Ringkasan Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan 1/2026
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan
10 Mac 2026
Bank Negara Malaysia
Ringkasan
Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) membincangkan perkembangan terkini pasaran kewangan, termasuk implikasi daripada konflik Timur Tengah dan penambahbaikan dalam aliran perdagangan perkhidmatan Malaysia, serta inisiatif pembangunan pasaran domestik termasuk kemajuan daripada Peralihan KLIBOR kepada MYOR/MYOR-i dan usaha untuk meningkatkan amalan lindung nilai pertukaran asing (FX) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
1. Kemas kini Keahlian dan Perkara Berbangkit
1.1 FMC merakamkan penghargaan kepada ahli FMC Puan Tai Mei Ling dan pengerusi bersama Islamic Financial Market Subcommittee (IFMC) Encik Hanif Ghulam. FMC turut meluluskan Encik Shahrul Amry Abdul Malek (Pengarah Pembangunan Pasaran Suruhanjaya Sekuriti) dan Puan Suzaizi Mohd Morshid (Bendahari Kumpulan Kumpulan RHB) masing-masing sebagai ahli baharu FMC dan pengerusi bersama IFMC.
1.2 Mengenai perkara berbangkit, mesyuarat dimaklumkan mengenai libat urus BNM dengan bendahari bank pada bulan November 2025 yang membincangkan tentang penyelesaian untuk menangani persaingan deposit korporat. BNM menjelaskan bahawa fleksibiliti untuk Nisbah Perlindungan Mudah Tunai (Liquidity Coverage Ratio, LCR) berada di bawah 100% buat sementara waktu dalam keadaan tertentu, contohnya mengurangkan penetapan harga deposit yang tidak mampan, yang tertakluk pada pelan pemulihan yang sesuai.
1.3 Mesyuarat turut mengambil maklum secara positif tentang usaha untuk meningkatkan keterlihatan dan penerimaan bon kerajaan Malaysia, termasuk inisiatif jangkauan untuk meningkatkan kefahaman pelabur Jepun terhadap sukuk kerajaan Malaysia serta pengenalan keluk kadar hasil sukuk kerajaan Malaysia dan kalendar lelongan bon kerajaan di Bloomberg.
2. Perkembangan pasaran kewangan
2.1 Sejak mesyuarat FMC terakhir yang diadakan pada bulan Oktober, prestasi ringgit berbanding dolar AS berada pada kedudukan teratas dalam kalangan mata wang serantau, didorong oleh asas ekonomi dalam negeri yang kukuh termasuk pertumbuhan KDNK 2025 yang kukuh serta pertumbuhan eksport bulan Januari yang masing-masing sebanyak 5.2% dan 19.6% secara tahunan. Sentimen pelabur juga disokong oleh komitmen berterusan Kerajaan terhadap penyatuan fiskal yang mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.7% daripada KDNK pada tahun 2025.
2.2 Sehubungan dengan itu, aliran portfolio asing telah menunjukkan peningkatan sejak bulan Oktober 2025, khususnya dalam pasaran saham Malaysia apabila aliran masuk asing dicatatkan pada bulan Januari 2026 susulan aliran keluar bulanan yang berturut-turut. Aliran pelaburan yang teratur telah disokong oleh mudah tunai pasaran FX dalam pesisir yang lebih daripada mencukupi, yang mencatatkan purata jumlah perdagangan harian yang lebih tinggi sebanyak USD 21.4 bilion (dari awal tahun hingga 9 Mac) pada tahun 2026 berbanding USD19.8 bilion pada tahun 2025.
2.3 Keadaan pasaran wang domestik kekal stabil dengan kadar antara bank semalaman (overnight interbank rate) purata didagangkan hampir dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR), manakala tekanan akhir tahun ke atas KLIBOR jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan peningkatan hanya 6 mata asas pada suku keempat tahun 2025. Hal ini susulan kerjasama BNM dengan industri perbankan untuk menangani persaingan deposit bermusim.
2.4 Pasaran bon domestik juga kekal kukuh dengan kadar hasil MGS 10 tahun didagangkan dalam julat yang sempit iaitu sekitar 3.50% walaupun terdapat turun naik yang lebih besar dalam pasaran serantau. Spread UST-MGS 10 tahun pula kekal agak stabil sekitar 50 mata asas. Sebaliknya, penetapan semula harga jangkaan kadar faedah yang lebih pantas dalam pasaran swap kadar faedah telah mengembalikan spread pertukaran bon ke paras positif yang dicatatkan sebelum COVID.
2.5 Berhubung dengan konflik di Timur Tengah, ahli FMC mengambil maklum bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang secara relatif baik untuk menghadapi cabaran ini berikutan kedudukannya sebagai pengeksport tenaga bersih dan reputasinya sebagai negara yang stabil semasa tempoh ketidaktentuan. Walau bagaimanapun, ahli FMC juga mengakui terdapat risiko terhadap prospek ekonomi, termasuk kesan konflik yang berpanjangan ke atas ekonomi global dan pasaran kewangan, serta risiko penularan daripada tekanan pasaran kredit swasta dalam pasaran maju di negara sedang pesat membangun seperti Malaysia.
3. Peralihan KLIBOR kepada MYOR/MYOR-i
3.1 Mesyuarat FMC meneliti dan mengesahkan kemajuan Peralihan KLIBOR kepada MYOR/MYOR-i, termasuk pencapaian dan pelan kerja Kumpulan Kerja Peralihan KLIBOR:
i) MYOR/MYOR-i dan Indeks Terkompaun telah[1] dilancarkan di Financial Markets Investor Portal (FMIP) pada bulan Januari 2026 sebagai rujukan standard untuk orang ramai mempercepatkan pendidikan pasaran mengenai penggunaan kadar semalaman terkompaun.
ii) Derivatives Working Group (DWG) telah memuktamadkan skop pengecualian untuk penggunaan baharu KLIBOR dalam derivatif bagi tujuan pengurusan risiko (selepas tarikh larangan am pada 1 Julai 2027). DWG juga turut mengkaji semula konvensyen pasaran untuk derivatif MYOR dengan kerjasama Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia dan sedang mengkaji strategi untuk membangunkan pasaran derivatif MYOR yang cair.
iii) Cash Products Working Group (CWG) telah menubuhkan kumpulan kecil khusus untuk mengagihkan dan mempercepat pembangunan konvensyen pasaran antara bank, pengaturan sandaran dan isu-isu berpotensi lain mengikut jenis produk tunai. Ahli-ahli bersetuju bahawa usaha untuk membangunkan MYOR / MYOR-i bertempoh tidak seharusnya melambatkan garis masa peralihan keseluruhan. Sehubungan dengan itu, CWG telah mengutamakan pengenalpastian penyelesaian interim yang sesuai, dengan mengakui bahawa pembangunan kadar tempoh yang patuh IOSCO kekal mencabar memandangkan pasaran derivatif MYOR/MYOR-i sedang berada pada peringkat awal.
iv) Shariah Working Group (SWG) telah mengadakan libat urus dengan Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) untuk menilai kebolehlaksanaan pembangunan pasaran untuk derivatif Islam dan membangunkan pengaturan sandaran untuk produk Islam. SWG juga akan memberikan tumpuan kepada peningkatan penggunaan Perjanjian Induk Tahawwut (TMA) dalam kalangan bank Islam untuk meningkatkan mudah tunai derivatif Islam.
v) Communications Working Group (CMWG) telah berjaya menganjurkan taklimat perbendaharaan korporat pada suku kempat tahun 2025 dan akan terus memanfaatkan pelbagai saluran komunikasi untuk meningkatkan kesedaran tentang peralihan KLIBOR.
3.2 Ahli mesyuarat mengambil maklum tentang kepentingan komunikasi yang jelas dan konsisten mengenai pelarasan spread untuk produk yang telah beralih daripada KLIBOR kepada MYOR/MYOR-i dan mencadangkan supaya bahan pendidikan standard dibangunkan untuk libat urus antara bank dengan pelanggan.
4. Perkembangan pasaran dalam sektor perkhidmatan, aktiviti perbendaharaan serantau dan produk mata wang asing tempatan
4.1 Sejak suku ketiga tahun 2025, Malaysia mula mencatatkan lebihan dagangan dalam sektor perkhidmatan, yang sebahagian besarnya disokong oleh lonjakan operasi pusat data baru-baru ini di Malaysia. Perkembangan ini selaras dengan inisiatif Kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perkhidmatan global, mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin menyerlah sebagai hab infrastruktur digital serantau dan dijangka berterusan kerana kebanyakan pusat data masih belum mencapai kapasiti operasi penuh. Dalam hal ini, bank telah memerhatikan aliran masuk perkhidmatan yang setara ke dalam pasaran FX, didorong terutamanya oleh penukaran secara spot.
4.2 Mesyuarat juga mengambil maklum tentang perkembangan aktiviti perbendaharaan dan pemusatan mudah tunai oleh syarikat multinasional (multinational corporations, MNC) selaras dengan peningkatan pelaburan langsung asing serta bidang yang telah dibincang bagi memperdalam pasaran kewangan dalam negeri dan menggalakkan aliran masuk ke negara ini.
5. Memantapkan amalan lindung nilai FX dalam kalangan PKS
5.1 Mesyuarat membincangkan amalan lindung nilai FX dalam kalangan PKS berikutan pergerakan ringgit baru-baru ini, dan ahli mesyuarat mengambil maklum akan minat yang semakin meningkat terhadap lindung nilai FX seperti yang dilihat menerusi peruntukan sumber yang lebih besar kepada operasi perbendaharaan.
5.2 Bagi meningkatkan lagi kesedaran dan pemahaman PKS tentang lindung nilai FX, ahli mesyuarat bersetuju untuk mengambil bahagian dalam inisiatif jangkauan dengan kerjasama BNM, termasuk libat urus dan bengkel di seluruh negara.
[1] MYOR terkompaun: https://financialmarkets.bnm.gov.my/data-download-myor;
MYOR-i terkompaun: https://financialmarkets.bnm.gov.my/data-download-myori;
Panduan Pengguna: https://financialmarkets.bnm.gov.my/uploads/files/Guidelines/Compounded_MYOR_MYOR-i_Calculation_Guide.pdf
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.