Bolehkah saya membenarkan orang lain mendaftar eCCRIS dan mendapatkan laporan CCRIS bagi pihak saya?

Tidak. Hanya pengguna itu sendiri boleh mendaftar dan memohon laporan eCCRIS bagi dirinya.

Saya telah mendaftar untuk eCCRIS sebelum 12 Oktober 2024. Namun, saya tidak mengaktifkan akaun eCCRIS selepas menerima SMS dan e-mel yang mengandungi nombor PIN (OTP) dalam tempoh tujuh (7) hari seperti yang diarahkan, lalu PIN (OTP) itu luput. Bagaimanakah saya mendapatkan PIN (OTP) baharu?

Anda boleh menjana semula PIN (OTP) di kiosk CCRIS yang tersedia di pejabat atau cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara. Maklumat lanjut boleh didapati di www.akpk.org.my.

Mengapakah saya perlu memindahkan RM1.00 untuk pendaftaran eCCRIS dalam talian?

Identiti pengguna baharu akan disahkan secara digital bagi memastikan hanya pengguna kewangan yang sah diterima untuk pendaftaran eCCRIS. Pemindahan RM1.00 ke akaun Bank Negara Malaysia yang ditetapkan akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh dua hari bekerja.

Saya belum menerima bayaran balik RM1.00 selepas dua hari bekerja. Siapakah yang boleh saya hubungi untuk mendapatkan bantuan?

Anda boleh menghubungi pusat hubungan kami, BNMLINK, melalui sembang langsung di bnm.gov.my/livechat atau menelefon 1-300-88-5465 atau 603-2174 1717 dari luar negara. Waktu operasi BNMLINK ialah dari 9:00 pagi hingga 5:00 petang, Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum.

Saya telah menukar telefon. Bolehkah saya menyediakan TOTP pada telefon baharu?

Ya. Anda boleh menyediakan TOTP pada telefon baharu dengan memilih “Aktifkan Semula MFA pada Peranti Baharu” di halaman log masuk.

Telefon saya hilang dan TOTP telah disediakan pada telefon itu. Bolehkah saya memohon TOTP baharu?

Ya. Anda boleh menyediakan TOTP pada telefon baharu dengan memilih “Aktifkan Semula MFA pada Peranti Baharu” di halaman log masuk.

Berapa kali saya boleh cuba memasukkan QR TOTP? Apakah yang berlaku jika saya melebihi had percubaan?

Anda boleh membuat sehingga lima percubaan bagi setiap sesi log masuk. Jika had itu dilebihi, akaun anda akan dikunci. Untuk mengaktifkan semula akaun yang dikunci, sila rujuk Bahagian B (Soalan 3).

Bagaimanakah saya mengemas kini nombor telefon bimbit berdaftar terkini dalam eCCRIS?

Anda boleh menukar nombor telefon bimbit berdaftar terkini melalui saluran berikut:

  • Laman web eCCRIS, jika anda pengguna eCCRIS sedia ada. Rujuk Bahagian B (Soalan 10) untuk maklumat lanjut.

  • Kiosk CCRIS di cawangan AKPK di seluruh negara. Rujuk www.akpk.org.my untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi dan waktu operasi.

Saya terlupa soalan keselamatan yang dipilih dan/atau jawapan kepada soalan keselamatan itu, lalu akaun eCCRIS saya dikunci. Bagaimanakah saya mengaktifkan semula akaun eCCRIS?

Anda boleh mengaktifkan semula akaun eCCRIS melalui kiosk CCRIS di cawangan AKPK di seluruh negara. Rujuk www.akpk.org.my untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi dan waktu operasi.

Saya wakil syarikat yang diberi kuasa. Bagaimanakah saya mendapatkan laporan CCRIS syarikat?

Untuk mendapatkan laporan CCRIS, ikuti panduan yang sama seperti proses pertanyaan kendiri. Sila rujuk Bahagian B (Soalan 6).

Bagaimanakah saya membaca laporan CCRIS? Saya ingin mendapatkan penjelasan lanjut tentang beberapa butiran dalam laporan CCRIS saya. Bolehkah BNM membantu?

Maklumat lanjut tentang cara membaca laporan CCRIS boleh didapati di www.bnm.gov.my/ccris. Jika anda memerlukan penjelasan lanjut tentang butiran kemudahan pembiayaan, sila hubungi institusi kewangan berkenaan melalui Unit Aduan mereka. Butiran hubungan Unit Aduan boleh didapati di:

www.bnm.gov.my/regulations/fsp-directory.

Jika terdapat butiran yang salah atau tidak lengkap tentang maklumat peribadi, seperti nama atau nombor kad pengenalan, anda boleh memohon pengesahan data peribadi melalui laman web eCCRIS. Sila rujuk Bahagian B (Soalan 8) untuk maklumat lanjut.

Siapakah yang boleh saya hubungi untuk pertanyaan lanjut tentang penggunaan eCCRIS?

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman web CCRIS di www.bnm.gov.my/ccris.

{{ item.title }}