Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan Mengenai Langkah Penstabilan Kewangan Terkini
Berikutan turun naik yang ketara, pasaran pertukaran asing ringgit telah terdedah kepada pergerakan yang ekstrem. “Aktiviti pasaran luar pesisir baru-baru ini telah menyebabkan turun naik nilai pertukaran ringgit yang ketara dan memberikan kesan buruk yang tidak wajar kepada nilai pertukaran ringgit. Memandangkan ringgit merupakan mata wang yang tidak diniagakan pada peringkat antarabangsa, nilai pertukaran ringgit wajar ditentukan sepenuhnya oleh urus niaga pasaran kewangan di dalam negeri. Nilai pertukaran ringgit harus didorong hanya oleh asas-asas ekonomi dan aktiviti perdagangan dan pelaburan yang sebenar di Malaysia,” kata Penolong Gabenor, Adnan Zaylani.
Bank Negara Malaysia sedang mengambil langkah untuk memastikan pasaran tidak menentukan nilai pertukaran ringgit secara berlebihan dan terkeluar daripada kebiasaan, serta pada masa yang sama menyediakan mudah tunai yang diperlukan dalam pasaran pertukaran asing. Bank Negara Malaysia, melalui Jawatankuasa Pasaran Kewangan, juga sentiasa berbincang dan berhubung dengan semua peserta pasaran untuk mengemas kini dan memantau keadaan pasaran.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pasaran Kewangan ingin menegaskan kepada peserta pasaran bahawa pasaran kewangan Malaysia adalah terbuka kepada semua peserta pasaran bagi memudahkan urus niaga pasaran kewangan masing-masing dan aliran modal berikutan aktiviti sektor ekonomi benar, perdagangan dan pelaburan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.