Memperkukuh Kerjasama dalam Keadaan Perubahan Geopolitik

Tahun 2025 merupakan tahun yang penting bagi Malaysia dan BNM berikutan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN dan ASEAN+3. BNM terus mempergiat penglibatannya pada peringkat antarabangsa dalam perbincangan tentang isu-isu yang mempunyai kesan terhadap Malaysia dan ekonomi global.

Sebagai Pengerusi ASEAN, BNM dan Kementerian Kewangan telah menerajui mesyuarat dan inisiatif utama di bawah Trek Kewangan ASEAN. Tumpuan utamanya ialah pengukuhan integrasi dan kestabilan kewangan serantau. Sementara itu, di bawah Proses Kewangan ASEAN+3, di samping China sebagai pengerusi bersama, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan jaringan keselamatan kewangan. Pencapaian utama semasa Kepengerusian ASEAN dan ASEAN+3 dihuraikan dengan terperinci dalam rencana “Kepengerusian ASEAN/ASEAN+3 Malaysia 2025: Memajukan Pertumbuhan Ekonomi yang Inklusif dan Mampan untuk ASEAN dan Malaysia”.[1]

BNM turut bekerjasama erat dengan rakan ahli Executives’ Meeting of East Asia-Pacific Central Banks (EMEAP) untuk mengenal pasti cabaran dasar utama dan tindak balas dasar dalam jangka masa sederhana. Antara perkara yang dirangkumi ialah implikasi daripada pendigitalan dan kecerdasan buatan serta risiko berkaitan iklim. Mesyuarat juga membincangkan inisiatif untuk meningkatkan lagi keberkesanan EMEAP.

BNM juga aktif dalam platform penetapan piawaian dan dasar antarabangsa yang utama, termasuk Bank for International Settlements (BIS), Basel Committee on Banking Supervision (BCBS), Financial Stability Board (FSB), International Association of Insurance Supervisors (IAIS) dan Islamic Financial Services Board (IFSB) sekali gus memperkukuh pandangan Malaysia dalam membentuk perkembangan pengawalseliaan global. Semua platform ini membolehkan BNM menyelaraskan dasarnya dengan piawaian antarabangsa yang sentiasa berkembang. Selain itu, semua platform ini menyokong usaha kolektif untuk mengukuhkan daya tahan dan daya saing sistem kewangan negara.

Di samping usaha-usaha tersebut, BNM juga terus mengukuhkan libat urus dua hala dengan rakan-rakannya. Libat urus sebegini penting atas beberapa sebab. Pertama, sebagai wadah untuk BNM saling bertukar pandangan tentang cabaran dan isu dasar semasa dalam ekonomi dan sektor kewangan. Kedua, libat urus ini membuka peluang kepada BNM untuk meneroka penyelesaian bagi meningkatkan daya tahan kewangan dan ekonomi. Akhir sekali, libat urus sebegini turut mengeratkan hubungan BNM dengan pihak berkepentingan utama, lantas menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rakan kerjasama yang berwibawa, dipercayai, dan berpengaruh dalam komuniti kewangan global.

Memacu Keterhubungan, Daya Tahan dan Keterangkuman Merentas Sempadan

Dari segi keterhubungan, BNM bekerjasama rapat dengan rakan serantau dan global untuk melaksanakan transformasi pembayaran rentas sempadan bagi membantu melancarkan transaksi.[2]

BNM terlibat secara aktif dalam Projek Nexus, sebuah inisiatif pelbagai hala untuk membina infrastruktur berskala dan saling boleh kendali untuk pembayaran rentas sempadan yang lancar. Projek ini bermatlamat untuk menjadikan pembayaran rentas sempadan selancar dan secekap pembayaran dalam negara. Projek ini sudah mencapai banyak kemajuan dan sistem tersebut dijangka mula beroperasi pada tahun 2027. 

BNM merupakan penyumbang yang aktif dalam Alliance for Financial Inclusion (AFI), sebuah rangkaian yang dianggotai oleh BNM sejak tahun 2009. Ibu pejabat AFI di Kuala Lumpur juga bertempat di premis BNM sejak tahun 2015. BNM mempengerusikan Global Standards and Policy Committee AFI serta menyumbang pengetahuan, pengalaman dan pandangan tentang dasar dalam pelbagai kumpulan kerja. Peranan BNM termasuk menerajui perbincangan dasar dalam pelbagai bidang seperti kewangan terbuka, pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), keupayaan kewangan dan pembangunan strategi nasional. BNM juga giat dalam pertukaran pengetahuan tentang topik rangkuman kewangan yang lebih luas, termasuk menjadi tuan rumah bagi lawatan kajian bersemuka untuk negara anggota. Pada tahun 2025, BNM menerima anugerah Honorary Recognition Award AFI yang pertama kali diwujudkan. Anugerah ini mengiktiraf kepimpinan dan sokongan BNM sejak sekian lama terhadap pembangunan institusi AFI.

BNM turut menjalin kerjasama yang erat dengan Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) serta ASEAN Working Committee on Financial Inclusion (WC-FINC) untuk memperdalam perumusan dasar berasaskan bukti bagi rangkuman kewangan. Semua kerjasama ini membuka akses kepada perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan piawaian antarabangsa yang baharu. Secara kolektif, kerjasama ini membantu membina keupayaan institusi BNM dan memastikan Malaysia kekal peka dengan perkembangan serantau dan global.

Komitmen yang Berterusan untuk Mencegah Jenayah Kewangan

BNM komited dalam menyokong usaha global untuk melindungi integriti sistem kewangan.[3] BNM merupakan anggota aktif Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (Financial Action Task Force, FATF) dan Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram (Asia/Pacific Group on Money Laundering, APG). BNM memainkan peranannya dengan membantu membentuk piawaian global untuk membanteras jenayah kewangan, iaitu dengan menyumbangkan kemas kini pada piawaian FATF, melaporkan tentang pembiayaan percambahan dan pengelakan sekatan, serta memberikan panduan tentang rangkuman kewangan dan pengurangan risiko.

Sebagai persediaan Malaysia untuk menghadapi Proses Penilaian Bersama FATF,[4] BNM giat dalam libat urus bersama pihak berkepentingan utama termasuk agensi dalam negeri yang berkaitan, beberapa negara anggota FATF, serta Sekretariat FATF dan APG. Libat urus ini penting bagi memastikan ketersediaan BNM untuk menjalani penilaian tersebut. Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab BNM dalam FATF, BNM turut menyumbang kepada penilaian setara terhadap langkah-langkah yang diambil oleh negara anggota lain, sekali gus membantu untuk mengukuhkan pelaksanaan piawaian AML/CFT/CPF pada peringkat global. Semua penilaian ini mengukuhkan lagi komitmen BNM ke arah sistem kewangan yang lebih selamat lagi telus di samping melindungi integriti ekosistem kewangan global.

Meningkatkan Kepimpinan Malaysia dalam Kewangan Islam pada Peringkat Global

Malaysia terus menerajui kewangan Islam dengan membentuk piawaian global dan memacu kepimpinan berwawasan yang mengukuhkan daya tahan, integriti dan kewibawaan ekosistem kewangan Islam pada peringkat antarabangsa.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif IFSB, BNM telah menerajui usaha untuk terus memperkukuh asas institusi IFSB. Jawatankuasa Eksekutif ialah komponen utama dalam struktur tadbir urus IFSB yang menjadi penasihat kepada Majlis IFSB berhubung dengan hal ehwal strategik, selain membuat keputusan berkaitan dengan hal ehwal operasi. Pada peringkat penetapan piawaian dan teknikal, BNM memainkan peranan aktif dalam pembangunan piawaian kehematan, penyediaan bantuan teknikal serta pembangunan keupayaan untuk negara lain, di samping memperkukuh tadbir urus yang baik dan keberkesanan institusi IFSB.

Sebagai anggota International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), BNM memainkan peranannya dengan menyalurkan khidmat nasihat strategik serta sokongan untuk mengukuhkan rangka kerja tadbir urus dan kawalan dalaman IILM. Sokongan BNM termasuk memberikan panduan tentang rangka kerja amalan terbaik, membimbing IILM dalam membuat keputusan serta memudahkan fasa transformasi perniagaannya. Usaha ini membantu IILM menjadi antara tiga penerbit sukuk teratas pada peringkat global bagi tahun 2025, lantas menyumbang kepada peningkatan mudah tunai kewangan Islam dalam pasaran global untuk bank dan institusi kewangan Islam.

Memajukan Kewangan Mampan melalui Kerjasama

BNM terus menyumbang kepada usaha serantau dan global untuk memajukan sistem kewangan yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.[5] BNM giat mengambil bahagian dan memberikan sumbangan dalam badan utama antarabangsa seperti ASEAN Taxonomy Board (ATB) dan Network for Greening the Financial System (NGFS).

Sebagai anggota ATB, BNM menyumbang kepada pembangunan ASEAN Taxonomy Version 4 (Taksonomi). Pada tahun 2025, BNM telah menerajui usaha untuk membangunkan Kriteria Saringan Teknikal (Technical Screening Criteria, TSC) bagi sektor perkilangan. Selain itu, BNM juga terlibat dalam pembangunan TSC untuk sektor-sektor lain[6] di bawah Piawaian Tambahan (Plus Standard). Taksonomi yang telah dikemas kini itu menawarkan panduan yang menyeluruh untuk mengenal pasti serta mengklasifikasikan projek dan kegiatan ekonomi yang mampan di rantau ini. Matlamatnya adalah untuk membantu para pelabur dan syarikat membuat keputusan pelaburan berdasarkan maklumat yang mencukupi tentang pelaburan berkaitan alam sekitar yang mampan.

Dalam acara sampingan di Ethical Global Finance Summit 2025 di Edinburgh, United Kingdom, dengan kerjasama Sustainable Development Goals Hive – Ethical Finance Global, BNM telah menunjukkan penyepaduan antara prinsip kewangan Islam dengan kelestarian mampu menghasilkan kemajuan yang nyata. Menerusi perkongsian pendekatan tersebut kepada khalayak antarabangsa, BNM telah meletakkan kewangan Islam sebagai penyelesaian yang praktikal untuk menyokong keutamaan jangka masa panjang kelestarian global. Minat yang tinggi daripada khalayak dan pelabur antarabangsa mengisyaratkan momentum yang meningkat untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan di Malaysia. Hal ini membuka jalan untuk kerjasama baharu, pertukaran pengetahuan yang lebih mendalam, serta peluang pelaburan yang lebih besar yang berupaya memacu pertumbuhan secara bertanggungjawab dan berimpak dalam dunia sebenar.

Mengembangkan Potensi Perdagangan dan Pelaburan

Sebagai perunding utama perkhidmatan kewangan, BNM terus berusaha untuk meningkatkan akses pasaran dan berunding mengenai peruntukan strategik bagi meletakkan sektor kewangan Malaysia sebagai peserta global yang berdaya saing. Daya saing ini merangkumi usaha memacu pelaburan, memupuk inovasi serta merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Pada tahun 2025, BNM memainkan peranan dalam pemeteraian dua perjanjian perdagangan utama. Perjanjian pertama ialah Malaysia–European Free Trade Association (EFTA) Economic Partnership Agreement (MEEPA), iaitu perjanjian perdagangan Malaysia yang pertama dengan beberapa negara Eropah.[7] Peranan BNM telah membuka pasaran baharu bagi institusi kewangan Malaysia menyediakan perkhidmatan di negara-negara EFTA, termasuk insurans rentas sempadan. Perjanjian kedua ialah Malaysia–Korea Free Trade Agreement (MKFTA). Perjanjian ini mengukuhkan kerjasama dengan Korea yang merupakan rakan kongsi ekonomi penting di rantau ini bagi Malaysia. Perjanjian ini juga mewujudkan potensi untuk perniagaan Malaysia meneroka peluang ekonomi pada masa hadapan dalam industri strategik seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Semua pencapaian ini membuka ruang untuk integrasi yang lebih bersepadu dan peluang masa hadapan. Hal ini juga memastikan sektor kewangan negara terus tangkas dan berdaya saing, sekali gus menjadikan Malaysia destinasi perdagangan dan pelaburan yang menarik.

Langkah Selanjutnya

Meskipun dinamik persekitaran global terus berubah, penglibatan BNM pada peringkat antarabangsa kekal berlandaskan tujuan yang jelas. Pada tahun 2025, BNM terus berusaha memelihara kestabilan dan pada masa yang sama, membuka peluang baharu untuk negara dan rantau ini. Setiap perkongsian yang dijalin menyumbang kepada matlamat yang lebih besar, iaitu untuk memupuk daya tahan, kerjasama dan kemajuan bersama. Menuju masa hadapan, BNM akan terus proaktif dan bekerjasama erat dengan rakan-rakan usaha sama bagi membolehkan BNM tetap memastikan sistem kewangan kekal teguh, responsif dan siap siaga untuk mengharungi masa hadapan.

Nota

[1] Trek Kewangan memajukan integrasi kewangan serantau dalam beberapa bidang termasuk pembayaran, penggunaan mata wang tempatan, pasaran modal, kelestarian, percukaian dan fungsi perbendaharaan.

[2] Maklumat lanjut tentang semua inisiatif ini terdapat dalam bab “Menggalakkan Perkhidmatan Pembayaran dan Pengiriman Wang yang Selamat dan Cekap” serta rencana “Kepengerusian ASEAN/ASEAN+3 Malaysia 2025: Memajukan Pertumbuhan Ekonomi yang Inklusif dan Mampan untuk ASEAN dan Malaysia” dalam Laporan Tahunan 2025 BNM.

[3] Maklumat lanjut tentang usaha BNM pada tahun 2025 boleh dibaca dalam bab “Mengekalkan Integriti Kewangan” dalam Laporan Tahunan 2025 BNM.

[4] Penilaian Bersama (Mutual Evaluation, ME) ialah proses penilaian setara yang menganalisis tahap pematuhan sesebuah negara terhadap piawaian antarabangsa serta tahap keberkesanan sistem pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF). Butiran lanjut tentang Penilaian Bersama Malaysia boleh didapati menerusi pautan ini: (https://www.fatf-gafi.org/en/publications/Mutualevaluations/mer-malaysia-2025.html).

[5] Maklumat lanjut tentang usaha BNM boleh dibaca dalam bab “Ke Arah Sistem Kewangan yang Lebih Lestari’ dalam Laporan Tahunan 2025 BNM.

[6] Sektor-sektor lain ialah (i) Pertanian, Perhutanan dan Perikanan; dan (ii) Bekalan Air, Pembetungan, Pengurusan Sisa dan Aktiviti Pemulihan. Taksonomi yang telah dikemas kini itu turut memasukkan sektor pemangkin, iaitu (i) Maklumat & Komunikasi; dan (ii) Aktiviti Profesional, Saintifik & Teknikal.

[7] Negara anggota European Free Trade Association (EFTA) terdiri daripada Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?