Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan tentang Pasaran Pertukaran Asing Ringgit

20 Nov 2024

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) telah bermesyuarat pada hari Isnin (18 November 2024) untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit.

FMC terus memantau keadaan pasaran kewangan domestik berikutan perkembangan utama global, khususnya keputusan pilihan raya AS dan kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi China. Ketidakpastian susulan perkembangan ini telah meningkatkan volatiliti dalam pasaran pertukaran asing global dan serantau, termasuk ringgit. Sejak awal bulan Oktober, nilai ringgit telah menurun kepada 4.4792 berbanding dengan nilai sebelum ini, didorong terutamanya oleh pelarasan portfolio bukan pemastautin melalui aktiviti lindung nilai (hedging) terhadap dolar yang secara amnya kukuh.

FMC menyatakan bahawa ringgit terus mengatasi prestasi mata wang serantau yang lain dan mengekalkan prestasi positif berbanding dolar AS untuk tahun ini. Pemerhatian utama yang menyokong prestasi positif ringgit termasuk:

  1. Keyakinan pelabur terhadap daya tahan pasaran kewangan domestik kekal kukuh, seperti yang ditunjukkan oleh aliran masuk bukan pemastautin sebanyak
    USD1 bilion dalam pasaran bon dan USD200 juta dalam pasaran ekuiti pada tahun ini.
  2. Pelabur dan syarikat korporat pemastautin terus menjalankan penukaran hasil eksport, pendapatan dan lebihan mata wang asing, selaras dengan keperluan operasi dan pelaburan.
  3. Walaupun terdapat peningkatan volatiliti, purata volatiliti tersirat 1 bulan bagi ringgit sejak awal tahun sehingga kini terus terkawal pada 4.5% (2023: 5.3%), berbanding dengan purata serantau sebanyak 6.0%.
  4. Pasaran pertukaran asing kekal teratur, dengan mudah tunai yang mencukupi dan jumlah purata dagangan harian yang utuh sebanyak USD 17.6 bilion.

FMC mengalu-alukan usaha terselaras yang berterusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten oleh syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment companies, GLIC), serta libat urus yang lebih giat dengan syarikat korporat dan perniagaan Malaysia. Selain itu, BNM telah mengembangkan program Qualified Resident Investor (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negara selepas membawa balik dana asing. Langkah-langkah ini menyokong aliran masuk yang berterusan dan mudah tunai pasaran domestik. FMC juga mengalu-alukan liberalisasi dasar pertukaran asing (foreign exchange policy, FEP) untuk Bank Pembangunan Pelbagai Hala (Multilateral Development Banks, MDB) dan institusi kewangan pembangunan (IKP) bukan pemastautin bagi menyokong pelaburan di Malaysia.

FMC berpandangan bahawa asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia yang kukuh menyediakan penampan terhadap kejutan luaran. Oleh itu, BNM bersedia untuk menguruskan volatiliti pasaran dan memastikan fungsi pasaran yang teratur.

 

Mengenai Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC)
FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.

 


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?