Penubuhan Dana Kemudahan Teknologi Tinggi - Aspirasi Pelaburan Nasional Bernilai RM1 bilion

15 Dis 2020 Siaran Akhbar

Dalam ucapan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan penubuhan dana Kemudahan Teknologi Tinggi – Aspirasi Pelaburan Nasional (HTF-NIA) bernilai RM1 bilion, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberikan bantuan tambahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat COVID-19. Kemudahan ini bertujuan untuk membantu PKS berteknologi tinggi dan berorientasikan inovasi yang terjejas untuk pulih dan menggiatkan semula kapasiti inovasi negara. Langkah ini penting bagi memperkukuh kedudukan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai global, memelihara ekosistem rantaian penawaran dan melindungi pekerjaan berkemahiran tinggi.

PKS yang layak termasuk:

  • PKS dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan berteknologi tinggi yang paling sejajar dengan matlamat yang ingin dicapai dalam pembangunan jangka panjang strategik kebangsaan seperti yang termaktub dalam NIA[1]. Antara contohnya ialah perniagaan dalam industri sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, farmaseutikal, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta firma berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyokong pembangunan teknologi baharu.

atau

  • Peserta projek PKS dalam program penting Kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi untuk teknologi yang diberi keutamaan dalam rangka tindakan kebangsaan (national blueprint) daripada teknologi berkaitan IR4.0[2], teknologi hijau dan bioteknologi, bagi memastikan kesinambungan dan penyiapan projek yang sedang berjalan.

Ciri-ciri kemudahan ini dihurai secara terperinci dalam Lampiran 1.

PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan bernilai sehingga RM1 juta untuk tujuan modal kerja, dan bernilai sehingga RM5 juta untuk membiayai modal perbelanjaan atau kombinasi modal kerja dan modal perbelanjaan, untuk tempoh sehingga 7 tahun.

Kemudahan ini ditawarkan pada kadar faedah pembiayaan sehingga 3.5% setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan atau sehingga 5% setahun termasuk fi jaminan (dengan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).

Kemudahan ini disediakan mulai 15 Disember 2020 hingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya (mana yang lebih awal).

PKS yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM menerusi laman sesawang mereka atau hadir ke cawangan institusi kewangan peserta. Keterangan lanjut tentang ciri-ciri HTF-NIA dan senarai institusi kewangan peserta terdapat pada Lampiran 1 dan  Lampiran 2.

PKS dalam sektor lain boleh mengakses pelbagai kemudahan yang tersedia di bawah Dana BNM untuk PKS. Maklumat terperinci tentang dana ini terdapat di www.bnm.gov.my/covid19.

 


 

[1] Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) merujuk objektif pembangunan strategik yang menyeluruh untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, memperluas hubungan industri dalam negeri dan mengembangkan kluster baharu dan yang sedia ada. Keterangan lanjut tentang NIA boleh didapati dalam artikel “Memastikan Pertumbuhan Masa Depan Menerusi Pelaburan Berkualiti” dalam penerbitan Tinjauan Ekonomi dan Kewangan BNM 2019 (muka surat 41-42) di /ar2019/files/emr2019_en_box1.pdf

[2] Teknologi ini terdiri daripada blok rantai (blockchain), kecerdasan buatan (AI), analisis data raya (big data analysis), Internet benda (Internet of things, IoT), pembuatan bahan tambahan (additive manufacturing) (percetakan 3D, 4D/ 5D/ 6D), keselamatan siber, penyepadu sistem (sistem integrators), realiti terimbuh (augmented reality), bahan berteknologi tinggi, dron dan sistem pembuatan, serta teknologi biosains dan neuroteknologi.

 


Bank Negara Malaysia
15 Disember 2020

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?