BNM menerbitkan Laporan Tahunan 2021, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2021

30 Mac 2022 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menerbitkan Laporan Tahunan 2021 (Annual Report 2021, AR 2021), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 (Economic and Monetary Review 2021, EMR 2021) dan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2021 (Financial Stability Review for Second Half 2021, FSR 2H2021).

Laporan Tahunan 2021

AR 2021 memperincikan inisiatif dan urusan BNM pada tahun 2021 dalam melaksanakan mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Laporan ini turut menjelaskan cara BNM melaksanakan mandatnya bagi membantu Malaysia semasa berlaku pandemik dan seterusnya keluar daripada pandemik tersebut serta cabaran lain seperti banjir. AR 2021 juga memberikan laporan tentang operasi dan sumber yang membolehkan BNM berfungsi dengan cekap dan berkesan.

AR 2021 memaparkan empat rencana dengan topik menarik iaitu:

  • Kos sara hidup.
  • Jalinan pembayaran rentas sempadan yang cekap.
  • Bantuan bayaran balik pinjaman.
  • Pengubahan wang dan pembiayaan keganasan.

Laporan ini juga berkongsi maklumat tentang Penyata Kewangan BNM yang Diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2021. Kedudukan kewangan BNM kekal stabil pada tahun 2021 seperti yang diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara. Jumlah aset BNM adalah sebanyak RM551.6 bilion setakat 31 Disember 2021. Keuntungan bersih sebanyak RM12.8 bilion dicatatkan untuk tahun kewangan itu dan daripada jumlah keuntungan bersih ini, sebanyak RM7.8 bilion akan dipindahkan ke dalam Kumpulan Wang Rizab Am. BNM telah mengumumkan dividen sebanyak RM5 bilion kepada Kerajaan untuk tahun kewangan 2021.

Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021

Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 memaparkan penilaian dan prospek ekonomi oleh BNM.

Antara sorotan utama EMR 2021 adalah seperti yang berikut:

  • Tahun 2022 bakal menjadi titik perubahan apabila kebanyakan negara beralih secara progresif ke arah pengurusan endemik COVID-19. Memandangkan ekonomi global dijangka terus mencatatkan pemulihan, penggubal dasar sedang membuat pelarasan terhadap penetapan dasar mereka dalam keadaan ketidakpastian yang pesat berubah termasuk konflik ketenteraan di Ukraine yang bermula pada bulan Februari.
  • Momentum kadar pemulihan ekonomi Malaysia diunjurkan terus meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa. Melalui pengurusan COVID-19 yang lebih baik dan kadar pemberian vaksin yang lebih tinggi, BNM menjangkakan gangguan terhadap kegiatan ekonomi dan perbelanjaan dapat dikurangkan sekiranya berlaku penularan semula COVID-19. Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada pengembangan permintaan global. Secara keseluruhan, pertumbuhan dijangka berkembang antara 5.3% hingga 6.3% pada tahun 2022.
  • Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2% hingga 3.2% pada tahun 2022. Walaupun kos input yang tinggi dijangka memberikan sedikit tekanan kepada harga makanan segar terpilih, tekanan ini sebahagiannya akan dikurangkan oleh kawalan harga. Sementara itu, purata inflasi teras dijangka lebih tinggi antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2022 disebabkan oleh keadaan permintaan yang bertambah baik dalam keadaan tekanan kos yang berlanjutan. Walau bagaimanapun, kenaikan inflasi teras akan terus dibendung sebahagiannya oleh lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan pasaran pekerja.
  • Keadaan pasaran pekerja dijangka bertambah baik pada tahun 2022 apabila kegiatan ekonomi semakin meningkat. Kadar pengangguran dijangka terus menurun kepada sekitar 4% daripada tenaga kerja. Pemulihan yang berterusan dalam pekerjaan dan pendapatan dijangka mendorong peningkatan dalam perbelanjaan isi rumah.
  • Dasar monetari akan kekal akomodatif untuk menyokong pemulihan ekonomi yang mampan di samping memastikan kestabilan harga. BNM sedar akan akibat mengekalkan kadar faedah yang rendah untuk tempoh yang berpanjangan. Memandangkan prospek inflasi sebahagian besarnya akan terus didorong oleh faktor-faktor penawaran (supply-driven), BNM akan memantau dengan rapi sebarang tanda yang berpotensi mendorong kepada kesan pusingan kedua sekiranya tekanan harga menjadi lebih ketara berikutan pemulihan permintaan dalam negeri. Akhirnya, sebarang potensi pelarasan terhadap tahap akomodatif dasar monetari akan terus berteraskan data serta akan dilaksanakan secara berhati-hati dan beransur-ansur, setara dengan tahap sokongan yang diperlukan oleh ekonomi.

EMR 2021 turut memasukkan dua rencana yang berkaitan dengan isu pemulihan selepas pandemik:

  • Prospek Pemulihan Ekonomi Global: Iktibar dari Perspektif Kedudukan Kewangan Korporat
  • Anatomi Inflasi: Kesan daripada Pandemik yang Berpanjangan

Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua Tahun 2021

Penerbitan FSR 2021 secara dwitahunan ini memperincikan penilaian risiko dan prospek kestabilan kewangan domestik oleh BNM.

Antara sorotan utama EMR 2021 adalah seperti yang berikut:

  • Institusi kewangan terus berhati-hati apabila menguruskan risiko mereka berikutan ketidaktentuan yang disebabkan oleh perkembangan dalam negeri dan global. Risiko kredit kekal menjadi fokus utama institusi perbankan yang terus menambah peruntukan sebagai penampan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya peningkatan dalam pinjaman terjejas. Meskipun wujud jangkaan bahawa volatiliti pasaran akan berterusan, keadaan pasaran kewangan domestik dijangka kekal teratur. Keadaan ini disokong oleh pasaran bon Malaysia yang mendalam dan mudah cair, kepelbagaian pelabur serta kadar hasil benar yang positif.
  • Amalan pengurusan risiko yang mantap oleh institusi kewangan bersama-sama dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh akan terus memelihara kestabilan kewangan domestik. Ujian tekanan terkini yang dijalankan oleh BNM terus mengesahkan daya tahan penampan modal institusi perbankan dan penanggung insurans supaya dapat bertahan menghadapi potensi kerugian di bawah kejutan makroekonomi dan kewangan yang teruk serta pada masa yang sama mengekalkan sokongan terhadap pemulihan ekonomi. Hampir semua bank berupaya mengekalkan nisbah modal selepas kejutan melebihi tahap minimum pengawalseliaan. Lebihan penampan modal bank-bank pada masa ini berjumlah RM135 bilion.
  • Usaha memastikan daya tahan operasi dan siber terus menjadi fokus utama BNM dan institusi kewangan. Hal ini berikutan meningkatnya kebergantungan institusi kewangan terhadap penyedia perkhidmatan pihak ketiga, penggunaan awan yang lebih meluas dan peningkatan ancaman perisian tebusan (ransomware). Pengurusan yang berkesan terhadap kesan risiko iklim juga akan menjadi bidang tumpuan agenda sektor kewangan untuk BNM dan industri kewangan pada tahun-tahun yang akan datang.

FSR 2H 2021 memaparkan dua rencana:

  • Evolusi Ruang Lantaran Pandemik: Kepincangan Sektor Harta Tanah Komersial; dan
  • Pelaksanaan Dokumen Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip dalam Sektor Kewangan.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Yunus berkata, “Pada masa hadapan, pembaharuan struktur yang baik perlu dilaksanakan bagi menangani cabaran yang sangat penting iaitu merangsang semula peluang pertumbuhan dan memperkukuh asas-asas ekonomi negara. Kita perlu memberikan tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu tahap inklusif, pendigitalan dan kelestarian. Kita perlu menggunakan tempoh pemulihan ini sebaik mungkin untuk membina semula ekonomi dengan lebih baik serta memastikan Malaysia bersiap sedia untuk memanfaatkan trend masa hadapan demi kepentingan negara.”

Untuk butiran lanjut mengenai laporan-laporan ini, sila lawati bnm.gov.my/ar2021.

Lihat juga:

 


Bank Negara Malaysia
30 Mac 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?