Merungkai Rantaian Nilai Malaysia dalam Era Ketidaktentuan

Pengenalan

Malaysia disepadukan dengan kukuh ke dalam rantaian nilai global (global value chain, GVC), dengan aktiviti berkaitan GVC mencakupi lebih separuh daripada eksport negara.[1] Tahap penyertaan yang tinggi dalam GVC telah menyokong pertumbuhan eksport serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pembekal utama dalam rangkaian pengeluaran serantau dan global (ASEAN–Japan Centre, 2021). Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi utama dunia semakin beralih ke dalam negara (turning inward) dan menyusun semula rantaian bekalan mereka sendiri untuk mempertingkatkan kebergantungan kendiri dalam keadaan ketegangan geopolitik yang semakin ketara. Peningkatan penggunaan langkah perindustrian dan perlindungan mencerminkan peralihan paradigma dalam GVC yang menunjukkan bahawa daya tahan kini mengatasi kecekapan. Bagi negara yang ekonominya kecil dan terbuka seperti Malaysia, peralihan ini mewujudkan cabaran dan juga peluang sekali gus.

Berlatarkan keadaan ini, rencana ini meninjau perkembangan penyertaan Malaysia dalam GVC, termasuk perubahan dalam rantaian dan struktur nilai tambah mengikut sektor. Kajian ini menyediakan asas untuk menilai risiko dan tahap mudah terjejas (vulnerability) berkaitan dengan GVC, di samping mengenal pasti sumber daya tahan dalam keadaan volatiliti perdagangan global. Rencana ini diakhiri dengan menggariskan pertimbangan dasar yang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam GVC.

Malaysia mengekalkan kedudukan kukuh dalam rantaian nilai global

Penyertaan kukuh dalam GVC serta keterbukaan perdagangan yang tinggi[2] telah menjadi asas penting strategi pembangunan Malaysia. Selaras dengan banyak kajian yang sedia ada, penyertaan Malaysia dalam GVC telah menyokong peningkatan produktiviti dan pertumbuhan pendapatan melalui pengkhususan dalam bidang tertentu (Rajah 1). Perkara ini dicapai menerusi pendedahan syarikat dalam negeri kepada persaingan global, skala ekonomi (economies of scale), pemindahan teknologi dan limpahan pengetahuan. Seperti banyak negara lain, model intensif GVC Malaysia dibentuk oleh kemasukan pelaburan langsung asing (foreign direct investment, FDI) yang teguh (Rajah 2). Keupayaan Malaysia dalam menarik modal bukan sahaja membantu meletakkan negara sebagai nod penting dalam rangkaian pengeluaran global tetapi juga meningkatkan tahap penyertaannya dalam GVC.

Sesebuah negara menyertai GVC melalui rantaian belakang (backward linkages) dan rantaian hadapan (forward linkages). Rantaian belakang diukur melalui bahagian nilai tambah asing (foreign value added, FVA) dalam eksportnya, manakala rantaian hadapan merangkumi bahagian nilai tambah dalam negeri yang terkandung dalam eksport negara lain. Dengan erti kata lain, dalam konteks GVC, rantaian belakang mencerminkan “jumlah eksport negara kita yang terhasil menggunakan input yang diimport”, manakala rantaian hadapan menunjukkan “jumlah input dalam negeri yang membantu negara lain menghasilkan eksport mereka.” Rantaian belakang mencakupi sekitar 34% daripada eksport kasar Malaysia, menjadikannya komponen utama dalam penyertaan GVC negara (Rajah 3). Keadaan ini mencerminkan penggunaan input import yang ketara dalam pengeluaran eksport Malaysia, yang kemudiannya diproses di dalam negara sebelum dieksport semula, sama ada untuk melalui peringkat pengeluaran yang seterusnya di luar negara atau bagi tujuan penggunaan akhir. Pada masa yang sama, rantaian hadapan telah meningkat secara stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan peranan nilai tambah Malaysia yang semakin meningkat dalam menyokong pengeluaran dan eksport dalam ekonomi rakan perdagangan.

Keseluruhannya, ciri-ciri ini meletakkan Malaysia dalam kalangan ekonomi yang lebih bersepadu dengan ekonomi global. Tahap penyertaan Malaysia dalam GVC melebihi purata global dan secara umumnya sejajar dengan negara-negara pengeluar utama yang lain di Asia (Rajah 4). Sebaliknya, ekonomi yang lebih besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China menunjukkan kadar penyertaan yang lebih rendah, mencerminkan penumpuan penciptaan nilai yang lebih besar dalam sistem pengeluaran dalam negeri masing-masing (US Bureau of Economic Analysis (BEA), 2025); Taguchi, 2018).

Tinjauan input: Nilai tambah asing dalam eksport Malaysia

Pemerolehan input asing oleh Malaysia semakin banyak didapati secara serantau. Pada tahun 2022, lebih separuh daripada FVA negara diperoleh dari rantau Asia (Rajah 5). Meskipun hal ini mencerminkan tahap integrasi Malaysia dalam rangkaian pengeluaran serantau yang semakin mendalam, ia turut menunjukkan kebergantungan yang semakin tinggi terhadap China sebagai sumber utama input perantaraan. Perkembangan ini menekankan peranan penting hab pengilangan serantau dalam mengekalkan pengeluaran eksport Malaysia. Rantaian belakang Malaysia sangat tertumpu pada perkilangan, terutamanya dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) (Rajah 6). Industri E&E mencakupi bahagian terbesar FVA dalam eksport Malaysia. Keadaan ini mencerminkan pemecahan proses pengeluaran yang menyaksikan barangan komponen, subpemasangan dan barangan modal merentas sempadan berkali-kali sebelum memenuhi permintaan akhir. Dengan erti kata lain, peranan Malaysia dalam penyertaan GVC lebih tepat difahami sebagai sebahagian daripada rangkaian pengeluaran serantau yang saling berkait, dan bukannya sebagai satu siri hubungan eksport dua hala.

Ukuran penciptaan nilai yang lebih baik: Nilai tambah dalam negeri Malaysia

Kebergantungan Malaysia kepada input asing mencerminkan satu dimensi integrasi GVC. Nilai tambah dalam negeri (domestic value added, DVA)[3] merangkumi bahagian eksport yang dihasilkan di dalam negara (iaitu bahagian eksport yang menyumbang kepada KDNK). DVA, atau ada kalanya lebih dikenali secara tidak rasmi sebagai “kandungan tempatan” merupakan saluran yang lebih kukuh untuk menterjemahkan eksport kepada pendapatan dan pekerjaan dalam negeri. Perkara ini khususnya penting memandangkan sektor perkilangan berorientasikan eksport menggaji kira-kira 1.3 juta pekerja[4] dan menjana sebahagian besar pendapatan tenaga kerja, sekali gus menyumbang sekitar 58% daripada jumlah upah sektor tersebut. Keupayaan Malaysia untuk menghasilkan DVA dalam sektor eksportnya telah bertambah baik seiring peredaran masa. Intensiti DVA[5] telah meningkat secara sederhana merentas kebanyakan sektor (Rajah 7). Peningkatan intensiti DVA dalam sektor perkilangan antara tahun 2010 hingga 2022 khususnya adalah penting. Perkembangan ini menandakan penambahbaikan yang berkesan dalam industri perkilangan apabila syarikat mula beralih kepada aktiviti yang lebih kompleks atau fasa pengeluaran yang lebih maju, sekali gus membolehkan bahagian yang lebih besar dijana di dalam negeri.

Yang penting, peningkatan DVA Malaysia tidak selalunya bergerak selari dengan perubahan dalam bahagian eksport kasar merentas pasaran rakan dagangan. Di beberapa negara, intensiti DVA telah meningkat dengan lebih pesat berbanding dengan bahagian eksport, menunjukkan peningkatan dalam nilai yang dicakupi dalam hubungan perdagangan sedia ada dan bukannya pengembangan dalam skala eksport (Rajah 8). Mexico merupakan contoh yang jelas bagi corak ini; meskipun bahagian eksport kasar Malaysia ke pasaran tersebut hanya mencatatkan pertumbuhan sederhana, intensiti DVA yang lebih tinggi menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pengeluaran dan pengekalan nilai dalam negeri yang lebih besar.

Sebaliknya, pasaran seperti Vietnam dan China merekodkan pertumbuhan kukuh dalam bahagian eksport Malaysia, manakala peningkatan dalam intensiti DVA secara relatif lebih beransur-ansur. Keadaan ini mencerminkan ciri penyertaan Malaysia dalam rangkaian pengeluaran serantau, yang menyaksikan sebahagian nilai tambah terkandung dalam barangan perantaraan dan bukannya dalam produk permintaan akhir.

Seterusnya, cara nilai tambah ini diserap di luar negara berbeza dengan ketara merentas pasaran. Di negara seperti AS, India dan Filipina, DVA Malaysia sebahagian besarnya diserap melalui permintaan akhir asing (foreign final demand), sekali gus menghubungkan penciptaan nilai dalam negeri Malaysia secara langsung kepada keadaan penggunaan dan pelaburan dalam ekonomi rakan perdagangan tersebut. (Rajah 9). Dalam kes sebegini, kejutan permintaan dijangka menjejaskan Malaysia secara terus dan lazimnya mencerminkan perkembangan khusus dalam sesebuah pasaran. Sebaliknya, bagi pasaran seperti Singapura, Vietnam dan Mexico, sebahagian besar DVA Malaysia memasuki pasaran sebagai barangan pengantaraan yang diproses dan kemudiannya dieksport semula sebagai barangan negara asing. Perkara ini merupakan syarat utama untuk DVA diklasifikasikan sebagai rantaian hadapan. Dalam konteks ini, transmisi kejutan disalurkan melalui rantaian bekalan global. Hal ini bermaksud hasil dalam negeri lebih sensitif terhadap gangguan dalam aliran dagangan perantaraan dan kitaran perkilangan global (ECB, 2022).

Rintangan tarif bersifat kitaran: Daya tahan GVC Malaysia kekal utuh

Dedahan Malaysia kepada ketegangan perdagangan yang semakin meningkat mencerminkan kedudukan negara dalam GVC serta kebergantungannya pada permintaan akhir daripada pasaran utama, terutamanya AS dan China. Pada peringkat ini, meskipun tarif yang lebih tinggi telah meningkatkan kos perdagangan, keadaan permintaan akhir di AS kekal disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap produk teknologi, sekali gus menjadikan eksport Malaysia berdaya tahan merentas rangkaian pengeluaran pelbagai peringkat. Kepelbagaian permintaan dan pemerolehan input yang sedia wujud dalam GVC membolehkan syarikat menyerap kejutan perdagangan, termasuk tarif, dan pada masa yang sama masih mengekalkan kesinambungan pengeluaran (Mancini dll., 2022). Eksport dalam negeri Malaysia[6] ke AS terus mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun 2025 meskipun berdepan dengan tarif yang lebih tinggi (Rajah 10).

Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh produk E&E (Rajah 11) yang mencakupi lebih separuh daripada kenaikan dalam hasil eksport. Selain dikecualikan daripada tarif, penghantaran peranti semikonduktor dan litar bersepadu yang utuh mencerminkan peranan bersepadu Malaysia dalam rantaian nilai teknologi global, disokong oleh kedudukannya sebagai pengeksport E&E kesembilan terbesar dunia[7] dan hubungan rantaian bekalannya yang mampan.

Selain itu, daya tahan Malaysia juga disokong sebahagiannya oleh komposisi campuran eksport dan ciri-ciri tarif AS yang diperkenalkan dalam tempoh tersebut. Meskipun perselisihan perdagangan antara AS dengan China semakin memuncak, kesan limpahan isu ini kepada Malaysia kekal sederhana. Salah satu faktor utama ialah beban tarif efektif ke atas eksport Malaysia ke AS, yang dikira berdasarkan duti import yang dikutip atas produk Malaysia berbanding dengan nilai eksport Malaysia ke AS, adalah lebih rendah daripada yang dialami oleh rakan perdagangan serantau pada tahun 2025 (Rajah 12). Perkara ini penting kerana syarikat menyesuaikan diri dengan tekanan kos sebenar, dan bukannya dengan kadar tarif utama (headline tariff) semata-mata. Berdasarkan data oleh S&P Global, susulan kenaikan tarif AS ke atas barangan China, terdapat penurunan yang ketara dalam import AS dari China seiring dengan peningkatan import dari negara serantau (Rajah 13).

Daripada Ketidakpastian kepada Penyesuaian: Perspektif Syarikat di Malaysia dalam Menangani Tarif AS

Tahun 2025 merupakan tahun peningkatan ketidakpastian susulan pelaksanaan tarif yang dikenakan oleh AS. Berikutan persekitaran luaran yang tidak menentu, BNM telah menjalankan sesi libat urus industri secara berkala dengan syarikat berorientasikan eksport di Malaysia untuk memantau kesan tarif AS terhadap eksport Malaysia dalam keadaan beberapa perubahan dasar tarif sepanjang tahun 2025.

Syarikat melaporkan kurang gangguan sepanjang tahun itu berikutan dasar yang menjadi lebih jelas, namun kesan negatifnya terus mempengaruhi prospek pertumbuhan

Meskipun kadar tarif dikurangkan daripada 24% kepada 10% pada 9 April 2025 bagi tempoh rundingan selama 90 hari (Fasa 2), bahagian syarikat yang menjangkakan kesan buruk daripada tarif AS kekal secara umumnya tidak berubah (Rajah A). Keadaan ini mencerminkan ketidakpastian berterusan berhubung dengan hasil rundingan perdagangan antara AS dengan Malaysia.

Selepas kadar tarif untuk eksport barangan Malaysia ke AS dimuktamadkan pada 19%, bilangan syarikat yang menjangkakan kesan negatif telah berkurang (Fasa 3a) berikutan dasar yang lebih jelas. Syarikat juga menyatakan kelegaan dengan kadar tarif tersebut, yang secara umumnya setara dengan ekonomi membangun serantau, sekali gus mewujudkan medan persaingan yang agak seimbang dengan pesaing di Asia Tenggara. Apabila syarikat terus menyesuaikan diri dengan persekitaran tarif baharu dan memuktamadkan rundingan pesanan baharu (Fasa 3b), lebih banyak pelanggan AS yang pada awalnya teragak-agak, kembali membuat pesanan. Selain itu, sebahagian pengeksport tempatan, terutamanya dalam subsektor E&E, menerima kesan positif melalui pemindahan pesanan atau penempatan semula barisan pengeluaran ke Malaysia. Sebahagian besar syarikat juga didapati kekal tidak terjejas oleh tarif AS kerana produk mereka dikecualikan daripada tarif, seperti semikonduktor dan barangan farmaseutikal generik, atau disebabkan dedahan langsung yang terhad kepada pasaran AS.

Walau bagaimanapun, kesan negatif akibat tarif AS terus berlarutan. Syarikat dalam industri berkaitan sumber menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan persaingan yang sengit di pasaran bukan AS, yang diburukkan lagi oleh lambakan barangan berdaya saing dari segi kos berikutan lebihan kapasiti pengeluaran industri di China. Tambahan pula, pendapatan untuk pengeksport barangan berasaskan pengguna, seperti dalam segmen makanan diproses, perabot dan barangan elektronik pengguna, mengalami kesan yang serius akibat permintaan akhir yang lebih perlahan daripada AS berikutan kenaikan harga kepada pengguna akhir yang disebabkan oleh tarif. Penyesuaian permintaan pengguna dari AS terhadap paras harga baharu dijangka berlaku secara beransur-ansur, yang boleh mengambil masa sehingga setahun. Prospek pertumbuhan hasil turut dipengaruhi oleh ketidakupayaan untuk berkongsi kos tarif dengan pelanggan di AS, khususnya bagi syarikat yang telah beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis. Keadaan ini berpotensi menyebabkan pengurangan tempahan jika pelanggan tidak dapat menanggung kos tarif tersebut.

Syarikat yang terkesan oleh persekitaran tarif baharu merancang untuk memasuki pasaran alternatif dan mempelbagaikan rantaian bekalan

Bagi menangani kesan buruk daripada tarif AS, separuh daripada syarikat mempertimbangkan untuk meneroka pasaran baharu atau beralih kepada barisan produk baharu dalam segmen khusus dengan margin keuntungan yang lebih tinggi (Rajah B). Namun demikian, kesemua syarikat ini mengakui cabaran yang mungkin timbul untuk beralih dalam tempoh terdekat, termasuk kesukaran untuk memperoleh pelanggan bukan AS baharu yang bersifat jangka panjang.

Melangkaui kitaran tarif: Malaysia berdepan dengan risiko ekonomi yang lebih luas dalam keadaan anjakan geoekonomi yang bersifat seismik

a) Antara Dua Kuasa Besar: Dedahan Permintaan Malaysia

Tahap integrasi Malaysia yang tinggi dalam GVC telah membantu mengurangkan kesan kejutan tarif baru-baru ini terhadap ekonomi negara. Walau bagaimanapun, peningkatan kecenderungan perlindungan (protectionism) serta dasar perindustrian global yang beroperasi sepanjang garis rantaian nilai sedang membentuk semula rangkaian pengeluaran dan bukan sekadar mengubah aliran perdagangan dua hala (IMF, 2023). Pada masa yang sama, dedahan Malaysia terhadap permintaan luaran turut meningkat: bahagian DVA yang terkandung dalam permintaan akhir asing telah meningkat daripada 20% pada tahun 1995 kepada 37% pada tahun 2022. Perkembangan ini mencerminkan kebergantungan yang semakin ketara terhadap permintaan akhir daripada China dan AS. Meskipun mewujudkan peluang ketika pertumbuhan global kukuh, integrasi ini juga meningkatkan sensitiviti Malaysia apabila ketegangan geopolitik memuncak dan permintaan luaran menjadi perlahan, sekali gus menunjukkan kewujudan kelemahan struktur dalam ekonomi negara.

b) Perubahan Arus dalam Bekalan Global

Satu lagi sumber tekanan berpunca daripada perubahan dalam keadaan bekalan global. Meskipun eksport China ke AS mencatatkan penurunan pada tahun 2025, eksportnya ke pasaran lain telah meningkat dengan ketara (Rajah 14). Bagi ASEAN, import dari China merangkumi input perantaraan yang mengukuhkan rangkaian pengeluaran serantau serta barangan akhir yang meningkatkan persaingan terhadap pengeluar dalam negeri.

Bagi Malaysia pula, kesannya pada ketika ini agak bercampur-campur. Barangan perantaraan yang diperoleh dari China kekal penting untuk menyokong pengeluaran E&E dan jentera dalam negeri melalui pengukuhan rantaian belakang. Namun begitu, peningkatan kehadiran barangan akhir yang ditawarkan pada harga yang berdaya saing telah memperhebat tekanan persaingan, khususnya dalam sektor yang menyaksikan bekalan global berkembang lebih pantas daripada permintaan dan sektor yang semakin dikuasai oleh China dalam bahagian eksport dunia (Rajah 15). Malaysia kekal mencatatkan peningkatan sederhana dalam bahagian pasaran global sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, usaha mengekalkan momentum ini memerlukan peningkatan keupayaan yang berterusan untuk mengelakkan negara terpinggir dalam landskap perdagangan yang semakin sengit.

c) Risiko akibat Pergantungan pada Faktor Kitaran yang Menyokong Pertumbuhan

Tekanan luaran ini berkait rapat dengan realiti struktur ekonomi Malaysia. Prestasi eksport yang mantap sejak kebelakangan ini tertumpu pada sektor yang meraih manfaat daripada permintaan global yang kukuh, terutamanya sektor E&E. Analisis tentang perubahan bahagian pasaran eksport menunjukkan bahawa peningkatan sebanyak 0.23% yang dicatatkan oleh Malaysia antara tahun 2019 hingga 2024 mencerminkan komposisi produk yang menggalakkan, terutamanya dalam segmen semikonduktor (Rajah 16). Peningkatan daya saing asas turut menyumbang kepada prestasi tersebut, meskipun pada tahap yang lebih rendah berbanding dengan faktor permintaan. Walaupun pengkhususan dalam segmen teknologi yang berkembang pesat telah menyokong prestasi terkini, kebergantungan pada pemacu kitaran ini mendedahkan asas eksport negara kepada volatiliti yang lebih ketara apabila kitaran teknologi berubah atau apabila pesaing global memasuki ruang produk yang sama.

Yang kuat melakukan segala yang mampu, yang lemah mengubah suai segala yang perlu:[8] Memperteguh kedudukan Malaysia sebagai “titik pertengahan penting”[9]

Dalam persekitaran geoekonomi yang semakin tidak bersepadu berikutan rangkaian pengeluaran sentiasa disusun atur semula, dorongan dasar bukanlah untuk berundur daripada GVC, sebaliknya untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam GVC. Objektif strategik adalah untuk menempatkan Malaysia sebagai “titik pertengahan penting” (indispensable middle), iaitu nod bernilai tinggi yang boleh dipercayai dan menjadi sandaran syarikat global untuk memastikan kesinambungan, kepelbagaian, dan pengurusan risiko merentas rangkaian pengeluaran yang semakin tidak bersepadu. Sehubungan dengan itu, disyorkan tiga bidang tumpuan dasar yang berikut (Gambar Rajah 1).

Tumpuan 1: Mempelbagaikan rakan dagangan: Memperluas jangkauan pasaran Malaysia

Penumpuan aliran perdagangan Malaysia dengan AS dan China mewujudkan kelemahan yang ketara terhadap kejutan geopolitik dan dasar perdagangan. Oleh itu, usaha berterusan untuk meluaskan jangkauan eksport Malaysia dari segi geografi adalah wajar. Objektif ini bukanlah berasaskan pengunduran daripada hubungan dua hala sedia ada, sebaliknya didorong oleh keperluan berhemat untuk memastikan tiada satu koridor akaun perdagangan pun yang menyumbang kepada bahagian eksport secara tidak seimbang.

Usaha ini memerlukan keupayaan keinstitusian dan juga hubungan pasaran yang sedia ada untuk melaksanakan pengimbangan semula ini. Bagi Malaysia, terdapat peluang eksport yang besar yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya di luar AS dan China (bahagian nilai tambah global di AS: 27%, China: 17.3%). Antara pasaran ini termasuklah Kesatuan Eropah (16% daripada nilai tambah global) serta Timur Tengah, Amerika Latin dan Afrika Sub‑Sahara, dengan permintaan agregat untuk barangan perkilangan dan input perantaraan dijangka meningkat dalam tahun-tahun mendatang, didorong oleh pengembangan kapasiti perindustrian dan peningkatan penggunaan (IMF, 2025; UNIDO, 2023; ISS African Futures, 2025). Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memperkukuh kehadirannya dalam pasaran yang kurang diterokai ini dengan memanfaatkan perjanjian sedia ada, termasuk EFTA–Malaysia Economic Partnership Agreement,[10] Malaysia–UAE CEPA[11] dan CPTPP[12] (melibatkan Mexico, Chile dan Peru). Usaha ini boleh dilengkapkan melalui inisiatif penerokaan baharu, seperti kemungkinan libat urus antara Malaysia dengan SACU[13] untuk mengukuhkan akses jangka panjang ke rantau Selatan Afrika.

Selain mempelbagaikan pasaran, Malaysia juga perlu memperluas komposisi dan sumber asal importnya, termasuk mineral mustahak yang menjadi asas kepada sektor elektronik, tenaga boleh diperbaharui dan perkilangan termaju. Keadaan ini menyediakan peluang selanjutnya untuk memantapkan kerjasama pembekal–pengilang dengan ekonomi yang kaya dengan sumber mineral di Amerika Latin, Afrika, dan Asia Tengah. Kerjasama sedemikian berpotensi membantu Malaysia memperoleh akses yang lebih stabil dan pelbagai kepada input yang penting, sekali gus memperkukuh daya tahan dan daya saing industri.

Pempelbagaian pasaran dan produk sebaik-baiknya dilaksanakan seiring dengan langkah-langkah untuk mengurangkan halangan pengawalseliaan. Perjanjian perdagangan yang sedia ada dan baharu dengan rakan perdagangan menyediakan platform untuk tujuan ini, termasuk memperkemas peraturan negara asal (rules of origin), menurunkan tarif dan menyelaraskan piawaian. Langkah ini akan memastikan syarikat Malaysia dapat mengakses pasaran baharu tanpa banyak pergeseran pengawalseliaan, sambil mengekalkan perlindungan yang mencukupi terhadap kepentingan komersial masing-masing.

Tumpuan 2: Memperkasakan kerjasama dalam ASEAN: Memperkukuh kesalinglengkapan serantau

Usaha Malaysia untuk memperluas jangkauan geografi perdagangannya perlu disertai dengan integrasi ekonomi yang lebih mendalam. Walaupun pempelbagaian dapat membantu mengurangkan risiko penumpuan pasaran, tahap kedalaman integrasi sedemikianlah yang menentukan cara hubungan tersebut mewujudkan nilai. Secara kolektif, penyelarasan yang lebih mantap dalam ASEAN membolehkan negara anggotanya menarik lebih banyak pelaburan langsung asing yang berfungsi sebagai penampan terhadap risiko rantaian bekalan global yang berterusan.

Malaysia perlu terus memanfaatkan perdagangan intra-ASEAN untuk memenuhi permintaan pengguna serantau yang semakin meningkat. ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia, dengan KDNK dijangka melebihi USD5 trilion menjelang tahun 2030. Rantau ini juga memiliki penduduk berusia muda seramai 670 juta orang dan dijangka menambah lebih 130 juta pengguna kelas pertengahan baharu dalam dekad ini (World Economic Forum, 2020). Peluang ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya untuk menembusi jumlah pengguna yang kian berkembang. Namun demikian, perdagangan intra-ASEAN belum menunjukkan peningkatan yang ketara sejak awal tahun 2000-an. Sebagai rujukan, Kesatuan Eropah (European Union, EU) merupakan sebuah blok perdagangan utama yang telah mencatatkan tahap perdagangan intrarantau yang jauh lebih tinggi berbanding dengan rantau ASEAN (Rajah 17).

Selain berfungsi sebagai sumber permintaan tambahan, terdapat juga dorongan bersifat struktur untuk integrasi serantau yang lebih mendalam. Sebagai contoh, tahap integrasi perdagangan EU yang tinggi mencerminkan kesalinglengkapan pengeluaran yang kukuh dan struktur eksport yang lebih bersinergi, manakala tahap integrasi ASEAN yang lebih rendah mencerminkan struktur eksport bercirikan pengeluaran barangan yang lebih serupa dalam kalangan negara anggota (AMRO, 2025). Pencapaian struktur eksport yang lebih bersinergi memerlukan tahap kesalinglengkapan intrarantau yang lebih tinggi. Sehubungan dengan itu, FDI intrarantau adalah sangat penting untuk menggalakkan pelaburan yang lebih bersasar ke negara ASEAN, sekali gus membolehkan pembentukan ekosistem pengeluaran yang lebih bertumpukan serantau dan saling melengkapi.

Setakat tahun 2024, FDI intrarantau kekal rendah pada paras 14% daripada jumlah stok FDI, jauh di bawah paras yang diperhatikan di EU, iaitu 51.6%.[14] Hubungan pelaburan yang terhad ini melemahkan pembangunan rangkaian pembekal serta rantaian belakang dan hadapan rentas sempadan yang dapat bertahan lama, sekali gus menghalang ASEAN daripada merealisasikan sepenuhnya potensi asas perindustriannya secara kolektif. Oleh itu, pengukuhan hubungan pelaburan ini adalah penting bagi membuka ruang kepada ekosistem pengeluaran yang lebih kohesif dan tertumpu pada peringkat serantau. Khususnya, kehadiran syarikat multinasional semikonduktor terkemuka yang semakin meluas di beberapa ekonomi ASEAN mencerminkan kekuatan rantau ini yang saling melengkapi. Perkembangan ini menunjukkan potensi terpendam ekosistem tersebut yang boleh dirangsang dan diperluas melalui pelaburan intra-ASEAN yang lebih mendalam.

Pertumbuhan ASEAN membuktikan bahawa keseluruhan rantau boleh menghasilkan nilai yang mengatasi jumlah bahagian individunya. Oleh yang demikian, Malaysia boleh mengejar aspirasi pelaburannya dan pada masa yang sama menyumbang kepada pertumbuhan rangkaian pengeluaran ASEAN dengan meletakkan negara ini sebagai sebahagian daripada rangkaian yang saling melengkapi, bukannya sebagai hab pelaburan yang terasing. Pendekatan ini termasuk mengutamakan kerjasama dengan negara rakan ASEAN untuk membangunkan strategi pelaburan yang lebih kohesif. Strategi ini membolehkan Malaysia memanfaatkan keupayaannya yang tersendiri untuk menarik lebih banyak pelaburan serta memperluas dan memperdalam rantaian nilai ASEAN. Zon Ekonomi Khas yang menggabungkan insentif bersasar selaras dengan keutamaan serantau serta pembangunan tenaga mahir yang bersepadu dapat membantu Malaysia memperkukuh peranannya dalam rantaian nilai serantau, terutamanya dalam segmen yang Malaysia mempunyai kelebihan daya saing, selain membantu Malaysia membina kompleksiti ekonomi negara.

Tumpuan 3: Memacu pembaharuan struktur: Membina tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berproduktiviti tinggi

Kemampanan penyertaan Malaysia dalam GVC serta aspirasi untuk menjadi titik pertengahan penting bergantung pada keupayaan ekonomi dalam negeri untuk membekalkan modal insan dan keupayaan produktif yang diperlukan bagi integrasi yang bernilai lebih tinggi. Dalam pelbagai sesi libat urus industri oleh BNM, syarikat secara konsisten menyatakan kekurangan pekerja berkemahiran tinggi[15] sebagai salah satu kekangan yang membataskan pengembangan pengeluaran. Cabaran ini diperhatikan terutamanya dalam segmen E&E, apabila kecekapan yang khusus berdepan dengan persaingan yang sengit pada peringkat global. Pada masa yang sama, pihak berkepentingan industri menyedari bahawa usaha untuk mengatasi kekurangan ini turut memerlukan pakej pampasan yang lebih berdaya saing untuk mengekalkan tenaga mahir sedia ada serta menarik kepulangan diaspora Malaysia berkemahiran tinggi.

Usaha untuk menangani cabaran struktur ini memerlukan penyesuaian semula pendekatan terhadap pembangunan kemahiran. Langkah ini termasuk melonjakkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (technical and vocational education and training, TVET) ke tahap yang setara dengan laluan berasaskan ijazah. Pembaharuan terkini mencerminkan kemajuan yang bermakna, seperti pindaan perundangan untuk memperkukuh akreditasi dan pengiktirafan serta pengembangan latihan berteraskan permintaan melalui kerjasama industri. Walau bagaimanapun, penjajaran yang lebih mendalam dengan keperluan majikan serta pengukuhan selanjutnya terhadap institusi[16] kekal sebagai keutamaan penting (Wan, C.D., 2025). Usaha untuk meletakkan kedudukan TVET sebagai laluan yang berwibawa dan memberikan pulangan tinggi akan membantu menarik lebih ramai pelajar menyertai program yang sepadan dengan permintaan industri secara langsung.

Selain menambah baik TVET, Malaysia perlu bekerjasama dengan pakar bidang untuk merangka dan membiayai secara bersama latihan yang selaras dengan keperluan sektor. Perkongsian awam-swasta, bersama dengan pihak industri yang menyediakan kurikulum dan menyumbang kepada kos latihan boleh membantu untuk menawarkan model paling responsif untuk membangunkan keupayaan khusus. Strategi nasional yang sedia ada, termasuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas, NIMP 2030, dan Strategi Semikonduktor Nasional, menyediakan instrumen dasar untuk melaksanakan pendekatan ini dengan mengaitkan insentif kepada peluasan dwilatihan (dual training)[17] serta pengukuhan keupayaan keinstitusian. Secara kolektif, kesemua pembaharuan ini akan meletakkan asas modal insan yang berakar umbi dan kukuh bagi merintis laluan untuk Malaysia menjadi sebuah “titik pertengahan penting”.

Kesimpulan

Ketiga-tiga bidang tumpuan dasar, iaitu mempelbagaikan pasaran eksport, memperkasakan kerjasama dalam ASEAN, serta memacu pembaharuan struktur dalam negeri yang bertumpukan modal insan, mewujudkan satu rangka kerja yang saling memperkukuh dan bukannya inisiatif yang berdiri sendiri. Pempelbagaian pasaran akan memperteguh daya tahan terhadap kejutan luaran; FDI yang strategik dan yang menyerlahkan kompleksiti ekonomi akan menyokong peningkatan kedudukan dalam rantaian nilai; manakala tenaga kerja dalam negeri yang berkemahiran akan memastikan manfaat penyertaan dalam GVC adalah meluas dan mampan mengikut peredaran masa.

Secara agregat, kesemua strategi ini meletakkan Malaysia pada landasan untuk memperkukuh dan memperluas peranannya dalam rantaian nilai global pada tahap yang setara dengan aspirasi pembangunan negara. Matlamatnya bukan sekadar untuk mengekalkan penyertaan dalam GVC, justeru untuk muncul sebagai sebuah “titik pertengahan penting” yang berperanan penting untuk menggerakkan fungsi rangkaian pengeluaran yang lebih luas. Sekiranya Malaysia berjaya mencapai kedudukan ini, laluan untuk meraih status negara berpendapatan tinggi serta kemakmuran yang lebih berkekalan akan menjadi jauh lebih terjamin.

Rujukan

Abu Haniffa, S. (2025) ‘Malaysia and SA as a blueprint for South–South collaboration’, Business Day (South Africa), 3 October 2025. Tersedia di: https://www.businessday.co.za/bd/opinion/2025-10-03-salim-abu-haniffa-malaysia-and-sa-as-a-blueprint-for-south-south-collaboration/

Alfaro, Laura, and Davin Chor. (2023) Global Supply Chains: The Looming “Great Reallocation”. Harvard Business School Working Paper No. 24‑012. Tersedia di: Global Supply Chains: The Looming ‘Great Reallocation’ - Working Paper - Faculty & Research - Harvard Business School

AMRO (ASEAN+3 Macroeconomic Research Office). (2025) ASEAN at a Crossroads: Pathways for Deeper Economic Integration. Internal circulation report, October 2025.

ASEAN Secretariat and UNCTAD (2025) ASEAN Investment Report 2025: Foreign Direct Investment and Supply Chain Development. Jakarta: ASEAN Secretariat. Tersedia di: https://asean.org/wp-content/uploads/2025/10/ASEAN-Investment-Report-2025.pdf

ASEAN‑Japan Centre (2021) Global Value Chains in ASEAN: Malaysia (Paper 6). Tersedia di: https://www.asean.or.jp/main-site/wp-content/uploads/2024/03/GVC_Malaysia_Paper-6_WEB_full.pdf

Business Today Editorial (2025) ‘TVET gains degree status recognition under law reform’, Business Today, 17 July 2025. Tersedia di: https://www.businesstoday.com.my/2025/07/17/tvet-gains-degree-status-recognition-under-law-reform/

Department of Skills Development (n.d.) National Dual Training System (SLDN). Tersedia di: https://mpkk.dsd.gov.my/en/service/national-dual-training-system-sldn

ECB (2022) “Global Value Chains: Measurement, Trends and Drivers,” Occasional Paper No. 289. Section 4: The role of GVCs in the international transmission of shocks.

European Free Trade Association (EFTA) & Government of Malaysia (2025) EFTA–Malaysia Free Trade Agreement: Main Agreement. Tersedia di: https://www.efta.int/sites/default/files/uploads/2025-06/EFTA-MY%20FTA%20-%20Main%20Agreement.pdf

Harvard Growth Lab, Harvard Kennedy School (n.d.) The Atlas of Economic Complexity. Tersedia di: https://atlas.hks.harvard.edu/

Institute for Security Studies (ISS) African Futures (n.d.) Manufacturing. Tersedia di: https://futures.issafrica.org/thematic/07-manufacturing/

International Monetary Fund (2023) Geo‑economic fragmentation and the future of multilateralism. Staff Discussion Note No. 2023/001.

International Monetary Fund (2025) Regional Economic Outlook: Middle East and Central Asia – Resilience amid Uncertainty. October 2025. Tersedia di: https://www.imf.org/-/media/files/publications/reo/mcd-cca/2025/october/english/text.pdf

International Monetary Fund, European Department (2024) Accelerating Europe’s Income Convergence through Integration (Regional Economic Outlook Notes: Europe, Note 2). Tersedia di: https://www.imf.org/-/media/files/publications/reo/eur/2024/october/english/reoeurnote2.pdf

Malaysian Investment Development Authority (MIDA) (2024) ‘National Semiconductor Strategy to guide industry up value chain’, News release, 20 June 2024. Tersedia di: https://www.mida.gov.my/mida-news/national-semiconductor-strategy-to-guide-industry-up-value-chain/

Malaysian Investment Development Authority (MIDA) (2026) Frequently Asked Questions about the New Incentive Framework (NIF). Updated 19 January 2026. Tersedia di: https://www.mida.gov.my/wp-content/uploads/2026/01/NIF-FAQ-U.pdf

Mancini, M., Taglioni, D. and Borin, A. (2022) ‘Integration in global value chains might not increase exposure to risk after all.’ CEPR VoxEU. Tersedia di: https://cepr.org/voxeu/columns/integration-global-value-chains-might-not-increase-exposure-risk-after-all

Ministry of Economy (Malaysia) (2025) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030: Risalah. Tersedia di: https://rmk13.ekonomi.gov.my/wp-content/uploads/2025/08/240825-risalah-bm-Final.pdf

Ministry of Finance, Malaysia (2024) CPTPP: Government Procurement. Tersedia di: https://www.mof.gov.my/portal/en/procurement/cptpp

Ministry of Investment, Trade and Industry (MITI) (2023) New Industrial Master Plan 2030. Tersedia di: https://www.nimp2030.gov.my/nimp2030/resources/NIMP_2030.pdf

Organisation for Economic Co‑operation and Development (OECD) (2025) Guide to OECD Trade in Value Added (TiVA) Indicators, 2025 edition.

Qiang, C.Z., Liu, Y. and Steenbergen, V. (2021) An investment perspective on global value chains. World Bank. Tersedia di: https://doi.org/10.1596/978-1-4848-1683-3

Taguchi, H. (2018) Domestic Value Creation in the Involvement in Global Value Chains: Evidence of China. MPRA Paper No. 88436, Saitama University.

U.S. Bureau of Economic Analysis (2025) Global Value Chains. U.S. Department of Commerce.

United Nations Industrial Development Organization (UNIDO) (2023) International Yearbook of Industrial Statistics 2023: Latin America and the Caribbean. Tersedia di: https://www.unido.org/sites/default/files/unido-publications/2023-12/documents_Yearbook_2023_UNIDO_IndustrialStatistics_Yearbook_2023_LAC.pdf

Wan, C.D. (2025) TVET in Malaysia’s Human Resource Development: Plans, Realities and ‘Game Changers’. ISEAS–Yusof Ishak Institute, ISEAS Perspective 2025/5. Tersedia di: https://www.iseas.edu.sg/wp-content/uploads/2024/11/ISEAS_Perspective_2025_5.pdf

World Bank (2024) A Fresh Take on Reducing Inequality and Enhancing Mobility in Malaysia. Washington, DC: World Bank. Tersedia di: https://documents.worldbank.org/en/publication/documents-reports/documentdetail/099020425114013251

Nota

[1] Anggaran berdasarkan Trade in Value-Added (TiVA) OECD 2025. Rujuk Rajah 3.

[2] Jumlah dagangan Malaysia mencakupi 136.4% daripada KDNK nominal pada tahun 2025.

[3] DVA merujuk semua nilai yang dihasilkan di Malaysia seperti yang ditakrifkan oleh pangkalan data TiVA OECD. Hanya bahagian DVA yang terkandung dalam eksport negara lain, dikenali sebagai nilai tambah dalam negeri dalam eksport asing (domestic value added in foreign exports, DVX) diklasifikasikan sebagai rantaian hadapan. Jika FVA mencakupi 34% daripada eksport kasar Malaysia, baki 65% pula mewakili DVA. Daripada jumlah ini, dianggarkan 21 mata peratusan mencerminkan rantaian hadapan (DVX), yang mencakupi nilai tambah Malaysia yang diserap ke dalam eksport negara asing (Rajah 3). Baki DVA diserap di luar negara dalam permintaan akhir rakan-rakan dagangan.

[4] Dikira menggunakan Perangkaan Pembuatan Bulanan Jabatan Perangkaan Malaysia: data pekerja bergaji daripada Jadual 1.2a dan upah & gaji daripada Jadual 1.3a (Jan.–Dis. 2025). Sektor berorientasikan eksport termasuk: tekstil, pakaian, kayu-kayan, perabot, petroleum, bahan kimia, bahan getah & plastik, serta E&E.

[5] Intensiti DVA merujuk bahagian nilai tambah dalam negeri yang terkandung dalam eksport kasar sesebuah negara.

[6] Eksport dalam negeri ialah barangan yang dihasilkan atau kebanyakannya diproses di dalam negara dan kemudian dijual ke luar negara. Barangan ini tidak termasuk barangan yang dieksport semula, iaitu barangan yang diimport dari negara lain yang kemudiannya dieksport semula, dengan sedikit atau tanpa sebarang perubahan.

[7] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana “Kedudukan Malaysia dalam Rantaian Nilai E&E Global dan Prospek” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 Bank Negara Malaysia.

[8] Ayat ini merupakan ungkapan semula kata-kata terkenal dalam History of the Peloponnesian War karya Thucydides, “The strong do what they can, the weak suffer what they must” (Yang kuat melakukan segala yang mampu, yang lemah menanggung segala yang perlu). Dalam konteks geoekonomi, ungkapan tersebut digunakan untuk menggambarkan situasi apabila ekonomi yang lebih besar atau lebih berkuasa menetapkan peraturan interaksi, manakala ekonomi yang lebih kecil terpaksa patuh disebabkan kekurangan daya pengaruh.

[9] Istilah “titik pertengahan penting” (indispensable middle) sejajar dengan literatur akademik tentang hab pertengahan dalam GVC, iaitu negara yang mengkhusus dalam peringkat perantaraan mustahak berperanan sebagai penghubung yang sangat penting, memperoleh limpahan produktiviti dan mempengaruhi cara kejutan ekonomi tersebar merentas pelbagai ekonomi. Sebagai contoh, Alfaro dan Chor (2023) mendokumenkan cara negara seperti Vietnam dan Mexico telah memperkukuh peranan masing-masing sebagai perantara penting tatkala syarikat global mengalihkan sumber dan pengeluaran di pelbagai kawasan geografi berikutan ketegangan geopolitik. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Liew Chin Tong, mantan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, turut menggunakan istilah tersebut untuk menggambarkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi dan semikonduktor global.

[10] Perjanjian perkongsian ekonomi antara Malaysia dengan European Free Trade Association ini merangkumi Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland.

[11] Comprehensive Economic Partnership Agreement antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu.

[12] Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership.

[13] South Africa Customs Union merangkumi Botswana, Eswatini, Lesotho, Namibia dan Afrika Selatan.

[14] Sumber: ASEANstats, Eurostat

[15] Untuk maklumat lanjut, rujuk rencana “Keperluan Pembaharuan Pasaran Pekerja di Malaysia: Cabaran dan Peluang” dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 Bank Negara Malaysia.

[16] Merujuk usaha berterusan untuk memperkukuh tadbir urus dan penyelarasan dalam ekosistem TVET, termasuk Suruhanjaya TVET khas yang akan ditubuhkan, di samping pembaharuan yang lebih meluas untuk menjajarkan piawaian industri, pendanaan dan data merentas institusi.

[17] Merujuk Sistem Latihan Dual Nasional, iaitu model perantisan berorientasikan industri yang menggabungkan latihan praktikal di tempat kerja sebenar dengan latihan teori di pusat latihan untuk membina tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?