Menilai Daya Tahan Institusi Kewangan

Ujian tekanan kekal sebagai elemen teras dalam rangka kerja pengawasan kestabilan kewangan BNM. Setiap tahun, BNM menjalankan ujian tekanan kesolvenan makro berbilang tahun menggunakan pendekatan dari atas ke bawah (top-down) untuk menilai potensi kesan keadaan makroekonomi, kewangan dan mudah tunai yang buruk dan berlarutan terhadap bank-bank, penanggung insurans serta sistem kewangan yang lebih meluas. Selaras dengan Tinjauan Kestabilan Kewangan BNM sebelum ini, ujian tekanan kesolvenan makro terkini menggunakan dua senario buruk selama tiga tahun daripada awal tahun 2026 hingga akhir tahun 2028. Senario ini direka untuk menggambarkan kemelesetan yang mendadak tetapi bersifat sementara dalam keadaan ekonomi, serta kemelesetan yang lebih sederhana namun berlarutan, mencerminkan laluan tekanan berbeza yang boleh menjejaskan kualiti kredit, keberuntungan dan penampan modal merentas sektor perbankan dan insurans. Senario ini tidak menggambarkan unjuran prospek ekonomi Malaysia, tetapi sebaliknya menggambarkan peristiwa risiko munasabah yang bertujuan untuk menguji daya tahan institusi kewangan di bawah kejutan yang ekstrem dan boleh terjadi.

Senario kejutan yang mendalam tetapi bersifat sementara (senario buruk 1, SB1) melibatkan penguncupan mendadak dalam kegiatan ekonomi dalam negeri pada tahun 2026 diikuti dengan pemulihan pesat pada tahun 2027 serta kadar KDNK yang kembali pada paras yang sewajarnya selepas itu. Dalam senario kemelesetan sederhana tetapi lebih berpanjangan (SB2), keadaan ini mempunyai ciri penguncupan yang lebih perlahan tetapi berpanjangan pada tahun 2026 dan 2027 sebelum keadaan ekonomi pulih secara beransur-ansur pada awal tahun 2028. Bagi kedua-dua senario, laluan KDNK disesuaikan antara keadaan buruk yang diperhatikan semasa Krisis Kewangan Asia dan pandemik COVID-19. Andaian utama dan parameter kejutan yang digunakan dalam SB1 dan SB2 diringkaskan dalam Jadual 2.1.

Kejutan makroekonomi dan kewangan ini secara amnya selaras dengan yang digunakan dalam ujian pada tahun 2025.[1] Tahap keseriusan andaian di bawah SB1 dan SB2 mencerminkan peningkatan penghindaran risiko global yang timbul daripada risiko geopolitik yang menyumbang kepada tekanan inflasi yang tinggi melalui gangguan rantaian bekalan serta kenaikan harga komoditi berikutan ketidakpastian perdagangan global. Dalam pasaran kewangan domestik, kadar hasil bon diandaikan meningkat secara mendadak, dengan peningkatan momentum untuk tempoh yang lebih lama di bawah SB2. Prestasi pasaran ekuiti juga diandaikan menjadi lemah, dengan FBM KLCI kehilangan kira-kira satu pertiga daripada nilainya di bawah kedua-dua senario. Indeks yang pulih secara lebih mendadak diunjurkan dari awal tahun 2027 di bawah SB1 manakala pemulihan kekal lebih beransur-ansur di bawah SB2. Ringgit diandaikan menurun nilai berbanding dolar AS melepasi paras terendah yang pernah dicatatkan di bawah kedua-dua senario, dengan pelarasan yang lebih besar berlaku pada tahun 2026 di bawah SB1. Inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat, lantas menyebabkan kenaikan OPR dalam kedua-dua senario meskipun dalam persekitaran kemelesetan.

Ujian tekanan menggunakan andaian konservatif yang mengutamakan risiko penurunan berbanding dengan aspek koheren yang ketat dengan senario makroekonomi yang lebih meluas. OPR yang lebih tinggi diandaikan dapat menjejaskan keupayaan membayar balik hutang oleh peminjam tanpa memberikan sebarang peningkatan yang sejajar pada keuntungan bank. Bagi menggambarkan potensi kesan terhadap keyakinan, bank-bank yang menunjukkan kelemahan kewangan yang berpanjangan semasa tempoh tekanan juga dinilai dengan kejutan mudah tunai tambahan yang timbul daripada aliran keluar deposit yang buruk. Rangka kerja pemodelan juga menggabungkan andaian kemungkiran silang yang ketat apabila peminjam bukan PKS yang gagal dalam simulasi dianggap akan mencetuskan kemungkiran dalam seluruh kumpulan perniagaan tanpa mengambil kira kekukuhan kedudukan kewangan mana-mana ahli kumpulan korporat. Andaian konservatif yang serupa mengenai kemungkiran silang juga digunakan terhadap peminjam isi rumah iaitu kemungkiran diandaikan berlaku merentas semua kemudahan pinjaman. Tiada penambahbaikan dalam tahap pinjaman diandaikan pada tempoh tekanan, meskipun keupayaan peminjam membayar balik hutang bertambah baik kemudiannya. Selain itu, ujian ini tidak menggunakan sebarang intervensi dasar atau langkah-langkah sokongan untuk peminjam atau institusi kewangan yang menghadapi kesukaran. Unjuran kerugian daripada operasi luar negeri yang penting oleh kumpulan perbankan domestik (domestic banking groups, DBG) juga diambil kira untuk memastikan penilaian yang komprehensif terhadap kelemahan seluruh kumpulan. Untuk tujuan ini, parameter kejutan akan disesuaikan untuk mencerminkan keadaan dalam persekitaran negara tuan rumah.

Institusi kewangan mencerminkan daya tahan kewangan yang kukuh meskipun di bawah simulasi kejutan yang teruk.

Di bawah keadaan makroekonomi yang teruk yang diandaikan dalam senario tekanan, sistem perbankan Malaysia dijangka kekal berdaya tahan. Sepanjang tempoh ujian tekanan selama tiga tahun, sistem perbankan diunjurkan menanggung kerugian besar disebabkan terutamanya oleh risiko kredit yang lebih tinggi serta pelarasan penilaian terhadap sekuriti yang dikelaskan sebagai nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain (fair value through other comprehensive income, FVOCI). Kos kredit kumulatif dianggarkan masing-masing sebanyak RM78.9 bilion dan RM90.6 bilion di bawah SB1 dan SB2 (masing-masing bersamaan dengan 59% dan 63% daripada jumlah kerugian) (Rajah 2.25). Anggaran peningkatan kerugian kredit ini berpunca daripada peningkatan kemungkiran dalam kalangan peminjam isi rumah, khususnya daripada pinjaman terjejas dalam segmen pinjaman harta tanah kediaman. Beberapa syarikat besar yang mempunyai kelemahan kewangan sedia ada juga diunjurkan mungkir manakala kelemahan ekonomi yang berpanjangan terus menjejaskan keupayaan membayar balik hutang oleh PKS. Kerugian kredit daripada operasi luar negeri DBG dijangka mencakupi 24.5% daripada jumlah kos kredit, didorong terutamanya oleh kemungkiran yang melibatkan beberapa peminjam bukan PKS yang besar. Sementara itu, unjuran kenaikan mendadak dan pantas dalam kadar hasil bon dijangka mengakibatkan kerugian penilaian semula yang ketara terhadap pegangan bon FVOCI bank-bank. Anggaran kerugian ini masing-masing berjumlah RM53.6 bilion dan RM49.7 bilion di bawah SB1 dan SB2 (atau masing-masing 40% dan 35% daripada jumlah kerugian di bawah SB1 dan SB2) (Rajah 2.26). Pelarasan penilaian secara langsung mengurangkan penampan modal sistem perbankan pada sepanjang tempoh ujian. Sebaliknya, kerugian risiko pasaran daripada sekuriti yang dikelaskan sebagai nilai saksama melalui untung atau rugi (fair value through profit or loss, FVTPL) kekal terkawal. Kerugian FVTPL ini, didorong oleh pergerakan dalam kedudukan bon, ekuiti dan pertukaran asing, masing-masing menyumbang 1.3% dan 2.2% daripada jumlah kerugian di bawah SB1 dan SB2.

Menjelang akhir tempoh tekanan pada tahun 2028, pinjaman terjejas keseluruhan diunjurkan meningkat kepada 7.7% dan 8.7% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan masing-masing di bawah SB1 dan SB2, didorong terutamanya oleh pinjaman terjejas isi rumah (Rajah 2.27). Peminjam isi rumah yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan mencakupi bahagian terbesar (59%) peminjam yang berisiko mungkir berikutan penampan kewangan mereka yang lebih rendah (Rajah 2.28). Walau bagaimanapun, dari segi nilai, kumpulan peminjam ini membentuk bahagian yang lebih kecil (34%) daripada pinjaman terjejas baharu, mencerminkan jumlah pinjaman yang lebih rendah yang lazimnya dipegang oleh kumpulan pendapatan ini berbanding peminjam berpendapatan lebih tinggi. Sementara itu, kelemahan terus ketara dalam kalangan peminjam dengan nisbah perkhidmatan hutang melebihi 60%, yang mencakupi sebahagian besar pinjaman terjejas baharu. Kumpulan peminjam ini mencakupi hingga 74% daripada peminjam yang berisiko mungkir dan 84% daripada pinjaman terjejas baharu dari segi nilai. Bagi perniagaan, PKS mencakupi sebahagian besar (58%) daripada pinjaman terjejas perniagaan, dengan unjuran kemungkiran meningkat lebih mendadak di bawah SB2 berbanding dengan SB1. Kemungkiran ini selaras dengan hakisan penampan kewangan PKS yang terhad semasa kemelesetan ekonomi yang berpanjangan, lantas meningkatkan kebarangkalian kemungkiran. Sementara itu, berikutan kekukuhan kedudukan kewangan secara relatif, bukan PKS mencakupi bahagian yang lebih rendah (42%) daripada unjuran peningkatan dalam pinjaman terjejas perniagaan di bawah SB2. Kemungkiran bukan PKS terutamanya dikaitkan dengan beberapa peminjam dengan kelemahan kewangan yang sedia ada.

Keuntungan sistem perbankan agregat dijangka menurun secara mendadak pada tahun awal tekanan, didorong terutamanya oleh kos kredit yang lebih tinggi. Pendapatan faedah bersih juga akan jatuh dengan ketara berikutan kos pendanaan yang tinggi tanpa keuntungan yang sepadan dalam pendapatan faedah yang lazimnya berlaku daripada kenaikan OPR. Pada tahun-tahun berikutnya, pendapatan faedah bersih dijangka pulih secara beransur-ansur, menyokong pemulihan semula keuntungan dan pembinaan semula penampan modal. Kerugian yang ditanggung daripada operasi luar negeri, meskipun ketara untuk DBG yang besar, tidak dijangka menimbulkan risiko nyata terhadap daya tahan keseluruhan pada peringkat kumpulan. Keadaan ini mencerminkan penampan modal yang kukuh yang dikekalkan oleh entiti luar negeri masing-masing.

Secara keseluruhan, nisbah modal sistem perbankan diunjurkan kekal melebihi paras minimum pengawalseliaan di bawah kedua-dua senario (Rajah 2.29). Walau bagaimanapun, lima bank,[2] diunjurkan tidak akan mematuhi keperluan modal minimum pengawalseliaan. Bank-bank ini, yang mencakupi kurang 6% daripada jumlah aset sistem perbankan, mempunyai ciri-ciri yang sama, iaitu nisbah pinjaman terjejas yang lebih tinggi, bersama-sama dengan bahagian yang lebih besar bon FVOCI yang terdedah kepada kerugian penilaian semula (Rajah 2.30). Kekurangan modal selepas kejutan bagi bank-bank ini mencakupi kurang 1.5% daripada jumlah modal sistem perbankan. 11 bank tambahan mungkin memerlukan modal tambahan bagi mengekalkan sasaran modal dalaman mereka di bawah SB2. Walau bagaimanapun, bank-bank ini akan terus memenuhi keperluan modal minimum pengawalseliaan.

Bank-bank yang menghadapi kelemahan kewangan yang berterusan[3] atau yang nisbah modalnya telah menyusut kurang daripada paras minimum pengawalseliaan juga diandaikan mengalami kejutan mudah tunai tambahan[4] dalam bentuk aliran keluar deposit. Di bawah senario ini, kebanyakan bank mengekalkan stok aset mudah tunai berkualiti tinggi (high quality liquid assets, HQLA) tidak terikat yang mencukupi untuk memenuhi permintaan aliran tunai yang meningkat. Hal ini mencerminkan kedudukan mudah tunai permulaan sistem perbankan yang kukuh, dengan LCR seluruh sistem pada tahap kukuh sebanyak 154.8% setakat bulan Disember 2025. Walaupun hasil LCR yang tertekan untuk beberapa bank berada sementara di bawah paras minimum pengawalseliaan,[5] hal ini mencerminkan tahap keseriusan senario tekanan dan bukannya kelemahan dalam kedudukan mudah tunai asas mereka. Selaras dengan keperluan pengawalseliaan, bank-bank boleh mengurangkan penampan mudah tunai dan membenarkan LCR mereka menurun ke bawah 100% semasa tempoh tekanan, dengan jangkaan bahawa penampan dibina semula dalam jangka masa yang munasabah. BNM terus menghendaki semua bank untuk mengekalkan penampan mudah tunai yang berhemat dalam keadaan biasa.

Secara keseluruhan, pelaksanaan ujian tekanan kesolvenan dan mudah tunai terus mengesahkan bahawa bank-bank kekal berdaya tahan dalam menghadapi kejutan makroekonomi, kewangan dan mudah tunai yang teruk. Bank-bank dijangka mengekalkan keupayaan yang mencukupi untuk menyokong pinjaman kepada ekonomi walaupun semasa tempoh kemelesetan.

Ujian tekanan kesolvenan makro untuk penanggung insurans menyertakan senario SB1 dan SB2 yang serupa, dengan andaian tambahan khusus berkaitan insurans. Andaian ini telah dikemas kini sejajar dengan perkembangan terkini termasuk langkah-langkah interim oleh penanggung insurans untuk mengehadkan semakan premium pada insurans perubatan dan kesihatan, sebahagian besarnya konsisten dengan andaian yang digunakan dalam ujian pada tahun 2025 (Jadual 2.2). Di bawah kedua-dua senario, sektor insurans mengekalkan nisbah kecukupan modal (capital adequacy ratio, CAR) melebihi paras minimum pengawalseliaan 130% (Rajah 2.31). Risiko pasaran kekal sebagai pendorong utama kerugian bagi penanggung insurans hayat dan am, mencerminkan kesan kadar hasil bon yang lebih tinggi dan prestasi pasaran ekuiti yang lemah terhadap pegangan aset kewangan mereka yang signifikan (Rajah 2.32). Andaian khusus berkaitan insurans yang dikemas kini menyebabkan unjuran kenaikan premium yang lebih perlahan meskipun tuntutan yang lebih tinggi, khususnya untuk portfolio perubatan sedia ada. Hasilnya, penanggung insurans hayat dijangka mengalami kerugian pengunderaitan bersih sepanjang tempoh tekanan. Oleh itu, risiko insurans muncul sebagai pendorong kerugian yang lebih ketara berbanding dengan ujian tekanan pada tahun sebelumnya (2026: 39%; 2025: 35%). Walau bagaimanapun, penilaian semula liabiliti yang menurun disebabkan oleh peningkatan kadar hasil bon dijangka sebahagiannya mengurangkan kesan terhadap CAR.

Walaupun sektor insurans secara amnya kekal berdaya tahan, hasil pada peringkat penanggung insurans individu berbeza bergantung pada strategi pelaburan dan profil perniagaan. Tiga penanggung insurans hayat yang mencakupi 16% daripada jumlah aset insurans diunjurkan tidak akan mematuhi paras minimum pengawalseliaan berikutan kejutan tersebut, dengan kekurangan modal mencakupi 7% daripada jumlah modal insurans. Daripada jumlah ini, dua penanggung insurans dijangka kekal berada di bawah paras minimum pengawalseliaan pada sepanjang tempoh tekanan. Halangan terhadap pelarasan premium meskipun tuntutan perubatan lebih tinggi telah menjejaskan kadar pemulihan penanggung insurans hayat di bawah senario tekanan. Hal ini menggariskan kepentingan pembaharuan struktur dalam mengawal inflasi kos perubatan. Langkah-langkah tersebut akan menyokong kemampanan dan kemampuan produk MHIT pada jangka panjang serta mempertingkatkan daya tahan kewangan penanggung insurans dan melindungi akses pengguna terhadap perlindungan kewangan.

Bagi penanggung insurans am, kedudukan modal dijangka kekal berdaya tahan di bawah andaian pendapatan premium yang lebih rendah dan tuntutan yang tinggi dalam segmen motor dan kebakaran. Andaian ini mencerminkan kesan buruk daripada kekerapan dan keterukan tuntutan yang meningkat, bersama-sama dengan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan penanggung insurans yang bertujuan untuk mengekalkan atau mengembangkan bahagian pasaran mereka. Ujian tekanan juga mengambil kira potensi limpahan daripada perkembangan geopolitik yang boleh menyumbang kepada keadaan insurans semula global menjadi semakin terhad. Di bawah senario tekanan, enam penanggung insurans am, yang mencakupi kira-kira 6% daripada jumlah aset insurans, diunjurkan tidak dapat mematuhi paras minimum pengawalseliaan berikutan kejutan, dengan kekurangan modal mencakupi 4% daripada jumlah modal insurans.

Nota

[1] Rujuk ujian tekanan kesolvenan makro yang diterbitkan dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan BNM bagi Separuh Kedua Tahun 2024.

[2] Merujuk kumpulan perbankan atau bank tunggal jika bukan milik kumpulan perbankan yang lebih besar.

[3] Merujuk bank-bank yang mengalami kerugian sekurang-kurangnya dua suku tahun berturut-turut atau kerugian tahunan sekurang-kurangnya dua tahun.

[4] Tekanan aliran keluar yang dikenakan pada deposit setiap bank diandaikan sebanyak sekurang-kurangnya 16% berdasarkan penandaarasan pengalaman bank yang mengalami tekanan pada peringkat global baru-baru ini. Saluran pindahan tambahan dilaksanakan pada tahun ini untuk mencerminkan ketidakpastian global yang lebih besar.

[5] Di bawah senario kejutan mudah tunai yang teruk, 14 bank diunjurkan mencatatkan tahap LCR di bawah 100%.

Seterusnya: Tambahan →

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?