Tinjauan Keseluruhan
Volatiliti dalam pasaran kewangan global menurun antara bulan Oktober 2025 dan Januari 2026 berikutan jangkaan terhadap dasar monetari dan perdagangan AS yang telah menjadi lebih stabil. Perkembangan ini, bersama-sama dengan pelaksanaan pembaharuan struktur dalam negeri yang berterusan serta keadaan dolar AS yang semakin lemah, telah menyumbang kepada pengukuhan ringgit. Berlatarkan persekitaran ini, tekanan terhadap pasaran dalam negeri telah berkurang di samping Indeks Tekanan Pasaran Kewangan (Financial Market Stress Index, FMSI) mencatatkan penurunan secara keseluruhan sepanjang tempoh berkenaan. Kenaikan sementara FMSI pada hujung bulan Januari mencerminkan terutamanya prestasi ringgit yang lebih kukuh serta keuntungan dalam pasaran ekuiti. Melangkah ke hadapan, konflik di Timur Tengah baru-baru ini serta ketegangan perdagangan yang berlanjutan mungkin akan mengganggu rantaian bekalan, meningkatkan tekanan terhadap harga dan menjejaskan pertumbuhan global, lantas merumitkan prospek dasar monetari dalam ekonomi utama. Berikutan ketidakpastian global ini, perubahan terhadap jangkaan hala tuju dasar monetari AS juga mungkin mendorong volatiliti pasaran secara berkala serta meningkatkan penghindaran risiko. Hal ini boleh menyebabkan risiko aktiviti pasaran kewangan dalam negeri menjadi perlahan. Walau bagaimanapun, sentimen pasaran dalam negeri dijangka akan terus disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh, kredibiliti dasar serta usaha pembaharuan struktur yang terus dilaksanakan. Di samping itu, sektor perbankan yang mempunyai permodalan kukuh, pasaran kewangan yang mendalam serta asas pelabur yang pelbagai akan terus menyokong fungsi pasaran yang teratur dan berdaya tahan. Pada separuh kedua tahun 2025, aktiviti perniagaan kekal disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar. Walaupun tekanan kos masih berterusan pada tempoh tersebut, sebahagiannya dapat diimbangi oleh kos input import yang lebih rendah serta ringgit yang lebih kukuh, bersama-sama dengan usaha pengawalan kos oleh syarikat-syarikat. Walau bagaimanapun, kesan tekanan kos ini tidak seimbang. Syarikat yang lebih besar secara amnya mencatatkan peningkatan dalam margin operasi berikutan skala operasi yang lebih besar, serta mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk melakukan rundingan. Sebaliknya, syarikat yang lebih kecil menghadapi margin yang lebih kecil. Namun begitu, keuntungan perniagaan dan keupayaan membayar balik hutang secara keseluruhannya kekal tidak berubah, dengan median margin operasi meningkat sedikit kepada 7.5% dan nisbah perlindungan faedah kekal stabil pada 6.4 kali. Selaras dengan peningkatan ini, kualiti kredit peminjaman perniagaan secara keseluruhan juga bertambah baik, seperti yang dicerminkan oleh penurunan dalam bahagian pinjaman terjejas dan pinjaman dengan peningkatan risiko kredit (pinjaman Tahap 2). Dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tekanan terhadap bayaran balik pinjaman kekal tertumpu pada sebahagian kecil peminjam yang menghadapi cabaran struktur yang telah lama wujud, manakala sebahagian besar PKS terus menyesuaikan operasi dengan keadaan perniagaan semasa dan memenuhi obligasi hutang mereka. Penggunaan dalam negeri yang berdaya tahan, pelaburan yang mampan, aktiviti pelancongan yang stabil serta permintaan luar negeri yang berterusan untuk barangan elektrik dan elektronik (E&E) dijangka akan terus menyokong perniagaan dalam mengharungi persekitaran operasi yang mencabar pada masa hadapan. Daya tahan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif. Pertumbuhan hutang isi rumah menurun sedikit pada separuh kedua tahun 2025 dan sebahagian besarnya terus didorong oleh pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan. Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK kekal stabil sepanjang tempoh ini. Penunjuk peringkat mikro bagi keupayaan isi rumah untuk membayar balik hutang kekal kukuh. Median nisbah khidmat hutang kekal stabil pada 33%, manakala median nisbah hutang kepada pendapatan, yang mengukur tahap hutang peminjam, secara amnya kekal stabil pada 1.3 kali. Dalam segmen beli sekarang bayar kemudian (buy now pay later, BNPL), dedahan terkumpul kekal kecil pada 0.3% daripada jumlah keseluruhan hutang isi rumah, meskipun pertumbuhan pesatnya memerlukan pemantauan rapi. Dalam hal ini, penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna adalah tepat pada masanya serta penting bagi melindungi pengguna melalui pengawalan dan penyeliaan ke atas penyedia perkhidmatan kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang sebelum ini tidak dikawal selia, termasuk penyedia BNPL. Secara keseluruhan, kualiti kredit isi rumah kekal kukuh, disokong oleh amalan pengunderaitan yang berhemat, penilaian kemampuan pinjaman oleh bank-bank serta tingkah laku bayaran balik pinjaman yang baik dalam kalangan peminjam. Dalam tempoh terdekat, risiko kredit isi rumah dijangka kekal terkawal. Bank-bank dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan terus menyediakan sokongan kepada peminjam yang menghadapi cabaran kewangan sekiranya diperlukan. Keadaan dalam sektor harta tanah kediaman Malaysia secara amnya kekal stabil berikutan aktiviti pasaran yang mantap serta pertumbuhan harga rumah yang sederhana. Transaksi perumahan terus didorong terutamanya oleh segmen pasaran umum (rumah berharga RM500,000 dan ke bawah), yang mencakupi kira-kira tiga perempat daripada jumlah keseluruhan transaksi. Namun begitu, bilangan unit rumah yang tidak terjual meningkat sepanjang tahun 2025, meskipun jumlah ini mewakili bahagian yang kecil daripada keseluruhan stok perumahan. Perkembangan ini mencerminkan ketidakpadanan antara penawaran dengan permintaan yang masih berterusan, sebahagian besarnya berpunca daripada lebihan penawaran unit yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan pembeli atau kurang menarik disebabkan oleh faktor-faktor seperti lokasi. Dalam sektor harta tanah bukan kediaman pula, lebihan penawaran dalam segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah masih berlanjutan. Kadar kekosongan dalam segmen ini, meskipun kekal tinggi, secara amnya telah mencatatkan penambahbaikan berbanding dengan kadar tertingginya semasa tempoh pandemik pada tahun 2022. Risiko terhadap kestabilan kewangan daripada keseluruhan sektor harta tanah kekal terkawal, disokong oleh kualiti dedahan pinjaman bank-bank yang kukuh serta median nisbah pinjaman kepada nilai (loan-to-value) yang berhemat. Bank-bank kekal berada pada kedudukan yang kukuh untuk mendorong pengantaraan kewangan, disokong oleh kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh. Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (Liquidity Coverage Ratio) dan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (Net Stable Funding Ratio) agregat masing-masing melebihi paras minimum pengawalseliaan pada 154.8% dan 115.7%. Kualiti aset kekal kukuh, seperti yang dicerminkan oleh nisbah pinjaman terjejas kasar yang rendah dan stabil pada 1.4% serta penurunan dalam bahagian pinjaman Tahap 2 kepada 6.1% daripada jumlah keseluruhan pinjaman sistem perbankan (Jun 2025: 6.6%). Bank-bank juga mengekalkan amalan peruntukan berhemat, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman yang tinggi. Keuntungan bank-bank kekal kukuh, disokong oleh pendapatan faedah yang mampan. Permodalan sistem perbankan juga terus kukuh, dengan nisbah jumlah modal pada 18.1% serta lebihan penampan modal berjumlah RM139.3 bilion. Sektor insurans dan takaful juga kekal berdaya tahan. Dalam segmen insurans hayat dan takaful keluarga, keuntungan keseluruhan menurun sedikit apabila kerugian pengunderaitan bersih yang lebih tinggi dicatatkan. Hal ini berikutan pendapatan premium yang lebih rendah serta peningkatan dalam pembayaran tuntutan perubatan yang telah mengatasi prestasi pelaburan yang lebih kukuh. Yang ketara, pembaharuan struktur bagi menangani inflasi kos perubatan sedang dilaksanakan dengan baik. Kemajuan yang dicapai dalam reka bentuk Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (Medical and Health Insurance/Takaful, MHIT) Asas iaitu pelan perlindungan perubatan secara sukarela dan seragam untuk orang ramai, merupakan langkah awal yang penting bagi menggalakkan kemampanan perlindungan MHIT di Malaysia dalam jangka panjang. Dalam segmen insurans dan takaful am, keuntungan operasi kekal stabil dan telah disokong oleh prestasi pengunderaitan yang mantap. Secara keseluruhan, permodalan sektor insurans dan takaful kekal kukuh, dengan nisbah kecukupan modal agregat pada 225% serta lebihan penampan modal berjumlah RM43.8 bilion. Ujian tekanan kesolvenan makro terkini yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), yang mengambil kira andaian risiko tambahan, mengesahkan bahawa institusi kewangan berdaya tahan untuk menghadapi kerugian yang tidak dijangka akibat kejutan makroekonomi dan kewangan yang serius. Ujian tekanan tersebut menunjukkan bahawa nisbah modal agregat paling rendah selepas kejutan sepanjang tempoh tekanan bagi bank-bank (15.7%), penanggung insurans hayat (138%) dan penanggung insurans am (151%) kekal melebihi paras minimum pengawalseliaan. BNM dan institusi kewangan terus memberikan keutamaan kepada usaha mengekalkan daya tahan operasi industri. Bagi terus memperkukuh langkah-langkah mitigasi terhadap penipuan berikutan ancaman perisian hasad yang semakin canggih yang menyasarkan peranti pelanggan, industri telah mempertingkat keupayaan perlindungan aplikasi mudah alih serta memulakan proses perpindahan berstruktur untuk perkhidmatan perbankan dalam talian kepada pelayar dan sistem operasi yang disokong. Langkah ini bertujuan mengurangkan kelemahan ciri-ciri keselamatan dan pada masa yang sama mengimbangi risiko pengecualian akses kewangan. Institusi kewangan juga telah melaksanakan keperluan yang telah dikemas kini bagi memperkukuh daya tahan perkhidmatan dan keselamatan siber berikutan penerbitan dokumen dasar Risk Management in Technology yang disemak semula pada bulan November 2025. Selaras dengan hal ini, semakan bersasar oleh BNM terhadap pelan kesinambungan perniagaan institusi kewangan mendapati bahawa penyelesaian yang diamalkan oleh institusi kewangan bagi memastikan ketersediaan perkhidmatan penting secara berterusan kepada pelanggan semasa gangguan operasi secara amnya mencukupi. Bagi memperkukuh lagi daya tahan dan kecekapan sistem pembayaran dan penyelesaian, BNM telah mempertingkatkan Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Elektronik Masa Nyata (Real-time Electronic Transfer of Funds and Securities System, RENTAS) melalui pelancaran RENTAS+ pada hujung bulan September 2025. RENTAS+ membolehkan penyelesaian transaksi pembayaran runcit dilaksanakan hampir secara masa nyata, lantas mengurangkan dengan ketara risiko kredit antara bank dan risiko penyelesaian di dalam sistem tersebut.
← Sebelumnya: Sorotan Penting
Seterusnya: Risiko Pasaran →
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!