Pengenalpastian Mata Wang Tulen

Cara Mengenal Pasti Ciri Keselamatan Wang Kertas

Wang kertas palsu moden boleh dikenal pasti dengan mudah melalui pemeriksaan yang teliti berdasarkan prinsip “RASA, LIHAT, CONDONG dan PERIKSA”.

RASA

Rasa tekstur bahan wang kertas:

  • Wang kertas mempunyai permukaan yang kesat dengan kesan cetakan timbul pada teks dan potret SPB Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

  • Wang kertas polimer diperbuat daripada plastik khas dengan kesan cetakan timbul pada teks dan potret SPB Yang di-Pertuan Agong yang pertama.

LIHAT

Lihat wang kertas dengan menghadapkannya ke arah cahaya putih:

  • Potret tera air tiga dimensi, corak pandang telus yang sempurna dan tetingkap lutsinar akan kelihatan.

  • Benang keselamatan berwarna gelap akan kelihatan.

CONDONG

Pegang wang kertas dalam keadaan tegak dan condongkannya:

  • Perhatikan perubahan imej dan warna pada benang keselamatan dan tampalan berwarna yang berkilat.

PERIKSA

Periksa wang kertas menggunakan peralatan mudah:

  • Peranti cahaya Ultraungu – bahan wang kertas tidak akan memancarkan cahaya, kecuali pada ciri keselamatan tertentu.

  • Kanta pembesar – tulisan mikro dapat dilihat dengan jelas.


Wang kertas palsu ialah penghasilan semula wang kertas tulen menggunakan bahan berkualiti rendah supaya kelihatan seperti wang kertas tulen dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai.

Wang kertas palsu tidak mempunyai nilai, namun mungkin masih digunakan tanpa disedari bahawa wang tersebut adalah palsu. Oleh sebab itu, sentiasa periksa wang kertas yang diterima bagi melindungi diri anda.

Cara mengendalikan mata wang yang disyaki palsu

Mata wang yang disyaki palsu hendaklah dilaporkan dengan segera kepada balai polis yang berhampiran.

Sila rujuk halaman 18-19 dalam Garis Panduan Mengenai Kualiti Mata Wang dan Pengendalian Mata Wang Disyaki Palsu.



Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?