Soalan Lazim
Bolehkah saya dapatkan maklumat CCRIS melalui telefon daripada Bank Negara Malaysia?
Tidak. Kami (Bank Negara Malaysia) tidak dibenarkan mendedahkan maklumat CCRIS melalui telefon memandangkan maklumat dalam laporan itu adalah rahsia dan pengesahan tidak boleh dibuat untuk memastikan pemanggil ialah pemilik maklumat tersebut.
Bolehkah saya dapatkan laporan CCRIS daripada bank saya?
Tidak. Anda hanya boleh dapatkan laporan CCRIS daripada Bank Negara Malaysia atau melalui eCCRIS. Untuk maklumat lanjut mengenai eCCRIS, sila layari bnm.gov.my/ccris.
Bolehkah saya berikan kebenaran kepada orang lain untuk mendapatkan laporan CCRIS saya daripada Bank Negara Malaysia?
Tidak. Laporan CCRIS hanya boleh diberikan kepada individu yang merupakan pemilik maklumat tersebut.
Seorang rakan saya perlu mendapatkan laporan CCRISnya. Bolehkah saya dapatkan laporan tersebut bagi pihaknya?
Tidak. Laporan CCRIS hanya boleh diberikan kepada individu yang merupakan pemilik maklumat tersebut.
Saya akan menjadi penjamin untuk satu pinjaman. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan CCRIS individu berkenaan yang pinjamannya telah/akan saya jamin?
Tidak. Laporan CCRIS hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.
Saya seorang peminjam. Bolehkah saya dapatkan salinan laporan CCRIS penjamin saya?
Tidak. Laporan CCRIS hanya boleh diberikan kepada individu yang berkenaan sahaja.
Bolehkah saya dapatkan laporan CCRIS bagi pihak ibu saya yang sedang sakit?
Boleh. Permohonan mestilah disertakan dengan Borang Permohonan Laporan CCRIS yang telah dilengkapkan berserta dokumen berikut:
- Satu salinan kad pengenalan (MyKad) pemohon;
- Satu salinan kad pengenalan (MyKad) individu yang diberi kuasa (waris yang terdekat);
- Surat rujukan mutakhir dan laporan perubatan yang disahkan oleh doktor dan hospital; dan
- Satu salinan surat beranak/sijil perkahwinan waris yang terdekat sebagai bukti hubungan dengan pesakit.
Rakan saya telah kematian bapanya baru-baru ini. Bolehkah rakan saya itu mendapatkan laporan CCRIS bapanya?
Laporan CCRIS si mati hanya boleh diberikan kepada individu yang diberikan kuasa secara sah untuk mentadbir harta pusaka si mati seperti yang dinamakan dalam Surat Tadbir Kuasa. Permohonan hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan borang permohonan laporan CCRIS berserta satu (1) salinan dokumen berikut:
- Dokumen asal atau salinan Surat Tadbir Kuasa yang telah disahkan oleh pengeluar; dan
- Kad pengenalan (MyKad) Pentadbir Kuasa.
Saya merupakan pengarah sebuah syarikat dan ingin mendapatkan laporan CCRIS syarikat, apakah prosedurnya?
Permohonan hendaklah disertakan dengan Borang Permohonan laporan CCRIS yang disokong oleh satu salinan dokumen berikut:
- Kad pengenalan (MyKad) atau pasport (jika bukan warganegara Malaysia) orang yang diberikan kuasa untuk mengambil laporan tersebut;
- Surat kuasa (menggunakan kepala surat syarikat) daripada syarikat untuk mengesahkan orang yang diberikan kuasa untuk mengambil laporan CCRIS. Surat tersebut
hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Syarikat dan sekurang-kurangnya dua Pengarah Syarikat; - Sijil Pendaftaran Syarikat yang telah disahkan (Borang 9) oleh Setiausaha Syarikat;
- Sijil Pendaftaran Pertukaran Nama Syarikat yang telah disahkan (Borang 13) oleh Setiausaha Syarikat, sekiranya ada; dan
- Senarai Pengarah Syarikat terkini yang telah disahkan (Borang 49) oleh Setiausaha Syarikat.
* Sila ambil perhatian bahawa surat kuasa dan semua salinan dokumen yang telah disahkan hendaklah bertarikh 14 hari bekerja sebelum tarikh penyerahan Borang Permohonan laporan CCRIS.
Berapakah yang perlu saya bayar untuk satu salinan laporan CCRIS?
Tiada bayaran dikenakan oleh Bank Negara Malaysia atau melalui eCCRIS buat masa ini.
Dari manakah BNM mendapatkan maklumat dalam CCRIS?
BNM mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan peserta CCRIS, iaitu semua bank perdagangan, bank Islam, bank pelaburan, institusi kewangan pembangunan, sebahagian syarikat insurans, pengeluar instrumen pembayaran dan institusi pemulihan berlesen, syarikat pembinaan, syarikat pemajakan kredit dan agensi kerajaan.
Apakah maklumat yang dilaporkan oleh institusi kewangan peserta kepada BNM?
Institusi kewangan peserta melaporkan data pengenalan diri peminjam yang penting (seperti nama, nombor pengenalan diri dan tarikh lahir) dan melaporkandata berkaitan permohonan kredit dan pinjaman yang dikeluarkan kepada peminjam (seperti jenis kemudahan kredit, pengendalian akaun dan had kredit).