Mengekalkan Enjin Pertumbuhan: Evolusi Pemacu yang Mendorong Pertumbuhan Penggunaan Swasta di Malaysia
Pengenalan
Landskap pertumbuhan Malaysia berubah dengan ketara sepanjang beberapa dekad. Malaysia beralih daripada model pertumbuhan berasaskan penggunaan pada tahun 1970-an kepada strategi perindustrian berorientasikan eksport bermula pada pertengahan tahun 1980-an hingga awal 2000-an, dengan sektor perkilangan dan perdagangan luar negeri menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi. Mulai sekitar tahun 2010, enjin pertumbuhan kembali tertumpu kepada permintaan dalam negeri, dengan penggunaan swasta mencakupi hampir 61% daripada KDNK pada tahun 2025 (Rajah 1).

Rencana ini mengkaji evolusi dan kemampanan penggunaan swasta di Malaysia melalui dua perspektif. Perspektif pertama merangkumi faktor struktur jangka panjang utama seperti transformasi ekonomi negara dan perubahan sosiodemografi. Perspektif kedua pula meneliti pendorong asas keupayaan perbelanjaan isi rumah seperti pendapatan, kekayaan, keberhutangan isi rumah dan sokongan dasar. Akhir sekali, rencana ini mengetengahkan cabaran serta keutamaan dasar bagi memastikan penggunaan swasta kekal sebagai enjin pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan.
Bahagian 1: Pemacu Struktur Peningkatan Penggunaan Swasta
Transformasi Ekonomi dan Pertumbuhan Pendapatan
Sejak tahun 1970-an, struktur ekonomi Malaysia telah berubah secara beransur-ansur daripada berasaskan pertanian kepada sektor perkilangan dan kemudiannya perkhidmatan (Rajah 2). Peralihan ini mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta menarik penghijrahan tenaga kerja ke sektor yang bernilai tambah lebih tinggi. Produktiviti dalam sektor-sektor ini turut meningkat, disokong oleh pertambahan tenaga kerja dan pelaburan dalam peralatan serta infrastruktur. Perubahan ini telah meningkatkan keluaran per kapita dan menyokong peningkatan pendapatan isi rumah yang berterusan (Rajah 3), sekali gus mendorong peningkatan perbelanjaan pengguna.


Apabila pendapatan isi rumah meningkat, kadar kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan menurun dengan ketara. Kadar kemiskinan negara[1] menyusut daripada 49.3% pada tahun 1970 kepada 5.1% pada tahun 2024, manakala ketidaksamaan pendapatan seperti yang diukur oleh pekali Gini bertambah baik daripada 0.51 kepada 0.39 (Rajah 4). Pengagihan pendapatan yang lebih seimbang turut menyokong penggunaan agregat, memandangkan isi rumah berpendapatan lebih rendah yang mempunyai kecenderungan mengguna sut (marginal propensity to consume) yang lebih tinggi telah memperoleh lebih banyak pendapatan untuk dibelanjakan.[2]


Pembandaran, Pendalaman Kewangan dan Perubahan Tabiat Penggunaan
Seiring dengan peralihan sektor, kadar pembandaran Malaysia telah meningkat lebih sekali ganda daripada 28% pada tahun 1970 kepada 80% pada tahun 2024 (Rajah 5). Peluang pekerjaan bergaji lebih tinggi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan telah mendorong banyak keluarga untuk berhijrah ke bandar, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perumahan dan kediaman serta perbelanjaan berkaitan kelengkapan rumah. Kehidupan bandar juga mendorong permintaan terhadap pengangkutan, peruncitan dan perkhidmatan seperti makan di luar serta hiburan, yang seterusnya mewujudkan tabiat perbelanjaan baharu.[3] Di samping itu, pendalaman kewangan melalui peningkatan akses kepada perkhidmatan perbankan dan kemudahan kredit membolehkan isi rumah membiayai pembelian rumah, barangan pengguna dan perkhidmatan gaya hidup dengan lebih mudah.
Dividen Demografi dan Struktur Isi Rumah
Pertumbuhan pesat di bandar sejak tahun 1970-an turut disertai cabaran seperti peningkatan kos sara hidup dan kesesakan bandar. Sementara itu, akses pendidikan yang lebih baik, peningkatan penyertaan kaum wanita dalam tenaga kerja serta kadar kesuburan yang lebih rendah telah mengubah struktur keluarga, menghasilkan saiz keluarga yang lebih kecil,[4] penambahan isi rumah yang mempunyai dua sumber pendapatan[5] serta penangguhan perkahwinan dan kelahiran anak.[6] Kesemua faktor ini menyumbang kepada peningkatan bahagian penduduk umur bekerja berbanding dengan tanggungan, sekali gus mengurangkan nisbah tanggungan keseluruhan (total dependency ratio, TDR) (Rajah 6). Kesannya, gelombang dividen demografi pertama diperkukuh dengan tenaga kerja yang lebih besar dan tanggungan yang semakin sedikit, lantas meningkatkan pendapatan[7] serta penggunaan[8] per kapita (Rajah 7).


Bahagian 2: Dinamik Pemacu Asas Penggunaan Swasta
Walaupun faktor struktur membentuk potensi jangka panjang penggunaan swasta, faktor-faktor ini beroperasi melalui saluran yang lebih langsung seperti pendapatan, kekayaan, tahap keberhutangan dan sokongan dasar. Kesemua pemacu ini menentukan keupayaan isi rumah untuk berbelanja dan membentuk asas kepada model empirikal penggunaan. Model pelarasan ketidakseimbangan (error correction model, ECM)[9] digunakan untuk mengenal pasti faktor utama yang memacu penggunaan swasta serta membandingkan kepentingan setiap faktor tersebut kepada pertumbuhan penggunaan swasta. Kajian ini turut membandingkan pemacu utama penggunaan sebelum dan selepas pandemik COVID-19.
Pendapatan merupakan pemacu paling asas dan mampan bagi penggunaan swasta
Pendapatan merupakan pemacu teras penggunaan swasta disebabkan peranannya sebagai penentu kuasa beli isi rumah. Kebanyakan keputusan perbelanjaan bergantung pada pendapatan boleh guna, yang lazimnya stabil dan boleh dijangka, khususnya daripada upah dan gaji. Hal ini menjadikan pendapatan sebagai asas perancangan penggunaan yang boleh dipercayai, sekali gus menjadi penanda aras kepada jangkaan isi rumah terhadap penggunaan masa hadapan.
Dalam ECM, pendapatan yang diukur melalui pampasan pekerja (compensation of employees, COE) kekal sebagai pemacu utama penggunaan, mencakupi lebih daripada 60% bahagian perbelanjaan dalam tempoh sebelum dan selepas pandemik. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan menjadi lebih sederhana pada tempoh selepas pandemik, selari dengan kadar pertumbuhan penggunaan swasta yang lebih perlahan (Rajah 8). Perkembangan ini dicerminkan melalui beberapa penunjuk pendapatan,[10] termasuk COE, gaji sektor swasta serta jumlah gaji dan upah keseluruhan, yang menunjukkan pertumbuhan lebih perlahan dalam tempoh pasca-COVID-19 meskipun ekonomi telah pulih secara lebih meluas (Rajah 9).


Kekayaan mempengaruhi penggunaan melalui saluran yang direalisasikan dan tidak direalisasikan
Kekayaan kewangan dan kekayaan perumahan menyokong penggunaan melalui dua saluran, iaitu hasil direalisasikan dan tidak direalisasikan. Saluran direalisasikan berlaku apabila isi rumah mencairkan aset untuk memenuhi keperluan perbelanjaan. Saluran tidak direalisasikan pula terhasil apabila kenaikan nilai aset memperkukuh kedudukan kewangan dan keyakinan isi rumah, sekali gus menyokong perbelanjaan.
Di Malaysia, kekayaan kewangan telah memberikan sokongan yang agak stabil kepada penggunaan swasta. Pengumpulan deposit, baki persaraan serta pegangan ekuiti dan unit amanah oleh isi rumah menyokong perbelanjaan melalui kesan kekayaan di samping berfungsi sebagai penampan sewaktu pertumbuhan pendapatan lemah. Peranan ini jelas semasa dan selepas pandemik COVID-19. Skim pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memainkan peranan penting dalam mengekalkan perbelanjaan dalam tempoh tersebut (Rajah 10). Selain itu, lebihan simpanan[11] yang terkumpul semasa tempoh sekatan pergerakan digunakan apabila ekonomi dibuka semula bagi membiayai permintaan terpendam (Rajah 11).



Sebaliknya, kekayaan perumahan yang sebelum COVID-19 ketara menyumbang kepada penggunaan swasta, telah memainkan peranan yang lebih terhad dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Pada awal tahun 2010-an, pertumbuhan harga rumah yang kukuh (Rajah 12) dan aktiviti urus niaga yang rancak menyokong penggunaan melalui kesan keuntungan modal dan sentimen. Sejak tahun 2012, pertumbuhan harga rumah mula sederhana apabila permintaan perumahan semakin perlahan dan aktiviti spekulatif berkurang, seiring dengan peningkatan bekalan. Dari semasa ke semasa, peningkatan bilangan unit tidak terjual menandakan wujudnya lebihan bekalan dan mengakibatkan tekanan menurun terhadap harga. Perkembangan ini menjejaskan kesan keuntungan modal serta saluran kekayaan tidak direalisasikan. Walaupun pertumbuhan harga rumah meningkat semula selepas COVID-19, parasnya masih belum kembali kepada purata sebelum pandemik. Akibatnya, kecenderungan mengguna sut daripada kekayaan perumahan berkurang (Rajah 13), sekali gus mengurangkan sumbangan kekayaan perumahan terhadap pertumbuhan penggunaan.


Pengambilan kredit membolehkan pelicinan penggunaan (consumption smoothing) dalam jangka pendek tetapi mengurangkan pendapatan boleh guna merentas masa melalui beban bayaran balik hutang
Hutang isi rumah memainkan peranan berganda dalam dinamik penggunaan di Malaysia. Dalam jangka pendek, akses kepada kredit membolehkan isi rumah berbelanja dengan lancar ketika berlaku turun naik pendapatan dan membuat pembelian awal bagi barangan bernilai tinggi seperti kenderaan dan barangan tahan lama. Namun dalam jangka panjang, obligasi bayaran balik hutang mengurangkan pendapatan boleh guna, sekali gus menjejaskan penggunaan.
Sebelum pandemik, hutang isi rumah bukan untuk tujuan kediaman[12] di Malaysia meningkat seiring dengan kegiatan ekonomi serta akses kewangan yang lebih meluas dan lebih dalam, mencerminkan pertumbuhan pinjaman berkaitan penggunaan dan pelaburan[13] yang meluas. Apabila tahap keberhutangan meningkat, beban pembayaran balik turut meningkat dan menjejaskan perbelanjaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pertumbuhan kredit penggunaan kekal positif, walaupun pinjaman bagi tujuan pelaburan, khususnya sekuriti, telah menurun. Walaupun pertumbuhan hutang terkumpul isi rumah telah berkurang sedikit (Rajah 14), nisbah hutang kepada KDNK kekal tinggi pada 84.8% pada akhir tahun 2025 (2024: 84.1%; 2019: 82.8%). Kadar pengumpulan hutang yang lebih perlahan selepas COVID-19 telah mengurangkan tekanan hutang terhadap penggunaan, namun beban bayaran balik hutang masih menjadi faktor yang mengekang pertumbuhan penggunaan swasta.
Peranan yang semakin meningkat bagi sokongan dasar dan pendapatan bekerja sendiri
Sejak tahun 2019, faktor selain pendapatan formal dan kekayaan bersih kelihatan seperti semakin menyokong perbelanjaan isi rumah. Hal ini khususnya mencerminkan peranan bantuan Kerajaan yang semakin meningkat di samping pendapatan yang lebih tinggi hasil daripada bekerja sendiri.
Dasar-dasar Kerajaan terus membantu meringankan beban kewangan, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah. Walaupun bantuan tunai dan subsidi sudah menjadi sebahagian daripada kerangka perlindungan sosial Malaysia sebelum pandemik COVID-19, skala dan skop langkah-langkah tersebut diperluas sejak beberapa tahun untuk meringankan beban isi rumah dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup (Rajah 15). Sebagai contoh, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencecah RM15 bilion pada tahun 2025, lebih tinggi berbanding RM5 bilion yang diperuntukkan melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) pada tahun 2019.


Pada masa yang sama, pandemik telah mempercepat penggunaan digital di Malaysia dan mengubah dinamik tenaga kerja. Hal ini membawa kepada peningkatan pekerjaan gig dan aktiviti bekerja sendiri seperti perkhidmatan penghantaran dan pekerjaan bebas (freelance). Pertumbuhan golongan bekerja sendiri meningkat lebih pantas dalam tempoh selepas COVID-19, dengan purata 5.4% berbanding 3.9% sebelum COVID (Rajah 16), dan kini merangkumi kira-kira 20% daripada jumlah guna tenaga.[14] Memandangkan pekerjaan ini tidak termasuk dalam guna tenaga bergaji formal, pendapatan mereka direkodkan sebagai pendapatan campuran dan bukannya COE.[15] Pendapatan campuran mencatatkan pertumbuhan sebanyak 11.1% pada tahun 2023 dan 6.6% pada tahun 2024.[16] Bagi kebanyakan isi rumah, sumber pendapatan tambahan ini membantu mengekalkan perbelanjaan dalam keadaan pertumbuhan upah formal yang lebih perlahan.
Bahagian 3: Cabaran Baharu terhadap Kemampanan Penggunaan
Penyusutan Dorongan Faktor Struktur
Beberapa dorongan faktor struktur yang sebelum ini menyokong penggunaan swasta kini semakin menyusut. Malaysia semakin menghampiri penghujung dividen demografi pertamanya sejajar dengan umur median penduduk meningkat dan jumlah nisbah tanggungan keseluruhan dijangka mencapai paras terendah sekitar 40.8 menjelang tahun 2034.[17] Keadaan ini menyebabkan bilangan pekerja semakin berkurang untuk menyokong populasi tanggungan yang semakin meningkat. Begitu juga, manfaat daripada pembandaran dan penambahbaikan ketidaksamaan pendapatan telah berkurang. Kadar pertumbuhan penduduk bandar semakin perlahan kepada kurang daripada 2% setiap tahun sejak tahun 2019 manakala pekali Gini kekal sekitar 0.4 selama lebih satu dekad.
Pertumbuhan Upah Lebih Perlahan
Upah, yang membentuk 62.9% daripada pendapatan isi rumah pada tahun 2024,[18] hanya mencatatkan pertumbuhan yang sederhana sepanjang dekad lalu. Antara tahun 2010 hingga 2019, upah median bulanan benar[19] meningkat daripada RM1,500 kepada RM2,010, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (compounded annual growth rate, CAGR) sebanyak 3.3%. Upah bahkan jatuh bawah tahap produktiviti semasa COVID-19. Walaupun upah kembali meningkat selepas itu, CAGR sebanyak 0.9% sepanjang tahun 2019-2024 kekal rendah berbanding trend sebelum pandemik dan pertumbuhan produktiviti (CAGR: 1.1%). Upah hanya kembali menyamai peningkatan hasil produktiviti terkumpul pada tahun 2024 (Rajah 17). Tidak dapat dinafikan, prestasi produktiviti pekerja Malaysia masih ada ruang untuk ditambah baik berbanding dengan negara aspirasi rujukan (purata 2021–2024: Malaysia: 2.8%, Singapura: 3.4%, United Kingdom: 3.2%, China: 5.2%). Malah, pada tahap pembangunan produktiviti semasa, pekerja di Malaysia menerima bahagian yang agak kecil daripada pendapatan negara berbanding dengan ekonomi serantau dan ekonomi maju, seperti yang ditunjukkan melalui bahagian pampasan pekerja dalam pendapatan yang lebih rendah (Rajah 18).


Beberapa faktor struktur dapat menjelaskan pertumbuhan upah Malaysia yang rendah.[20] Pertama, sejak tujuh tahun yang lalu, ekonomi tidak menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi yang mencukupi, mencerminkan kemajuan yang perlahan dalam peralihan ke arah pengeluaran berintensif teknologi. Kedua, kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing bergaji rendah mengukuhkan model pengeluaran bernilai rendah dan seterusnya mengekang pertumbuhan upah, khususnya bagi pekerjaan berkemahiran rendah dan separa mahir. Ketiga, jurang dalam ekosistem pasaran pekerja yang lebih luas, seperti ketidakpadanan kemahiran yang berlarutan dan akses yang tidak sekata kepada peluang mendapatkan kemahiran yang berkualiti dan relevan, turut mengehadkan keupayaan pekerja untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi. Keempat, semasa COVID-19, banyak syarikat mengekalkan pekerja walaupun keluaran menurun,[21] yang membantu mengekalkan guna tenaga tetapi mengekang pelarasan gaji dalam tempoh pemulihan.
Pertumbuhan gaji yang berlarutan lemah mempunyai dua kebarangkalian implikasi terhadap kemampanan perbelanjaan isi rumah. Pertama, berdasarkan hipotesis pendapatan tetap[22] dan hipotesis kitaran hayat,[23] keputusan perbelanjaan mencerminkan pendapatan semasa serta jangkaan pendapatan masa hadapan. Pertumbuhan upah yang lebih perlahan memberikan isyarat pendapatan masa hadapan yang lebih lemah, menyebabkan isi rumah yang berhemat memperlahankan penggunaan mereka. Kedua, sesetengah isi rumah mungkin menganggap kelemahan pendapatan mereka bersifat sementara atau menghadapi kekangan dalam melaraskan penggunaan. Bagi mengekalkan perbelanjaan, mereka mungkin mengeluarkan simpanan, meningkatkan peminjaman, atau memanfaatkan sokongan dasar yang tersedia. Walau bagaimanapun, kebergantungan yang berpanjangan kepada saluran bukan pendapatan ini mempunyai risiko kemampanan tersendiri.
Tekanan Kos Sara Hidup
Kebimbangan terhadap kos sara hidup semakin meningkat susulan harga yang lebih tinggi semasa pembukaan semula ekonomi selepas pandemik. Walaupun inflasi telah stabil sejak tahun 2023, paras harga kekal tinggi berbanding dengan tempoh sebelum COVID-19.[24] Walaupun pertumbuhan upah agregat bagi setiap pekerja sejajar dengan inflasi keseluruhan, pertumbuhan tersebut tidak sepadan dengan peningkatan harga makanan dan minuman (food and beverage, F&B) yang lebih mendadak (Rajah 19). Dalam sektor swasta, pertumbuhan upah lebih perlahan berbanding inflasi keseluruhan dan inflasi F&B. Tekanan ini lebih ketara pada isi rumah berpendapatan lebih rendah, yang mana perbelanjaan F&B mereka merangkumi bahagian yang lebih besar daripada jumlah perbelanjaan.[25] Dalam persekitaran ini, pindahan pendapatan terus menyediakan penampan yang penting, dengan bahagiannya daripada jumlah pendapatan isi rumah meningkat kepada 10.6% pada tahun 2024 berbanding dengan 8.2% pada tahun 2019.[26]

Kemampanan dan Pertimbangan Sokongan Fiskal
Sokongan Kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu golongan berpendapatan rendah menangani tekanan kos sara hidup. Namun, ruang fiskal adalah terhad dan kehematan memerlukan keutamaan perbelanjaan Kerajaan untuk ditentukan dengan teliti. Dari semasa ke semasa, peruntukan fiskal yang lebih besar bagi bantuan tunai berulang akan mengurangkan ruang untuk pelaburan awam yang memperkukuh kapasiti secara produktif, seperti pendidikan dan infrastruktur awam. Tanpa mekanisme keluar (exit mechanism) yang berkesan, kebergantungan isi rumah yang berpanjangan terhadap pindahan tunai meningkatkan dedahan pada anjakan keutamaan fiskal dan boleh merumitkan usaha konsolidasi fiskal serta penyaluran semula bantuan secara bersasar. Cabaran ini dijangka menjadi lebih ketara dalam jangka panjang apabila penuaan penduduk meningkatkan tuntutan struktur terhadap penjagaan kesihatan dan perlindungan sosial.
Pengurangan Pengumpulan Penampan Mudah Tunai (Liquid Buffers) Isi Rumah
Apabila isi rumah mengeluarkan simpanan semasa era pandemik, simpanan mudah tunai berkurang dan kadar pembinaan semula penampan kewangan berlaku secara lebih beransur-ansur. Walaupun kedudukan mudah tunai isi rumah masih mencukupi dengan aset mudah tunai terkumpul melebihi hutang isi rumah, nisbah aset kewangan mudah tunai kepada hutang telah berkurang seiring dengan kadar simpanan isi rumah yang lebih rendah (Rajah 20).[27] Trend ini sejajar dengan pengurangan baki pendapatan seperti yang dilaporkan oleh Khazanah Research Institute (KRI), yang menunjukkan penurunan merentas semua desil pendapatan kasar antara tahun 2019 hingga 2022.[28] Dari perspektif jangka panjang, risiko kecukupan persaraan adalah ketara merentas kumpulan umur. KRI melaporkan bahawa lebih 90% ahli KWSP berusia bawah 30 tahun, dan sebahagian besar yang berusia 30–54 tahun tidak mencapai penanda aras simpanan asas bagi persaraan.

Hutang Isi Rumah Meningkat
Nisbah hutang isi rumah kepada KDNK di Malaysia kekal tinggi mengikut piawaian serantau (Rajah 21). Leveraj yang tinggi meningkatkan sensitiviti penggunaan terhadap kejutan negatif, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan memiliki tahap keberhutangan yang tinggi.[29] Apabila pendapatan menurun dan bayaran balik pinjaman tidak berubah, bayaran balik hutang mengambil bahagian pendapatan yang lebih besar, sekali gus mengurangkan fleksibiliti untuk mengekalkan perbelanjaan. Pada masa yang sama, peminjam sedemikian mempunyai keupayaan yang terhad untuk membuat pinjaman tambahan bagi melancarkan penggunaan. Secara keseluruhan, kesemua faktor ini menandakan bahawa kejutan terhadap pendapatan mampu mengakibatkan pelarasan perbelanjaan yang lebih ketara, lantas meningkatkan risiko penggunaan swasta untuk menjadi semakin perlahan.

Peningkatan Pekerja Gig dan Ketidaktentuan Pendapatan
Pekerjaan gig lazimnya menggantikan gaji yang stabil dan boleh dijangka dengan pendapatan yang lebih tidak menentu dan berubah-ubah. Kajian terkini oleh Bank Dunia mendapati bahawa pekerja dalam sektor tidak formal, termasuk kebanyakan pekerja gig, secara konsisten memperoleh pendapatan lebih rendah berbanding dengan pekerja formal, dengan pendapatan tertumpu pada bahagian bawah taburan pendapatan.[30] Pekerjaan gig juga menyediakan peluang yang lebih terhad bagi pengumpulan kemahiran, perkembangan kerjaya dan peningkatan gaji, lantas mengehadkan mobiliti menaik dalam jangka panjang. Pengenalan Akta Pekerja Gig 2025 oleh Kerajaan merupakan satu langkah penting dalam memformalkan pekerjaan gig dan memperkukuh perlindungan sosial untuk pekerja gig.[31] Meskipun begitu, masih terdapat jurang dalam kestabilan pendapatan, pengumpulan simpanan persaraan dan manfaat pekerjaan berbanding dengan pekerjaan formal.
Bahagian 4: Keutamaan Dasar
Bahagian ini menggariskan tiga keutamaan dasar yang penting untuk menyokong kemampanan pertumbuhan penggunaan swasta, iaitu meningkatkan pendapatan isi rumah; mengekalkan kestabilan harga melalui inflasi yang rendah dan stabil; serta memanfaatkan dividen demografi kedua.
(a) Meningkatkan Pendapatan Isi Rumah
Berikutan peranan penting penggunaan swasta dalam memacu pertumbuhan KDNK, bidang tumpuan penting untuk mengekalkan momentum ekonomi adalah dengan meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia secara mampan. Pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi dan lebih boleh dijangka akan memperbaiki jangkaan isi rumah terhadap pendapatan masa hadapan serta mengurangkan keperluan untuk menambah peminjaman atau mengeluarkan simpanan mereka. Hal ini seterusnya dapat mengurangkan tekanan daripada hutang isi rumah yang tinggi dan membantu isi rumah menyerap tekanan kos sara hidup dengan lebih baik.
Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia boleh mendapat manfaat daripada pembaharuan struktur yang menyokong peningkatan taraf industri, penciptaan pekerjaan yang lebih baik serta pembangunan kemahiran. Strategi terkini seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan, NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy, NSS) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (National Investment Aspirations, NIA) bertujuan menarik pelaburan berkualiti dan menganjakkan syarikat Malaysia ke arah aktiviti yang lebih kompleks dan bernilai tinggi untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Sehingga bulan September 2025, sektor tumpuan melalui rangka kerja NIA telah menarik pelaburan sebanyak RM137.9 bilion, dengan projek yang dijangka menjana lebih daripada 49,000 pekerjaan.[32] Usaha juga sedang dipergiat untuk memperkukuh pendidikan dan pembangunan kemahiran,[33] termasuk pembaharuan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (technical and vocational education and training, TVET) serta peluasan inisiatif latihan berkaitan industri. Selain itu, pekerja perlu diberikan peluang berterusan untuk mempertingkatkan kemahiran dan menyertai pembelajaran sepanjang hayat. Penambahbaikan berterusan dalam tadbir urus, penyelarasan dan penjajaran dengan keperluan industri adalah penting untuk meningkatkan kebolehsuaian tenaga kerja. Pada masa yang sama, rasionalisasi dasar pekerja asing turut memainkan peranan dalam mengukuhkan insentif kepada syarikat untuk melabur dalam pengukuhan modal, dan pada masa yang sama masih boleh mengatasi kekurangan pekerja yang sebenar.
Untuk meningkatkan pendapatan secara bermakna dan mengukuhkan kuasa beli, Malaysia juga perlu memantapkan institusi yang membentuk penetapan upah antara majikan dengan pekerja. Pengenalan gaji minimum pada tahun 2013 dan semakan berikutnya, yang secara progresif menaikkan gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,500, merupakan langkah penting dalam membetulkan ketidakseimbangan institusi. Sepanjang dekad sebelum pandemik, ketidaksamaan upah berkurang[34] dan bahagian pendapatan pekerja menunjukkan peningkatan (Rajah 22).


Walau bagaimanapun, memandangkan gaji minimum memberikan kesan terutamanya pada bahagian bawah agihan upah, pelarasan berulang telah mengecilkan perbezaan upah antara pekerja berkemahiran rendah dengan pekerja separa mahir (2024: RM396, 2016: RM550), mencerminkan “pengelompokan” upah sekitar paras berkanun minimum (Rajah 23). Dalam erti kata lain, keadaan ini bukannya menggalakkan pertumbuhan upah secara menyeluruh, namun pemerhatian menunjukkan gaji minimum tidak meningkatkan upah pekerja secara sepadan pada bahagian pertengahan agihan pendapatan. Bagi menyokong pertumbuhan pendapatan yang lebih meluas dan mampan, Malaysia perlu membangunkan lagi institusi penetapan upah melangkaui gaji minimum. Pengalaman di luar negara menunjukkan bahawa mekanisme pelengkap, seperti garis panduan gaji, standard gaji kehidupan wajar[35] dan penyelarasan penetapan upah dapat membantu menyesuaikan pertumbuhan upah dengan keutamaan negara seperti produktiviti, daya saing dan kestabilan harga. Sebagai contoh, sistem Shunto di Jepun merupakan proses seluruh ekonomi yang membantu menetapkan jangkaan upah dan menyesuaikan kenaikan upah dengan keadaan makroekonomi secara lebih meluas. Penyesuaian prinsip ini mengikut konteks Malaysia akan dapat membantu mengimbangi semula kuasa tawar-menawar dan memastikan peningkatan produktiviti diterjemahkan secara konsisten kepada pendapatan yang lebih tinggi bagi pekerja. Sehubungan dengan itu, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) menggariskan komitmen terhadap pembaharuan pasaran pekerja, termasuk memperkukuh peranan dan mandat Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN), menggalakkan syarikat besar menerapkan amalan gaji kehidupan wajar serta menggalakkan peralihan daripada kebergantungan pada pekerja asing kepada automasi, penjenteraan (mechanisation) dan pengambilan pekerja tempatan yang lebih besar.
(b) Mengekalkan Inflasi yang Rendah dan Stabil
Selain pertumbuhan pendapatan, inflasi yang rendah dan stabil juga menjadi faktor penting untuk memastikan penggunaan isi rumah kekal mampan. Bank Negara Malaysia, melalui pelaksanaan dasar monetari, terus memastikan inflasi berada pada tahap rendah dan stabil, sekali gus membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah. Kerajaan juga memperkenalkan langkah-langkah bersifat sementara (time-bound measures) bagi meredakan kos makanan dalam jangka pendek. Subsidi pengeluaran bersasar dan penetapan harga maksimum bagi barangan makanan asas yang mengalami gangguan bekalan sementara membantu melindungi isi rumah mudah terjejas daripada kenaikan mendadak kos sara hidup.[36] Namun, campur tangan sedemikian tetap ada cabarannya. Misalnya, kawalan harga dan subsidi ayam diperkenalkan pada bulan Februari 2022 bertujuan menstabilkan harga dan pengeluaran susulan peningkatan kos makanan ternakan.[37] Meskipun subsidi diberikan, langkah ini mengakibatkan kekurangan bekalan ayam yang berlarutan sehingga pertengahan tahun 2022.[38] Kawalan tersebut telah memesongkan insentif pasaran, mengganggu pengeluaran dan akhirnya menuntut pelonggaran syarat import ayam serta lanjutan subsidi[39] bagi memenuhi bekalan dalam negeri. Oleh itu, dalam jangka sederhana hingga panjang, dasar dari segi penawaran perlu dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran. Pelaburan infrastruktur serta pembiayaan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (high-growth-high-value sectors) dapat memperluas pengeluaran dalam negeri dan seterusnya membantu menjamin harga barangan asas pada tahap mampu milik. Pada peringkat luaran, agensi Kerajaan yang berkaitan perlu bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalam industri untuk mempelbagaikan sumber bekalan makanan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan pada masa hadapan. Usaha sedemikian akan membolehkan pengimport domestik bertindak balas dengan lebih tangkas melalui pembelian daripada bekalan alternatif, seterusnya membantu memastikan inflasi makanan kekal rendah dan stabil.
(c) Memanfaatkan “Dividen Demografi Kedua”
Seiring dengan penuaan penduduk Malaysia, dasar perlu aktif memanfaatkan “dividen demografi kedua”, yang ditakrifkan sebagai keuntungan ekonomi berasaskan peningkatan produktiviti hasil daripada pengumpulan simpanan, kekayaan dan modal insan. Kajian ekonomi mengetengahkan bahawa, berbeza daripada dividen demografi pertama, dividen kedua tidak berlaku secara automatik. Dividen demografi kedua ini perlu digerakkan melalui pembaharuan yang meningkatkan simpanan negara, memperkukuh sistem sokongan sosial dan mempertingkatkan produktiviti melalui pelaburan modal bersasar.[40] Satu keutamaan penting adalah untuk memperluas perlindungan simpanan persaraan, khususnya dalam kalangan pekerja tidak formal seperti usahawan mikro dan pekerja gig. Langkah‑langkah yang sedang dilaksanakan, seperti pendaftaran caruman KWSP secara automatik bagi pekerja berasaskan platform, caruman padanan untuk pekerja informal berpendapatan rendah, serta saluran caruman yang dipermudah melalui e‑dompet dan platform pembayaran, akan secara langsung mengukuhkan penampan kewangan jangka panjang kumpulan ini. Kesemua dasar ini mungkin memberikan kesan penurunan sementara dalam pendapatan dan penggunaan jangka pendek, namun akan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan dan mengurangkan tahap mudah terjejas terhadap kejutan pendapatan dalam jangka panjang. Simpanan terkumpul ini kemudiannya perlu diurus tadbir dan disalurkan secara strategik kepada sektor‑sektor yang mempunyai limpahan produktiviti yang tinggi. Dalam pelaksanaannya, hal ini bermaksud memastikan simpanan institusi domestik disalurkan kepada pelaburan utama yang digariskan di bawah pelbagai pelan induk nasional (contohnya NIMP 2030).[41] Pelaburan sedemikian dapat meningkatkan nisbah modal kepada pekerja bagi Malaysia, seterusnya menyokong pertumbuhan produktiviti pekerja[42] dan pertumbuhan gaji benar yang berterusan walaupun saiz tenaga pekerja semakin mengecil.[43]
Pada masa yang sama, dasar perlu menangani kekangan keupayaan dan pemerkasaan warga emas Malaysia untuk kekal aktif dari aspek ekonomi dan sosial. Hal ini termasuk memperluas perkhidmatan penjagaan warga emas seperti kejururawatan, pemulihan, sokongan penjagaan kesihatan berasaskan komuniti,[44] serta memastikan piawaian dan model penyediaan kakitangan dan pembiayaan yang memadai untuk kesemua perkhidmatan ini. Serentak dengan ini, dasar pekerja perlu menggalakkan pengaturan kerja fleksibel dan pilihan persaraan berperingkat yang membolehkan warga emas kekal aktif dari segi ekonomi. Penyertaan yang lebih tinggi dalam kalangan pekerja yang lebih berusia bukan sahaja menyokong pendapatan isi rumah, malah membantu menyokong penggunaan yang berterusan apabila demografi ini berkembang dari segi kepentingan ekonomi.[45] Oleh itu, merealisasikan dividen demografi kedua memerlukan pelaksanaan dasar yang terselaras bagi memastikan isi rumah terus memiliki pendapatan dan penggunaan yang mampan dalam masyarakat Malaysia yang semakin berusia.
Kesimpulan
Landskap ekonomi Malaysia telah berubah dengan ketara sejak tahun 1970-an. Pengekalan penggunaan swasta sebagai pemacu pertumbuhan memerlukan usaha menangani tekanan terhadap pendapatan isi rumah dan kos sara hidup. Hal ini memerlukan dasar yang menjana pekerjaan yang lebih berkualiti, pertumbuhan upah yang lebih kukuh serta perlindungan sosial yang lebih responsif, disokong oleh usaha memastikan kestabilan harga. Dengan membina asas yang lebih berdaya tahan bagi isi rumah, Malaysia mampu memastikan penggunaan swasta kekal sebagai enjin pertumbuhan yang stabil dan mampan pada tahun-tahun mendatang.
Rujukan
Bank Negara Malaysia (2017). Rencana: Gaji Kehidupan Wajar: Bukan Sekadar Menampung Keperluan Asas. Laporan Tahunan 2017.
Bank Negara Malaysia (2020). Rencana: Visi Perlindungan Sosial di Malaysia. Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020.
Bank Negara Malaysia (2021). Rencana: Mengecilkan Jurang Makanan: Peranan Penambahbaikan Struktur dalam Sektor Agromakanan. Buletin Suku Tahunan S3 2021.
Bank Negara Malaysia (2023). Rencana: Keperluan Pembaharuan Pasaran Pekerja di Malaysia: Cabaran dan Peluang. Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023.
Bank Negara Malaysia (2024). Rencana: Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar. Laporan Tahunan 2024.
Cassey Lee (2025). Demographic Change and Services: the Case of Malaysia.
Cutler, D. M., Poterba, J. M., Sheiner, L. M., Summers, L. H., & Akerlof, G. A. (1990). An aging society: opportunity or challenge? Brookings Papers on Economic Activity, 1990(1), 1–73.
Friedman, M. (1957). The Permanent Income Hypothesis. In A Theory of the Consumption Function (pp. 20–37). Princeton University Press.
Gelos, G., Grinberg, F., Mancini-Griffoli, T., Khan, S., Narita, M. & Rawat, U. (2019). Has Higher Household Indebtedness Weakened Monetary Policy Transmission? IMF Working Paper No. 19/11.
Goh (2009). Is Productivity Linked to Wages? An Empirical Investigation in Malaysia.
Han, F., Jurzyk, E. M., Guo, W., He, Y. & Rendak, N. (2019). Assessing Macro-Financial Risks of Household Debt in China. IMF Working Paper No. 19/258.
Howell, D. & Kalleberg, A. L. (2022). Labour Market Inequality: A Comparative Political Economy Perspective, IFS Deaton Review of Inequalities.
Loukoianova, E., Wong, Y. C. & Hussiada, I. (2019). Household Debt, Consumption, and Monetary Policy in Australia. IMF Working Paper No. 19/76.
Manuel Mejido (2019). Harnessing the Second Demographic Dividend. Social Development Working Papers.
Mohd Zulhelmi etal (2023) Malaysia’s Chicken Shortage, A Solution Proposal Through Consumerism, JABM.
Modigliani, F. (1954). ‘Franco Modigliani and the Life Cycle Theory of Consumption.’ In The Life Cycle Hypothesis as a Tool of Theory and Policy, ed. J. J. Arrow, pp. 1–22. Cambridge University Press.
Murugasu, D., Ang, J. W., & Tng, B. H. (2013). The Marginal Propensity to Consume Across Household Income Groups.
Ogawa et al. (2021). Population Aging and the Three Demographic Dividends in Asia.
Nakajima, J. (2018). The Role of Household Debt Heterogeneity on Consumption: Evidence from Japanese Household Data. BIS Working Paper No. 736.
OECD (2024). OECD Compendium of Productivity Indicators 2024.
Phillip O’Keefe (2024). Malaysia’s Aging Society and the Silver Economy.
World Bank (2025). Malaysia Economic Monitor: From Bytes to Benefits: Digital Transformation as a Catalyst for Public Sector Productivity (Box 3).
World Bank (2019–2020). Productivity of the Investment Climate Private Enterprise Surveys (PICS)-3.
World Bank (2024). Informal Employment in Malaysia: Trends, Challenges and Opportunities for Reform.
Zaimah, R., Sarmila, M.S., Selvadurai, S., Lyndon, N., Er, A. C., & Jamian, M. N. (2013). The History and Current Status of Dual-career Families in Malaysia. Asian Social Science, 9(6), 16-21.
Zélity, B. (2025). Estimating the Growth Effect of the Demographic Dividend. Macroeconomic Dynamics, 29, e127.
Nota
[1] Kadar kemiskinan negara mengukur peratusan penduduk Malaysia yang tinggal dalam isi rumah dengan jumlah pendapatan kasar bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Pada tahun 1970, PGK ditetapkan pada RM25 sebulan; pada tahun 2024 PGK ditetapkan pada RM2705 sebulan.
[2] Murugasu, D., Ang, J. W., & Tng, B. H. (2013) The Marginal Propensity to Consume Across Household Income Groups.
[3] KRI (2024) The State of Households: Households and the Pandemic.
[4] Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia; Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah, Jabatan Perangkaan Malaysia.
[5] Zaimah, R., Sarmila, M.S., Selvadurai, S., Lyndon, N., Er, A. C., & Jamian, M. N. (2013). The History and Current Status of Dual-career Families in Malaysia. Asian Social Science, 9(6), 16-21.
[6] Kadar Kesuburan, Perangkaan Penduduk, Jabatan Perangkaan Malaysia.
[7] Zélity, B. (2025). Estimating the Growth Effect of the Demographic Dividend. Macroeconomic Dynamics, 29, e127.
[8] Cutler, D. M., Poterba, J. M., Sheiner, L. M., Summers, L. H., & Akerlof, G. A. (1990). An aging society: opportunity or challenge? Brookings Papers on Economic Activity, 1990(1), 1–73.
[9] Model ECM menganggarkan hubungan jangka panjang antara penggunaan swasta dengan pemacunya, di samping mengambil kira perubahan jangka pendek. Model ini merangkumi pendapatan tenaga kerja (diwakili oleh pampasan pekerja), kekayaan kewangan (jumlah deposit, dana unit amanah, pelaburan dalam ekuiti, simpanan KWSP dan polisi endowmen), kekayaan perumahan bersih (bilangan unit kediaman yang dimiliki didarabkan dengan harga purata rumah, ditolak jumlah pinjaman perumahan terkumpul), serta hutang bukan kediaman. Kategori “Lain-lain” menggambarkan baki faktor yang tidak dimasukkan dalam model seperti bantuan Kerajaan dan pendapatan bekerja sendiri.
[10] COE ialah ukuran paling menyeluruh bagi jumlah imbuhan kepada pekerja oleh pengeluar, termasuk gaji, upah, elaun, bonus, komisen dan bayaran seumpamanya. Data gaji dan upah merangkumi semua sektor swasta dan awam. Sementara itu, data upah sektor swasta hanya meliputi sektor perkhidmatan dan perkilangan berdasarkan Statistik Suku Tahunan Perkhidmatan dan Statistik Bulanan Perkilangan. COE serta jumlah keseluruhan gaji & upah hanya tersedia secara tahunan dan diterbitkan secara tertangguh.
[11] Lebihan simpanan diukur melalui perbezaan antara deposit terkumpul dengan trend jangka panjangnya yang ditapis HP. Deposit terdiri daripada deposit permintaan, deposit simpanan, deposit tetap, deposit tetap tawarruq, akaun pelaburan khas dan akaun pelaburan am.
[12] Hutang kediaman dirangkumkan sebagai sebahagian daripada kekayaan perumahan bersih.
[13] Pinjaman berkaitan penggunaan atau kredit penggunaan termasuk pinjaman bagi kegunaan peribadi, kenderaan bermotor dan kad kredit. Sementara itu, pinjaman berkaitan pelaburan termasuk pinjaman untuk membeli sekuriti dan harta bukan kediaman.
[14] Peratusan pekerja bekerja sendiri adalah berdasarkan Statistik Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia. Sebagai perbandingan, kadar pertumbuhan 2024 dikira menggunakan siri sebelum pelarasan asas (sebelum pelarasan berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan 2020) bagi mengelakkan gangguan dalam siri masa.
[15] Pendapatan campuran menggabungkan imbuhan kerja yang dilakukan oleh pekerja bekerja sendiri dan lebihan operasi perniagaan daripada pengeluaran. Imbuhan ini termasuk pendapatan penjaja, pemandu e-panggilan (e-hailing) dan penghantar, pekerja bebas serta pekerjaan sendiri yang lain.
[16] Berdasarkan Tinjauan Ekonomi 2026 oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
[17] Jabatan Perangkaan Malaysia, Unjuran Penduduk (2025).
[18] Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2024 Jabatan Perangkaan Malaysia, sumber lain pendapatan isi rumah termasuk pendapatan bekerja sendiri (14.8%), pendapatan daripada harta & pelaburan (11.7%) dan pendapatan daripada pindahan semasa (10.6%).
[19] Upah median bulanan benar ini dianggarkan dengan melaraskan upah median nominal menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP), dengan tahun 2010 sebagai tahun asas.
[20] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Keperluan Pembaharuan Pasaran Pekerja di Malaysia: Cabaran dan Peluang” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 Bank Negara Malaysia.
[21] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kertas Kerja Bank Negara Malaysia 4/2025 “Balancing Wages: Investigating Labour Hoarding Dynamics in Malaysia”.
[22] Friedman, M. (1957). The Permanent Income Hypothesis. In A Theory of the Consumption Function (hlm. 20–37). Princeton, NJ: Princeton University Press.
[23] Modigliani, F. (1954). “Franco Modigliani and the Life Cycle Theory of Consumption.” dalam The Life Cycle Hypothesis as a Tool of Theory and Policy, disunting oleh J. J. Arrow, 1–22. Cambridge University Press.
[24] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar” dalam Laporan Tahunan 2024 Bank Negara Malaysia.
[25] Berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (Household Income and Expenditure Survey, HEIS) 2024, perbelanjaan makanan dan minuman (termasuk makan di restoran) membentuk komponen terbesar perbelanjaan isi rumah pada 32%. Mengikut kumpulan pendapatan, isi rumah B40 memperuntukkan bahagian tertinggi untuk makanan pada 37%, diikuti oleh M40 pada 34% dan T20 pada 27%.
[26] Bahagian ini berdasarkan HIES, iaitu pindahan merangkumi bantuan tunai Kerajaan, kiriman wang daripada isi rumah lain, pencen, alimoni dan hadiah.
[27] Nisbah aset kewangan mudah tunai kepada hutang merujuk jumlah deposit, dana unit amanah, pelaburan dalam ekuiti dan nilai serahan polisi insurans yang dibahagikan dengan jumlah hutang terkumpul isi rumah.
[28] Berdasarkan KRI State of Households 2024, baki pendapatan ditakrifkan sebagai lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan penggunaan.
[29] Situasi ini diperhatikan di Jepun, yakni isi rumah yang mempunyai tahap keberhutangan yang tinggi mempamerkan kecenderungan mengguna sut yang lebih tinggi (Nakajima 2018), dan di Australia dan Amerika Syarikat, yakni isi rumah dengan hutang yang tinggi dan mudah tunai yang terhad menunjukkan tindak balas penggunaan yang lebih kukuh apabila dasar monetari menjadi ketat (Loukoianova, Wong dan Hussiada 2019; Gelos dll. 2019). Kumpulan berpendapatan lebih rendah berada pada tahap paling mudah terjejas. Ujian tekanan IMF terhadap China menunjukkan bahawa isi rumah yang mempunyai paras hutang yang tinggi menghadapi penurunan penggunaan yang lebih besar dan risiko kemungkiran yang lebih tinggi apabila kejutan negatif terjadi (Han dll. 2019).
[30] Bank Dunia (2024). Informal employment in Malaysia: Trends, challenges and opportunities for reform.
[31] Akta Pekerja Gig 2025 menetapkan rangka kerja perundangan menyeluruh yang pertama di Malaysia untuk pekerja gig, yang memberikan hak berkanun termasuk terma kontrak yang adil, ketelusan pembayaran, akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian, serta perlindungan daripada penamatan kerja secara tidak wajar. Akta ini juga menetapkan piawaian minimum bagi perjanjian perkhidmatan, mewajibkan penyedia platform membuat potongan dan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada pendapatan pekerja gig, mengenakan obligasi keselamatan dan kesihatan pekerjaan terhadap entiti yang berkontrak, serta menubuhkan Tribunal Pekerja Gig bagi menyediakan proses penyelesaian pertikaian yang mudah diakses dan berkesan. Sumber: Parlimen Malaysia. (2025). Akta Pekerja Gig 2025 (D.R.27/2025). Diambil daripada https://www.parlimen.gov.my/.
[32] MIDA (2025). “Malaysia’s RM286 Billion Approved Investments in 9M 2025 Up 13.2% Y-O-Y, Defies Global Headwinds, Creates Over 150,000 Jobs”.
[33] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Keperluan Pembaharuan Pasaran Pekerja di Malaysia: Cabaran dan Peluang” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 Bank Negara Malaysia.
[34] Khazanah Research Institute (2023). “The Returns to Malaysian Labour – Part I”.
[35] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Gaji Kehidupan Wajar: Bukan Sekadar Menampung Keperluan Asas” dalam Laporan Tahunan 2017 Bank Negara Malaysia.
[36] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Mengecilkan Jurang Makanan: Peranan Penambahbaikan Struktur dalam Sektor Agromakanan” dalam Buletin Suku Tahunan S3 2021 Bank Negara Malaysia.
[37] https://www.straitstimes.com/singapore/malaysia-bans-chicken-exports-from-june-1-how-singapore-consumers-businesses-are-coping
[38] Mohd Zulhelmi dll. (2023). Malaysia’s Chicken Shortage, A Solution Proposal Through Consumerism, JABM.
[39] USDA (2022). Malaysia Extends Price Support Subsidy for Poultry Products.
[40] Manuel Mejido (2019). Harnessing the second demographic dividend, Social Development Working Papers.
[41] KWSP Memperuntukkan RM250 Juta Bagi Memangkin Pertumbuhan Syarikat Peringkat Pertengahan.
[42] Bank Dunia (2025). Malaysia Economic Monitor: From Bytes to Benefits: Digital Transformation as a Catalyst for Public Sector Productivity (Box 3).
[43] Goh (2009). Is Productivity Linked to Wages? An Empirical Investigation in Malaysia.
[44] Cassey Lee (2025). Demographic Change and Services: the Case of Malaysia.
[45] Phillip O’Keefe (2024) Malaysia’s Aging Society and the Silver Economy.