SEKTOR INSURANS DAN TAKAFUL

Keuntungan keseluruhan dana insurans dan takaful menurun, didorong oleh aktiviti pengunderaitan yang lebih lemah, meskipun prestasi pelaburan ekuiti lebih baik

Keuntungan dana insurans hayat dan takaful keluarga, seperti yang diukur melalui lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan (excess income over outgo, EIOO),[1] secara keseluruhannya menurun sedikit kepada RM4.6 bilion pada separuh kedua tahun 2025 (ST1 2025: RM4.8 bilion) (Rajah 2.20). Keuntungan bersih belum direalisasikan yang lebih tinggi berikutan pemulihan dalam pasaran ekuiti diimbangi oleh peningkatan yang lebih ketara dalam kerugian pengunderaitan bersih, yang meningkat kepada RM3.6 bilion (ST1 2025: RM0.9 bilion; ST2 2024: RM3.2 bilion). Peningkatan dalam kerugian pengunderaitan bersih ini sebahagiannya didorong oleh faktor bermusim seperti premium yang lebih rendah daripada pembaharuan polisi kumpulan, yang lazimnya berlaku pada separuh pertama tahun. Selain itu, pendapatan premium terus terjejas oleh langkah-langkah interim yang dilaksanakan oleh industri insurans dan takaful bagi membantu individu yang mengalami semakan semula premium polisi/sijil insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT).[2] Kerugian pengunderaitan bersih turut meningkat berikutan bayaran tuntutan perubatan yang lebih tinggi berjumlah RM6.5 bilion (ST1 2025: RM5.7 bilion; ST2 2024: RM6.2 bilion) disebabkan oleh peningkatan kemasukan ke hospital. Berbanding dengan separuh pertama tahun 2025, kemasukan ke hospital meningkat bagi polisi perubatan individu dan kumpulan berikutan lonjakan kes penyakit pernafasan seperti influenza. Peningkatan insiden keadaan perubatan yang serius dan prosedur pembedahan turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan perubatan secara keseluruhan.

Premium perniagaan baharu[3] pada separuh kedua tahun 2025 meningkat sebanyak 1.6% tahun ke tahun (ST2 2024: 4.6%; ST2 2023: 6.8%) (Rajah 2.21). Keadaan ini disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam premium perniagaan baharu untuk produk berkaitan pelaburan (investment-linked, IL). Jualan produk IL dengan perlindungan MHIT terus terjejas akibat sentimen kurang memberangsangkan berkaitan MHIT. Minat terhadap produk IL juga menurun, mencerminkan kesanggupan yang lebih lemah terhadap pelaburan dalam keadaan ketidakpastian pasaran kewangan dan persaingan daripada produk simpanan alternatif. Walaupun berhadapan tekanan tersebut, premium perniagaan baharu secara keseluruhan kekal disokong oleh sumbangan yang stabil daripada segmen insurans hayat bukan sertaan dan takaful keluarga biasa.

Sebagai sebahagian daripada Strategi RESET yang sedang dilaksanakan bagi menangani inflasi perubatan serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan di Malaysia, BNM, dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan pihak berkepentingan utama yang lain, telah menerbitkan Kertas Putih mengenai Pelan MHIT Asas pada bulan Januari 2026.[4] Kertas Putih tersebut memperincikan reka bentuk pelan perlindungan perubatan yang diseragamkan dan bersifat sukarela, bertujuan untuk meningkatkan tahap kemampuan, ketelusan serta kemampanan jangka panjang insurans dan takaful perubatan swasta di Malaysia. Pelaksanaan Pelan MHIT Asas dijangka bermula dengan fasa perintis pada separuh kedua tahun 2026, manakala pelancaran penuh di pasaran disasarkan pada awal tahun 2027. Maklumat lanjut mengenai Strategi RESET dan Pelan MHIT Asas boleh dibaca dalam bahagian “Memangkinkan Pembaharuan Struktur Bagi Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan” dalam Laporan Tahunan BNM 2025.

Keuntungan operasi penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) dalam sektor insurans dan takaful am kekal stabil pada RM1.9 bilion pada separuh kedua tahun 2025 (ST1 2025: RM1.9 bilion; ST2 2024: RM1.9 bilion) (Rajah 2.22). Walaupun prestasi pelaburan bon lebih lemah, keuntungan keseluruhan dikekalkan oleh pendapatan pengunderaitan bersih yang stabil. Peningkatan kecil dalam keuntungan pengunderaitan didorong terutamanya oleh pelepasan rizab tuntutan, disokong oleh penyelesaian tuntutan kecederaan pihak ketiga yang lebih tinggi oleh ITO sektor am. Industri ini juga mencatatkan pertumbuhan dalam premium motor berikutan jualan kenderaan yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2025 (Rajah 2.23), disokong sebahagiannya oleh permintaan yang dilakukan lebih awal bagi kenderaan elektrik siap bina sepenuhnya (completely built-up, CBU) menjelang tamatnya tempoh pengecualian cukai pada bulan Disember 2025. ITO am terus menunjukkan komitmen yang kukuh dalam menunaikan kewajipan mereka di bawah inisiatif bantuan tepi jalan digital (digital roadside assistance) selari dengan pembukaan permohonan Fasa 2B[5] liberalisasi berperingkat untuk tarif motor dan kebakaran.[6] Penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan lagi pengalaman dan hasil tuntutan motor untuk pengguna dari masa ke masa. Meskipun dengan peralihan yang berterusan ini, nisbah tuntutan bersih yang ditanggung[7] bagi segmen motor kekal stabil pada separuh kedua tahun 2025 sebanyak 68.0% (ST1 2025: 70.3%; ST2 2024: 69.0%).

Sektor insurans dan takaful kekal berdaya tahan, disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh. Nisbah kecukupan modal agregat untuk industri kekal kukuh sebanyak 225% pada separuh kedua tahun 2025 (Jun 2025: 223%), melebihi paras minimum pengawalseliaan pada 130% (Rajah 2.24). Sehubungan dengan itu, penampan modal agregat yang melebihi keperluan pengawalseliaan juga kekal kukuh pada RM43.8 bilion (Jun 2025: RM41.8 bilion).

Pada masa hadapan, prestasi pelaburan ITO akan kekal sensitif terhadap keadaan pasaran kewangan berikutan ketidakpastian ekonomi dan dasar global, termasuk daripada konflik Timur Tengah baru-baru ini. Konflik tersebut juga boleh mencetuskan gangguan rantaian bekalan yang mungkin melemahkan prestasi pengunderaitan ITO dengan meningkatkan kos tuntutan.

Meskipun pengembangan infrastruktur pusat data mendorong keperluan perlindungan insurans yang lebih meluas, pertumbuhan ini berlaku berlatarkan persekitaran risiko iklim yang semakin meningkat. Peristiwa iklim yang semakin kerap dan tidak dapat diramalkan boleh meningkatkan volatiliti tuntutan serta memerlukan amalan pengurusan risiko dan pengunderaitan yang lebih menyeluruh. Sementara itu, pertumbuhan dalam premium perniagaan baharu mungkin akan terjejas oleh kebimbangan umum yang berterusan berhubung dengan produk MHIT. Berlatarkan tekanan ini, ITO sedang giat melaksanakan Strategi RESET untuk meletakkan MHIT pada landasan yang lebih mampan serta membangunkan penawaran produk baharu yang disasarkan pada segmen pasaran yang khusus. Meskipun terdapat pelbagai rintangan, ITO dijangka kekal berdaya tahan, dengan penampan modal yang baik dan melebihi keperluan pengawalseliaan.[8]

Mulai tahun 2026, BNM akan melaksanakan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 17 (Malaysian Financial Reporting Standard, MFRS 17) dalam rangka kerja pelaporan pengawalseliaannya. Maklumat yang diperoleh daripada piawaian ini akan dimasukkan secara progresif dalam penilaian kehematan untuk ITO. Peralihan ini dijangka mengukuhkan pelarasan dengan piawaian perakaunan semasa dan pada masa yang sama mengukuhkan rangka kerja penyeliaan untuk menyokong mandat kestabilan kewangan BNM yang lebih meluas. Sepanjang tempoh pelaksanaan, BNM akan terus bekerjasama rapat dengan peserta industri dan pihak berkepentingan utama yang lain bagi memastikan penggabungan maklumat dan penunjuk pelengkap baharu yang lancar dan berkesan dalam penilaian penyeliaan.

Nota

[1] EIOO tidak mengambil kira perubahan dalam rizab yang perlu diketepikan oleh penanggung insurans dan pengendali takaful untuk menampung tuntutan insurans/takaful masa hadapan.

[2] Salah satu langkah ialah pelaksanaan pelarasan premium yang diagihkan (spread out) sepanjang tempoh minimum tiga tahun untuk amalan penetapan harga semula yang dilaksanakan antara tahun 2024 dan 2026.

[3] Merujuk premium insurans dan sumbangan takaful, melainkan dinyatakan sebaliknya.

[4] Rujuk “Kertas Putih mengenai Pelan MHIT Asas” untuk maklumat lanjut.

[5] ITO yang komited kepada pembaharuan untuk menambah baik ekosistem tuntutan motor akan diberi fleksibiliti harga yang lebih besar untuk produk insurans/takaful motor dan kebakaran secara beransur-ansur dalam dua fasa iaitu Fasa 2A, diikuti oleh Fasa 2B. Setiap fasa membenarkan penyelarasan terhadap had premium/sumbangan takaful secara berperingkat.

[6] Rujuk bahagian “Memajukan Pembaharuan dalam Ekosistem Insurans dan Takaful Motor” dalam Laporan Tahunan BNM 2025 untuk butiran lanjut. 

[7] Nisbah tuntutan bersih yang ditanggung merujuk nisbah tuntutan bersih yang ditanggung kepada pendapatan premium yang diperoleh.

[8]14 Rujuk bahagian “Menilai Daya Tahan Institusi Kewangan” untuk maklumat lanjut.

← Sebelumnya: Sektor Perbankan

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?