
Tahun penuh kontras
Tahun 2025 mengingatkan kita bahawa dunia boleh berubah dengan pantas dan tidak selalunya dalam cara yang kita jangkakan. Pada peringkat global, ketegangan geopolitik semakin meruncing manakala geoekonomi yang semakin berpecah-pecah membentuk semula hubungan perdagangan serta menggugat pasaran kewangan. Rantaian bekalan yang diuji dan perniagaan yang berhadapan dengan ketidakpastian menyebabkan sesetengah keputusan pelaburan ditangguhkan. Ketidaktentuan ini menjadikan hala tuju ekonomi sukar ditafsirkan, seperti yang dibuktikan oleh berbilang semakan terhadap unjuran pertumbuhan global. Namun demikian, ketidaktentuan bukanlah sesuatu yang asing bagi bank pusat. Sejarah menunjukkan bahawa keadaan sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan ciri ekonomi yang sudah lazim. Apa yang penting adalah bagaimana kita bertindak iaitu dengan kewaspadaan, pragmatisme, ketabahan serta keupayaan membuat penyesuaian tanpa melupakan tujuan utama kita.
Berlatarkan persekitaran sedemikian, ASEAN menawarkan naratif yang berbeza kepada dunia. Ketika perpecahan semakin menjadi kebiasaan, rantau ini memilih kerjasama dan dialog. Iltizam bersama ini amat penting kerana dapat memperkukuh keyakinan, menyokong kegiatan ekonomi dan memupuk persekitaran serantau yang lebih stabil.
Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2% (2024: 5.1%) meskipun menghadapi persekitaran luaran yang mencabar. Keadaan ekonomi, monetari dan kewangan domestik yang stabil membantu mengurangkan kesan kejutan luaran. Hal ini juga membuka ruang kepada pelaksanaan pembaharuan penting untuk membawa hasil yang dihasratkan. Dengan ini, ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang baik untuk mengharungi rintangan pada masa hadapan. Daya tahan ini merupakan hasil perancangan serta usaha kolektif sektor awam dan swasta, termasuk usaha berterusan oleh institusi yang telah diamanahkan oleh negara sejak sekian lama.
Sepanjang tempoh ini, Bank Negara Malaysia (BNM) kekal fokus untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan. Pada terasnya, mandat ini berkisar tentang rakyat, pemeliharaan sumber pendapatan, melindungi keyakinan serta memastikan sistem kewangan terus berfungsi dengan berkesan untuk memenuhi keperluan ekonomi benar.
Berdaya tahan menghadapi rintangan
Permintaan dalam negeri yang kukuh terus menjadi teras pengembangan ekonomi Malaysia. Sepanjang tahun tersebut, perbelanjaan isi rumah meraih manfaat daripada prospek pekerjaan dan pendapatan yang menggalakkan, serta langkah dasar bersasar untuk meringankan tekanan kos. Aktiviti pelaburan kekal teguh dengan perbelanjaan modal berterusan merentas sektor perkilangan dan perkhidmatan serta projek infrastruktur. Perkembangan ini turut disokong oleh pelaksanaan projek awam berbilang tahun, di samping pelaksanaan berterusan pelaburan swasta yang telah diluluskan. Yang penting, pelaburan berkualiti lebih tinggi ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan jangka pendek, malah turut meningkatkan keupayaan produktif negara serta mewujudkan peluang untuk generasi akan datang.
Meskipun keadaan permintaan luaran lebih mencabar, eksport oleh sektor-sektor utama, termasuk elektrik dan elektronik (E&E) serta perkhidmatan terpilih terus bertahan. Daya tahan ini berkait rapat dengan usaha Malaysia yang berterusan untuk mempelbagaikan asas ekonomi, memperkukuh daya saing dan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global. Usaha pempelbagaian ekonomi sejak beberapa dekad yang lalu mengurangkan kebergantungan negara pada mana-mana sektor atau pasaran, sekali gus menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan terhadap kejutan.
Dasar monetari kekal responsif dan berpandangan ke hadapan. Dalam persekitaran ketidakpastian global yang semakin meningkat, Jawatankuasa Dasar Monetari mengambil langkah awalan dengan mengurangkan Kadar Dasar Semalaman daripada 3% kepada 2.75% bagi menjamin pertumbuhan Malaysia dan menampan risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang timbul berikutan ketidaktentuan global. Keputusan tersebut mencerminkan hasrat untuk bertindak awal, berpandukan penilaian ke hadapan terhadap risiko yang berubah-ubah, serta disokong oleh persekitaran inflasi terkawal yang menyediakan ruang untuk tindakan awal. Sejak itu, transmisi dasar monetari kekal teratur dan sejajar dengan jangkaan. Pelarasan ini dijangka memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi memasuki tahun 2026.
Langkah pelengkap turut memastikan mudah tunai dalam sistem kewangan domestik kekal mencukupi dalam keadaan volatiliti kewangan global yang ketara. Pengurangan Keperluan Rizab Berkanun memberikan lebih fleksibiliti kepada bank-bank untuk menguruskan mudah tunai mereka, sekali gus membantu memastikan kredit terus disalurkan kepada isi rumah dan perniagaan yang berkelayakan. Tindakan dasar ini bertujuan memastikan keadaan pinjaman yang stabil, akses pembiayaan yang berterusan serta keyakinan bahawa sistem kewangan Malaysia akan terus berfungsi dengan lancar, walaupun dalam tempoh yang mencabar.
Pembaharuan untuk rakyat
Persekitaran makro yang kondusif memberikan ruang kepada Kerajaan untuk memajukan pembaharuan struktur yang sangat penting, meskipun berhadapan dengan rintangan luaran. Langkah seperti pelarasan tarif air dan tenaga serta rasionalisasi subsidi RON95 dilaksanakan bagi menangani herotan yang telah lama berlarutan, menambah baik peruntukan sumber serta memperkukuh asas untuk pertumbuhan jangka panjang.
Pembaharuan ini perlu, namun akan meninggalkan kesan. Menyedari hakikat ini, pembaharuan tersebut dirangka dan dilaksanakan secara teliti dan berperingkat, dengan langkah mitigasi bagi menguruskan kos peralihan, mengehadkan kesan sampingan dan melindungi golongan yang mudah terjejas. Semua ini merupakan ramuan penting bagi memastikan usaha pembaharuan ini mempunyai peluang yang terbaik untuk berjaya. Akhirnya, pembaharuan itu perlu memperkukuh daya tahan, tanpa mencicirkan mana-mana segmen masyarakat.
Pada masa yang sama, inisiatif untuk memacu transformasi perindustrian dan meningkatkan kompleksiti ekonomi terus diperkasakan. Meningkatkan tawaran nilai Malaysia kepada dunia kekal sebagai fokus pembangunan yang mustahak memandangkan pertumbuhan yang dipacu produktiviti amat penting untuk menjana pekerjaan berkualiti, meningkatkan gaji serta mengekalkan pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang. Sesungguhnya, pembaharuan struktur adalah tentang menjamin masa hadapan yang lebih baik. Bukan sekadar mengejar angka yang lebih baik, namun juga hasil jangka panjang yang bermakna kepada isi rumah dan perniagaan.
Pendekatan yang teguh
Meskipun terdapat episod volatiliti tinggi dalam pasaran pertukaran asing, BNM kekal teguh dalam memelihara kestabilan. Ringgit mengukuh secara stabil sepanjang tahun 2025, mencatatkan penambahan nilai terbesar dalam kalangan mata wang serantau, didorong oleh aliran masuk pelaburan portfolio dan pelaburan langsung asing yang berterusan. Keadaan ini mencerminkan keyakinan terhadap asas ekonomi Malaysia, konsistensi dan kredibiliti perumusan dasar, serta komitmen negara terhadap pembaharuan struktur. Usaha untuk menggalakkan aliran pertukaran asing dua hala yang lebih seimbang dalam pasaran negara turut menunjukkan hasil yang positif, disokong oleh penyertaan yang lebih utuh oleh pelabur domestik dan bukan pemastautin. Pasaran kewangan yang teratur telah memberikan kestabilan, keyakinan serta persekitaran yang membolehkan isi rumah dan perniagaan merancang dengan lebih kepastian.
Pada masa yang sama, BNM terus memperkukuh penampan luaran dengan mengekalkan rizab antarabangsa yang mencukupi untuk memelihara ruang dasar sekiranya keadaan global berubah. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif yang diambil telah menghasilkan sekitar USD10 bilion aliran masuk bersih sepanjang tahun lepas, sekali gus menyokong peningkatan dalam rizab antarabangsa kasar kepada USD128 bilion setakat 13 Mac 2026 (2024: USD116 bilion).
Menyokong ekonomi benar
Sektor kewangan kekal berkesan dalam menggerakkan dana antara penyimpan dengan peminjam. Institusi kewangan kekal mempunyai tahap permodalan yang kukuh dan berdaya tahan dari segi operasi, disokong oleh penampan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dan kualiti aset yang baik. Hal ini memastikan akses pembiayaan berterusan untuk isi rumah dan perniagaan, sekali gus menyokong penggunaan, pelaburan serta sumber pendapatan.
Sistem pembayaran dan penyelesaian Malaysia kekal efektif dan selamat dalam menyokong jumlah transaksi yang semakin meningkat. Usaha berterusan untuk memodenkan infrastruktur pasaran kewangan, termasuk pelaksanaan penyelesaian dana hampir masa nyata (RENTAS+) akan mengukuhkan lagi asas bagi pembangunan kewangan digital.
BNM juga memastikan pendekatan pengawalseliaan dan penyeliaannya kekal pragmatik, seimbang dan berasaskan risiko. Usaha penyeliaan tertumpu kepada memastikan institusi kewangan kekal berdaya tahan terhadap risiko baharu, termasuk yang berpunca daripada pendigitalan, ancaman siber dan perubahan iklim. Piawaian pengawalseliaan terus diselaraskan dengan amalan terbaik antarabangsa dan turut disesuaikan mengikut konteks dan keutamaan domestik Malaysia.
Peranan BNM menuntut keseimbangan yang teliti. Selain memelihara kestabilan kewangan, usaha memperluas rangkuman dan menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab juga amat penting. Kewangan seharusnya mencipta nilai, menerusi peluang yang dibuka di samping menguruskan risiko kepada ekonomi benar.
Memelihara keyakinan dan integriti
Keyakinan orang ramai terhadap integriti sistem kewangan kekal teras kepada misi BNM. Usaha memerangi penipuan kewangan dipertingkatkan melalui kehendak penyeliaan yang lebih ketat, langkah-langkah seluruh industri serta kempen kesedaran awam. Usaha awal oleh bank-bank untuk memperkukuh pertahanan terhadap perisian hasad (malware) sejak akhir 2024 kini membuahkan hasil, dengan beberapa bank melaporkan sifar kes perisian hasad pada tahun 2025.
Melengkapi usaha ini ialah kemajuan yang dicapai dalam memperkukuh langkah pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan yang telah diiktiraf oleh Financial Action Task Force (FATF). Keputusan Penilaian Bersama (Mutual Evaluation) oleh FATF menghasilkan peningkatan penarafan merentas beberapa bidang utama dan meletakkan Malaysia di bawah kategori tertinggi iaitu “Regular Monitoring”, yang merupakan peningkatan daripada “Enhanced Monitoring” sebelum ini. Bagi pihak Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan (National Coordination Committee, NCC), saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan, termasuk ahli NCC dan institusi kewangan, atas komitmen dan usaha yang tidak berbelah bahagi dalam merealisasikan pencapaian yang sukar diraih ini, sekali gus membantu memperkukuh keyakinan terhadap ekonomi dan sistem kewangan negara.
Membina masa hadapan
Tahun 2025 turut menandakan tahun kedua terakhir Pelan Sektor Kewangan 2022–2026. Jika dilihat semula, kita telah mencapai kemajuan dalam beberapa keutamaan pembangunan. Dari segi pendigitalan, bank-bank digital secara beransur-ansur memperluas penawaran dan capaian mereka kepada komuniti yang belum dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Inisiatif seperti pelaporan polis secara elektronik bagi kemalangan kecil, yang kini dirintis di Lebuh raya PLUS, telah mengurangkan geseran dalam proses tuntutan dan meningkatkan kecekapan merentas ekosistem.
Kemajuan ini turut disertai pembaharuan penting yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna dan daya tahan kewangan. Pembaharuan ini termasuk penggubalan Akta Kredit Pengguna, pindaan kepada Akta Sewa Beli, perumusan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–30 serta pemuktamadan reka bentuk pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT) asas. Kesemua pembaharuan ini dapat dilaksanakan hasil sokongan padu dan kerjasama erat kementerian serta agensi kerajaan bersama-sama dengan industri kewangan.
Pada masa yang sama, BNM terus mempercepat inovasi yang bertanggungjawab. Platform dan inisiatif seperti Hab Inovasi Aset Digital, Makmal Inovasi Kewangan Iklim serta program i-CITA telah dibangunkan bagi menyokong penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan ekonomi dan masyarakat secara langsung. Kemajuan juga terus dicapai dalam usaha membina daya tahan iklim bagi institusi kewangan dan pelanggan mereka, dengan kebanyakan institusi kewangan kini menawarkan produk dan penyelesaian hijau. Sementara itu, peluasan program iTEKAD, yang kini bukan sekadar sokongan keusahawanan malah merangkumi perlindungan risiko dan sokongan berkaitan kebolehpasaran kerja, dijangka dapat membantu ribuan usahawan mikro, yang kebanyakannya merupakan komuniti yang mudah terjejas.
Pendekatan seluruh ekosistem turut mencorakkan kemajuan kewangan Islam. Kewangan berasaskan nilai semakin kukuh dan dipelopori oleh institusi kewangan Islam. Projek rintis baharu berteraskan impak telah dilaksanakan, manakala penggunaan secara berperingkat MYOR-i yang transformatif, iaitu kadar penanda aras Islam berasaskan transaksi yang pertama di dunia, merupakan satu pencapaian penting ke arah memperdalam pasaran kewangan Islam. Menjengah ke hadapan, Malaysia akan terus memanfaatkan kekuatannya untuk menyediakan kepimpinan global dan meletakkan kewangan Islam sebagai pemangkin kepada pertumbuhan yang progresif dan inklusif, daripada memperluas kewangan sosial dan memperkukuh ekosistem halal sehinggalah meningkatkan integrasi serantau di ASEAN. Penubuhan MIFC Business Network juga dijangka menambah baik penyelarasan dan pemudahcaraan industri bagi meraih lebih banyak peluang perniagaan masuk dan keluar (inward and outward) untuk negara.
Teguh bersama
Sebagai bank pusat negara, dasar dan tindakan BNM memberikan kesan kepada jutaan rakyat Malaysia, dan usaha sedemikian tidak mungkin dapat kami galas bersendirian. Sehubungan dengan itu, BNM mengadakan libat urus yang meluas dan proaktif dengan pelbagai pihak yang menerima khidmat dan seliaannya. Dasar yang baik perlu berpaksikan bukan sahaja data, malah realiti di lapangan. Libat urus dengan perniagaan di seluruh Malaysia membantu BNM memahami risiko yang muncul dan perubahan tingkah laku, sering kali sebelum diterjemahkan dalam bentuk angka. Libat urus ini memberikan pemahaman masa nyata, dari ladang di Tawau mahupun isi rumah di Besut hinggalah ke Kuala Lumpur.
Sebagai pengawal selia, dialog berterusan dengan industri yang lebih luas dan peserta pasaran yang lebih pelbagai dapat memperhalus penilaian BNM tentang perkara yang paling penting untuk pembangunan kewangan Malaysia, serta cara pembaharuan perlu disesuaikan agar berkesan dan seimbang.
Pihak berkepentingan BNM di Parlimen dan di seluruh Kerajaan memastikan BNM kekal fokus pada hasil, serta memastikan hasil tersebut sampai kepada rakyat. Dengan setiap perbincangan, BNM memperkukuh keyakinan terhadap institusi ini. Yang penting, pendekatan dasar secara kolaboratif, baik dasar fiskal, kewangan mahupun monetari, membina keselarasan dan meningkatkan keberkesanan. Perkara ini juga telah sekian lama diiktiraf sebagai kekuatan oleh komuniti pelaburan global, termasuk agensi penarafan utama.
Kemajuan melalui kerjasama
Dalam dunia yang semakin berpecah-pecah, ASEAN boleh menjadi sumber kekuatan. Kepengerusian ASEAN Malaysia memberikan peluang untuk menegaskan dan memperkukuh nilai dan prinsip teras rantau ini, iaitu komitmen bersama dan tanggungjawab kolektif dalam meningkatkan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau. Dalam keadaan ketegangan perdagangan global yang ketara, komitmen bersatu ASEAN untuk memberikan respons yang berhemat dan konstruktif mencerminkan prinsip ini. Bagi Malaysia, menjadi sebahagian daripada rantau yang menjunjung kerjasama dan kestabilan merupakan teras penting dalam menghadapi landskap global yang semakin kompleks. Sehubungan dengan itu, BNM menerajui usaha untuk memajukan integrasi kewangan dan ekonomi serantau yang lebih bersepadu melalui Trek Kewangan (Finance Track).
Rangkaian pembayaran serantau terus diperluas, dengan 29 jalinan pembayaran kini beroperasi merentas Negara Anggota ASEAN. Kini, pelancong yang membuat pembelian atau perniagaan kecil yang menjual produk merentasi sempadan boleh membuat dan menerima pembayaran dengan lebih pantas, selamat dan pada kos yang lebih rendah. Perkembangan ini mengurangkan geseran, memperluas peluang serta menyokong sumber pendapatan komuniti ASEAN.
Malaysia juga telah berjaya menggembleng pelaburan ke dalam projek hijau serantau, termasuk ASEAN Power Grid. Inisiatif seperti ini bukan semata-mata tentang matlamat iklim; malah berkaitan keterjaminan tenaga, daya saing jangka panjang serta pembinaan asas bagi pertumbuhan dan peluang pekerjaan pada masa hadapan. Malaysia turut berkongsi pengalamannya melalui inisiatif Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain) yang kini sedang dilaksanakan di dua lagi ekonomi ASEAN.
Pada masa yang sama, keupayaan ASEAN untuk memberikan respons secara kolektif terhadap kejutan luaran turut diperkukuh, termasuk melalui penambahbaikan Chiang Mai Initiative Multilateralisation serta beberapa strategi mustahak di bawah ASEAN Geoeconomics Task Force. Kesemua langkah ini memperkukuh keupayaan ASEAN untuk bertindak bersama terhadap kejutan luaran, sekali gus mewujudkan lapisan daya tahan tambahan bagi menghadapi ketidakpastian global.
Menjengah masa hadapan
Ketidakpastian berhubung dinamik perdagangan global dan aliran modal akan terus membentuk prospek global pada tahun 2026. Perkembangan di Timur Tengah telah menambahkan satu lagi dimensi ketidakpastian, dengan kesan limpahan yang berpotensi meluas, memandangkan implikasinya terhadap harga komoditi dan keadaan pasaran kewangan. Tahap kesan terhadap pertumbuhan dan inflasi bergantung terutamanya pada tempoh, intensiti dan keseriusan konflik tersebut. Pada masa yang sama, walaupun kemajuan pesat dalam kecerdasan buatan menawarkan peluang untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, terdapat risiko pembetulan inventori dan pasaran, serta volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan kemungkinan penilaian aset yang berlebihan.
Dalam persekitaran ini, daya tahan Malaysia pada peringkat dalam negeri dan struktur eksport yang pelbagai memberikan asas yang kukuh untuk mengharungi rintangan luaran semasa. Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 5%, disokong oleh perbelanjaan isi rumah, pengembangan pelaburan, permintaan global yang berterusan, khususnya bagi eksport E&E, serta aktiviti pelancongan yang stabil sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. Kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih juga akan memberikan lebih daya tahan terhadap peningkatan harga komoditi global. Sementara itu, inflasi dijangka kekal sederhana antara 1.5% hingga 2.5%. Walaupun risiko kenaikan inflasi yang berpunca daripada perkembangan harga komoditi dan tenaga global masih wujud, dasar yang bersasar tersedia untuk membantu mengurangkan kesan terhadap isi rumah dan perniagaan.
Perubahan geoekonomi yang sedang berlaku menandakan perubahan struktur yang masih terus berkembang dengan implikasi jangka panjang. Pada ketika ini, perlu diakui bahawa landskap global semakin sukar diramalkan, apabila pertimbangan geopolitik semakin membentuk keadaan ekonomi. Perkembangan di Timur Tengah menunjukkan bahawa konflik boleh mencetuskan gelombang kesan ke seluruh dunia, tanpa memberikan manfaat kepada mana-mana pihak. Hal ini menekankan keperluan mendesak untuk Malaysia dan ASEAN meneguhkan lagi pembaharuan domestik dan serantau. Kita perlu berganding bahu, termasuk melalui ASEAN Geoeconomics Task Force, untuk mengharungi persekitaran yang terus berubah-ubah ini. Kita juga perlu bersiap sedia bagi menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang yang akan tiba.
Bagi Malaysia, penting untuk negara kekal fokus dan komited dalam memperkukuh asas ekonomi serta penampan dasar. Dengan meningkatkan kemampanan fiskal dan menarik pelaburan berkualiti, kini wujud ruang untuk terus melaksanakan pembaharuan yang amat diperlukan dalam perlindungan sosial dan pasaran pekerja. Pembaharuan ini mungkin memerlukan beberapa pelarasan jangka pendek, namun pelarasan ini perlu bagi memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif dan memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk generasi akan datang. Hala tuju Malaysia ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi perlu dibina atas landasan kemakmuran bersama. Kita perlu membina ekonomi yang mewujudkan pekerjaan yang bergaji lebih tinggi, menyokong isi rumah dan perniagaan, serta kekal berdaya tahan untuk berdekad lamanya.
Bagi BNM, keutamaan akan terus tertumpu pada kesiapsiagaan bagi menghadapi cabaran yang mendatang, tanpa mengabaikan keutamaan jangka panjang untuk mempertingkatkan prospek ekonomi dan memelihara daya tahan negara. Jawatankuasa Dasar Monetari akan terus memantau perkembangan dengan rapi dan menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi. BNM juga terus bersedia, seperti yang telah dilakukan sepanjang beberapa episod ketidakpastian yang ketara, untuk memastikan pasaran kekal teratur dan menguruskan risiko volatiliti yang berlebihan.
Dengan Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 memasuki fasa terakhirnya, pelaksanaan akan dipercepat seiring dengan usaha untuk membangunkan hala tuju seterusnya bagi sektor kewangan Malaysia. BNM akan melaksanakan usaha untuk lebih memudahkan inovasi, termasuk dalam bidang baharu seperti kewangan digital, stablecoin dan adaptasi iklim secara selamat dan bertanggungjawab.
Yang kekal utuh
Meskipun persekitaran terus berubah, komitmen BNM kekal tidak berbelah bahagi. Sebagai sebuah organisasi, BNM akan terus melaksanakan mandat dengan penuh tanggungjawab demi membina masa hadapan yang lebih cerah untuk seluruh rakyat Malaysia. BNM juga akan terus memperkukuh keupayaan untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada negara. Langkah ini termasuk meneruskan usaha untuk mengoptimumkan proses kerja, melabur dalam penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, menilai semula keperluan tenaga kerja serta menyepadukan kelestarian dengan lebih mendalam dalam organisasi.
Semua pencapaian yang diraih BNM hanya dapat direalisasikan melalui kerja keras, dedikasi dan ketabahan warga kerjanya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga BNM atas sikap profesionalisme, daya tahan dan komitmen yang berterusan dalam menjunjung amanah perkhidmatan kepada negara. Usaha anda, sama ada yang terserlah mahupun di sebalik tabir, menyentuh kehidupan isi rumah, perniagaan dan komuniti di seluruh negara. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengarah atas bimbingan dan kepimpinan yang mantap. Di luar organisasi, penghargaan turut dizahirkan kepada rakan-rakan strategik merentas kementerian dan agensi kerajaan, sektor kewangan serta rakan-rakan bank pusat dan pengawal selia, atas iltizam bersama dan kerjasama erat dalam menjayakan matlamat kolektif kita.
Dengan semua sokongan yang diberikan, saya yakin bahawa BNM akan terus memastikan sektor kewangan kekal sebagai pendorong kepada kemajuan ekonomi yang bermakna. Tatkala melangkah ke hadapan, ingatlah bahawa kebersamaan menjadikan kita lebih teguh dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk 34 juta rakyat Malaysia.