Saya mendapati terdapat kesilapan/ralat pada maklumat saya di dalam laporan kredit (cth. ejaan nama, tarikh lahir, status pengesahan belum selesai) seperti yang dilaporkan oleh institusi kewangan. Bagaimanakah untuk saya membetulkan pengesahan data tersebut?

Anda dikehendaki melaporkan pertikaian/permintaan pengesahan data anda kepada bank melalui eCCRIS (eccris.bnm.gov.my).

Anda boleh merujuk laman web CCRIS: eccris.bnm.gov.my untuk penjelasan lanjut mengenai CCRIS/eCCRIS.

Langkah-langkah untuk pengesahan data boleh didapati di pautan berikut: www.bnm.gov.my/documents/20124/6190098/eCCRIS_FAQ_en.pdf.

Mengapakah terdapat perubahan jumlah ansuran bulanan selepas perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR)?

Apabila BNM menyemak OPR, kadar faedah bank turut dinaikkan atau diturunkan, bagi mengimbangi kestabilan ekonomi.

Sebagai contoh, OPR dinaikkan untuk mengawal inflasi. Ini akan mengakibatkan kos pinjaman yang lebih tinggi dan kenaikan pada ansuran bulanan pinjaman. Dengan ini, rakyat akan mengurangkan perbelanjaan dan ini akan membantu mengawal harga barangan.

Sebaliknya, OPR akan dikurangkan apabila menghadapi kelembapan ekonomi. Kos pinjaman akan turun dan pengguna mempunyai daya berbelanja yang lebih dan merangsang perbelanjaan. Dengan ini, ekonomi akan terangsang dan menjana pertumbuhan ekonomi.

Maklumat lanjut berkaitan OPR boleh didapati melalui laman sesawang berikut: /documents/20124/8737479/mps_faq_nov2022_en.pdf

Anda disarankan untuk merujuk pihak bank, sekiranya menghadapi sebarang kesulitan dalam membuat pembayaran ansuran yang baru.

Apakah CCRIS

CCRIS merupakan sistem yang mengumpul semua maklumat kredit peminjam daripada institusi kewangan peserta dan membekalkan semula maklumat tersebut kepada institusi kewangan peserta. CCRIS merupakan salah satu sumber maklumat yang digunakan institusi kewangan peserta untuk membantu merekamemeriksa sejarah kredit peminjam sedia ada atau bakal peminjam mereka. CCRIS bukanlah sistem yang menyenarai hitam peminjam seperti tanggapan sesetengah pihak.

Apakah nama penuh CCRIS?

CCRIS ialah singkatan bagi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (atau Central Credit Reference Information System).

Apakah nama penuh eCCRIS?

eCCRIS ialah singkatan bagi Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (atau Central Credit Reference Information System) Elektronik.

Mengapakah Bank Negara Malaysia menubuhkan CCRIS?

Salah satu fungsi Bank Negara Malaysia adalah untuk mengawal selia dan menyelia institusi kewangan supaya sistem kewangan negara kukuh dan stabil. Oleh itu, Bank Negara Malaysia menggalakkan dasar kredit yang berhemat dan sikap profesional dalam kalangan institusi kewangan, termasuk penerapan amalan perniagaan terbaik dalam pengurusan risiko kredit. Satu daripada cara untuk berbuat demikian adalah dengan menyediakan CCRIS kepada institusi kewangan peserta supaya mereka boleh membuat keputusan pemberian pinjaman dengan lebih cepat dan baik berdasarkan maklumat yang mencukupi.

Mengapakah Bank Negara Malaysia menubuhkan eCCRIS?

eCCRIS merupakan saluran tambahan bagi orang ramai untuk memudahkan pengendalian CCRIS (Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat) secara dalam talian. Di bawah inisiatif eCCRIS, orang awam (individu, syarikat dan perniagaan) mempunyai saluran dalam talian untuk mengakses dan mendapatkan laporan CCRIS mereka, dan mengemukakan permintaan pengesahan data secara langsung kepada institusi kewangan peserta atau Bank Negara Malaysia untuk mengesahkan atau membetulkan maklumat dalam laporan CCRIS.

Bolehkah saya menghalang BNM daripada menyimpan maklumat diri saya?

Tidak. BNM diberikan kuasa undang-undang untuk mengumpulkan dan menyimpan maklumat sedemikian.

Adakah undang-undang membenarkan seseorang peminjam mengakses laporan CCRISnya sendiri?

Ya. Akta Bank Negara Malaysia 2009 membenarkan Bank Negara Malaysia memberikan maklumat kredit peminjam kepada peminjam itu sendiri untuk pengesahan ketepatan maklumat yang terdapat dalam laporan CCRIS.

Adakah institusi kewangan diberikan akses kepada laporan CCRIS seseorang peminjam yang bukan pelanggannya/bakal pelanggannya?

Tidak. Jika institusi kewangan mengakses laporan CCRIS secara tidak sah, institusi kewangan tersebut boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009.

Institusi kewangan memaklumkan saya bahawa saya mempunyai rekod laporan CCRIS yang buruk. Di manakah boleh saya dapatkan butiran terperinci rekod tersebut?

Anda boleh mendapatkan laporan CCRIS anda melalui saluran berikut:

(1) eCCRIS, anda boleh mengakses laporan CCRIS secara dalam talian di eccris.bnm.gov.my ; dan

(2) Kiosk CCRIS di premis (Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara. Rujuk laman web AKPK untuk maklumat lanjut.

Sekiranya anda belum mendaftar, dapatkan maklumat pendaftaran di Laman web CCRIS.

Berapa kerapkah boleh saya dapatkan laporan CCRIS?

Tiada had ditetapkan untuk mendapatkan laporan CCRIS anda. Sebagai pengguna eCCRIS, anda boleh mendapatkan laporan CCRIS di mana-mana sahaja. Untuk maklumat lanjut mengenai eCCRIS, sila layari bnm.gov.my/ccris

{{ item.title }}