Soalan Lazim
Saya telah membuat pembayaran penuh akaun pinjaman saya. Mengapakah Bank Negara Malaysia masih belum mengemaskinikan rekod saya?
Bank Negara Malaysia hanya mengumpul maklumat kredit daripada institusi kewangan dan tidak mengemas kini mana-mana rekod. Institusi kewangan peserta yang bertanggungjawab untuk mengemaskini rekod anda. Sekiranya anda dapati akaun pinjaman tersebut belum dikemaskini, sila maklumkan perkara ini kepada institusi kewangan yang berkenaan.
Saya bukan lagi pemilik/rakan kongsi sebuah perniagaan, tetapi institusi kewangan masih lagi melaporkan saya sebagai pemilik perniagaan tersebut. Apakah yang perlu saya lakukan?
Sekiranya anda bukan lagi pemilik/rakan kongsi sesebuah perniagaan, anda perlu mengemaskini status pemilikan tersebut di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika dalam perjanjian pindah milik ataupun perjanjian dengan rakan kongsi lain menyatakan bahawa apabila anda keluar daripada perniagaan tersebut, dan anda tidak lagi dipertanggungjawabkan kepada pinjaman tersebut, anda perlu memberitahu perkara ini kepada institusi kewangan yang memberikan kemudahan pinjaman kepada perniagaan tersebut untuk mengemaskini rekod mereka. Ini supaya anda tidak lagi menanggung sebarang liabiliti yang berkaitan dengan pinjaman tersebut. Sekiranya anda menjadi penjamin pinjaman perniagaan tersebut dan tiada perjanjian untuk memindahkan liabiliti, anda masih bertanggungjawab terhadap pinjaman perniagaan tersebut.
Saya rakyat asing yang bekerja di Malaysia dan sedang memohon kad kredit daripada sebuah bank. Walau bagaimanapun, saya diberitahu ada individu lain yang mempunyai nombor dokumen pengenalan diri (ID) yang sama dengan nombor pasport saya. Oleh itu, pihak bank tidak boleh memproses permohonan kad kredit saya.
Memandangkan nombor pasport asing tidak unik, nombor ID yang diberikan kepada seseorang rakyat Malaysia mungkin secara kebetulan sama dengan nombor pasport anda. Ini tidak bermakna terdapat unsur penipuan. Dalam keadaan ini, sila maklumkan kepada pegawai bank yang memproses permohonan kad kredit tersebut supaya menghubungi Bank Negara Malaysia untuk menyelesaikan perkara itu, atau anda juga boleh memberikan maklumat mengenai pegawai bank tersebut kepada kami untuk tindakan susulan.
Saya tidak bersetuju dengan cara akaun saya dilaporkan sebagai tidak berbayar kerana saya tidak bersetuju dengan faedah yang dikenakan terhadap pinjaman saya. Bagaimanakah caranya untuk mengeluarkannya daripada laporan tersebut?
Item pinjaman tersebut tidak boleh dikeluarkan daripada laporan CCRIS kerana masih ada baki pinjaman terkumpul dengan institusi kewangan berkenaan. Walau bagaimanapun, sementara menunggu hasil penyelesaian pertikaian tersebut, BNM boleh memberikan pilihan kepada anda untuk menamakan laporan anda dengan "Nama Khas". Ini bermakna bahawa apabila permohonan pinjaman anda sedang diproses oleh institusi kewangan, institusi tersebut perlu mendapatkan laporan CCRIS anda daripada Bank Negara Malaysia.
Saya telah diisytiharkan muflis beberapa tahun lalu dan saya telah pun menyelesaikan sepenuhnya pinjaman saya. Bolehkah Bank Negara Malaysia mengeluarkan nama saya daripada status muflis tersebut?
Anda dikehendaki berurusan terus dengan Jabatan Insolvensi melalui talian 03-88851000 berhubung status muflis tersebut dan memaklumkan status terkini kepada institusi kewangan supaya ia dapat dimasukkan dalam laporan CCRIS.
Saya pernah menjamin seseorang beberapa tahun yang lalu. Individu berkenaan tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut sehingga ia tertunggak. Bagaimanakah boleh saya elakkan nama saya daripada disenarai hitam?
Bank Negara Malaysia tidak mempunyai sistem senarai hitam. Jaminan ialah satu kontrak sah yang mengikat anda untuk membayar hutang peminjam sekiranya peminjam gagal berbuat demikian. Tahap tanggungan penjamin adalah seperti yang termaktub dalam dokumen jaminan dan anda akan dipertanggungjawabkan untuk liabiliti tersebut sebagaimana dinyatakan dalam terma dokumen jaminan berkenaan. Anda dinasihati supaya mendapatkan penjelasan daripada institusi kewangan yang berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut.
Saya menanggung hutang yang banyak dan tidak lagi mampu membayar pinjaman yang sedia ada. Saya berharap pinjaman saya dapat dijadualkan semula. Bagaimanakah Bank Negara Malaysia boleh membantu saya?
Anda boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui talian 03-26167766 atau www.akpk.org.my. AKPK ialah agensi yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kaunseling kredit, pendidikan kewangan dan penjadualan semula hutang untuk individu.
Apakah polisi/sijil Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (ITPK)?
Secara amnya, polisi/sijil ITPK direka untuk melindungi kos rawatan perubatan swasta, seperti kos kemasukan ke hospital dan penjagaan kesihatan, sekiranya anda didiagnosis dengan penyakit yang dilindungi atau ditimpa kemalangan.
Mengapakah saya patut membeli polisi/sijil ITPK?
Polisi/sijil ITPK dapat membantu anda membayar pelbagai perbelanjaan hospital dan perubatan sekiranya anda jatuh sakit atau cedera. Perbelanjaan ini mungkin termasuk kos bilik hospital, fi pembedahan dan profesional, serta kos perkhidmatan dan rawatan.
Apakah jenis-jenis polisi/sijil ITPK?
Terdapat beberapa jenis polisi/sijil ITPK, namun berikut adalah empat jenis utama:
- Insurans / Takaful hospital dan pembedahan;
- Insurans / Takaful penyakit merbahaya atau penyakit kritikal;
- Insurans / Takaful pendapatan akibat hilang upaya; dan
- Insurans / Takaful pendapatan hospital.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi syarikat insurans/pengendali takaful anda.
Apakah manfaat yang dilindungi di bawah polisi/sijil ITPK?
Perlindungan bergantung kepada jenis polisi/sijil yang anda beli. Anda dinasihatkan untuk membaca terma-terma dan syarat-syarat polisi/sijil untuk memahami perlindungan dan pengecualian keatas polisi/sijil anda.
Di manakah saya boleh mendapatkan perlindungan ITPK?
Anda boleh mendapatkan perlindungan ITPK melalui:
- pelan insurans/takaful berkumpulan di tempat kerja; atau
- pelan insurans/takaful individu yang boleh dibeli sendiri.