Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Maklumat Terkini Pasaran Kewangan

28 Dis 2016

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) ingin memberikan maklumat terkini susulan laporan sebelum ini pada 9 Disember 2016. Mudah tunai dalam pasaran pertukaran asing (FX) tempatan terus mencatat jumlah purata harian kira-kira USD9 bilion bagi semua transaksi FX menjelang akhir tahun 2016 berbanding dengan purata USD8 bilion dari bulan Januari hingga bulan November 2016. Gangguan daripada pasaran kontrak hadapan tanpa serahan (non-deliverable forward, NDF) juga telah reda. Dalam keadaan USD yang semakin kukuh dan persekitaran yang terus tidak pasti, pergerakan intra hari (intraday) ringgit berpurata pada 90 mata berbanding dengan 228 mata pada bulan November dan paras tertinggi pada 600 mata (diukur melalui perbezaan antara kadar pertukaran yang tertinggi dengan yang terendah dalam pasaran antara bank pada hari itu). Aliran FX terdiri daripada penawaran dan permintaan semua peserta utama, termasuk pengeksport/ pengimport, berkaitan portfolio dan pelaburan langsung. Memandangkan permintaan dan penawaran USD/MYR dijajarkan semula, pasaran FX tempatan akan lebih stabil dan akan membawa kepada kos perlindungan nilai yang lebih baik dan memudahkan perniagaan mengurus risiko FX mereka.

Pasaran telah memberikan tindak balas yang positif terhadap rangka kerja perlindungan nilai pengurus dana yang membenarkan pengurus dana mengurus secara aktif sehingga 25% daripada portfolio yang mereka laburkan. Setakat ini, 10 pengurus dana, yang terdiri daripada pemastautin dan bukan pemastautin, telah mendaftar dengan Bank Negara Malaysia dengan jumlah aset di bawah pengurusan yang layak di bawah rangka kerja ini sebanyak RM41.8 bilion. Pengurus dana telah mula menggunakan fleksibiliti ini. Dalam pasaran bon sekunder, aliran dua hala terus dicatat daripada pelabur pemastautin dan bukan pemastautin dengan spread tawar-bida purata sebanyak 3 mata asas bagi tanda aras sekuriti. Aktiviti dagangan kekal kukuh dengan jumlah dagangan harian purata sebanyak RM4.5 bilion dan jumlah month-to-date sebanyak RM52.8 bilion.

Syarikat pemastautin mencatat lebihan aliran masuk perdagangan bersih di bawah barangan sebanyak RM2 bilion pada bulan Disember 2016 berbanding dengan aliran keluar bersih terkumpul di bawah barangan dari bulan Januari hingga bulan November 2016. Tambahan kepada pengekalan 25% daripada hasil perolehan eksport dalam mata wang asing, pengeksport dibenarkan untuk menukar semula hasil perolehan bagi memenuhi unjuran pinjaman dan obligasi import mereka sehingga enam bulan. Data bulan Disember menunjukkan kira-kira 57% daripada hasil perolehan telah ditukar semula bagi tujuan ini. Baki hasil perolehan dalam ringgit akan mendapat pulangan sebanyak 3.25%.

Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia ingin mengulang sekali lagi komitmen untuk menggalakkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan akan terus berkerjasama dengan peserta pasaran untuk menentukan haluan pada masa hadapan.


Jawatankuasa Pasaran Kewangan
28 Disember 2016

 

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan keangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut: Pautan


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?