Soalan Lazim
Siapakah yang boleh dilantik oleh syarikat fintech sebagai perunding Syariah?
Syarikat fintech boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada firma penasihat Syariah yang bertauliah atau individu Muslim yang layak (sama ada warganegara Malaysia atau bukan warganegara Malaysia) yang mempunyai kelayakan, kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang berkaitan sebagai perunding Syariah. Bagi pelantikan individu sebagai perunding, syarikat fintech hendaklah menilai sama ada individu tersebut memenuhi perkara-perkara berikut:
merupakan seorang individu Muslim;
telah dinilai memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam dokumen dasar mengenai Kriteria Kelayakan dan Kesesuaian secara berterusan;
memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah, yang merangkumi pengajian Usul Fiqh (prinsip perundangan Islam) atau Fiqh Muamalat (undang-undang transaksi/komersial Islam);
mempunyai pengetahuan yang kukuh dalam bidang Syariah, di samping pengetahuan kewangan Islam yang memadai dan pengalaman dalam industri yang berkaitan; dan
menunjukkan kecekapan dan pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Arab secara bertulis dan lisan, serta penguasaan yang baik dalam bahasa pilihan, iaitu sama ada Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Adakah pemohon boleh menguji beberapa penyelesaian pada masa yang sama dalam Kotak Pasir Kawal Selia?
Sandbox Standard
Tidak, pemohon hanya boleh menguji satu penyelesaian pada sesuatu masa dalam Sandbox Standard.
Laluan Hijau
Ya, Bank membenarkan pengujian beberapa penyelesaian bagi tujuan Laluan Hijau. Oleh itu, institusi yang menyertai Laluan Hijau boleh memilih sama ada untuk menguji penyelesaian tersebut secara serentak atau secara berperingkat sepanjang tahun.
Walau bagaimanapun, institusi yang menyertai Laluan Hijau mesti mengemukakan gambaran keseluruhan penyelesaian yang dicadangkan untuk diuji dalam Laluan Hijau, yang hendaklah merangkumi perihalan ringkas model perniagaan, segmen sasaran, senarai potensi halangan kawal selia dan tarikh pengujian yang dirancang, sebagaimana yang ditetapkan dalam perenggan 7.8 (a) Rangka Kerja.
Apakah yang berlaku sekiranya permohonan anda tidak diluluskan?
Apabila permohonan ditolak, anda akan diberikan sebab yang terperinci atas penolakan tersebut. Anda juga boleh menghubungi pasukan Sandbox jika anda memerlukan penjelasan lebih lanjut tentang maklum balas kami.
Adakah maklumat yang dikemukakan kepada BNM akan dianggap sebagai sulit?
Ya, semua maklumat yang diserahkan kepada BNM untuk tujuan Sandbox Pengawalseliaan akan dianggap sebagai sulit.
Apakah yang kami harapkan sepanjang ujian?
Sepanjang tempoh ujian sebenar, pemohon perlu memberikan laporan berkala tentang kemajuan ujian. Pemohon juga perlu membuat persiapan untuk langkah seterusnya setelah ujian tamat.
Pemohon juga diharapkan bersedia untuk keluar daripada Sandbox, bergantung pada kejayaan atau kegagalan ujian.
Berapakah masa maksimum yang dibenarkan untuk ujian melalui Sandbox Pengawalseliaan?
Tempoh ujian awal yang dikenakan maksimum 12 bulan. Tambahan masa kepada tempoh ujian boleh dipertimbangkan dan akan dinilai berdasarkan kes.
Untuk melanjutkan tempoh ujian, permohonan bertulis mesti dihantar oleh peserta kepada Bank selewat-lewatnya 30 hari kalendar sebelum tamatnya tempoh ujian. Permohonan harus perlu menyatakan masa tambahan yang diperlukan dengan sebab yang munasabah.
Bagaimanakah jika terdapat masalah semasa ujian?
Sekiranya pemohon mengalami masalah besar semasa ujian dan perlu menghentikan operasinya, pasukan Sandbox perlu diberitahu secepat mungkin.
Pemohon perlu memastikan ujian Sandbox ditamatkan dengan teratur dan mengurangkan kesan terhadap pelanggan.
Apakah yang akan berlaku sekiranya ujian gagal?
Pemohon yang belum berjaya mencapai KPI ujian perlu memberikan alasan kegagalan dan menentukan langkah yang sesuai seterusnya. Langkah ini termasuk operasi penutupan yang teratur, atau mempertimbangkan perubahan pada model perniagaan dan pengaturan perniagaan alternatif.
Sekiranya ujian berjaya, bolehkah kejayaan ujian ini dianggap sebagai kelulusan automatik daripada BNM?
Kelulusan untuk menjalani ujian melalui Sandbox dapat dilihat sebagai 'permit pelajar'. Lesen atau kelulusan penuh tidak semestinya dijamin selepas ujian.
Apa yang akan berlaku setelah tamat tempoh ujian?
Kelulusan untuk menyertai Sandbox dan sebarang fleksibiliti pengawalseliaan yang diberikan akan berakhir secara automatik, kecuali jika kelulusan bertulis untuk melanjutkan tempoh ujian telah diberikan sebelum itu.
Setelah selesai ujian, Bank akan membuat keputusan sama ada untuk membenarkan produk, perkhidmatan atau penyelesaian yang diuji untuk diperkenalkan di pasaran pada skala yang lebih luas. Sekiranya dibenarkan, peserta dalam kalangan syarikat-syarikat fintech yang ingin menjalankan perniagaan yang dikawal selia akan dinilai berdasarkan kriteria pelesenan, kelulusan dan pendaftaran yang sesuai di bawah FSA, IFSA dan MBSA, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Jika saya individu warganegara Malaysia, bagaimanakah saya mendaftar untuk eCCRIS?
Individu warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad dan kemudahan perbankan Internet boleh mendaftar melalui eccris.bnm.gov.my.
Individu warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad tetapi tidak mempunyai kemudahan perbankan Internet atau akaun bank boleh mendaftar melalui kiosk CCRIS di pejabat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara. Sila rujuk www.akpk.org.my untuk mendapatkan maklumat tentang lokasi dan waktu operasi.
Bagaimanakah saya mendaftarkan syarikat saya untuk eCCRIS?
Syarikat, perniagaan atau entiti bukan individu hendaklah melantik wakil yang diberi kuasa untuk mendaftar melalui eLINK dengan mengemukakan borang permohonan yang lengkap bersama dokumen sokongan. Borang tersebut boleh dimuat turun daripada halaman permohonan di www.bnm.gov.my/ccris.
Nota: Bil telekomunikasi yang didaftarkan atas nama pemohon wajib disertakan.