Wang Kertas Siri Pertama
Wang kertas Malaysia mula dikeluarkan oleh BNM pada bulan Jun 1967. Wang kertas tersebut terdiri daripada lima jenis nilai muka, iaitu $1, $5, $10, $50 dan $100. Wang kertas jenis nilai $1,000 telah dikeluarkan pada 2 September 1968.
Reka bentuk asas wang kertas tersebut adalah sama bagi semua jenis nilai. Muka hadapan setiap wang kertas menggambarkan potret DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, berserta perkataan Bank Negara Malaysia. Perkataan ‘sah diperlakukan’, nilai mukanya dan tandatangan Tun Ismail bin Mohamed Ali, iaitu anak Malaysia yang pertama menjadi Gabenor BNM, terdapat pada muka hadapan wang kertas tersebut. Muka belakangnya mengandungi logo BNM dan latar belakangnya dihiasi reka bentuk geometri.
Ciri-ciri keselamatannya termasuk tera air kepala harimau yang terletak di sebelah kiri dan benang keselamatan di sebelah kanan.
Berikutan pelaksanaan rasmi sistem ejaan baharu Bahasa Melayu pada 16 Ogos 1972, BNM telah menggunakan sistem ejaan baharu dalam percetakan wang kertas baharunya, tetapi masih mengekalkan reka bentuk yang sedia ada.
Perubahan ejaan adalah seperti yang berikut:-
Jenis Nilai | Ejaan Lama | Ejaan Baharu |
$1 hingga $1,000 | GABENUR | GABENOR |
DI-PERLAKUKAN | DIPERLAKUKAN | |
$10 | SA-PULOH | SEPULUH |
$50 | LIMA PULOH | LIMA PULUH |
$100 | SA-RATUS | SERATUS |
$1000 | SA-RIBU | SERIBU |
Pada awal tahun 1982, wang kertas bernilai $1, $5, $10, $50, $100 dan $1000 dikeluarkan dengan tandatangan Gabenor BNM yang ketiga, iaitu Tan Sri Abdul Aziz bin Haji Taha. Ciri-ciri lain dan coraknya adalah sama seperti wang kertas yang dikeluarkan antara tahun 1967 hingga 1982.

Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.




