Pernyataan oleh Jawatankuasa Pasaran Kewangan

24 Jun 2026 Notis Umum

Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) telah bermesyuarat pada hari Selasa (23 Jun 2026) untuk membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran pertukaran asing ringgit.

Pergerakan ringgit dan mata wang serantau baru-baru ini terus didorong oleh perkembangan global. Walaupun ketidaktentuan geopolitik telah agak mereda berikutan perjanjian damai sementara yang ditandatangani oleh AS dan Iran, pasaran kewangan global kekal tertumpu kepada prospek kadar dasar yang lebih tinggi di AS dalam keadaan risiko inflasi yang meningkat.

Ahli FMC bersetuju bahawa asas makroekonomi Malaysia yang menggalakkan kekal tidak berubah, seperti yang ditunjukkan dalam penunjuk positif seperti data perdagangan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan inflasi yang stabil. Terdapat aliran keluar daripada pelabur bukan pemastautin yang dicatatkan, namun keadaan ini mencerminkan pelarasan peruntukan portfolio selepas prestasi ringgit yang kukuh pada awal tahun. Dengan tumpuan beralih kepada pilihan raya negeri yang diumumkan, pelabur bukan pemastautin dilihat mengambil pendirian neutral dalam kedudukan portfolio mereka. Oleh itu, ringgit mengalami pembetulan pasaran pada bulan Jun, lantas menurun berbanding dolar AS. Hal ini juga berikutan perkembangan pasaran global yang lain, iaitu:

  • peningkatan aktiviti lindung nilai berikutan dolar AS yang lebih kukuh kerana pasaran kini menjangkakan kadar faedah yang lebih tinggi di AS pada akhir tahun ini; dan
  • aktiviti pengimbangan semula ekuiti yang didorong oleh semakan indeks MSCI bulan Mei yang menyaksikan enam ekuiti Malaysia dikeluarkan daripada Indeks MSCI Malaysia.

Namun begitu, ahli FMC memerhatikan bahawa pasaran pertukaran asing (foreign exchange, FX) tempatan kekal baik. Purata perolehan FX harian meningkat kepada USD21.3 bilion tahun ini, berbanding USD19.8 bilion pada 2025, didorong oleh aliran dua hala yang seimbang. Aktiviti FX korporat kekal konsisten dengan jangkaan umum. Pada masa hadapan, perkembangan luaran serta faktor dalam negeri dijangka terus memacu prestasi ringgit, namun profil ekonomi Malaysia yang kukuh akan membantu memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.

Dalam mesyuarat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan lagi bahawa pemantauan teliti perkembangan pasaran kewangan akan diteruskan dan mengesahkan komitmennya untuk memastikan keadaan pasaran yang teratur. Langkah-langkah berterusan untuk menggalakkan aliran masuk seperti Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI) serta libat urus dengan syarikat berkaitan kerajaan (government-linked companies, GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (government-linked investment companies, GLIC) dan syarikat korporat untuk menghantar pulang dan menukar pendapatan syarikat masih diteruskan dan akan dipergiat.

 


 

Mengenai FMC

FMC ialah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada bulan Mei 2016 dan terdiri daripada wakil BNM, institusi kewangan, syarikat, penyedia perkhidmatan kewangan dan institusi lain yang mempunyai peranan atau penyertaan penting dalam pasaran kewangan.


Bank Negara Malaysia
24 Jun 2026

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?