Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan: Memperkukuh Infrastruktur Pasaran Kewangan

21 Mei 2018

Sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempertingkatkan ketelusan, kejelasan dan kekukuhan pengawasan, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan operasi akaun sekuriti yang diasingkan dalam sistem pembayaran bernilai tinggi, Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata atau RENTAS, yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet). Ini merupakan sebahagian daripada langkah berterusan untuk terus memajukan pasaran bon Malaysia yang diumumkan dalam siri kedua inisiatif FMC dan BNM pada 13 April 2017.

Dengan adanya infrastruktur sistem yang sesuai, pelabur akan mempunyai akses yang lebih luas kepada maklumat pasaran bon Malaysia. Ini boleh memudahkan mereka untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi serta mengurus risiko dengan lebih baik. Maklumat seperti jenis pelabur dan aliran keluar masuk dalam pasaran bon kerajaan bagi pelabur bukan pemastautin dan pelabur pemastautin boleh didapati melalui laman sesawang Bond Info Hub secara lebih kerap dan tepat pada masanya. Melalui pelaksanaan berasaskan sistem, operasi akan menjadi lebih cekap dan beban pelaporan bagi pelabur lebih ringan, sekali gus mengurangkan kos untuk melabur di pasaran bon Malaysia.

Akaun sekuriti yang diasingkan RENTAS akan beroperasi dalam dua fasa. Fasa I akan bermula pada 21 Mei 2018, manakala pematuhan sepenuhnya adalah dalam Fasa II pada 30 September 2018. Ini bagi membolehkan peralihan yang lancar kepada peraturan akaun yang diasingkan. Selepas 30 September 2018, semua transaksi yang melibatkan sekuriti hutang RENTAS akan hanya dilaksanakan melalui akaun sekuriti yang diasingkan. Memandangkan pasaran bon tempatan yang mendalam dan meluas, mudah tunai adalah mencukupi untuk terus memudahkan penyelesaian bon ringgit dalam negeri.

Bagi membantu peralihan pelabur kepada peraturan akaun sekuriti yang diasingkan, pelabur boleh berunding dengan semua bank kustodian tempatan dan global, termasuk International Central Securities Depository (ICSD) yang akan menyertai akaun sekuriti yang diasingkan RENTAS. Senarai bank kustodian dan ICSD adalah seperti dilampirkan. Peraturan akaun sekuriti yang diasingkan adalah khusus untuk RENTAS, yang hanya melibatkan penyelesaian bon dan tidak meliputi penyelesaian ekuiti.

Bagi pertanyaan lanjut, orang ramai boleh hubungi Unit Operasi Sekuriti (Securities Operations Unit, SOU) BNM di talian 03-2698 2116 /2094 (Isnin hingga Jumaat, 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali cuti umum) atau hantar e-mel kepada [email protected].

Lampiran: Senarai Bank Kustodian pada Fasa I - 21 Mei 2018.

Rujuk juga: Frequently Asked Questions on RENTAS Segregated Securities Account

 

Jawatankuasa Pasaran Kewangan
21 Mei 2018

 

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan

Jawatankuasa Pasaran Kewangan ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?