Bagaimana untuk mengelakkan diganggu oleh pemungut hutang?

Institusi kewangan mungkin melibatkan pemungut hutang untuk mendapatkan semula hutang yang ada jika anda gagal membalas notis peringatan untuk membuat pembayaran semula.

Sekiranya anda menghadapi kesukaran membuat pembayaran semula, anda boleh berbincang dengan institusi kewangan anda untuk penjadualan dan penstrukturan semula pelan pembayaran anda.

Sekiranya terbeban dengan hutang anda, anda boleh merujuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai pengurusan kewangan dan juga membantu penstrukturan semula pinjaman.

Apa yang berlaku jika saya mengabaikan pemungut hutang?

Jika anda berterusan mengabaikan pemungut hutang, institusi kewangan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap anda.

Institusi kewangan telah mengenakan fi yang tidak dikenalpasti ke atas kad kredit saya. Apa yang perlu saya lakukan?

Hubungi institusi kewangan dengan segera mengenai sebarang yuran yang tidak diperakui dalam akaun kad kredit anda.

Anda boleh merujuk senarai Unit Aduan bank-bank di sini.

Terdapat transaksi berganda/transaksi tidak sah dalam penyata kad kredit saya. Apa yang perlu saya saya lakukan?

Anda dinasihatkan untuk melaporkan kepada institusi kewangan sekiranya terdapat transaksi berganda dalam penyata bank anda.

Bank akan menyiasat pertikaian dan menyekat kad kredit anda untuk mengelakkan transaksi tanpa kebenaran.

Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya saya kehilangan kad debit/kredit saya?

Sila laporkan segera kepada pihak institusi kewangan dan polis, sekiranya kad debit/kredit anda telah hilang atau dicuri. Institusi kewangan akan menyekat kad debit/kredit serta-merta, bagi mengelakkan berlakunya transaksi tanpa kebenaran.

Institusi kewangan telah salah mengenakan fi dan caj ke atas kemudahan perbankan saya. Apa yang perlu saya lakukan?

Semua fi dan caj yang dikenakan oleh institusi kewangan dinyatakan dalam terma dan syarat kemudahan antara pelanggan dan institusi perbankan.

Jika anda mendapati bahawa institusi kewangan telah salah mengenakan fi dan caj, anda mempunyai hak untuk mempertikaikan fi dan caj tersebut kepada institusi kewangan anda dalam masa yang ditetapkan.

Anda boleh merujuk senarai Unit Aduan bank-bank di sini.

Saya mempunyai kesukaran dalam membayar baki pinjaman / kad kredit saya. Bolehkah BNM membantu saya?

Anda digalakkan untuk berbincang dengan pihak institusi kewangan mengenai situasi anda. Pihak institusi kewangan mungkin memberikan beberapa resolusi seperti penstrukturan semula atau penjadualan semula pinjaman. Anda juga dinasihatkan untuk berunding dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengenai situasi anda.

Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai AKPK di sini.

Apa yang berlaku kepada penjamin sekiranya peminjam tidak membuat pembayaran balik pinjaman?

Apabila anda bertindak sebagai penjamin, anda bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik pinjaman jika peminjam gagal berbuat demikian. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penjamin jika bank boleh membuktikan segala tindakan perolehan pembayaran telah dilaksanakan terhadap peminjam. Anda dinasihatkan untuk berbincang dengan institusi kewangan mengenai pengaturan pembayaran balik yang munasabah.

Bagaimana untuk mengelakkan akaun saya daripada menjadi dorman?

Anda boleh mengelakkan akaun anda daripada menjadi dorman/tidak aktif dengan memastikan terdapat beberapa transaksi (seperti simpanan atau pengeluaran) dibuat dalam akaun anda dalam tempoh 12 bulan.

Apakah yang akan berlaku jika akaun saya masih dorman untuk tempoh 7 tahun?

Apabila akaun anda dorman/tidak aktif selama 7 tahun, akaun tersebut akan diklasifikasikan sebagai wang tidak dituntut. Dibawah Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Pindaan 2002), baki akaun akan dipindahkan oleh insititusi kewangan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut.

Anda boleh berhubung dengan "Unit Wang Tak Dituntut" di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia. (JANM) atau melalui dalam talian melalui eGUMIS iaitu perkhidmatan dalam talian yang membolehkan untuk mencari wang tidak dituntut / membuat permohonan bayaran balik untuk wang tidak dituntut.

Permohonan Wang Tidak Dituntut hanya akan diproses selepas Pendaftar menerima borang permohonan dan semua dokumen sokongan.

Sila berurusan terus dengan JANM dan diingatkan bahawa Pendaftar Wang Tidak Dituntut tidak melantik mana-mana individu atau syarikat sebagai orang tengah atau ejen dalam perkara yang berkaitan dengan tuntutan Wang Tidak Dituntut.

e-Wang saya telah disekat oleh pengendali e-wang. Apakah yang perlu saya lakukan?

Anda harus menghubungi pengendali e-wang anda berkenaan situasi anda untuk mendapatkan bantuan selanjutnya.

Jika pinjaman saya diklasifikasikan sebagai pinjaman sekatan masa, adakah institusi kewangan masih boleh melaporkan rekod pinjaman saya dalam CCRIS?

CCRIS tidak melarang institusi kewangan daripada melaporkan butiran yang berkaitan dengan hutang sekatan masa kerana hutang tersebut tidak luput atau dipadamkan.

{{ item.title }}