Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Inisiatif untuk Membangunkan Pasaran Kewangan Tempatan

02 Dis 2016

Sebagai sebahagian daripada strategi untuk memperluas dan memperdalam pasaran kewangan Malaysia, Jawatankuasa Pasaran Kewangan, dengan kerjasama Bank Negara Malaysia, ingin mengumumkan beberapa langkah yang bertujuan meningkatkan mudah tunai pasaran pertukaran asing mulai 5 Disember 2016:

Liberalisasi dan penyahkawalseliaan pasaran perlindungan nilai dalam denominasi ringgit di dalam negeri

  • Bagi memberikan lebih fleksibiliti kepada peserta pasaran untuk menguruskan risiko pertukaran asing, pemastautin (termasuk pengurus dana pemastautin) boleh melindung nilai (hedge) dedahan USD and CNH mereka dengan bebas dan secara aktif sehingga RM6 juta bagi setiap pelanggan setiap bank. Mereka hanya perlu mengisytihar sekali sahaja bahawa mereka tidak terlibat dengan aktiviti spekulatif.
  • Pengurus dana pemastautin dan bukan pemastautin kini boleh menguruskan dedahan pertukaran asing mereka secara aktif sehingga 25% daripada aset yang dilaburkan. Walau bagaimanapun, mereka perlu berdaftar dengan Bank Negara Malaysia untuk layak menyertainya.
  • Bagi memperluas akses kepada pelabur dan syarikat asing kepada pasaran pertukaran asing di dalam negeri, institusi kewangan bukan pemastautin luar pesisir boleh menyertai rangka kerja Appointed Overseas Office[1] (AOO) yang akan memberikan fleksibiliti tambahan terhadap urus niaga ringgit. Fleksibiliti ini termasuk perlindungan nilai pertukaran asing (akaun sendiri/ bagi pihak pelanggan) untuk akaun semasa dan kewangan berdasarkan komitmen, pembukaan akaun ringgit (simpan kira) dan pemberian pembiayaan perdagangan dalam denominasi ringgit.

Menyelaraskan pengolahan (treatment) pelaburan dalam aset mata wang asing
Pemastautin dengan pinjaman ringgit domestik bebas untuk melabur dalam aset mata wang asing di dalam dan luar negeri sehingga RM50 juta. Pemastautin yang tidak mempunyai pinjaman ringgit domestik akan terus mendapat  manfaat daripada fleksibiliti melabur dalam aset mata wang asing di dalam dan luar negeri tanpa had.

Ini memberikan pengolahan yang saksama kepada pemastautin yang mempunyai pinjaman ringgit untuk melabur dalam aset mata wang asing sama ada dalam pasaran dalam negeri atau luar pesisir.

Insentif dan pengolahan hasil perolehan eksport
Pengeksport boleh menyimpan sehingga 25% daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing. Mereka boleh mempunyai baki yang lebih tinggi, dengan kelulusan Bank Negara Malaysia, untuk memenuhi obligasi mereka dalam mata wang asing. Pembayaran oleh pengeksport pemastautin untuk penyelesaian perdagangan dalam negeri bagi barangan dan perkhidmatan kini perlu dibuat sepenuhnya dalam ringgit. Semua hasil perolehan dalam ringgit daripada eksport boleh mendapat kadar pulangan yang lebih tinggi melalui kemudahan deposit khas. Kemudahan deposit khas bagi hasil perolehan dalam ringgit akan ditawarkan kepada pengeksport melalui semua bank perdagangan dengan kadar 3.25% setahun. Kemudahan ini akan ditawarkan sehingga 31 Disember 2017 dengan pelanjutan tertakluk kepada kajian semula.

Mata wang asing yang diperoleh daripada penukaran hasil perolehan eksport akan digunakan untuk memastikan mudah tunai mata wang asing dalam pasaran dalam negeri adalah berterusan.

Tambahan kepada langkah-langkah perlindungan nilai baharu ini, pengeksport juga boleh mempunyai perlindungan nilai dan tanpa perlindungan nilai sehingga 6 bulan daripada obligasi mata wang asing mereka.  

Langkah-langkah ini bertujuan untuk menggalakkan pasaran pertukaran asing dalam negeri yang lebih mendalam, lebih telus dan berfungsi dengan baik, serta pelabur sebenar dan peserta pasaran boleh menguruskan risiko pasaran dengan berkesan dan mempunyai lebih fleksibiliti untuk melindung nilai dalam pasaran dalam negeri. Pasaran pertukaran asing dalam negeri yang mendalam dan cair akan membolehkan pelabur menguruskan pergerakan mata wang yang tidak menentu dengan lebih baik.

Langkah-langkah di atas merupakan sebahagian daripada siri inisiatif pembangunan pasaran oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan. Matlamatnya adalah untuk mempunyai pasaran pertukaran asing yang mendalam, cair dan sangat membangun yang setara dengan pertumbuhan ekonomi dan keperluan pengguna yang semakin canggih.

Bagi memudahkan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi 03-2698 6089, 03-2692 8736, 03-2691 6473, 03-2691 3164 atau 03-2693 0772  (Isnin hingga Jumaat daripada 9.00 pagi hinggi 5.00 petang, tidak termasuk cuti am) atau e-mel kepada [email protected] mulai 3 Disember 2016.

 

Jawatankuasa Pasaran Kewangan
2 Disember 2016

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan keangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut:  Pautan

 

Bank tempatan

Pada masa ini terdapat 58 bank tempatan yang terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam, bank-bank Islam Antarabangsa dan bank-bank pelaburan yang diperbadankan di Malaysia. Senarai bank tempatan boleh didapati di: List of Onshore Banks in Malaysia

 


[1] Appointed Overseas Office merujuk kepada syarikat induk luar negeri yang dilantik, syarikat subsidiari,  syarikat keluarga (sister company), ibu pejabat atau cawangan kumpulan perbankan bank tempatan yang berlesen, kecuali bank Islam antarabangsa yang berlesen.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?