Pengurusan Risiko & Kawalan Dalaman

Bank Negara Malaysia (BNM) menggunakan Rangka Kerja Pengurusan Risiko Organisasi (Enterprise Risk Management, ERM) (Gambar Rajah 1) sebagai pendekatan berstruktur bagi mengenal pasti, menilai, memantau dan menguruskan risiko. Rangka kerja ini juga memupuk budaya risiko yang kukuh dan memastikan strategi risiko yang konsisten merentas organisasi.

Memastikan Pengawasan dan Tadbir Urus Risiko yang Mantap dan Berkesan

Pengurusan risiko merupakan tanggungjawab bersama di BNM. Tanggungjawab ini dikongsi merentas jabatan, fungsi risiko dan kawalan yang bebas serta audit dalaman. Dengan sokongan Jawatankuasa Risiko Lembaga (Board Risk Committee, BRC), Lembaga Pengarah mengawasi rangka kerja dan amalan pengurusan risiko BNM bagi memastikan tadbir urus yang mantap dan pengawasan risiko yang berkesan. Lembaga Pengarah turut bertanggungjawab menentukan hala tuju daripada pihak atasan, menetapkan kesanggupan mengambil risiko dan memperkukuh budaya risiko yang utuh di seluruh organisasi.

Pada peringkat pengurusan, BNM melaksanakan tanggungjawab pengurusan risiko menerusi dua struktur tadbir urus utama, iaitu Jawatankuasa Pengurusan Risiko (Risk Management Committee, RMC) dan Jawatankuasa Pengurusan Rizab (Reserve Management Committee, ReMC). RMC bertanggungjawab untuk membincangkan risiko organisasi dan disokong oleh jawatankuasa fungsian (Gambar Rajah 2), manakala ReMC memberikan tumpuan terhadap strategi dan risiko yang berkaitan dengan pengurusan rizab antarabangsa.

BNM mengamalkan model “Pertahanan Tiga Barisan” (Gambar Rajah 3). Semua jabatan merupakan barisan pertahanan yang pertama. Setiap jabatan bertanggungjawab untuk menilai risiko, menetapkan kawalan yang bersesuaian dan memastikan pelaksanaan kawalan yang berkesan. Bagi memperteguh peranan ini, sesetengah jabatan telah memperkenalkan “barisan pertahanan 1.5”, iaitu fungsi risiko dan kawalan khusus yang diterapkan dalam operasi jabatan. Struktur ini memperkukuh kesedaran risiko dan pengurusan proaktif pada peringkat operasi.

Jabatan Pengurusan Risiko (Risk Management Department, RMD) berperanan sebagai barisan pertahanan kedua dengan menyediakan penilaian bebas dan pemantauan risiko di seluruh organisasi. RMD juga menyokong pihak pengurusan dalam mengekalkan pengawasan terhadap keseluruhan trend dan isu risiko pada peringkat organisasi. Saluran pelaporan langsung kepada Jawatankuasa Risiko Lembaga turut membolehkan penilaian bebas dan pelaporan isu tepat pada masanya, sekali gus memperkukuh pengawasan dan pemantauan yang berkesan terhadap perkembangan risiko. Sementara itu, Seksyen Pengurusan Risiko Perbendaharaan, iaitu sebahagian daripada Unit Risiko dan Infrastruktur Perbendaharaan, bertanggungjawab meneliti risiko pelaburan rizab dan melaporkannya secara langsung kepada Timbalan Gabenor. Struktur sebegini mempertingkatkan perlindungan dan menggalakkan amalan pengurusan risiko yang mantap di seluruh BNM.

Jabatan Audit Dalam (JAD), yang melaporkan secara langsung kepada Jawatankuasa Audit Lembaga (Board Audit Committee, BAC), membentuk barisan pertahanan ketiga. JAD memberikan jaminan bebas melalui audit dan semakan yang menyeluruh terhadap keberkesanan kawalan dan tadbir urus.

Mentakrifkan Had Risiko yang Jelas untuk Tadbir Urus yang Lebih Kukuh

Pernyataan kesanggupan mengambil risiko organisasi BNM (Gambar Rajah 4) menetapkan tahap risiko yang sanggup diterima oleh BNM bagi mencapai matlamat urusannya. Pernyataan ini disemak secara berkala bagi memastikannya kekal relevan dan praktikal selaras dengan perubahan dalam landskap risiko. BNM melaksanakan latihan dan sesi libat urus secara berkala merentas semua peringkat dan fungsi untuk menyelaraskan operasi dengan kesanggupan mengambil risiko yang ditakrifkan. BNM juga mempunyai Rangka Kerja Akauntabiliti untuk menangani insiden pelanggaran berkaitan risiko, iaitu alat penting untuk menggalakkan pematuhan dan mengukuhkan kebertanggungjawaban pada semua peringkat. Pada tahun 2025, BNM mula menggunakan Rangka Kerja Akauntabiliti bagi menyelaraskan secara lebih baik tingkah laku dan tindakan dengan mekanisme pengiktirafan dan ganjaran dalaman BNM.

Tadbir Urus Dasar yang Teguh, Daya Tahan dan Kesinambungan Operasi

BNM mengamalkan pendekatan pelbagai hala dalam pengurusan risiko yang didasari oleh pertahanan tiga barisan. Pendekatan ini merangkumi tadbir urus dasar yang teguh dan pengurusan rizab antarabangsa yang berhemat. Pendekatan ini dilengkapkan dengan pengawasan berdisiplin terhadap teknologi, keselamatan siber dan kesinambungan urusan bagi menyokong operasi yang berdaya tahan.

Perumusan dasar dan tadbir urus yang utuh

BNM komited terhadap amalan perumusan dasar yang utuh. Rangka Kerja Pembangunan Dasar menyediakan bentuk tadbir urus yang jelas bagi pembangunan, semakan dan kelulusan dasar. Sebagai sebahagian daripada tadbir urus tersebut, semua dasar perlu melalui perbincangan teknikal yang teliti sebelum dibincangkan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan atau Jawatankuasa Pembangunan Kewangan. Keputusan dasar monetari pula dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari, disokong oleh analisis teknikal dan perbincangan yang teliti. Sebagai sebahagian daripada proses pembangunan dasar, BNM turut melaksanakan rundingan luar bagi bidang selain dasar monetari untuk memastikan pandangan dan kebimbangan pihak berkepentingan utama dipertimbangkan dengan sewajarnya. Pendekatan ini membolehkan dasar yang lebih bermaklumat dirumuskan dan dilaksanakan dengan lebih praktikal.

Hal operasi diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Operasi yang dianggotai oleh ahli dalaman dan pakar luar.

Menguruskan risiko pasaran, kredit dan mudah tunai

Bagi risiko kewangan yang berkaitan dengan perbendaharaan, peranan BNM dalam menguruskan rizab antarabangsa Malaysia mendedahkan BNM terhadap risiko pasaran, kredit dan mudah tunai. Kesemua risiko ini dipantau rapi dan diuruskan berdasarkan penanda aras pelaburan dan kawalan risiko yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah. Pada tahun 2025, BNM telah menyemak semula peruntukan aset strategik (strategic asset allocation, SAA) pelaburan rizab antarabangsa. Selaras dengan amalan terbaik industri, SAA ini disemak setiap tiga hingga lima tahun bagi mencerminkan perubahan yang signifikan dalam keadaan pasaran kewangan global.

Pengurusan risiko berfokuskan hasil

Pendekatan pengurusan risiko BNM berpandukan hasil yang perlu dipelihara, iaitu penyampaian perkhidmatan sangat penting yang berterusan, integriti dan kerahsiaan data serta keupayaan pemulihan yang kukuh. Seiring dengan peningkatan pantas penggunaan teknologi dan perkembangan ancaman siber, BNM meneguhkan rangka kerja dan metodologinya untuk menilai dan menguruskan risiko teknologi serta keselamatan siber dengan lebih berkesan. Pendekatan ini menyumbangkan perlindungan yang lebih kukuh terhadap aset digital BNM daripada potensi ancaman.

Jawatankuasa Teknologi Digital (Digital Technology Committee, DTC) mengawasi dan menetapkan hala tuju strategik bagi perkara yang berkaitan dengan teknologi dan digital. Kumpulan Kerja Teknologi dan Keselamatan Siber mengawasi pengurusan risiko teknologi dan keselamatan siber, menetapkan keutamaan bagi inisiatif teknologi dan memastikan kecekapan perkhidmatan IT. Pengesahan bebas melalui jaminan pihak luar, latihan simulasi serangan siber (red teaming) dan penilaian pihak ketiga memberikan pandangan yang objektif terhadap keberkesanan kawalan serta membantu mengenal pasti titik buta, sekali gus membolehkan penambahbaikan yang bersasar dan tepat pada masanya.

Pematuhan dan pemodenan berterusan

Pemantauan pematuhan memberikan amaran awal mengenai penyimpangan dasar. Pemantauan ini juga membantu BNM untuk mengesan potensi kelemahan kawalan. Usaha ini disokong oleh pelaporan berkala melalui papan pemuka interaktif dan automasi. Pada masa yang sama, peningkatan teknologi secara berterusan dan pemodenan sistem menghasilkan platform yang lebih selamat dan boleh dipercayai.

Penerapan penilaian risiko strategik dalam perancangan

Seperti tahun-tahun sebelumnya, BNM terus memberi penekanan terhadap pengenalpastian risiko yang boleh menjejaskan hasil strategik dan pelaksanaan mandat. Hal ini dilaksanakan dengan menerapkan pertimbangan risiko secara sistematik dalam pelan urusan, proses membuat keputusan dan perumusan dasar, serta tindakan pada peringkat jabatan. Sebagai contoh, BNM mengkaji semula keutamaan terpenting dalam pelan urusan (must wins) bagi mengetengahkan risiko baru muncul dan menyusun semula keutamaan inisiatif, di samping menyepadukan strategi pengurangan risiko yang dapat dilaksanakan sejajar dengan keutamaan organisasi. Pendekatan ini memperkukuh penyampaian hasil Pelan Urusan dengan memastikan inisiatif utama kekal dapat dilaksanakan dan berada pada landasan yang betul meskipun berdepan dengan risiko baru muncul dan keadaan yang berubah-ubah. Pemantauan yang rapi terhadap peristiwa risiko yang muncul juga membolehkan BNM menguruskan inisiatif yang sedang dilaksanakan secara fleksibel dan memastikan BNM berada pada landasan untuk mencapai keutamaan strategik.

Memanfaatkan teknologi untuk pelaporan risiko yang lebih baik

Taksonomi yang diseragamkan meningkatkan kualiti data, manakala papan pemuka interaktif mempercepat proses membuat keputusan. Kesemua alat ini juga menyokong komunikasi risiko yang lebih jelas dan konsisten di seluruh BNM. Kaedah ini dimungkinkan oleh pelaporan risiko berkala yang dipertingkatkan. Kesemua ini dicapai dengan memanfaatkan automasi dan teknik visualisasi data. Sebagai contoh, BNM menggunakan visualisasi data seperti rajah trend, paparan data berasaskan warna (heatmaps) dan paparan terperinci (yang didayakan oleh penapis dan penunjuk ringkasan), lantas membolehkan BNM mengenal pasti perubahan dalam corak, tahap risiko dan bidang tindakan utama.

Infrastruktur pasaran yang sangat penting

Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (Real-Time Electronic Transfer of Funds and Securities System, RENTAS) dan Fully Automated System for Issuing/Tendering (FAST) milik BNM merupakan infrastruktur pasaran kewangan yang sangat penting yang menyokong rangkaian pembayaran dan penyelesaian Malaysia. Jawatankuasa Infrastruktur Pasaran Kewangan (Financial Market Infrastructure Committee, FMIC) mengawasi dan menetapkan hala tuju strategik bagi kedua-dua sistem ini, termasuk pembangunan dan naik taraf yang berterusan. FMIC juga mengawasi tadbir urus strategik berhubung dengan daya tahan operasi dan pengurusan risiko bagi memastikan kesemua sistem ini kekal selamat, cekap dan boleh dipercayai. Berikutan pertumbuhan pesat pembayaran runcit segera, sistem penyelesaian kasar masa nyata telah dinaikkan taraf kepada RENTAS+. Langkah ini membolehkan pemindahan dana antara bank dan penyelesaian pembayaran runcit dilaksanakan berterusan selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu sepanjang tahun. Pencapaian ini menandakan satu peristiwa penting dalam pelan pemodenan berbilang tahun platform RENTAS yang dilaksanakan oleh BNM.

Memperkukuh kesinambungan operasi fungsi sangat penting

Keupayaan yang dipertingkatkan untuk bertindak balas dengan segera dan berkesan semasa gangguan adalah sangat penting. Pada tahun 2025, BNM menjalankan ujian operasi langsung pada waktu tengah hari. BNM juga melaksanakan latihan senario fizikal untuk mengesahkan kesiapsiagaan operasi. Latihan ini melibatkan penggerakan ke pusat pemulihan dan pelaksanaan operasi manual secara berpanjangan bagi fungsi urusan yang sangat penting (critical business functions). Selain itu, BNM telah memperkukuh langkah-langkah tindak balas kecemasan dan keselamatan kakitangan dengan memperkenalkan alat komunikasi tindak balas pantas untuk meningkatkan penyelarasan semasa krisis. Kesemua latihan ini mengesahkan keberkesanan prosedur pemulihan utama dan memberikan pemahaman yang praktikal untuk terus memperhalus dan memperkukuh penyelarasan semasa gangguan.

Kesiapsiagaan dan daya tahan menghadapi insiden siber

Pada tahun 2025, BNM menjalankan latihan keselamatan siber yang mensimulasikan ancaman dunia sebenar untuk menguji pengurusan risiko, kawalan dalaman dan protokol krisis organisasi. Simulasi ini membolehkan BNM mengesahkan keupayaannya untuk bertindak balas terhadap ancaman secara terselaras dan berkesan.

Memupuk tanggungjawab bersama

Seiring dengan usaha mempercepat penggunaan AI dan alat digital, BNM memberikan keutamaan yang tinggi terhadap usaha memperkukuh kesedaran keselamatan. Hal ini mustahak untuk melindungi data dan aset BNM. Pada tahun 2025, BNM telah melancarkan latihan keselamatan siber wajib di seluruh organisasi, yang merangkumi ancaman baru muncul, termasuk serangan yang didayakan oleh AI dan palsu tulen (deepfakes). Inisiatif ini membantu BNM untuk mengukuhkan daya tahan keselamatan dalam era AI. BNM juga telah menjalankan latihan simulasi pancingan data secara berkala untuk membantu kakitangan mengenal pasti e-mel mencurigakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal. Dapatan daripada kesemua latihan ini digunakan untuk membangunkan latihan bersasar bagi kumpulan yang berisiko lebih tinggi dan memperkukuh kawalan dalaman selanjutnya. Selain itu, BNM telah memperluas jangkauan kesedaran di seluruh organisasi. BNM berkongsi nasihat dan kempen keselamatan bulanan serta melaksanakan libat urus dengan semua jabatan. Langkah ini bertujuan untuk memastikan kakitangan BNM sentiasa maklum tentang ancaman baru muncul dan trend serangan dunia sebenar. Hal ini juga mengukuhkan lagi amalan terbaik untuk melindungi aset, pihak berkepentingan dan reputasi BNM.

Tadbir urus risiko dan kerjasama industri

Dalam usaha untuk menggalakkan tadbir urus risiko yang kukuh dan memupuk budaya risiko yang berdaya tahan, BNM menganjurkan siri libat urus dengan pihak luar meliputi bidang tumpuan utama seperti budaya risiko, teknologi dan keselamatan siber. Inisiatif ini merangkumi Regional Risk Dialogue bersama bank-bank pusat untuk membincangkan risiko baru muncul, sesi Risk Networking Group Roundtable untuk saling bertukar pandangan mengenai isu semasa dan siri ceramah RiskX yang menampilkan pakar industri dalam pengurusan risiko dan daya tahan organisasi. Sebagai langkah permulaan, BNM juga telah menyemak Pernyataan Kesanggupan Mengambil Risiko Organisasi bagi memberikan penegasan yang lebih tinggi terhadap risiko iklim dan alam sekitar dari sudut keselamatan dan keterjaminan fizikal. Langkah ini membolehkan BNM menjangka dengan lebih baik, meningkatkan keupayaan untuk bertahan dan bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap ancaman alam sekitar yang kian berubah.

Audit Dalaman

Jawatankuasa Audit Lembaga (Board Audit Committee, BAC), dengan disokong oleh Jabatan Audit Dalam (JAD), memainkan peranan penting dalam mengawasi kecukupan dan keberkesanan kawalan dalaman BNM serta integriti proses pelaporan kewangan. Pelaporan fungsian dan langsung JAD kepada BAC mengekalkan kebebasan dan objektivitinya, lantas memastikan keutamaan serta penemuan audit dipantau pada peringkat tadbir urus tertinggi di BNM. Aturan pelaporan ini membolehkan BAC memperoleh penilaian yang objektif dan bebas berhubung dengan keberkesanan pengaturan tadbir urus, amalan pengurusan risiko dan sistem kawalan dalaman. JAD juga memberikan jaminan kepada Menteri Kewangan pada setiap suku tahun bahawa rizab antarabangsa diuruskan selaras dengan dasar dan garis panduan yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah.

BNM mengguna pakai pendekatan berasaskan risiko dalam menentukan keutamaan dan tugasan audit. Pendekatan ini membolehkan tumpuan diberikan kepada bidang yang mempunyai kepentingan yang lebih besar terhadap mandat dan reputasi BNM (Gambar Rajah 5). Libat urus terperinci dengan BAC, Pengurusan Kanan, RMD dan jabatan lain membantu BNM untuk memperhalus keutamaan ini. Pada tahun 2025, JAD telah mengaudit 33 jabatan dan entiti berkaitan. Penemuan audit disertakan dengan cadangan yang membina dan praktikal yang bertujuan untuk memperkukuh kawalan, meningkatkan kecekapan dan menambah baik amalan tadbir urus. JAD juga memantau pelaksanaan tindakan pengurusan yang dipersetujui dan memberikan maklumat terkini secara berkala kepada BAC mengenai penambahbaikan kawalan yang penting, sekali gus memperkukuh kebertanggungjawaban dan penambahbaikan yang berterusan di seluruh BNM.

Dalam usaha untuk meningkatkan kecekapan audit, JAD terus memodenkan proses auditnya melalui teknologi dan inovasi. Jabatan ini semakin banyak mengguna pakai analisis data dan alatan AI generatif seperti Pengecaman Aksara Optik (Optical Character Recognition) dan Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (Natural Language Processing) bagi membolehkan penilaian yang menyeluruh terhadap risiko baru muncul dan keberkesanan kawalan. Keupayaan ini telah meluaskan liputan audit dan menyokong pemberian jaminan yang lebih tepat pada masanya dan bermakna. Pada tahun 2025, JAD juga mula memperkenalkan elemen pengauditan yang berterusan dalam bidang terpilih bagi memperkukuh keseluruhan pengurusan risiko dan persekitaran kawalan.

Pada masa hadapan, JAD beriltizam untuk memperluas pendekatan audit yang dipacu AI dan berteraskan data agar kekal sejajar dengan keperluan organisasi dan penanda aras industri. Perkongsian pengetahuan dan pendedahan pada amalan terbaik antarabangsa akan terus menjadi pendorong utama. Jabatan ini akan terus bekerjasama dengan agensi sejawat melalui ASEAN Central Banks’ Heads of Internal Audit Network Meeting, mesyuarat Regulators Internal Audit Roundtable dan rangkaian profesional global bagi menyokong kemajuan berterusan ke arah fungsi audit yang bersedia untuk masa hadapan.

Dalam persekitaran yang pesat berubah, JAD juga perlu terus menumpukan perhatian pada pemberian jaminan yang bebas dan praktikal untuk menyokong proses membuat keputusan yang mantap. Dengan mengukuhkan amalan audit teras, pembangunan keupayaan kakitangan secara progresif dan penggunaan teknologi canggih, JAD akan dapat memberikan pandangan yang membolehkan tindakan diambil serta memastikan kawalan dalaman kekal adaptif dan berdaya tahan dalam mengemudi landskap risiko yang dinamik.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?