Pengenalan
Pada tahun 2025, perubahan landskap politik global dan perdebatan baharu mengenai komitmen terhadap iklim telah mewujudkan ketidakpastian. Pada masa yang sama, kesan perubahan iklim menjadi semakin ketara pada peringkat domestik. Banjir, gelombang haba dan kejadian cuaca ekstrem lain mengakibatkan kerosakan kediaman dan perniagaan, memudaratkan nyawa dan menjejaskan mata pencarian. Peristiwa sedemikian mengingatkan BNM untuk kekal fokus dalam membangunkan sistem kewangan yang berdaya tahan terhadap risiko iklim.

Pendekatan BNM pada tahun 2025 tertumpu pada usaha memacu inovasi dan memperkukuh kerjasama (Gambar Rajah 1). BNM memberikan tumpuan pada penyelesaian peralihan dan adaptasi serta meneruskan usaha membina daya tahan sistem kewangan terhadap iklim. Semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia, BNM turut menyediakan platform untuk membangunkan saluran yang menyokong pembiayaan projek serantau. BNM turut menggalakkan model pembiayaan yang dapat mempercepatkan peralihan, termasuk bagi ASEAN Power Grid (APG).[1] Semua usaha ini mencerminkan komitmen BNM dalam membentuk strategi iklim yang berwibawa untuk Malaysia dan rantau ini.
Sebagai sebuah organisasi, BNM juga mempergiat usaha untuk melestarikan operasinya. Hal ini termasuk menambah baik cara BNM mengukur pelepasan karbon dan mempertingkatkan penzahirannya. BNM berpandukan saranan Task Force on Climate-Related Financial Disclosures (TCFD)[2] dan Guide on Climate-related Disclosure for Central Banks[3] oleh Network for Greening the Financial System (NGFS) bagi memastikan penzahiran yang berwibawa serta telus.
Memperkukuh Tadbir Urus Iklim BNM dan Memacu Strategi BNM Berkaitan Iklim dan Alam Sekitar

Pertimbangan berkaitan iklim telah disepadukan dengan baik dalam BNM. Struktur tadbir urus yang mantap memastikan BNM sentiasa siap siaga untuk menghadapi risiko berkaitan iklim dan alam sekitar[4] (Gambar Rajah 2).

Pada tahun 2025, kemajuan selanjutnya telah dicapai dalam inisiatif berkaitan iklim dan alam sekitar merentasi fungsi-fungsi teras BNM. Usaha BNM ini berpandukan lima teras strategik (Gambar Rajah 3) yang juga sejajar dengan Pelan Urusan BNM dan Pelan Sektor Kewangan 2022–2026.



Strategi BNM merangkumi dasar makroekonomi, daya tahan sektor kewangan, peralihan negara, inisiatif dalaman dan kepimpinan pemikiran (Gambar Rajah 4). Strategi ini sejajar dengan mandat BNM serta perancangan iklim dan alam sekitar kebangsaan. Pada peringkat antarabangsa, BNM terus menyokong tindakan kolektif global melalui NGFS dan platform global yang lain (Gambar Rajah 5). Melalui libat urus ini, BNM secara konsisten mengetengahkan cabaran peralihan unik yang dihadapi oleh ekonomi sedang pesat membangun. Hal ini memastikan rangkuman yang lebih luas apabila komitmen global atau amalan terbaik dibincangkan.

Semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia, BNM telah menyokong pembangunan ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance Version 4. Seperti sebelum ini, BNM menerajui usaha menetapkan nilai ambang dan kali ini untuk sektor perkilangan. Taksonomi ini kekal sebagai rangka kerja utama yang menyediakan takrifan serta penggunaan kewangan dan peralihan hijau yang konsisten di seluruh rantau ini. BNM juga memberikan tumpuan pada peluasan akses kewangan untuk menyokong peralihan yang adil dan berdaya tahan terhadap iklim. BNM berjaya menarik minat yang kukuh untuk membiayai ASEAN Power Grid, termasuk sokongan daripada institusi kewangan, bank pembangunan pelbagai hala, penyedia modal dermawan dan rakan kerjasama lain.
BNM turut meluaskan program Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC)[5] kepada negara anggota ASEAN untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam peralihan rantau ini. Secara khusus, BNM bekerjasama dengan Asian Development Bank (ADB) dan United Nations Development Programme (UNDP) dalam membangunkan buku panduan untuk GVC.[6] Pelancaran rintis GVC di Kemboja dan Indonesia menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam membantu PKS di rantau ini untuk kekal berdaya saing dan membina daya tahan dalam rantaian bekalan global.
Mempertingkatkan fokus kawal selia BNM
Asas pengawalseliaan yang kukuh adalah penting untuk mengurus risiko berkaitan iklim. Pada tahun 2025, BNM telah memperkukuh kehendak dan garis panduan penyeliaan untuk meningkatkan keupayaan institusi kewangan dalam mengenal pasti dan menguruskan risiko iklim. BNM terus meningkatkan kewibawaan dan ketekalan pelaporan institusi kewangan di bawah Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-based Taxonomy, CCPT). Dokumen tambahan untuk CCPT yang dikeluarkan melalui Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) memudahkan penilaian yang lebih berkesan oleh institusi kewangan. BNM juga telah memudahkan dan menyelaras penyerahan maklumat kepada institusi kewangan untuk meringankan beban pelanggan. Pada tahun 2025, BNM telah menjalankan latihan ujian tekanan risiko iklim seluruh industri yang pertama. Untuk menyokong latihan ini, BNM menerbitkan templat pelaporan untuk merakamkan cara institusi kewangan menggunakan Kertas Kerja Kaedah Ujian Tekanan Risiko Iklim (Climate Risk Stress Testing, CRST) yang diterbitkan pada tahun 2024.
Pelan yang berwibawa merupakan asas kepada peralihan iklim yang lancar dan teratur. BNM telah bekerjasama dengan institusi kewangan untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi dalam membangunkan strategi peralihan yang berwibawa. BNM juga telah mengadakan klinik teknikal yang meneliti pelbagai aspek pelan peralihan, termasuk strategi pelaksanaan, tadbir urus dan libat urus, serta metrik dan sasaran berasaskan sains. Klinik-klinik ini membantu memperkukuh keupayaan pegawai institusi kewangan yang bertanggungjawab terhadap pelan peralihan institusi masing-masing.
Meningkatkan kesedaran dan pemahaman
Isu berkaitan iklim dan kelestarian terus berkembang dengan pesat. Hal ini menuntut BNM untuk menjalankan libat urus yang meluas bagi memastikan BNM peka terhadap perkembangan semasa pada peringkat global dan domestik. Langkah ini merangkumi sesi perbincangan dengan pakar luar yang berkongsi pandangan praktikal industri. Pada peringkat dalaman, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan semua warga kerja BNM sentiasa mengikuti perkembangan terkini, termasuk menerbitkan bahan perkongsian, menganjurkan sesi perbincangan santai (brown-bag session) dan menyediakan modul e-pembelajaran. Usaha-usaha ini membantu meningkatkan pemahaman tentang risiko berkaitan iklim dan alam sekitar serta peranan BNM dalam menguruskan risiko tersebut.



Memajukan Tindakan Iklim dalam Sektor Kewangan
Sektor kewangan memainkan peranan penting dalam peralihan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih lestari. Sehingga kini, institusi kewangan telah mencapai kemajuan dalam menerapkan pertimbangan iklim dalam pengurusan risiko, strategi perniagaan, operasi dan pembangunan produk (Gambar Rajah 6). Peralihan ini telah disokong oleh alat dan rangka kerja praktikal yang membantu institusi kewangan dan pelanggan mereka menguruskan peralihan dengan lebih yakin. Sumber-sumber ini juga memangkin perubahan dengan menyokong perniagaan melaraskan operasi dan strategi serta meneroka peluang baharu untuk pertumbuhan yang mampan.

Ketekalan yang lebih tinggi dalam pelaporan
Piawaian pelaporan di bawah CCPT telah diperkukuh merentasi institusi. Langkah ini meningkatkan keupayaan institusi kewangan berinteraksi dan menasihati pelanggan. Kualiti penilaian terus bertambah baik, disokong oleh pengelasan dipertingkatkan yang diperkenalkan pada tahun 2024. Kategori C5b baharu membolehkan institusi kewangan mengenal pasti kegiatan ekonomi yang tidak bersifat positif iklim dan tidak menimbulkan bahaya yang ketara kepada alam sekitar dengan lebih baik.
Pada tahun 2025, institusi kewangan juga mula melaksanakan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF). NSRF dibina berdasarkan saranan penzahiran TCFD dan diselaraskan dengan IFRS Sustainability Disclosure Standards yang dikeluarkan oleh International Sustainability Standards Board (ISSB). Langkah ini memperkukuh penzahiran berkaitan iklim di seluruh sektor kewangan. Bagi menyokong pelaksanaan oleh institusi kewangan, dokumen panduan mengenai NSRF sedang dibangunkan bersama sesi latihan yang dirancang.
JC3 sebagai platform untuk inovasi dan kerjasama
JC3 terus memainkan peranan penting dalam mempercepat tindakan berkaitan dengan iklim dalam sektor kewangan (Gambar Rajah 7). Pelancaran Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) merupakan satu pencapaian penting. CFIL berfungsi sebagai platform yang menghubungkan pembangun projek dengan bakal pemberi dana untuk merealisasikan idea menjadi projek yang berdaya maju. Makmal ini memberikan tumpuan pada pembangunan penyelesaian pembiayaan yang praktikal dan inovatif. Projek yang layak mendapat akses kepada pembiayaan, panduan pakar dan rangkaian rakan kongsi yang kukuh untuk membantu mereka berkembang (Gambar Rajah 8).

Menguruskan Risiko Berkaitan Iklim dan Alam Sekitar Merentas Operasi BNM
Walaupun sebahagian besar usaha BNM tertumpu pada tindakan berkaitan iklim merentas sektor kewangan, BNM perlu meletakkan kepentingan yang sama pada usaha menguruskan risiko berkaitan iklim dan alam sekitar dalam operasinya sendiri.
Risiko berkaitan iklim dan alam sekitar boleh mengganggu operasi, merosakkan aset dan menjejaskan keselamatan warga kerja. Bagi sebuah bank pusat, menguruskan risiko ini adalah penting untuk mengekalkan kesinambungan operasi dan mengekalkan keyakinan orang ramai. Matlamat BNM adalah untuk melindungi fungsi mustahak sambil mengurangkan jejak alam sekitar dengan cara yang berwibawa dan telus.
Meningkatkan pengurusan risiko dalaman
Jawatankuasa Risiko Lembaga mengawasi cara BNM menguruskan risiko berkaitan iklim dan alam sekitar dalam rangka kerja risikonya. Hal ini mengukuhkan tadbir urus dan akauntabiliti berhubung dengan risiko tersebut.
Pada tahun 2025, BNM memperkukuh pendekatan dalaman untuk menguruskan risiko berkaitan iklim dan alam sekitar. BNM telah mengemas kini Pernyataan Kesanggupan Mengambil Risiko Organisasi bagi memperjelas cara BNM menilai dan menangani risiko berkaitan iklim dan alam sekitar merentasi aset dan premisnya. Pernyataan yang lebih jelas membantu melindungi bangunan, mengurangkan gangguan operasi dan memastikan keselamatan warga BNM.
BNM juga telah memulakan semakan terhadap pelan pengurusan kesinambungan urusan (business continuity management, BCM) bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi gangguan operasi seperti banjir, kekurangan bekalan air dan kebakaran. Tindakan ini mengurangkan kelemahan operasi dan melindungi infrastruktur kewangan yang mustahak. Langkah ini juga membolehkan BNM menetapkan contoh yang kukuh kepada industri mengenai pengurusan risiko berkaitan iklim yang baik.
Memperbaiki pemantauan dan pengurusan pelepasan karbon

BNM komited untuk memperkukuh cara mengurus pelepasan karbon daripada operasinya, menangani jurang data dan meningkatkan pelaporan pelepasan karbon. Dengan sokongan daripada pakar melalui penglibatan teknikal, BNM kini mempunyai kaedah yang mantap untuk mengukur, menjejak dan melaporkan pelepasan karbon daripada operasi fizikal dan aktiviti berkaitan mata wang. Kaedah ini telah meningkatkan ketepatan pengukuran pelepasan karbon BNM dan memberikan panduan untuk penambahbaikan papan pemuka kelestarian dalaman BNM. Kaedah ini juga sejajar dengan piawaian global di bawah Protokol Gas Rumah Hijau (Greenhouse Gas, GHG) dan mempertimbangkan pelbagai senario. BNM akan mengembangkan strategi ini secara berperingkat untuk merangkumi bahagian operasi BNM yang lain. Usaha ini akan memaklumkan pembangunan pelan peralihan yang berwibawa untuk BNM.
Inisiatif pengurangan karbon bersasar dan rasionalisasi aset bagi keseluruhan operasi BNM telah mula membuahkan hasil (Rajah 1). Untuk menguruskan pelepasan karbon Skop 2, BNM melancarkan langkah-langkah seperti penggunaan elektrik dengan lebih cekap, peningkatan kesedaran kakitangan tentang kelestarian, pengoptimuman sistem bangunan dan pelaburan dalam teknologi penjimatan tenaga. BNM juga meneruskan langganan Tarif Elektrik Hijau untuk premis utama termasuk Sasana Kijang, Automated Cash Centre dan Ibu Pejabat BNM. Langkah ini membantu mengelakkan penjanaan elektrik bahan api fosil sebanyak 21,848 tCO₂e (56% daripada jumlah pelepasan karbon Skop 2) pada tahun 2025.
Menangani Risiko Kewangan Berkaitan Alam Semula Jadi
Seperti risiko berkaitan iklim, risiko berkaitan alam semula jadi juga boleh menyebabkan kerugian kewangan dan ekonomi. Malah risiko ini boleh memburukkan lagi kesan perubahan iklim. Berikutan kajian yang dijalankan bersama Bank Dunia pada tahun 2022 tentang An Exploration of Nature-related Financial Risks in Malaysia, BNM meneruskan usaha untuk mendalami pemahaman tentang risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi. Pada tahun 2025, BNM meneruskan tindakan yang bersifat praktikal.
Dengan kerjasama Bank Dunia dan UNDP BIOFIN, BNM telah merintis penggunaan pendekatan LEAP (Locate, Evaluate, Assess, Prepare) oleh Taskforce on Nature-related Financial Disclosures (TNFD) untuk menilai risiko berkaitan alam semula jadi. Dua sektor ekonomi dengan rantaian nilai yang kukuh telah digunakan dalam projek rintis ini.
Tiga institusi kewangan dan dua badan korporat telah menyertai projek rintis ini, yang menghasilkan pandangan serta saranan praktikal untuk menambah baik penilaian risiko dan peluang berkaitan alam semula jadi di Malaysia. Laporan penuh akan diterbitkan pada tahun 2026.
Langkah Selanjutnya
Malaysia sedang memperkukuh hala tuju peralihan menuju sasaran sifar bersih menjelang tahun 2050. Dua pelan utama, iaitu Strategi Pembangunan Rendah Karbon Jangka Panjang dan Pelan Hala Tuju NDC, menetapkan hala tuju untuk pengurangan pelepasan dan peralihan kepada tenaga yang lebih bersih. Undang-undang dan dasar baharu, termasuk undang-undang perubahan iklim dan dasar pasaran karbon negara, akan mewujudkan rangka kerja yang diperlukan bagi menyokong tindakan iklim dan sistem perdagangan karbon yang berwibawa.
Bagi sektor kewangan, perkembangan ini menandakan peluang dan tanggungjawab baharu. Keutamaan BNM untuk tahun 2026 mencerminkan usaha ini, dengan tumpuan kepada alam semula jadi, iklim dan kesediaan institusi untuk menyokong peralihan ekonomi yang lancar dan menyeluruh (Gambar Rajah 9).

Nota
[1] ASEAN Power Grid (APG) merupakan visi yang dikongsi bersama Negara-negara Anggota ASEAN (ASEAN Member States, AMS) untuk operasi grid bersepadu sepenuhnya di Asia Tenggara menjelang tahun 2045. APG berpotensi besar untuk menggalakkan integrasi dan pertumbuhan ekonomi serantau, meningkatkan keterjaminan tenaga dan mempercepat peralihan tenaga bersih.
[2] Rangka kerja yang diiktiraf pada peringkat global untuk membantu syarikat awam dan organisasi lain menzahirkan risiko dan peluang berkaitan iklim secara lebih berkesan menerusi proses pelaporan mereka yang sedia ada.
[3] Panduan yang berfungsi sebagai pelengkap kepada saranan TCFD dan menyediakan panduan tambahan untuk bank-bank pusat yang sedang mengambil langkah pertama masing-masing dalam penzahiran berkaitan iklim.
[4] Maklumat lanjut tentang struktur tadbir urus iklim BNM serta peranan Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan boleh didapati pada bahagian “Memperkukuh Tadbir Urus Iklim BNM” dalam bab “Ke Arah Sistem Kewangan yang Lebih Lestari” dalam Laporan Tahunan 2024 Bank Negara Malaysia.
[5] Menyokong PKS dalam mengurangkan jejak karbon melalui latihan teknikal, alat pelaporan pelepasan dan pembiayaan.
[6] Butiran lanjut tentang Hasil Keutamaan Ekonomi (Priority Economic Deliverables, PED) terdapat dalam bab “Penglibatan Antarabangsa” dan rencana “Kepengerusian ASEAN/ASEAN+3 2025 Malaysia: Memajukan Pertumbuhan Ekonomi yang Inklusif dan Mampan untuk ASEAN dan Malaysia” dalam Laporan Tahunan 2025 Bank Negara Malaysia.

