Menggalakkan Sistem Kewangan Islam yang Progresif & Inklusif

Sistem kewangan Islam Malaysia merupakan tunggak utama ekonomi negara. Sehubungan dengan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) terus memacu kewangan berasaskan nilai yang memberikan impak dan hasil sosioekonomi yang bermakna. Pendekatan ini berteraskan pada keadilan, kemakmuran bersama dan penciptaan nilai ekonomi benar. Pada tahun 2025, usaha BNM tertumpu pada tiga teras strategik utama iaitu memajukan inovasi berasaskan nilai, memperkukuh ekosistem kewangan Islam dan mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang ini. Secara bersama, usaha ini mengekalkan ekosistem kewangan Islam yang progresif dan inklusif yang menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat yang lebih luas.

Pertumbuhan perbankan Islam dan takaful berdaya tahan

Sepanjang tahun 2025, kewangan Islam terus mengukuhkan peranannya untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia. Pembiayaan Islam meningkat kepada 48% daripada jumlah pembiayaan keseluruhan manakala penyertaan takaful pula mencecah 24.5% (Gambar Rajah 1). Pertumbuhan ini mencerminkan keupayaan kewangan Islam untuk terus memenuhi keperluan pembiayaan dan perlindungan isi rumah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berubah (Gambar Rajah 2).

Teras 1: Memajukan pengantaraan berasaskan nilai untuk impak sosial dan ekonomi

Kewangan Islam didukung objektif (maqasid)[1] Syariah. Objektif ini berlandaskan nilai-nilai seperti keadilan, pengagihan kekayaan yang saksama dan tanggungjawab bersama. Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-Based Intermediation, VBI) mempraktikkan nilai-nilai ini. Bagi institusi kewangan Islam (IKI), ini bermaksud menjalankan operasi dan mewujudkan impak positif yang berkekalan dan bukan hanya tertumpu pada keuntungan semata-mata. Pada tahun 2024, IKI telah menyalurkan RM148.6 bilion[2] dalam aktiviti kewangan yang sejajar dengan VBI termasuk aktiviti untuk PKS, pembiayaan hijau dan kewangan sosial. Hal ini menunjukkan bahawa VBI meletakkan masyarakat dan ekonomi benar sebagai teras pengantaraan kewangan. Dalam usaha memperkukuh impak tersebut, BNM memperkenalkan inisiatif untuk memupuk inovasi yang bermakna bagi menyokong keutamaan pada peringkat nasional (Gambar Rajah 3). BNM juga menumpukan usaha untuk mempertingkat kefahaman tentang kewangan Islam dan membina keupayaan industri untuk meneroka inovasi.

Memupuk amalan mampan dalam perniagaan halal

Perniagaan halal di Malaysia perlu lebih mempertimbangkan aspek alam sekitar dalam operasi mereka untuk kekal berdaya saing pada peringkat dunia. Bagi PKS, hal ini bermaksud memenuhi piawaian dan pensijilan hijau antarabangsa yang lazimnya melibatkan kos yang tinggi serta mencabar. Inisiatif Penghijauan Perniagaan Halal (Greening Halal Businesses, GHB) menyokong PKS dengan menyediakan panduan dan alatan penjejakan karbon. Dengan sokongan lapan IKI, lebih 200 PKS halal telah mula menerima pakai amalan yang lebih lestari. Program ini masih terbuka untuk menerima lebih banyak penyertaan.[3] PKS yang bertindak awal akan lebih berpeluang untuk menembusi pasaran baharu dan meraih keutamaan pemerolehan daripada pembeli.

Memangkin penawaran instrumen perkongsian risiko

Kewangan Islam tidak terbatas kepada penyediaan kredit. Terdapat instrumen berasaskan kontrak perkongsian risiko yang membolehkan para pelabur dan usahawan berkongsi risiko serta pulangan. Instrumen sedemikian menawarkan obligasi kontrak tanggungan risiko dan ganjaran yang lebih pelbagai. Sebagai contoh, kegiatan ekonomi yang mempunyai tempoh yang lebih lama dan aliran tunai yang tidak menentu seperti projek peralihan iklim tidak boleh hanya bergantung pada pembiayaan hutang tradisional yang lazimnya digunakan untuk membiayai projek yang mempunyai aliran tunai yang lebih dapat dijangka atau profil risiko yang lebih rendah. Bagi kegiatan sedemikian, penggunaan kontrak berasaskan ekuiti mungkin lebih sesuai. Dengan mengambil kira hal ini, BNM telah melancarkan program i-CITA pada bulan September 2025. Program ini menggalakkan penggunaan kontrak perkongsian risiko seperti mudarabah dan musyarakah secara lebih meluas. Melalui dana padanan berjumlah RM100 juta,[4] i-CITA berpotensi untuk meluaskan akses pembiayaan kepada usaha niaga baharu yang berdaya maju. Program ini menggalakkan IKI untuk membangunkan penyelesaian perkongsian risiko yang berinovasi dan menyalurkan pelaburan ke dalam bidang ekonomi utama seperti keterjaminan makanan dan daya tahan iklim.

Memperkukuh kesejahteraan kewangan

Pada tahun 2025, BNM telah memperluas program iTEKAD untuk merangkumi Perlindungan iTEKAD,[5] iaitu penyelesaian takaful sosial. Matlamat inisiatif ini adalah untuk menjadikan perlindungan takaful lebih mampu milik dan menyediakan akses yang lebih mudah kepada usahawan mikro (Gambar Rajah 4). Berasaskan prinsip takaful iaitu ‘‘saling membantu’’, empat pengendali takaful telah memberikan komitmen untuk merintis Perlindungan iTEKAD semasa pelancarannya pada Forum Kewangan Islam Global (Global Islamic Finance Forum, GIFF). Pada bulan Disember 2025, dua pengendali takaful telah mula melancarkan penawaran masing-masing. Usaha ini menunjukkan komitmen berterusan BNM dan IKI untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan menyokong penyertaan ekonomi yang lebih meluas.

Teras 2: Mengukuhkan ekosistem yang kondusif untuk pembangunan pasaran

BNM menggunakan pendekatan seluruh ekosistem untuk menyokong pertumbuhan yang progresif dan inklusif. Pendekatan ini termasuk menyediakan persekitaran pengawalseliaan yang kondusif, memperdalam pasaran kewangan Islam dan memastikan kejelasan Syariah dalam amalan kewangan Islam. BNM juga meneruskan usaha memperkukuh ekosistem Syariah untuk masa hadapan. Usaha ini dilaksanakan melalui penyelidikan, pembangunan tenaga mahir dan pemahaman orang ramai tentang kewangan Islam.

Persekitaran pengawalseliaan yang kondusif

Pada bulan November 2025, BNM telah menerbitkan Policy Document on Broader Application of Taˋawun in Takaful untuk memperkukuh amalan saling membantu dalam industri takaful. Matlamatnya adalah untuk membolehkan pengendali takaful mengkaji penyelesaian yang menyokong akses kepada perlindungan oleh segmen tertentu dalam ekonomi. Selaras dengan rangka kerja berasaskan nilai, amalan saling menyokong sedemikian dapat membantu membina daya tahan kewangan bagi semua lapisan masyarakat. Hasrat BNM adalah supaya kewangan Islam bukan hanya menggalakkan perlindungan kewangan, tetapi turut menggalakkan budaya saling menyokong supaya manfaat kewangan Islam dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukannya.

BNM juga sedang meneliti maklum balas industri berhubung dengan Discussion Paper on Shariah Contract Framework dan Discussion Paper on Investment Account. Semakan ini bertujuan untuk menyediakan panduan yang jelas dan praktikal. Langkah ini memastikan prinsip Syariah diterapkan secara berkesan dalam kontrak kewangan dan akaun pelaburan. Melalui kerjasama rapat dengan industri, usaha ini akan terus memastikan rangka kerja pengawalseliaan kukuh, telus dan boleh disesuaikan dengan perkembangan pasaran.

Memperdalam pasaran kewangan Islam

Asas pengawalseliaan yang kukuh perlu disokong oleh hala tuju dasar yang jelas dan tahap kesediaan pasaran yang mantap. BNM mengorak langkah seterusnya dalam pelaksanaan dasar utama bagi Kadar Semalaman Islam Malaysia (Malaysia Islamic Overnight Rate, MYOR-i)[6] dan pembiayaan bercagar patuh Syariah. Menerusi dasar-dasar ini, BNM berhasrat untuk:

Memperkenalkan peralihan penetapan harga produk patuh Syariah dan penanda aras yang lebih telus. BNM akan mewajibkan penggunaan MYOR-i bagi produk patuh Syariah mulai separuh kedua tahun 2027. Langkah ini menyokong peralihan yang lebih menyeluruh daripada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate, KLIBOR) kepada MYOR/MYOR-i.[7] Memandangkan MYOR-i mencerminkan simpanan semalaman antara bank Islam yang sebenar, kadar ini menyediakan penanda aras yang mencerminkan aktiviti pasaran yang patuh Syariah. Peralihan ini dijangka menghasilkan penetapan harga yang lebih telus dan menyokong penyelesaian patuh Syariah yang menyeluruh bagi IKI.

 Meningkatkan ketersediaan operasi dan pengurusan risiko. Beberapa bank Islam telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MOU)[8] untuk menambah baik penggunaan instrumen pasaran wang Islam bercagar dan instrumen lindung nilai Islam. MOU ini menyeragamkan amalan pasaran yang seterusnya menyokong pengurusan mudah tunai yang lebih baik, lindung nilai yang lebih diyakini dan operasi harian yang lebih lancar selaras dengan piawaian global.

Menyediakan kejelasan Syariah dalam amalan kewangan Islam

Panduan Syariah yang jelas membina keyakinan dan kepercayaan terhadap kewangan Islam. Majlis Penasihat Shariah (MPS) terus memberikan panduan yang jelas tentang perkara yang dibenarkan dalam kewangan Islam. Keputusan MPS menjadi teras kepada rangka kerja pengawalseliaan dan memastikan bahawa amalan pasaran baharu serta perkembangan dasar adalah selaras dengan kehendak Syariah. Sepanjang tahun 2025, keputusan MPS telah membolehkan penawaran penyelesaian baharu seperti pembelian inventori berasaskan kontrak istisnaˋ dan pembiayaan pertanian berasaskan kontrak salam (Gambar Rajah 5).

Memperkukuh ekosistem Syariah untuk masa hadapan

Seiring dengan kepesatan inovasi kewangan, pemahaman lebih mendalam tentang isu yang baru muncul perlu untuk mengekalkan kejelasan Syariah. Hal ini bermakna panduan yang jelas, berautoriti dan konsisten diperlukan mengenai perkara yang dibenarkan dalam kewangan Islam. Instrumen baharu seperti aset digital dan instrumen kewangan baharu yang lain semakin memperluas cara pasaran berfungsi serta menimbulkan persoalan yang memerlukan penilaian Syariah yang teliti. Bagi memastikan BNM bersedia mendepani perkembangan ini, BNM memberikan tumpuan pada penyelidikan Syariah dan pembangunan tenaga mahir sebagai elemen utama bagi memperteguh ekosistem untuk masa hadapan.

Pada bulan Julai 2025, BNM menerbitkan Kertas Kerja bertajuk “Fundamentals of Modern Money and its Application to Central Bank Digital Currency (CBDC): An Exploratory Shariah Analysis”. Kertas kerja ini menghuraikan pemahaman asas tentang makna wang dan cara wang berfungsi dalam sistem ekonomi moden. Kertas kerja ini menyediakan rangka kerja sebagai panduan dalam pertimbangan Syariah tentang inovasi kewangan baharu termasuk aset digital, stablecoin dan CBDC.[9] Kertas kerja analisa kritis ini juga membuka laluan kepada perbincangan serantau yang lebih meluas berhubung dengan isu monetari semasa (rujuk Teras 3).

Usaha memperteguh ekosistem untuk masa hadapan juga memerlukan kumpulan tenaga mahir Syariah yang mantap. Pada bulan Oktober 2025, BNM telah menganjurkan persidangan meja bulat yang menghimpunkan sarjana Syariah antarabangsa dan pakar Syariah[10] yang terkemuka untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu utama Syariah. Isu ini termasuk penggunaan kontrak Syariah selain tawarruq serta peranan penasihat Syariah dalam membentuk hala tuju industri. Sesi tersebut membantu membina hubungan yang lebih kukuh dan menggalakkan program mentor, sekali gus menyokong pembangunan ekosistem tenaga mahir Syariah.

Memperluas jangkauan celik kewangan Islam

Inisiatif celik kewangan membantu pelanggan memahami ciri dan nilai kewangan Islam. Inisiatif ini turut membantu meningkatkan keyakinan orang ramai melalui pemahaman tentang cara prinsip dan tadbir urus Syariah memelihara integriti sistem. Buat pertama kalinya pada tahun 2025, BNM telah memperkenalkan program Celik Kewangan Islam (Islamic Financial Literacy, IFL) dalam Karnival Celik Kewangan[11] di Pulau Pinang. Melalui forum IFL dan Klinik Syariah[12], pengguna menerima panduan praktikal mengenai kewangan Islam dan asas pengurusan kekayaan. Sokongan ini membantu pengguna menyertai sistem kewangan dengan lebih yakin dan bertanggungjawab.

Teras 3: Malaysia sebagai peneraju berwawasan global

BNM meneruskan usaha untuk mengukuhkan kepimpinan Malaysia sebagai peneraju berwawasan global dalam kewangan Islam. Usaha ini berlandaskan ekosistem yang kukuh dan kemajuan pasaran yang stabil. Keutamaan BNM bagi tahun 2025 termasuk memperkukuh jalinan perniagaan, menggalakkan pengiktirafan bersama dalam Syariah, memacu inovasi dan membina keupayaan global (Gambar Rajah 6). Melalui usaha ini, matlamat Malaysia adalah untuk membina ekosistem kewangan Islam dunia yang lebih terhubung dan progresif.

Memperkukuh kepimpinan industri

Pihak pengawal selia termasuk BNM telah memainkan peranan penting dalam fasa awal pembangunan kewangan Islam di Malaysia. Dengan kedudukan industri yang semakin matang, para peserta industri kini bersedia untuk mendorong agenda utama Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre, MIFC). Bagi menyokong usaha ini, para peserta industri telah menubuhkan MIFC Business Network (MBN) pada bulan Oktober 2025. MBN berfungsi sebagai platform penyelarasan seluruh sektor bagi peserta industri perbankan, takaful, pasaran modal dan perkhidmatan sokongan. MBN berupaya menyelaras usaha dengan lebih baik untuk menarik minat terhadap peluang perniagaan kewangan Islam Malaysia, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai gerbang antarabangsa. MBN juga menyokong usaha untuk membangunkan dan memupuk industri supaya berkembang menjadi peserta serantau atau global. MBN dibina atas asas yang telah dibangunkan oleh MIFC Leadership Council (MLC), yang telah menggerakkan 18 Projek Berimpak[13] dan memangkin kemajuan awal ke arah hasil tersebut (Gambar Rajah 7).

Memacu inovasi berasaskan nilai

Malaysia bekerjasama dengan negara lain untuk memacu inovasi yang menangani keperluan sosial dan kelestarian. Dengan tema “Accelerating Innovation Empowering Change”, BNM dan MLC telah bekerjasama dengan rakan kerjasama dari luar[14] dan dalam negara[15] untuk menjayakan MIFC Global Impact Challenge (MIFC GIC). Melalui program ini, para peserta membangunkan penyelesaian patuh Syariah bagi isu sosial dan kelestarian. Idea daripada empat pemenang merangkumi kebajikan sosial, perancangan harta pusaka, teknologi pertanian dan platform digital. Penyelesaian ini meningkatkan ketelusan, menambah baik kecekapan dan memperkasa komuniti. MLC dan rakan kerjasama MIFC GIC telah menyediakan sokongan dan panduan kepada para pemenang sepanjang tempoh 12 bulan untuk membantu memperluas penyelesaian mereka. Kerjasama ini mengetengahkan peranan Malaysia dalam usaha menggalakkan inovasi berasaskan nilai praktikal yang dapat memberikan manfaat kepada komuniti kewangan Islam dunia secara lebih meluas.

Menggalakkan dorongan Syariah merentas negara

BNM menghargai kepelbagaian pandangan dalam Syariah kerana wacana yang mantap membolehkan panduan yang lebih jelas dan amalan industri yang lebih kukuh. Dalam konteks ini, Centralised Shariah Authorities Forum (CSAF) terus berfungsi sebagai platform utama untuk memperkukuh kerjasama global dalam hal ehwal Syariah. Sebagai tuan rumah dan jawatankuasa pemandu CSAF, Malaysia menghimpunkan badan berautoriti Syariah terkemuka untuk berkongsi pandangan, menangani isu yang baru muncul dan meningkatkan kefahaman bersama. CSAF ke-6 yang diadakan pada bulan Oktober 2025 menandakan satu lagi pencapaian penting apabila Terma Rujukan (Terms of Reference, ToR) CSAF dimuktamadkan. Langkah ini mengukuhkan lagi rangka kerja tadbir urus dan penyelarasan dalam kalangan negara anggota. Langkah ini juga meningkatkan kesefahaman yang lebih mendalam dalam kalangan badan berautoriti Syariah.[16] Skop perbincangan merangkumi perkembangan Syariah mengikut tema dan bidang kuasa seperti amalan takaful dan wang moden.

Bagi meneruskan momentum ini, perbincangan lanjut diteruskan pada Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara 2025 di Bangkok. Sesi ini memperluas pemahaman tentang pembangunan aset digital dan menyokong perbincangan Syariah merentas bidang kuasa yang lebih mendalam. Sesi ini juga mengukuhkan peranan BNM dalam membentuk perspektif Syariah global mengenai inovasi kewangan yang baharu.

Memperkukuh pembinaan keupayaan

Perkongsian pengalaman amat penting untuk mengetahui amalan yang berkesan dan yang perlu dielakkan. Pada tahun 2025, BNM menyokong 17 negara[17] dengan berkongsi pengalaman Malaysia melalui rundingan teknikal dan dialog strategik. Malaysia juga menganjurkan Islamic Finance Capacity Building Programme (IFCBP)[18] yang diadakan buat julung-julung kalinya. Program ini menawarkan panduan praktikal tentang pembangunan sistem dwikewangan bagi negara-negara Asia Tengah[19] dan Azerbaijan. Panduan ini meliputi bidang utama berhubung dengan rangka kerja pengawalan dan penyeliaan serta pengurusan mudah tunai. Maklum balas positif yang diterima oleh BNM membuktikan peranan Malaysia sebagai rujukan bagi negara yang sedang membangunkan ekosistem kewangan Islam mereka. Hal ini juga membolehkan program tersebut diperluas dan disesuaikan untuk rantau lain.

Langkah Selanjutnya

Pada tahun 2026, keutamaan BNM adalah untuk memperkukuh keupayaan pengantaraan berasaskan nilai yang merangkumi agenda kelestarian dan iklim, memupuk persekitaran yang menggalakkan inovasi berimpak dan menjadi pemangkin potensi ekonomi melalui ekonomi halal dan peluang global. Berpandukan kepimpinan dan kerjasama strategik, BNM terus komited untuk memajukan ekosistem kewangan Islam Malaysia. Hal ini memastikan evolusi yang progresif memberikan manfaat berpanjangan kepada semua.

Nota

[1] Lima objektif Syariah (maqasid Syariah) utama terdiri daripada pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan kekayaan (harta).

[2] Inisiatif sejajar VBI merujuk deposit dan akaun pelaburan, aktiviti pembiayaan, pelaburan dan kewangan sosial. Bahagian pembiayaan merujuk jumlah pembiayaan yang diluluskan oleh bank yang sejajar dengan VBI.

[3] Maklumat lanjut boleh didapati menerusi (/sme-financing/ghb).

[4] Maklumat lanjut boleh didapati dalam Ucapan Belanjawan 2025 (perenggan 154) menerusi (https://belanjawan.mof.gov.my/pdf/belanjawan2025/ucapan/ub25-en.pdf).

[5] Maklumat lanjut mengenai iTEKAD boleh didapati dalam bab “Menggalakkan Sistem Kewangan yang Progresif dan Inklusif” dalam Laporan Tahunan BNM 2025.

[6] MYOR-i ialah kadar penanda aras patuh Syariah berasaskan urus niaga yang pertama di dunia. MYOR-i diperkenalkan pada tahun 2022 sebagai kadar rujukan alternatif seiring dengan padanan konvensionalnya iaitu Kadar Semalaman Malaysia (Malaysia Overnight Rate, MYOR).

[7] BNM telah mengumumkan pelan hala tuju peralihan pada bulan Oktober 2025 untuk mempercepat penggunaan MYOR/MYOR-i oleh industri kewangan susulan penamatan KLIBOR menjelang 1 Januari 2029. Maklumat lanjut terdapat dalam bab “Menggalakkan Sistem Kewangan yang Progresif dan Inklusif” dalam Laporan Tahunan BNM 2025 menerusi (https://financialmarkets.bnm.gov.my/transition-roadmap) serta rencana bertajuk “Peralihan daripada KLIBOR kepada MYOR/MYOR-i” dalam Laporan Kestabilan Kewangan BNM bagi Separuh Pertama Tahun 2024.

[8] Perjanjian Jual dan Beli Balik (Sell and Buy Back Agreement, SBBA) yang dipertingkat dan Perjanjian Induk Tahawwut (Tahawwut Master Agreement, TMA) yang dimeterai semasa persidangan meja bulat Jawatankuasa Kecil Pasaran Kewangan Islam (Islamic Financial Market Subcommittee, IFMC). Maklumat lanjut boleh didapati menerusi (/documents/20124/11285645/ifmc-2025-milestones-trends.pdf).

[9] Maklumat lanjut menerusi (/documents/20124/826852/ahmad-et-al-2025-wp325.pdf).

[10] Pakar Syariah ialah ahli profesional Syariah yang masih membina kemahiran mahupun yang berpengalaman dan sedang meningkatkan kepakaran, dedahan dan pengalaman praktikal dalam kewangan Islam. Mereka menunjukkan potensi sebagai generasi sarjana Syariah seterusnya dalam kewangan Islam.

[11] Karnival Celik Kewangan merupakan inisiatif oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) yang bertujuan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui pendekatan yang menarik dan interaktif. Maklumat lanjut boleh didapati dalam bab “Menyantuni Rakyat Malaysia” dalam Laporan Tahunan BNM 2025.

[12] Forum ini merujuk perbincangan panel bertajuk “Berkat Rezeki, Tenang Jiwa – Memahami Kebimbangan Pengurusan Kewangan dari Perspektif Islam” yang menghuraikan panduan prinsip Islam dalam membuat keputusan kewangan. Klinik Syariah pula menyediakan reruai khidmat nasihat yang menawarkan panduan serta-merta mengenai hal ehwal Syariah dan kewangan Islam.

[13] Projek Berimpak seperti yang digariskan dalam MLC Position Paper 2024 bertujuan untuk menggerakkan tindakan dan perubahan secara kolektif oleh industri bagi memupuk perubahan masyarakat yang positif melalui kewangan Islam. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi (https://mifclc.com/main/wp-content/uploads/2024/05/MIFC_Positioning_-Paper.pdf).

[14] Islamic Finance Council UK, Hong Kong Trade Development Council, Islamic Development Bank dan World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub in Malaysia.

[15] ASBhive oleh Asia School of Business berperanan sebagai rakan pengetahuan dan penyedia program pencepat. Rakan kongsi lain ialah Fintech Association of Malaysia, Association of Shariah Advisors in Islamic Finance dan Islamic Finance News.

[16] Termasuk wakil daripada 10 negara, termasuk Malaysia, Libya, Maldives, Maghribi, Nigeria, Oman, Pakistan, Filipina, Emiriah Arab Bersatu dan Uzbekistan (sebagai pemerhati).

[17] Termasuk Azerbaijan, Benin, Cambodia, Djibouti, Hong Kong, Indonesia, Kazakhstan, Kenya, Republik Kyrgyz, Filipina, Somalia, Tajikistan, Türkiye, Turkmenistan, United Kingdom, Uzbekistan dan Zambia.

[18] IFCBP dianjurkan dengan kerjasama Islamic Development Bank, INCEIF University dan International Shariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA).

[19] Seperti Kazakhstan, Republik Kyrgyz, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?