Pernyataan Jawatankuasa Pasaran Kewangan mengenai Pasaran Pertukaran Asing Ringgit

27 Jun 2023

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) hari ini telah mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkembangan terkini pasaran kewangan yang mempengaruhi kadar pertukaran ringgit.

Persekitaran luaran terus menjadi pendorong utama prestasi ringgit, khususnya perkembangan jangkaan pasaran tentang kadar faedah terminal yang lebih tinggi di kebanyakan ekonomi utama. Hal ini seterusnya meningkatkan risiko kemungkinan kelembapan yang ketara dalam ekonomi global. Pada masa yang sama, People’s Bank of China (PBOC) telah menurunkan kadar faedah berikutan ekonomi China selepas COVID-19 menunjukkan tanda-tanda momentum pemulihan yang semakin perlahan. Ringgit, bersama-sama dengan mata wang serantau lain, telah terjejas akibat perkembangan ini.

Berlatarkan keadaan kekukuhan dolar AS, FMC melihat bahawa tahap penurunan nilai ringgit baru-baru ini tidak mencerminkan asas ekonomi Malaysia. FMC berpendapat bahawa pergerakan kadar pertukaran ringgit baru-baru ini adalah berlebihan berdasarkan faktor-faktor yang berikut:

i. Selepas mencatatkan salah satu kadar pertumbuhan KDNK yang tertinggi di dunia pada tahun 2022 iaitu 8.7%, momentum pertumbuhan Malaysia dijangka terus meningkat pada tahun 2023 meskipun pada tahap yang lebih sederhana, disokong oleh aktiviti pelaburan dalam negeri yang berterusan, keadaan pasaran pekerja yang semakin baik dan aktiviti pelaburan yang lebih tinggi. Struktur ekonomi Malaysia yang meluas dan pelbagai akan mengurangkan kesan pertumbuhan global yang semakin perlahan.

ii. Meskipun hubung kait yang kukuh antara ringgit dengan renminbi dapat dijelaskan oleh hubungan dagangan yang erat antara Malaysia dengan China, adalah penting untuk menggariskan bahawa sektor luaran Malaysia kekal pelbagai dari segi segmen produk serta dari segi rakan dagangan. Pada pemerhatian FMC, hubungan ini boleh mengurangkan pergerakan bersama antara ringgit dan renminbi yang rapat.

iii. FMC menyatakan bahawa meskipun volatiliti ringgit telah meningkat sejajar dengan mata wang serantau, tahap peningkatannya adalah lebih tidak seimbang serta tidak sepadan dengan pergerakan relatif volatiliti yang pernah dicatatkan. Walaupun begitu, pasaran kewangan dalam negeri kekal berada pada tahap yang kukuh. Volatiliti pertukaran asing ringgit kekal pada tahap yang paling rendah dalam kalangan negara serantau. Hal ini disokong oleh peningkatan yang kukuh dalam jumlah hasil jualan pertukaran asing harian sejak beberapa tahun lalu, dengan purata USD15.1 bilion pada tahun ini.

iv. Untuk pasaran bon, pemegang bon MGS bukan pemastautin terus hampir dengan angka purata jangka masa panjang iaitu 23.5%. Yang penting, MGS terus menawarkan kadar hasil benar yang positif dan ahli-ahli FMC ambil maklum tentang minat yang berterusan dalam kalangan pelabur asing terhadap pasaran bon Malaysia.

Pada masa hadapan, sebagai tambahan kepada asas ekonomi Malaysia yang kukuh, FMC berpendapat bahawa penjelasan lanjut mengenai kadar terminal Federal Reserve AS serta kemungkinan tanda-tanda positif berikutan langkah-langkah rangsangan daripada China mungkin memberikan sokongan kepada ringgit dan mata wang Asia secara amnya. Unjuran terkini oleh penganalisis dan pakar ekonomi terus menunjukkan pemulihan menyeluruh berbanding dolar AS menjelang akhir tahun (Jadual 1).

Ahli-ahli FMC juga membincangkan pemerhatian bahawa syarikat korporat dan pengeksport telah mengekalkan lebih banyak hasil dalam mata wang asing, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan baki akaun mata wang asing yang berkemungkinan menyebabkan ketidakseimbangan dalam aliran pasaran. Bagi menguruskan risiko pertukaran asing, syarikat korporat dan pengeksport digalakkan untuk memanfaatkan kadar pertukaran yang menarik dalam pengurusan imbangan mata wang asing mereka.

Sebelum mengakhiri mesyuarat, Pengerusi FMC dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani berkata:

“Meskipun ringgit terus dipengaruhi oleh perkembangan global, unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berada pada julat 4.0% - 5.0% serta pembaharuan struktur dan usaha penggabungan fiskal oleh Kerajaan adalah faktor-faktor penyokong bagi ringgit,”

“Mengikut mandat, BNM akan campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan. Walaupun nilai ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran, BNM menjangka langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk terus mengukuhkan ekonomi akan membantu memastikan ringgit mencerminkan asas negara dengan lebih baik,” tambah beliau.

Presiden Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (Financial Markets Association of Malaysia, FMAM), Chu Kok Wei berkata, “Pasaran kewangan di Malaysia terus beroperasi secara teratur dan kekal kondusif bagi melaksanakan keperluan pelanggan kami. Kami mengalu-alukan panduan BNM mengenai ringgit dan perkembangan pasaran terkini. Kami akan terus menyokong usaha BNM untuk pasaran dalam negeri.”

Jadual 1

Unjuran institusi perbankan S3 23 S4 23
JPMorgan Chase 4.65 4.68
Australia & New Zealand Banking Group 4.50 4.40
Nomura Bank 4.60 4.50
Standard Chartered 4.30 4.40
BNP Paribas 4.57 4.48
MUFG 4.40 4.30
RBC Capital Markets 4.70 4.68
United Overseas Bank 4.68 4.60
Mizuho Bank 4.68 4.43
OCBC 4.52 4.50
Median 4.60 4.50
Purata 4.56 4.50

Sumber: Bloomberg

 

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC)

FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.

 


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?