BNM memajukan lagi penggunaan e-pembayaran dan rangkuman kewangan

29 Okt 2022 Siaran Akhbar
  • e-Duit akan mempercepat penggunaan e-pembayaran dengan sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 15% dalam tempoh lima tahun akan datang
  • Sebanyak lima institusi kewangan peserta baharu memberikan sokongan kepada iTEKAD, yang menandakan satu lagi fasa perkembangan program kewangan sosial

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini melancarkan kempen e-Duit dan logo rasmi program iTEKAD.

Timbalan Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran itu berkata, “BNM memberikan komitmen sepenuhnya untuk melaksanakan teras strategik yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026. Kempen e-Duit dan pengembangan iTEKAD menjadi bukti komitmen kami yang berterusan. Sasaran BNM adalah untuk mempercepat penggunaan e-pembayaran dalam kalangan perniagaan dan isi rumah sebanyak 15% setiap tahun dan meningkatkan transaksi e-pembayaran per kapita daripada 221 kepada 400 transaksi menjelang tahun 2026. Pada masa yang sama, kami mengalu-alukan lima institusi kewangan peserta baharu bagi program iTEKAD. Perkembangan ini pastinya akan memperluas jangkauan program skim pembiayaan campuran ini untuk membantu usahawan mikro berpendapatan rendah.[1]”

Dengan slogan “Selamat, Senang, Segera”, e-Duit merupakan kempen kesedaran yang bertujuan menggalakkan lebih banyak rakyat Malaysia menggunakan e-pembayaran dengan cara yang selamat. Kempen ini menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai serta membina keyakinan pengguna terhadap penggunaan e-pembayaran dan seterusnya menyokong usaha pendigitalan dalam ekonomi Malaysia. Layari bnm.gov.my/eduit untuk maklumat lanjut.

Dilancarkan buat pertama kalinya pada tahun 2020, iTEKAD ialah program kewangan sosial campuran untuk menyokong usahawan mikro berpendapatan rendah. Program ini menyediakan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial (derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai), pembiayaan mikro serta latihan berstruktur. Program iTEKAD telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Setakat bulan Ogos 2022, sebanyak 95% usahawan mikro iTEKAD telah berjaya membangunkan keupayaan dalam talian bagi meningkatkan jualan. Program ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih 4,000 usahawan mikro berpendapatan rendah menjelang tahun 2023. Maklumat lanjut mengenai iTEKAD boleh didapati melalui bnm.gov.my/social-finance.

Bulan Literasi Kewangan 2022

Kempen e-Duit dan logo rasmi program iTekad telah dilancarkan semasa pameran yang diadakan di IPC Shopping Centre Mutiara Damansara pada 29 dan 30 Oktober 2022 bersempena dengan penutup Bulan Literasi Kewangan 2022 (Financial Literacy Month 2022, FLM2022).

Dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN), FLM2022 merupakan acara utama tahunan untuk mempertingkatkan kesedaran pengguna mengenai isu-isu kewangan yang penting serta menambah baik tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sepanjang bulan Oktober, bas FEN telah menjelajah ke 61 lokasi merentas tujuh negeri dan menyediakan sumber pendidikan kewangan secara percuma serta bebas kepada lebih 20,000 rakyat Malaysia. Sumber ini meliputi pengurusan kewangan peribadi, celik kewangan digital, kesedaran tentang penipuan kewangan dan khidmat nasihat pengurusan hutang. Untuk maklumat lanjut, layari fenetwork.my.

[1] Pada masa ini, iTEKAD ditawarkan oleh lapan institusi kewangan peserta iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, RHB Islamic Bank Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) serta Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank).


Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?