Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Maklumat Terkini Pasaran Kewangan
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) ingin memberikan maklumat pasaran terkini susulan langkah-langkah yang dumumkan pada 2 Disember 2016. Meskipun masih terlalu awal untuk mengukur manfaat daripada inisiatif ini, reaksi pasaran adalah menggalakkan. Pada bulan Disember 2016, pergerakan intra hari (intraday) purata bagi kadar pertukaran ringgit menurun kepada 68 mata, iaitu perbezaan kadar pertukaran disebut tertinggi dengan kadar terendah dalam pasaran antara bank, berbanding 228 mata pada bulan November. Jumlah purata harian bagi kadar pertukaran asing (FX) pasaran tempatan yang dicatat ialah USD8.3 bilion bagi semua transaksi FX memandangkan pasaran membuat penyelarasan terhadap persekitaran baharu. Aktiviti dalam pasaran bon juga menggalakkan dengan jumlah purata harian pada RM4.5 bilion. Tanda aras sekuriti Kerajaan meningkat dengan pantas sebanyak 17–29 mata asas daripada paras pada 1 Disember 2016. Satu lelongan MGII 20 tahun yang diadakan pada minggu itu mendapat sambutan yang menggalakkan dengan nisbah bidaan kepada perlindungan pada 3.75 kali berikutan minat mendalam institusi kewangan dan syarikat insurans.
Bagi rangka kerja perlindungan nilai pengurus dana pula, yang boleh diurus secara aktif oleh pengurus dana domestik dan asing sehingga 25% daripada portfolio yang dilaburkan, sebilangan pengurus dana telah menghubungi BNM untuk menghantar empat pendaftaran awal.
FMC, bersama-sama BNM, kini sedang mengadakan sesi perbincangan dan interaksi dengan pihak-pihak tertentu bagi mendapatkan maklum balas, manakala pengaturan sedang dibuat untuk terus menangani isu-isu berkaitan pelaksanaan. FMC akan terus memantau perkembangan pasaran kewangan dan meneruskan sesi perbincangan dan interaksi bagi memastikan perkembangan pasaran di negara ini akan mewujudkan persekitaran kewangan yang lebih baik dan kondusif buat semua.
Jawatankuasa Pasaran Kewangan
9 Disember 2016
Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan keangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan. Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah Encik Adnan Zaylani, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.
Matlamat Jawatankuasa Pasaran Kewangan adalah untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usaha mengkaji semula dan merumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan, sila rujuk pautan berikut:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.