Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan tentang Pasaran Kewangan Domestik
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) telah bermesyuarat pada hari Isnin (28 April 2025) untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran kewangan domestik.
Pasaran kewangan global telah mengalami volatiliti yang ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya susulan pengumuman oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2 April mengenai pengenaan tarif yang meluas ke atas rakan dagangan negara itu. Perkembangan ini telah mendorong perniagaan dan pelabur untuk mengambil sikap lebih berhati-hati, lantas mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap haluan dasar perdagangan global. Cboe Volatility Index (VIX) meningkat kepada paras tinggi sebanyak 52.3, manakala S&P 500 dan MSCI World Index mencatatkan penurunan awal masing-masing sebanyak 12.1% dan 11.3%. Dolar AS juga diniagakan lebih rendah dengan penurunan sebanyak 8.3% dalam US Dollar Index (DXY) sejak awal tahun sehingga kini. Sentimen pasaran sejak tempoh itu telah menunjukkan tanda pemulihan, disokong oleh penangguhan sementara tarif yang melebihi 10% selama 90 hari mulai 9 April. Walau bagaimanapun, prospek kekal tidak menentu dan tertakluk pada hasil rundingan perdagangan yang sedang berlangsung.
FMC menyatakan bahawa pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan dan terus menjadi pengantara dengan berkesan:
-
Ringgit telah meningkat sebanyak 2.3% sejak awal tahun sehingga kini berbanding dolar AS bersama kebanyakan mata wang serantau, didorong terutamanya oleh kelemahan dolar secara meluas.
-
Pasaran saham domestik (FBM KLCI) pada awalnya mencatatkan penurunan sebanyak 8.2% berikutan pengumuman tarif, mengikut penurunan dalam ekuiti global. Walau bagaimanapun, kerugian telah berkurang sejurus selepas tarif ditangguhkan kepada hampir 1.1% lebih rendah pada 25 April (berbanding 2 April).
-
Mudah tunai pasaran pertukaran asing domestik kekal tinggi dengan purata perolehan harian sebanyak USD18.8 bilion sejak awal tahun sehingga kini dan pertumbuhan tahunan yang kukuh sebanyak 6.8%. Hal ini membolehkan syarikat korporat dalam negeri memenuhi keperluan pertukaran asing mereka. FMC juga mendapati bahawa minat untuk menggunakan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan rentas sempadan dan transaksi pelaburan semakin meningkat.
-
Pasaran bon domestik terus menarik permintaan yang kukuh dengan nisbah bida kepada tawaran (bid-to-cover, BTC) lelongan bon kerajaan berpurata pada 3.01 sejak awal tahunsehingga kini (2024: 2.56). Mudah tunai dalam pasaran sekunder bertambah baik dengan jumlah dagangan harian purata sebanyak RM7.3 bilion pada tahun 2025 (2024: RM4.6 bilion) dan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM15.5 bilion. FMC juga mengambil maklum bahawa permintaan domestik yang kukuh terhadap bon korporat telah mengurangkan spread hasil, lantas menyediakan saluran untuk aktiviti pengumpulan dana korporat pada kos yang berpatutan.
Dari segi pembangunan pasaran, FMC berpandangan positif terhadap pertumbuhan pasaran kewangan Islam di Malaysia, terutamanya pembangunan pasaran sukuk yang pelbagai dan memberangsangkan. Yang ketara, kepentingan pasaran Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Investment Issue, MGII) telah berkembang sejak beberapa tahun lalu dan kini setanding dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) konvensional dari segi saiz dan mudah tunai. MGII kini mencakupi 48% daripada bon kerajaan terkumpul dan 47% daripada jumlah dagangan bon kerajaan pada tahun 2025. Pengembangan ini seiring dengan peningkatan kesedaran dan penerimaan sukuk sebagai kelas aset oleh komuniti pelaburan global. Sehubungan dengan itu, MGII telah dimasukkan dalam kebanyakan indeks bon global utama, termasuk Bloomberg Global Aggregate Index dan J.P. Morgan Government Bond Index – Emerging Markets.
FMC mengalu-alukan usaha berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menerajui kemajuan MGII selanjutnya, dengan memberikan tumpuan pada inisiatif untuk meningkatkan akses, mudah tunai dan kebolehlihatan (visibility) MGII. Inisiatif ini akan termasuk kajian semula rangka kerja lindung nilai dinamik untuk memudahkan lindung nilai oleh penjejak indeks serta menyokong penghasilan pasaran (market-making) oleh institusi kewangan domestik melalui peningkatan ketersediaan repo.
Pengerusi FMC dan Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani menyimpulkan, “Pasaran kewangan Malaysia kekal teratur meskipun terdapat tekanan luaran yang tidak menentu. Keadaan ini membolehkan kami menumpukan usaha pada inisiatif pembangunan yang akan menambah baik lagi pengalaman pelabur dalam pasaran kami. Walau bagaimanapun, kami tetap berwaspada berikutan situasi tarif yang berubah-ubah dengan pantas.”
Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC)
FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.
.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.