata 2011-2019: 67.3%). Memandangkan tahap keluaran sebenar adalah lebih tinggi berbanding keluaran potensi, jurang keluaran[11] dianggarkan positif pada tahun 2025 pada 1% melebihi keluaran potensi (2024: 0.6%).

Pertumbuhan keluaran potensi juga boleh diuraikan kepada ketersediaan input pengeluaran serta sejauh mana input digunakan secara cekap dan intensif semasa barangan dan perkhidmatan dihasilkan. Melalui penggunaan rangka kerja pemodelan fungsi pengeluaran,[12] perkara ini boleh ditunjukkan oleh ketersediaan tenaga kerja, modal dan perubahan dalam produktiviti faktor menyeluruh (total factor productivity, TFP). Antara tahun 2022 hingga 2024, pertumbuhan keluaran potensi Malaysia sebahagian besarnya didorong oleh pengumpulan modal, yang dicerminkan oleh stok modal yang lebih tinggi. Sumbangan daripada tenaga kerja juga meningkat kembali ke tahap yang hampir sama dengan yang diperhatikan sebelum pandemik COVID-19.

Pada masa hadapan, ekonomi Malaysia dijangka kekal hampir dengan potensi, dengan jurang keluaran yang sedikit positif pada tahun 2026. Keluaran potensi diunjurkan berkembang pada tahap sebelum pandemik iaitu 4.5%–5.5% manakala pertumbuhan keluaran sebenar diunjurkan berkembang sebanyak 4%–5%, disokong oleh permintaan dalam negeri. Dalam jangka masa terdekat, pertumbuhan keluaran potensi dijangka disokong oleh pengumpulan modal serta peningkatan produktiviti berikutan pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor strategik, terutamanya dalam sektor ICT dan E&E.

Kejutan harga minyak berikutan konflik di Timur Tengah: Kesan terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia pada tahun 2026

Pada hujung bulan Februari 2026, ketegangan geopolitik di Timur Tengah meruncing selepas tercetusnya konflik ketenteraan yang menjejaskan pengeluaran minyak dan gas serta rantaian bekalan dan logistik yang berkaitan di rantau itu. Kenaikan kos insurans, bersama-sama dengan pengunduran pengendali perkapalan komersial utama mengakibatkan gangguan yang ketara terhadap trafik maritim di laluan Selat Hormuz. Hampir 20% daripada bekalan minyak global melalui Selat Hormuz setiap hari. Selain gangguan perkapalan, konflik tersebut juga memaksa penutupan sementara loji pengeluaran minyak utama di seluruh rantau Timur Tengah akibat kerosakan infrastruktur serta kapasiti penyimpanan yang telah penuh, lantas mengekang lagi bekalan global. Gabungan faktor-faktor ini menyebabkan harga minyak global meningkat secara mendadak[13] dan menimbulkan kebimbangan tentang kesan limpahan kepada inflasi dan pertumbuhan global. Konflik ini juga telah meningkatkan volatiliti dalam pasaran kewangan dan keadaan kewangan yang lebih ketat dalam ekonomi utama, yang boleh menjejaskan lagi kegiatan ekonomi.

Sebagai ekonomi kecil yang terbuka, prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia sensitif terhadap perkembangan geopolitik dan harga tenaga global. Konflik sebegini memberikan kesan terhadap ekonomi dalam negeri terutamanya melalui tiga saluran utama. Pertama, harga tenaga yang lebih tinggi meningkatkan kos import dan seterusnya memberikan tekanan menaik terhadap kos pengeluaran dalam negeri dan harga pengguna. Keadaan ini berpotensi melembapkan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perniagaan. Kedua, permintaan luaran yang lebih lemah berikutan kejutan harga minyak boleh menjejaskan eksport dan pertumbuhan keseluruhan. Ketiga, harga minyak yang kekal tinggi dan ketidaktentuan yang semakin ketara meningkatkan penghindaran risiko, lantas mendorong peralihan ke arah aset yang lebih selamat. Hal ini mengakibatkan aliran modal rentas negara menjadi lebih tidak menentu dalam kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, dan berkemungkinan memberikan kesan limpahan yang menjejaskan keadaan kewangan dan kadar pertukaran asing.

Meskipun demikian, kesan-kesan ini sebahagiannya boleh diimbangi oleh pendapatan daripada eksport berkaitan komoditi yang lebih tinggi, berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga.[14] Subsidi bahan api bersasar sedia ada juga boleh membantu mengurangkan penyaluran harga tenaga global yang lebih tinggi kepada inflasi dan ekonomi dalam negeri.

Impak keseluruhan terhadap Malaysia akan bergantung pada tempoh konflik ini berlangsung, tahap keseriusan gangguan, dan sejauh mana konflik tersebut menjejaskan pengeluaran tenaga global dan rantaian logistik. Dalam episod konflik ketenteraan sebelum ini, harga minyak lazimnya meningkat dengan ketara selama tiga hingga enam bulan sebelum menurun secara beransur-ansur ke tahap sebelum konflik (Rajah 2). Namun begitu, hasil yang dicatatkan sebelum ini menunjukkan variasi antara episod-episod terdahulu, dan konflik di Timur Tengah ketika ini berpotensi berkembang dengan trajektori yang berbeza. Jika permusuhan kekal terkawal dan beransur-ansur reda, gangguan mungkin bersifat sementara, dicirikan oleh pemberhentian pengeluaran sementara dan gangguan penghantaran separa melalui Selat Hormuz, dengan rizab strategik membantu mengimbangi kekurangan bekalan jangka pendek. Dalam keadaan ini, harga minyak dijangka kekal tinggi tetapi masih boleh diurus, dengan limpahan yang terhad kepada pertumbuhan, perdagangan dan inflasi global.

Sebaliknya, gangguan yang berlarutan mampu menyebabkan gangguan berterusan kepada trafik maritim, kerosakan berpanjangan kepada infrastruktur tenaga, dan penutupan pengeluaran yang berpanjangan dalam kalangan pengeluar utama Teluk. Situasi ini akan mengakibatkan harga minyak kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, mengurangkan permintaan luaran dan menjejaskan perdagangan serta pertumbuhan global. Dalam senario ini, kos tenaga dan kos input yang lebih tinggi akan meningkatkan kemungkinan berlakunya kesan pindahan kos yang lebih meluas kepada harga pengguna dalam negeri, sekali gus menimbulkan risiko tekanan inflasi yang berlarutan. Akibatnya, kuasa beli isi rumah akan semakin terhakis dan permintaan dalam negeri akan semakin lembap.

Yang paling penting, Malaysia memasuki tempoh ini daripada kedudukan yang kukuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang teguh, inflasi yang sederhana, sektor kewangan yang mantap dan kedudukan luaran yang berdaya tahan. Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga turut memberikan sedikit perlindungan daripada rintangan luaran. Namun begitu, BNM akan terus memantau dan berwaspada terhadap perkembangan yang pantas berubah dalam konflik ini serta bersiap sedia untuk memastikan dasar monetari terus memberikan sokongan pada ekonomi sambil mengekalkan keadaan harga yang stabil.

Nota

[1] Berdasarkan analisis “The Chip Landscape” oleh OECD, yang menunjukkan bahawa kesemua ekonomi ini mencakupi kira-kira 78% daripada kapasiti wafer dalam pengeluaran global setakat bulan September 2025.

[2] Keluaran bukan E&E mencakupi secara purata 64% bahagian eksport global dari bulan Januari hingga Oktober 2025 (2024: 67%), manakala barangan dan komoditi E&E masing-masing mencakupi 21% dan 15% (2024: masing-masing 19% dan 14%).

[3] Berdasarkan Gartner (2026).

[4] Merujuk Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang berkuat kuasa pada bulan Januari 2026 dengan pelarasan sebanyak 7% (pelarasan Fasa 1 pada bulan Disember 2024 adalah sebanyak 8%).

[5] Berdasarkan libat urus pasukan Pengawasan Ekonomi & Industri Wilayah BNM dengan beberapa pengeksport utama ke AS dan pembekal mereka dari bulan Oktober hingga November 2025.

[6] Dalam ramalan Musim Luruh 2025, World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan bahawa pasaran semikonduktor global akan terus berkembang sebanyak 26.3% pada tahun 2026, susulan pertumbuhan 22.5% yang dicapai pada tahun 2025.

[7] Berdasarkan data dalaman Imbangan Pembayaran Tunai (Cash Balance of Payment, BOP) BNM, eksport perkhidmatan pusat data berjumlah RM11.7 bilion pada tahun 2025, jauh lebih tinggi berbanding dengan RM2.8 bilion pada tahun 2024. Pada masa ini, hanya kira-kira 26% daripada kapasiti pusat data yang dirancang telah beroperasi, menunjukkan masih terdapat ruang yang besar untuk terus menyokong eksport perkhidmatan apabila lebih banyak fasiliti siap dibangunkan dalam beberapa tahun akan datang. (Sumber: DC Byte, setakat bulan Januari 2026).

[8] Apabila gaji penjawat awam meningkat, nilai ekonomi perkhidmatan kerajaan juga meningkat kerana perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan bukan pasaran dan diukur berdasarkan kos penyampaiannya.

[9] Rujuk rencana “Menganggarkan Keluaran Potensi Malaysia” dalam Laporan Tahunan 2012 BNM untuk maklumat lanjut tentang pendekatan berasaskan model bagi menilai keluaran potensi dan jurang keluaran.

[10] Keluaran potensi diperoleh melalui purata anggaran beberapa metodologi termasuk Fungsi Pengeluaran, model Laubach-Williams, model Real Business Cycle, Kalman Filter dan model DSGE.

[11] Jurang keluaran secara formal ditakrifkan sebagai

[12] Penguraian dijalankan menggunakan metodologi fungsi pengeluaran yang diadaptasi daripada The Production Function Methodology for Calculating Potential Growth Rates and Output Gaps (Havik dll. 2014).

[13] Berikutan konflik yang semakin meruncing, harga minyak mentah Brent meningkat daripada USD71 setong pada 27 Februari (sebelum konflik) kepada USD77 setong pada 2 Mac (hari dagangan pertama selepas konflik). Harga telah melepasi USD100 setong pada 9 Mac, mencerminkan kenaikan lebih 40% selepas sembilan hari sejak bermulanya konflik. Sejak itu, harga Brent terus didagangkan dalam julat USD85 hingga USD105 setong.

[14] Setakat tahun 2025, status Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga didorong terutamanya oleh lebihan perdagangan yang mampan dalam gas asli cecair (+RM45.3 bilion) dan petroleum ditapis (+RM3.1 bilion). Lebihan ini sebahagiannya diimbangi oleh defisit perdagangan dalam petroleum mentah (-RM29.9 bilion).

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?