SEKTOR PERBANKAN
Kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank-bank yang kukuh terus menyokong pengantaraan kewangan
Pada separuh kedua tahun 2025, keadaan mudah tunai dan pendanaan sistem perbankan kekal berdaya tahan terhadap kejutan mudah tunai. Agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (Liquidity Coverage Ratio, LCR) (Rajah 2.1) dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (Net Stable Funding Ratio, NSFR) (Rajah 2.2) kekal kukuh dan melebihi paras minimum pengawalseliaan, masing-masing pada 154.8% dan 115.7% pada akhir bulan Disember 2025 (Jun 2025: masing-masing 160.5% dan 115.7%). Selain baki mudah tunai di Bank Negara Malaysia (BNM), bank-bank terus mengekalkan pemegangan besar dalam bon dan sukuk kerajaan yang boleh dicagarkan untuk mendapatkan mudah tunai tambahan daripada pasaran antara bank atau BNM.


Setakat bulan Disember 2025, deposit sistem perbankan[1] meningkat sebanyak 4.5% tahun ke tahun (Jun 2025: 3.8%) (Rajah 2.3). Keadaan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan deposit berterusan daripada perniagaan (termasuk perusahaan awam bukan kewangan) dan individu pemastautin yang terus membentuk teras asas pendanaan mencakupi 73.3% (Jun 2025: 73.1%) daripada jumlah deposit. Institusi kewangan bukan bank (IKBB) dan kerajaan kekal menjadi penyumbang terbesar yang seterusnya, masing-masing pada 9.8% dan 6.4% (Jun 2025: masing-masing 8.9% dan 7.2%). Deposit tetap (termasuk Murabahah Komoditi) terus menyokong kestabilan struktur pendanaan bank-bank yang mencakupi lebih separuh jumlah deposit sistem perbankan (50.7%; Jun 2025: 51.4%; purata 2015–2019: 51.7%) (Rajah 2.4).


Persaingan bermusim deposit pada akhir tahun adalah lebih sederhana berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya memandangkan bank-bank telah mempelbagaikan sumber pendanaan secara proaktif. Penurunan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada Julai 2025 turut menyumbang kepada pelonggaran kos pendanaan bank-bank. Mencerminkan perkembangan ini, purata berwajaran kos dana menurun kepada 2.54% pada Disember 2025 (Jun 2025: 2.75%) (Rajah 2.5).

Secara keseluruhan, bank-bank kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pengantaraan kredit. Risiko pendanaan dan mudah tunai kekal terkawal dengan disokong oleh pengurusan mudah tunai yang berhemat dan sumber pendanaan yang pelbagai.
Risiko daripada hutang luar negeri bank-bank kekal terhad
Hutang luar negeri bank tempatan meningkat sedikit pada separuh kedua tahun 2025 kepada RM299.1 bilion (Jun 2025: RM297 bilion). Termasuk hutang luar negeri bank-bank yang beroperasi di Labuan International Business and Financial Centre (LIBFC), jumlah keseluruhan hutang luar negeri bank-bank adalah RM451.3 bilion (Jun 2025: RM448 bilion) (Rajah 2.6). Peningkatan sederhana ini didorong terutamanya oleh bank-bank tempatan, mencerminkan peminjaman antara bank yang lebih tinggi daripada rakan niaga berkaitan. Dedahan sedemikian secara amnya membawa risiko pelanjutan (rollover risk) yang lebih rendah berbanding dengan peminjaman daripada rakan niaga luar negeri yang tidak berkaitan. Peningkatan keseluruhan hutang luar negeri bank-bank sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan daripada penilaian semula pertukaran asing (foreign exchange, FX) berikutan penambahan nilai ringgit berbanding dolar AS sepanjang tempoh tersebut.


Risiko pendanaan dan mudah tunai berkaitan dengan hutang luar negeri bank-bank kekal terkawal. Setakat bulan Disember 2025, dana yang diperoleh daripada rakan niaga luar negeri mencakupi hanya 7.8% daripada jumlah liabiliti dan ekuiti sistem perbankan. Hal ini menunjukkan kebergantungan yang terhad bank-bank terhadap sumber luar untuk menyokong keperluan pendanaan mereka. Hutang luar negeri berisiko dalam mata wang asing (foreign currency, FCY)[2] juga kekal mempunyai penampan yang baik. Bank-bank terus memegang aset mudah tunai FCY yang besar berjumlah RM237.9 bilion (Jun 2025: RM246 bilion) yang menyediakan perlindungan sehingga 2.9 kali ganda tahap hutang luar negeri berisiko FCY (Rajah 2.7).

Bank-bank terus mengurus dedahan kepada risiko FX secara berhemat seperti yang dicerminkan dalam kedudukan terbuka bersih FX (FX net open position, FX NOP) keseluruhan dan USD NOP yang kecil yang masing-masing berada pada 3.9% (Jun 2025: 4.4%; purata 2020–2022: 4.2%) dan 2.2% (Jun 2025: 2.6%; purata 2020–2022: 3%) daripada jumlah modal (Rajah 2.8).
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
Walaupun sebahagian kecil peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi kesukaran untuk membayar balik hutang mereka, nisbah pinjaman terjejas kasar kekal stabil pada 1.4% setakat bulan Disember 2025 (Jun 2025: 1.4%) (Rajah 2.9). Sementara itu, jumlah pinjaman Tahap 2 menurun kepada 6.1% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan (Jun 2025: 6.6%; purata 2018–2019: 7.6%) (Rajah 2.10), sebahagian besarnya mencerminkan peningkatan taraf beberapa dedahan korporat kepada pinjaman Tahap 1.[3] Pinjaman yang baru distruktur semula dan dijadualkan semula (restructured and rescheduled) sepanjang tempoh separuh kedua tahun 2025 kekal kecil pada 0.19% daripada jumlah pinjaman bank-bank (ST1 2025: 0.18%) yang menunjukkan bahawa risiko kemerosotan kualiti aset kekal terkawal.




Walaupun bayaran balik pinjaman kekal stabil, bank-bank terus mengamalkan peruntukan yang berhemat. Nisbah perlindungan kerugian pinjaman sistem perbankan (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal tinggi pada 127.2% (Jun 2025: 130.4%) (Rajah 2.11). Peruntukan pertimbangan pengurusan (management overlay)[4] yang telah dikurangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas terkumpul semasa pandemik COVID-19, kekal tidak berubah sejak bulan Jun 2025 pada 23% sebagai sebahagian peruntukan jangkaan kerugian kredit (expected credit loss, ECL) untuk pinjaman. Tahap peruntukan yang berterusan, bersama-sama dengan kutipan semula pinjaman yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2025 telah menyumbang kepada kos kredit tahunan yang lebih rendah sebanyak 10 mata asas (Jun 2025: 14 mata asas) (Rajah 2.12).
Keuntungan bank-bank kekal disokong oleh pendapatan faedah
Keuntungan bank-bank kekal kukuh dan terus disokong oleh pendapatan faedah pada separuh kedua tahun 2025 (Rajah 2.13). Berikutan penurunan OPR pada bulan Julai 2025, margin faedah bersih (net interest margins, NIM) menurun apabila pengurangan pendapatan faedah atas pinjaman melebihi penurunan kos pendanaan. Selepas pelonggaran sehingga bulan September 2025, NIM kemudiannya stabil kepada 1.99% pada bulan Disember 2025 (Jun 2025: 2.01%; purata 2015–2019: 2.11%). Hal ini disokong oleh perbelanjaan faedah yang lebih rendah atas deposit apabila deposit tetap yang telah matang diperbaharui pada kadar faedah semasa yang lebih rendah. Keuntungan disokong selanjutnya oleh pendapatan perdagangan dan pelaburan yang berjumlah RM7.6 bilion pada separuh kedua tahun 2025 (ST1 2025: RM8.3 bilion).


Selaras dengan perolehan yang mampan, pulangan atas aset (return on assets, ROA) dan ekuiti (return on equity, ROE) sistem perbankan kekal stabil, masing-masing pada 1.5% dan 13.1% setakat bulan Disember 2025 (Jun 2025: masing-masing 1.5% dan 13.8%).[5] Penilaian pasaran bank-bank yang tersenarai seperti yang diukur mengikut nisbah harga kepada nilai buku (price-to-book, P/B) dan nisbah harga kepada perolehan (price-to-earning, P/E) kekal selaras dengan asas (Rajah 2.14). Pada masa hadapan, keuntungan bank-bank dijangka terus disokong oleh pendapatan faedah yang mampan, didorong oleh kualiti aset yang kukuh, pertumbuhan kredit yang berterusan dan prospek ekonomi dalam negeri yang positif. Walau bagaimanapun, prospek ini bergantung pada ketidakpastian berhubung dengan kesan konflik di Timur Tengah serta tarif perdagangan terhadap ekonomi dan kewangan Malaysia.
Permodalan sistem perbankan kekal kukuh
Nisbah jumlah modal sistem perbankan kekal kukuh pada 18.1% daripada jumlah aset berwajaran risiko (Jun 2025: 18.2%), dengan lebihan penampan modal berjumlah RM139.3 bilion (Jun 2025: RM138.9 bilion) (Rajah 2.15). Strategi pengekalan modal termasuk program pelaburan semula dividen terus menyokong pengekalan penampan modal yang kukuh. Penampan ini memperkukuh keupayaan bank-bank untuk meneruskan pemberian pinjaman, khususnya dalam persekitaran semasa apabila perniagaan dan isi rumah terus menghadapi tekanan kos yang tinggi. Kedudukan modal yang kukuh juga membolehkan bank menghadapi kejutan yang tidak dijangka seperti yang dicatatkan dalam pelaksanaan ujian tekanan BNM baru-baru ini.[6]

Risiko penularan daripada operasi luar negeri kumpulan perbankan domestik kekal terhad
Secara keseluruhan, operasi luar negeri kumpulan perbankan domestik (domestic banking group, DBG) kekal menguntungkan pada separuh kedua tahun 2025 (Rajah 2.16). Keuntungan terus didorong terutamanya oleh operasi di Singapura yang mencakupi 54% daripada aset operasi luar negeri (Rajah 2.17), disokong oleh pendapatan faedah bersih dan bukan faedah yang berterusan. Yang ketara, operasi di Thailand mencatatkan purata ROE positif sebanyak 3.5% (Jun 2025: -19.5%) yang menandakan pencapaian semula keuntungan selepas kerugian selama kira-kira dua tahun yang didorong oleh kos kredit yang tinggi daripada peminjam bukan runcit.




Kualiti aset bagi keseluruhan operasi luar negeri bertambah baik dengan nisbah pinjaman terjejas kasar menurun kepada 1.9% (Jun 2025: 2%) (Rajah 2.18). Keadaan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh operasi di Indonesia berikutan hapus kira dan prestasi bayaran balik pinjaman yang lebih baik, lantas membuahkan hasil kualiti aset yang lebih baik. Risiko mudah tunai dan pendanaan kekal terhad berikutan operasi-operasi utama di luar negeri terus dibiayai terutamanya oleh deposit pelanggan yang stabil (Rajah 2.19). Kedudukan modal bagi keseluruhan anak syarikat DBG di luar negeri kekal kukuh, seperti yang dicerminkan oleh purata nisbah jumlah modal sebanyak 18.8% setakat bulan Disember 2025 (Jun 2025: 18.6%). Meskipun terdapat volatiliti dalam pasaran ekuiti Indonesia baru-baru ini, operasi DBG di Indonesia terus disokong oleh penampan modal yang kukuh dengan purata nisbah jumlah modal sebanyak 22.3% setakat bulan Disember 2025 (Jun 2025: 21.5%). Risiko kesan limpahan kepada bank-bank induk di Malaysia dijangka terhad kerana operasi di Indonesia hanya menyumbang kira-kira 7% daripada jumlah gabungan aset bank-bank induk.
Nota
[1] Deposit sistem perbankan merujuk deposit daripada individu, perniagaan, IKBB, kerajaan dan institusi perbankan pemastautin serta bukan pemastautin. Mulai Tinjauan Kestabilan Kewangan BNM untuk Separuh Pertama 2025, deposit sistem perbankan tidak termasuk perjanjian pembelian semula. Oleh itu, data mungkin tidak dapat dibandingkan secara langsung dengan data yang dilaporkan dalam penerbitan sebelumnya.
[2] Hutang luar negeri berisiko bank-bank terdiri daripada deposit institusi kewangan, peminjaman antara bank dan pinjaman jangka pendek daripada rakan niaga bukan pemastautin yang tidak berkaitan, yang dianggap lebih terdedah kepada kejutan pengeluaran secara mendadak.
[3] Berdasarkan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 9 (Malaysian Financial Reporting Standard 9, MFRS 9), dedahan kredit dikelaskan kepada tiga tahap mengikut kualiti kredit. Tahap 1 merujuk dedahan yang tidak mengalami peningkatan risiko kredit yang ketara sejak pengiktirafan awal yang menghendaki bank-bank memberikan peruntukan berdasarkan jangkaan kerugian kredit (expected credit loss, ECL) 12 bulan. Tahap 2 merujuk dedahan yang telah menunjukkan peningkatan risiko kredit yang ketara yang memerlukan peruntukan berdasarkan ECL seumur hidup. Tahap 3 merujuk dedahan yang menunjukkan penjejasan kredit yang juga memerlukan peruntukan berdasarkan ECL seumur hidup.
[4] Pertimbangan pengurusan ialah peruntukan tambahan yang disediakan selain peruntukan yang dianggarkan oleh model ECL. Peruntukan ini mencerminkan pelarasan untuk mengambil kira kekurangan data atau ketidakpastian yang tidak dapat ditentukan sepenuhnya oleh model ECL.
[5] ROA dan ROE dikira menggunakan keuntungan sebelum cukai. Dengan menggunakan keuntungan selepas cukai, ROE berada pada 10.2% (Jun 2025: 10.8%).
[6] Rujuk bahagian “Menilai Daya Tahan Institusi Kewangan” untuk butiran lanjut berkenaan ujian tekanan.