Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) telah bermesyuarat pada hari Selasa (10 Mac 2026) untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran kewangan.
Sejak mesyuarat FMC terakhir pada Oktober 2025, ringgit berada dalam kalangan mata wang serantau yang menunjukkan prestasi terbaik berbanding dolar AS. Kedudukan ini didorong oleh portfolio yang kukuh dan aliran masuk pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI) berikutan prestasi ekonomi dalam negeri yang utuh dan faktor sokongan lain seperti komitmen berterusan Kerajaan terhadap konsolidasi fiskal. Sehubungan dengan itu, sentimen pelabur yang positif dan kekukuhan ringgit dijangka berterusan pada tahun 2026.
FMC mengambil maklum perkembangan dalam pasaran kewangan global, khususnya konflik yang kini semakin meruncing di Timur Tengah. Walaupun ketidaktentuan telah meningkat susulan perkembangan berhubung dengan tarif dan tempoh serta keseriusan konflik, pasaran kewangan domestik kekal agak berdaya tahan dalam menghadapi volatiliti global, dengan pasaran tempatan mencatatkan pergerakan yang berikut sejak akhir bulan Februari:
-
Ringgit menurun nilai sebanyak 1.8% berbanding dolar AS, didorong oleh pengukuhan dolar AS secara menyeluruh berikutan permintaan terhadap aset selamat. Walau bagaimanapun, sejak awal tahun hingga 9 Mac (year-to-date, YTD), prestasi ringgit kekal positif dengan penambahan nilai sebanyak 2.5%.
-
Kadar hasil penanda aras MGS 10 tahun meningkat 11 mata asas. Kadar ini selaras dengan peningkatan kadar hasil bon global, namun kekal hampir dengan paras terendah yang pernah dicatatkan.
-
FBM KLCI kekal stabil dengan penurunan sebanyak 2.5%, mencerminkan daya tahan pasaran ekuiti domestik.
Pasaran pertukaran asing (foreign exchange, FX) tempatan terus mencatatkan purata jumlah dagangan harian yang kukuh sebanyak USD21.4 bilion YTD (purata 2025: USD19.8 bilion). Sementara itu, permintaan terhadap bon kerajaan kekal mantap dengan kadar hasil MGS yang kukuh, disokong oleh permintaan pelabur domestik dan bukan pemastautin. Hal ini dicerminkan melalui nisbah bida kepada perlindungan (bid-to-cover, BTC) yang kukuh sebanyak 2.7 kali dalam tiga lelongan bon kerajaan yang terkini (purata YTD 2026: 2.3 kali). Pemegangan sekuriti kerajaan Malaysia oleh bukan pemastautin telah meningkat sebanyak RM920 juta YTD dan kekal stabil pada 21.2%. Secara YTD, pasaran ekuiti domestik juga telah mencatatkan aliran masuk RM1.5 bilion daripada bukan pemastautin.
Secara keseluruhannya, ahli FMC memerhatikan bahawa pasaran Malaysia menunjukkan daya tahan dalam persekitaran tempoh ketidaktentuan global ini namun tetap berwaspada terhadap risiko konflik yang berlarutan. Khususnya, aliran masuk dicatatkan daripada pengeksport serta FDI yang seterusnya mengimbangi aliran keluar daripada pengimport domestik. Dalam mesyuarat tersebut, BNM menyatakan akan terus memantau perkembangan pasaran kewangan dengan teliti dan mengesahkan semula komitmennya dalam memastikan keadaan pasaran yang teratur.
FMC mengalu-alukan komitmen BNM dan menyatakan bahawa usaha terkini, termasuk program Qualified Resident Investor (QRI) dan libat urus dengan syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment companies, GLIC) serta syarikat korporat sedang diteruskan. Hal ini dijangka menyokong aliran dua hala yang konsisten dan kukuh ke dalam pasaran. Seiring dengan sentimen positif yang dijana daripada prospek pertumbuhan Malaysia yang menggalakkan dan usaha pembaharuan struktur, usaha ini akan memberikan sokongan yang berterusan untuk pasaran kewangan domestik.
Lihat juga: Ringkasan Mesyuarat FMC 10/3/2026
Mengenai FMC
FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat korporat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.