Inisiatif-inisiatif Bank Negara Malaysia di bawah Belanjawan 2025
- RM3.8 bilion untuk menyokong pendigitalan dan automasi, amalan lestari dan rendah karbon, dan pengeluaran agromakanan
- Peningkatan had pembiayaan untuk Skim Pembiayaan Mikro kepada RM100,000
- Peruntukan RM20 juta melalui iTEKAD untuk modal permulaan dan perlindungan takaful
- Baucar Perlindungan Tenang sebanyak RM30 untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah
- Dana padanan sebanyak RM100 juta untuk inovasi kewangan Islam
- Pembentangan Akta Kredit Pengguna
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin menyampaikan maklumat lanjut mengenai beberapa inisiatif oleh BNM dan industri kewangan seperti yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim hari ini.
Sokongan Kewangan Menyeluruh bagi PMKS
BNM terus membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan sokongan pembiayaan yang mampu milik. Sokongan ini termasuk RM3.8 bilion untuk:
- menyokong pendigitalan dan automasi melalui Kemudahan Automasi dan Digital PKS
- menerapkan amalan lestari dan rendah karbon melalui Kemudahan Peralihan Rendah Karbon dan Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau; dan
- pengeluaran agromakanan melalui Kemudahan Agromakanan.
Pada masa ini, lebih RM7 bilion dana tersedia untuk PMKS di bawah Dana BNM untuk PKS. Dana ini disalurkan bagi pembiayaan berterusan kepada PMKS untuk tujuan, segmen dan sektor strategik yang khusus dan selaras dengan keutamaan negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari bnm.gov.my/funds4sme.
Selain itu, had pembiayaan untuk Skim Pembiayaan Mikro (SPM) oleh institusi kewangan telah dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000. Hal ini sejajar dengan keputusan Kerajaan untuk meningkatkan pengecualian duti setem ke atas instrumen perjanjian SPM bagi jumlah pembiayaan hingga RM100,000.
iTEKAD: Geran Padanan dan Perlindungan Takaful
Geran sebanyak RM15 juta akan diperuntukkan bagi modal permulaan iTEKAD. Geran ini akan dipadankan dengan dana kewangan sosial seperti derma, zakat dan dana daripada tanggungjawab sosial korporat.
Kerajaan juga memperuntukkan geran sebanyak RM5 juta melalui iTEKAD untuk menanggung sumbangan takaful tahunan bagi usahawan mikro. Inisiatif ini akan menyediakan perlindungan kewangan kepada usahawan mikro terhadap risiko kepada mata pencarian mereka seperti kemalangan dan bencana alam. Geran ini akan dipadankan dengan sumbangan oleh pengendali takaful. Inisiatif ini akan memberikan manfaat kepada peniaga kecil, penghantar barang dan makanan (delivery rider) dan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Baucar Perlindungan Tenang
Produk Perlindungan Tenang menyediakan perlindungan yang mudah dan mampu milik bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, khususnya golongan berpendapatan rendah. Baucar Perlindungan Tenang berjumlah RM30 akan disediakan untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah. Baucar ini akan membantu mereka membeli produk mikroinsurans dan mikrotakaful yang mampu milik daripada syarikat insurans dan pengendali takaful berlesen yang mengambil bahagian. Untuk maklumat lanjut mengenai Perlindungan Tenang, sila layari www.mycoverage.my/perlindungan_tenang
Dana padanan sebanyak RM100 juta untuk inovasi kewangan Islam
Bagi merangsang pembangunan inovasi dalam kewangan Islam yang melibatkan instrumen perkongsian risiko (contohnya struktur musyarakah), dana padanan sebanyak RM100 akan disediakan oleh Kerajaan. Dana ini akan digunakan untuk menyokong pembiayaan perkongsian risiko dalam bidang iklim dan sekuriti makanan. Dana ini akan digunakan untuk memadankan pembiayaan daripada institusi kewangan Islam atau pelabur sektor swasta lain, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan inovasi serta meningkatkan pemahaman berhubung dengan instrumen perkongsian risiko.
Pengumuman ini selaras dengan usaha BNM untuk menyokong penggunaan pelbagai kontrak Syariah termasuk kontrak perkongsian risiko. BNM juga sedang menjalankan kajian semula secara menyeluruh terhadap standard-standard kontrak Syariah untuk memudahkan aplikasi dan pendekatan dasar rangka kerja ini bagi menggalakkan inovasi serta pada masa yang sama memastikan pematuhan terhadap prinsip-prinsip Syariah.
Pembentangan Akta Kredit Pengguna
BNM mengalu-alukan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri mengenai pembentangan Akta Kredit Pengguna (Consumer Credit Act, CCA) pada sidang Parlimen yang akan datang. Apabila CCA ini diluluskan, Suruhanjaya Kredit Pengguna (Consumer Credit Commission, CCC) akan ditubuhkan sebagai pihak berkuasa baharu yang mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit di Malaysia. Pada masa ini, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (Consumer Credit Oversight Board, CCOB) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan, BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah ditugaskan untuk memuktamadkan CCA dengan kerjasama kementerian dan agensi yang berkaitan.
Kelulusan CCA akan menangani pertindanan tanggungjawab antara pihak berkuasa pengawalseliaan serta mengurangkan jurang dalam pengawasan penyedia kredit pengguna.
CCC akan mengawal selia pelbagai entiti yang pada masa ini tidak tertakluk pada mana-mana pihak berkuasa pengawalseliaan di Malaysia. Entiti ini termasuk syarikat 'Beli Sekarang Bayar Kemudian' (Buy Now Pay Later, BNPL), syarikat pemfaktoran dan pemajakan bukan bank, pembeli pinjaman terjejas (impaired loan buyer), agensi pengutip hutang dan agensi kaunseling serta pengurusan hutang.
Bank Negara Malaysia
18 Oktober 2024
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.