Pembaharuan Penanda Aras Kewangan – Kadar Semalaman Malaysia
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pelancaran Kadar Semalaman Malaysia (Malaysia Overnight Rate, MYOR) sebagai kadar rujukan alternatif (alternative reference rate, ARR) yang baharu bagi Malaysia. Pada peringkat global, ARR diperkenalkan untuk meningkatkan integriti kadar penanda aras kewangan sebagai sebahagian daripada peralihan kepada kadar berasaskan transaksi, sejajar dengan pembaharuan Kadar Tawaran Antara Bank London (London Interbank Offered Rate, LIBOR)[1] selepas Krisis Kewangan Global. Perkenalan ARR bertujuan untuk mempermudah penggunaan kadar penanda aras yang lebih mantap dan berdasarkan transaksi dalam pasaran kewangan yang cair dan aktif. Dalam Malaysia, MYOR akan beroperasi selari dengan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate, KLIBOR) sedia ada, dengan tinjauan berkala untuk memastikan bahawa kadar penanda aras kewangan tetap mantap dan mencerminkan pasaran asas yang aktif. Pendekatan berbilang kadar (multiple-rate approach) ini disokong oleh Lembaga Kestabilan Kewangan (Financial Stability Board, FSB)[2] dan diterima pakai oleh banyak negara lain. Ketersediaan dua kadar penanda aras kewangan akan memberikan fleksibiliti kepada peserta pasaran untuk memilih kadar yang paling sesuai dengan keperluan mereka dan membantu membangunkan produk berasaskan MYOR. Penawaran produk berasaskan MYOR akan menyediakan instrumen lindung nilai yang lebih pelbagai bagi menyokong strategi pengurusan risiko tambahan.
Bersempena dengan pelancaran MYOR, BNM telah menerbitkan Dokumen Dasar MYOR yang memasukkan ciri-ciri utama dan piawaian tadbir urus yang dibangunkan bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC)[3], melalui proses maklum balas orang ramai yang mantap:
- MYOR akan ditadbir dan dikira oleh BNM sebagai kadar purata berwajaran jumlah (volume-weighted average rate) bagi urus niaga Ringgit semalaman tanpa cagaran antara bank, termasuk operasi monetari semalaman BNM (tidak termasukKemudahan Tersedia)
- MYOR untuk hari bekerja tertentu di Kuala Lumpur akan diterbitkan pada pukul 10 pagi hari bekerja berikutnya melalui laman sesawang BNM.
- BNM akan melakukan tinjauan berkala terhadap MYOR bagi memastikan MYOR terus mantap dan mewakili keadaan dalam pasaran asas.
BNM juga akan menamatkan penerbitan tempoh KLIBOR 2 dan 12 bulan, iaitu kadar yang paling kurang dirujuk dalam pasaran untuk kontrak kewangan, pada 1 Januari 2023. Tempoh KLIBOR satu, tiga dan enam bulan yang terus mencerminkan pasaran asas yang aktif akan dikaji pada separuh kedua tahun 2022. Sebarang perkembangan daripada kajian tersebut akan dimaklumkan pada masa akan datang. FMC akan melibatkan International Swaps and Derivatives Association (ISDA) untuk memastikan kesinambungan[4] kontrak derivatif KLIBOR sekiranya berlaku penamatan penerbitan KLIBOR secara sementara atau kekal.
Sebagai sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk terus membangunkan pasaran kewangan Islam, BNM dengan kerjasama FMC dan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Pasaran Islam (Islamic Market Technical and Development Committee, IMTDC) AIBIM-FMAM[5] akan membangunkan kadar penanda aras Islam baharu untuk menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Reference Rate, KLIRR) pada separuh pertama tahun 2022.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai MYOR dan hala tuju keseluruhan bagi usaha pembaharuan penanda aras kewangan Malaysia, sila rujuk lampiran di bawah.
Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghantar e-mel kepada pasukan Tinjauan Penanda Aras Kewangan (Financial Benchmark Review) melalui [email protected].
Rujukan:
- Kadar Semalaman Malaysia (Malaysia Overnight Rate, MYOR) dan jumlah agregat
- Dokumen Dasar Kadar Semalaman Malaysia (Malaysia Overnight Rate, MYOR)
- Dokumen Dasar Penetapan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR Rate Setting)
- Draf Dedahan Kadar Semalaman Malaysia (MYOR-i)
- Hala Tuju Pembaharuan Penanda Aras Kewangan
[1] LIBOR merupakan kadar penanda aras kewangan yang digunakan secara meluas untuk kadar faedah jangka pendek, berdasarkan anggaran kadar pembiayaan oleh bank-bank besar yang aktif dalam pasaran pembiayaan borong tanpa jaminan pada peringkat antarabangsa.
[2] FSB ialah badan antarabangsa yang menggalakkan kestabilan kewangan antarabangsa dengan memantau dan membuat saranan mengenai sistem kewangan global.
[3] FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.
[4] KLIBOR akan dimasukkan dalam ISDA Interbank Offered Rate (IBOR) Fallbacks Protocol yang baharu sebagai penyelesaian seragam untuk memasukkan peruntukan sandaran (fallback provisions) KLIBOR yang mantap ke dalam kontrak derivatif legasi (legacy derivative contracts). Peruntukan sandaran untuk tempoh satu, tiga dan enam bulan yang aktif akan berdasarkan metodologi ISDA dan disiarkan oleh Bloomberg, manakala tempoh dua dan 12 bulan akan berdasarkan peruntukan sandaran generik (generic fallbacks) yang akan ditentukan sama ada melalui persetujuan bersama semua pihak atau oleh ejen pengiraan.
[5] AIBIM = Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia)
FMAM = Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (Financial Markets Association Malaysia)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.