Bagaimanakah saya boleh menghubungi pasukan Sandbox?

Pasukan Sandbox boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]

Apakah yang anda boleh jangkakan selepas mengemukakan permohonan?

  • Anda boleh menjangka untuk menerima pengesahan permohonan anda dalam tempoh 1 hingga 3 hari bekerja.

  • Permohonan anda akan dinilai berdasarkan kriteria kelayakan yang ditentukan di bawah Seksyen 5 Rangka Kerja Sandbox Pengawalseliaan. Proses ini biasanya melibatkan beberapa perbincangan untuk lebih memahami model perniagaan yang anda cadangkan.

  • Keputusan tentang permohonan anda akan diberikan dalam tempoh 15 hari bekerja dari tarikh maklumat lengkap diserahkan kepada Bank.

  • Cepat atau lambatnya proses yang melalui tahap permohonan bergantung sama ada maklumat yang diberikan lengkap dan penyelesaian anda bersedia untuk diuji dalam persekitaran sebenar.

Apakah yang perlu anda lakukan sebelum memohon?

Anda harus merujuk panduan permohonan di sini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Apakah aktiviti / perniagaan yang dikawal selia oleh BNM?

Anda boleh merujuk ke halaman Pengawalseliaan untuk maklumat tentang kegiatan yang dikawal selia.

Adakah institusi kewangan konvensional dibenarkan untuk menguji penyediaan penyelesaian bagi perkhidmatan kewangan Islam dan/atau bekerjasama dengan syarikat fintech untuk menguji penyelesaian yang dicadangkan bagi perkhidmatan kewangan Islam di bawah Sandbox Kawal Selia?

Institusi kewangan adalah tertakluk kepada kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada BNM menurut seksyen 14, 15 dan 16 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk menjalankan perniagaan kewangan Islam. Hal ini termasuklah sebarang kerjasama atau perkongsian dengan syarikat fintech untuk menawarkan penyelesaian bagi perkhidmatan kewangan Islam melalui Sandbox Kawal Selia.

Penyelesaian fintech saya tidak tergolong dalam mana-mana aktiviti semasa yang dikawal selia oleh BNM. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan pengesahan tentang perkara ini?

Anda boleh bertanya kepada [email protected].

Bagaimanakah anda boleh memohon ke Sandbox?

Anda boleh menghantar Borang Permohonan Sandbox melalui e-mel kepada [email protected]

Sebelum mengemukakan permohonan, anda perlu memastikan bahawa anda telah membaca dan memahami panduan permohonan di laman ini secara terperinci.

Apakah yang akan dinilai?

Permohonan anda akan dinilai berdasarkan kriteria kelayakan yang ditentukan di bawah Seksyen 5 Rangka Kerja Sandbox Pengawalseliaan. Penilaian ini biasanya melibatkan beberapa perbincangan untuk memahami model perniagaan anda dengan lebih baik. Anda perlu merujuk panduan permohonan di laman ini untuk mengetahui lebih lanjut.

Adakah pemohon perlu menunjukkan pematuhan terhadap keperluan modal BNM untuk diluluskan bagi menyertai Sandbox Standard?

BNM menjangkakan semua pemohon mempunyai permodalan yang mencukupi bagi perniagaan yang dijalankan, dengan tahap kecukupan tersebut lazimnya berpandukan keperluan modal berasaskan risiko BNM yang sedia ada, jika berkaitan. Walau bagaimanapun, layanan kawal selia dan kelonggaran yang khusus boleh disesuaikan berdasarkan kes demi kes, mengikut merit permohonan.

Adakah pemohon perlu mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan di bawah Dokumen Dasar (DD) mengenai Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT)?

Pematuhan terhadap DD RMiT semasa ujian langsung tidak menjadi sebahagian daripada kriteria kelulusan Sandbox Kawal Selia. Walau bagaimanapun, terdapat langkah-langkah perlindungan bagi risiko siber dan teknologi yang tidak boleh dirunding dan menjadi keperluan asas bagi semua penyelesaian yang dicadangkan dalam Sandbox Kawal Selia. Keperluan ini akan ditetapkan berdasarkan kes demi kes, bergantung pada penyelesaian yang dicadangkan. Secara amnya, keperluan ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada, perkara-perkara berikut:

  • kerahsiaan data pelanggan dan keselamatan maklumat;

  • ujian penembusan yang menyeluruh oleh pihak ketiga yang bertauliah ke atas aplikasi dan infrastruktur rangkaian pemohon, sama ada yang digunakan secara dalaman atau yang berhadapan dengan pihak luar; dan

  • ketersediaan tinggi dan kebolehskalaan infrastruktur awan, jika ada, termasuk keupayaan pemulihan dan penyambungan semula yang kukuh, serta pengekalan pemilikan, kawalan dan pengurusan ke atas semua data berkaitan maklumat pelanggan dan pihak berlawan, data proprietari dan perkhidmatan yang dihoskan di awan.

Namun begitu, apabila bergraduat daripada Sandbox Kawal Selia atau meningkatkan skala sebelum pelancaran komersial secara lebih meluas, peserta dijangka menjalankan penilaian jurang pematuhan RMiT yang menyeluruh serta menyatakan usaha dan pelan tindakan untuk menangani jurang yang dikenal pasti.

Apakah jangkaan bagi permohonan Sandbox Kawal Selia yang melibatkan penyediaan penyelesaian bagi perkhidmatan kewangan Islam yang selaras dengan keputusan Syariah sedia ada?

Pemohon yang mencadangkan penyelesaian bagi perkhidmatan kewangan Islam yang melibatkan kontrak Syariah yang mudah dan berada dalam lingkungan keputusan Syariah sedia ada dikehendaki mengemukakan maklumat kepada BNM yang merangkumi:

  • perihalan produk, termasuk nama dan ciri-ciri produk;

  • struktur produk, termasuk aliran transaksi;

  • jenis kontrak Syariah yang digunakan; dan

  • penilaian pematuhan terhadap keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) yang berkaitan dan/atau keperluan Syariah yang berkaitan dengan struktur produk.

Adakah BNM turut mempertimbangkan permohonan bagi penyelesaian perkhidmatan kewangan Islam yang tidak mempunyai keputusan Syariah sedia ada?

Ya. Bagi cadangan penyelesaian perkhidmatan kewangan Islam yang tidak mempunyai keputusan Syariah sedia ada, BNM boleh mempertimbangkan untuk membenarkan penyelesaian tersebut diuji dalam Sandbox, tertakluk kepada pemohon menunjukkan perkara-perkara berikut:

Sandbox Standard

  • Pada Peringkat 1, pelan perniagaan dan garis masa yang jelas bagi pelantikan jawatankuasa Syariah/perunding Syariah untuk membincangkan dan mengeluarkan keputusan berhubung perkara yang belum mempunyai keputusan Syariah sedia ada, disokong oleh justifikasi dan rasional yang kukuh; dan

  • Pada Peringkat 2, perakuan oleh jawatankuasa Syariah/perunding Syariah yang dilantik bahawa penyelesaian yang dicadangkan adalah selaras dengan prinsip Syariah, disokong oleh dokumentasi minit mesyuarat bersama jawatankuasa Syariah/perunding Syariah yang tepat dan terperinci, yang merangkumi, antara lain, rekod keputusan atau nasihat, perbincangan utama, rasional bagi setiap keputusan atau nasihat yang dibuat, serta sebarang kebimbangan penting dan pandangan berbeza. Perakuan dan dokumentasi sokongan tersebut juga boleh dikemukakan lebih awal kepada Bank semasa Peringkat 1, jika ada.

Laluan Hijau

  • Perakuan oleh Jawatankuasa Syariah institusi kewangan yang menyertai bahawa penyelesaian baharu yang akan diuji adalah selaras dengan prinsip Syariah. Sama seperti Sandbox Standard, perakuan ini hendaklah disokong oleh dokumentasi minit mesyuarat jawatankuasa Syariah yang tepat dan terperinci, yang merekodkan keputusan atau nasihat, perbincangan utama, rasional bagi setiap keputusan atau nasihat yang dibuat, serta sebarang kebimbangan penting dan pandangan berbeza.

Walau bagaimanapun, Bank tidak akan mempertimbangkan sesuatu permohonan sekiranya cadangan penyelesaian bagi perkhidmatan kewangan Islam tersebut didapati bercanggah dengan mana-mana keputusan Syariah sedia ada.

{{ item.title }}