Mengekalkan Integriti Kewangan

Peningkatan penarafan Malaysia dalam penilaian bersama terkini oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan mengesahkan keberkesanan rejim AML/CFT/CPF Malaysia yang semakin kukuh. Penarafan ini juga memperkukuh keyakinan global terhadap integriti sistem kewangan negara. Pencapaian penting ini mencerminkan pembaharuan berterusan, penguatkuasaan yang berwibawa dan kerjasama seluruh negara yang utuh dalam membanteras ML/TF/PF.

Peranan BNM

BNM ialah pihak berkuasa berwibawa yang menyelia dan mentadbir Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA 2001). Sebagai pihak berkuasa berwibawa, BNM bertindak sebagai unit perisikan kewangan (financial intelligence unit, FIU) negara. BNM juga menyelia institusi pelapor berhubung dengan hal ehwal berkaitan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan (money laundering, terrorism financing and proliferation financing, ML/TF/PF).[1] Bagi menggalakkan pendekatan seluruh kerajaan, BNM bertindak sebagai Pengerusi dan Sekretariat Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (National Coordination Committee to Counter Money Laundering, NCC). NCC menghimpunkan 19 kementerian dan agensi.[2] Jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform antara agensi kebangsaan yang merangka, menyelaras, melaksana dan memantau hala tuju dan inisiatif strategik pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (anti-money laundering, countering financing of terrorism and countering proliferation financing, AML/CFT/CPF) Malaysia. Jawatankuasa ini memastikan rangka kerja AML/CFT/CPF kebangsaan kekal kukuh dan sejajar dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.

Pada tahun 2025, usaha negara ditumpukan pada persediaan untuk menghadapi Penilaian Bersama (Mutual Evaluation, ME). ME menilai keberkesanan dan pematuhan sesebuah negara terhadap piawaian Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (Financial Action Task Force, FATF). Persediaan ini adalah meluas bagi memastikan kesiapsiagaan negara untuk penilaian tersebut. Perkara ini merangkumi temu bual di premis (on-site) dan semakan draf laporan ME menjelang perbincangan dan keputusan semasa Pleno FATF. Penilaian dilakukan secara semakan setara (peer review) yang meliputi pelbagai bidang, termasuk pengurusan risiko, kerjasama antarabangsa, penyeliaan, langkah pencegahan, risikan kewangan dan penguatkuasaan. Hasil penilaian ini mampu mempengaruhi reputasi sesebuah negara, keyakinan pelabur, kemudahan menjalankan perniagaan dan kos pematuhan.

Sebagai penyelaras kebangsaan dan Pengerusi serta Sekretariat NCC, BNM menganjurkan sesi persediaan termasuk penilaian percubaan (mock assessment) sebelum lawatan ME di premis pada bulan Februari 2025. Usaha ini mengukuhkan penyelarasan rentas agensi dan mempamerkan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation). Hasilnya, laporan ME Malaysia telah berjaya dibentang semasa Pleno FATF pada bulan Oktober 2025. Peningkatan penarafan Malaysia kepada kategori tertinggi mencerminkan penambahbaikan yang ketara dalam rejim AML/CFT/CPF negara sejak penilaian pada tahun 2015.[3] Peningkatan ini meletakkan Malaysia antara sekumpulan kecil negara anggota FATF[4] dalam proses pemantauan susulan biasa (Regular Follow-up).[5] Pencapaian ini juga menegaskan pematuhan teknikal yang lebih kukuh dan rangka kerja AML/CFT/CPF yang lebih berkesan. Gambar Rajah 2 mengetengahkan dapatan laporan ME.

NCC juga memantau pelaksanaan Pelan Hala Tuju NCC 2024–2026, yang menggariskan keutamaan negara dan tindakan Malaysia untuk mengukuhkan rejim AML/CFT/CPF. Langkah ini bertujuan supaya usaha AML/CFT/CPF kekal tangkas, berkesan dan sesuai untuk menangani dedahan risiko Malaysia seiring dengan perkembangan negara, serantau dan antarabangsa. Hal ini meliputi pertimbangan berhubung dengan tindakan utama yang disarankan dalam laporan ME tersebut.[6]

Memperkukuh Langkah-langkah AML/CFT/CPF melalui Usaha Bersepadu pada Peringkat Kebangsaan dan Serantau

Mengambil maklum keperluan untuk penambahbaikan dalam bidang-bidang berkenaan, Malaysia akan menyelaras semula Pelan Hala Tuju NCC 2024–2026 agar sejajar dengan tindakan utama yang disarankan dalam laporan ME.

Memperkukuh Rejim AML/CFT/CPF Negara

Pada tahun 2025, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Pindaan) 2025 telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan diwartakan. Pindaan yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2026 ini adalah selaras dengan piawaian dan kaedah FATF yang terkini. Pindaan tersebut juga menangani cabaran operasi berhubung dengan pembekuan, penyitaan dan pelucuthakan harta daripada hasil aktiviti haram. Pindaan ini antara lain akan memungkinkan usaha penyiasatan dan pendakwaan yang lebih berkesan, serta meningkatkan kejelasan tentang pematuhan oleh institusi pelapor.

Mempertingkatkan Usaha Kerjasama dalam Langkah-langkah AML/CFT/CPF

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menerajui usaha untuk memupuk pemahaman bersama yang lebih mendalam mengenai ancaman, kelemahan dan risiko ML/TF/PF yang baru muncul dalam kalangan negara anggota. Perkara ini membolehkan Malaysia membentuk keutamaan serantau bagi membanteras jenayah kewangan dan menggalakkan pembangunan yang mampan melalui sistem kewangan yang telus dan berdaya tahan. 

BNM memberikan sokongan kepada Kementerian Dalam Negeri dalam ASEAN Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC). Mesyuarat tersebut mencapai dua kejayaan utama. Pertama, SOMTC menubuhkan Working Group on Money Laundering (WG on ML). Kedua, mesyuarat tersebut membuka jalan kepada ASEAN Leaders’ Declaration on Combating Money Laundering yang pertama. SOMTC WG on ML akan mengukuhkan lagi kerjasama serantau melalui perkongsian maklumat dan amalan terbaik serta mempertingkatkan strategi AML/CFT/CPF ASEAN agar selaras dengan piawaian antarabangsa.

BNM juga telah menganjurkan ASEAN DNFBPs Supervisor Forum yang julung-julung kali diadakan dan disertai oleh 120 peserta dari seluruh ASEAN. Dalam forum tersebut, peserta berkongsi amalan terbaik dalam membanteras risiko ML/TF/PF serta menangani jurang penyeliaan. Forum itu juga meneroka potensi penyeliaan bersama, perkongsian risiko rentas sempadan dan mengetengahkan inisiatif teknologi penyeliaan (supervisory technology, SupTech) yang dapat membantu negara anggota meningkatkan keberkesanan penyeliaan.

Selain itu, BNM bekerjasama dengan rakan sejawat di dalam dan di luar negara untuk mempertingkatkan pengesanan dan perisikan jenayah. BNM juga memajukan kerjasama serantau dan industri melalui inisiatif bina upaya, persidangan dan forum (Gambar Rajah 3). Platform ini membolehkan BNM memperkukuh penyelarasan dengan LEA tempatan dan sektor swasta. Platform ini juga menambah baik usaha pengesanan awal tanda amaran (red flag), ancaman baru muncul dan proses saringan integriti (character vetting). Usaha kolektif ini membolehkan negara bertindak balas secara lebih baik terhadap potensi jenayah kewangan serta memperkukuh daya tahan dan integriti sistem kewangan.

Perkongsian Risikan Kewangan dan Sokongan pada Penguatkuasaan Undang-Undang

BNM komited untuk berkongsi risikan kewangan melalui FIU. FIU bekerjasama rapat dengan LEA tempatan dan FIU asing bagi menyokong siasatan berkaitan dengan ML/TF/PF.

Pada tahun 2025, FIU mengadakan enam sesi perkongsian seluruh industri dengan bank-bank, penerbit wang elektronik bukan bank, perniagaan perkhidmatan wang, perantara pasaran modal dan entiti Labuan. Sesi ini menjelaskan kehendak FIU dan memberikan panduan tentang pengemukaan Laporan Transaksi Mencurigakan (suspicious transaction reports, STR) yang berkualiti. Selain itu, FIU juga berkongsi beberapa tanda amaran dan laporan tipologi dengan institusi pelapor. Inisiatif ini membantu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan institusi pelapor. Perkara ini seterusnya menambah baik dan mempertingkatkan tahap penjelasan dan pengesanan jenayah yang sentiasa berkembang serta analisis yang lebih komprehensif dalam pelaporan STR. Pada tahun 2025, BNM menerima lebih 430,000 STR berbanding dengan kira-kira 342,000 STR pada tahun sebelumnya. Pengubahan wang haram menjadi kesalahan disyaki yang tertinggi dilaporkan, mencakupi 47% daripada jumlah STR, diikuti oleh penipuan, jenayah dalam percukaian dan rasuah. FIU menggunakan analisis data yang canggih seperti visualisasi rangkaian untuk mengenal pasti hubungan antara STR, entiti dan akaun. Kaedah ini membantu FIU menumpukan siasatan terhadap kes berisiko lebih tinggi dan menyokong semakan kes. Untuk kekal berkesan dalam menangani jenayah kewangan yang sentiasa berkembang, FIU mengemas kini kaedah analisisnya secara berkala dan bekerjasama rapat dengan institusi pelapor untuk meningkatkan kualiti dan kebergunaan STR yang dilaporkan.

FIU bekerjasama rapat dengan LEA tempatan untuk menyokong siasatan terhadap jenayah seperti pengubahan wang haram, penipuan, rasuah, penyeludupan dan jenayah terancang. Melalui pasukan petugas bersama seperti yang diselaraskan oleh NFCC dan MATF, kerjasama ini menghasilkan lebih daripada 65 tangkapan dan rampasan, pembekuan dan pemulihan aset jenayah yang bernilai lebih RM400 juta, iaitu melebihi dua kali jumlah pada tahun 2024. Perkongsian risikan juga membantu pengawasan dan penyiasatan yang berkaitan dengan hal ehwal keselamatan negara.[7]

Selain LEA tempatan, FIU secara aktif berkongsi risikan kewangan[8] dengan lebih daripada 25 FIU asing pada tahun 2025, sebagai usaha kerjasama antarabangsa. Dalam sesetengah kes, perkongsian sedemikian juga menjurus kepada siasatan oleh pihak berkuasa asing. Kira-kira 25% daripada perkongsian yang dibuat oleh FIU adalah kepada FIU asing. Secara keseluruhan, kira-kira 70% daripada perkongsian kepada LEA tempatan dan FIU asing adalah berkaitan dengan jenayah berisiko tinggi[9] dan hal ehwal keselamatan negara (Rajah 1). Pihak berkepentingan mengiktiraf sokongan FIU dalam usaha membanteras jenayah dalam bidang kuasa masing-masing, baik di Malaysia mahupun pada peringkat antarabangsa.

Langkah-langkah untuk Meningkatkan dan Menyelaraskan Tindak Balas terhadap Penipuan

Penipuan kekal sebagai salah satu jenayah berisiko tinggi dalam kelima-lima Penilaian Risiko Kebangsaan (National Risk Assessment, NRA) mengenai ML/TF sejak tahun 2013. Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (National Scam Response Centre, NSRC) kekal sebagai pasukan tindak balas awal (first responder) terhadap penipuan kewangan, dan terus menjalankan pengesanan pantas terhadap dana yang dicuri dan tindak balas terhadap penipuan kewangan secara dalam talian. Kini, NSRC beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu melalui talian khas NSRC (997). Sejak bulan Julai 2025, NSRC diterajui oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, PDRM. Pengaturan ini memberi NSRC kuasa langsung untuk menyiasat dan bertindak dengan pantas dan cekap. Gambar Rajah 4 memperincikan pencapaian NSRC pada tahun 2025.

Taktik penipuan sentiasa berubah-ubah. Hal ini meningkatkan keperluan untuk akses yang tepat pada masanya kepada data yang menyeluruh dan berkualiti tinggi bagi memudahkan pengesanan aliran dana serta pengesanan penipuan yang berkesan. Proses ini juga memerlukan tindak balas seluruh industri yang lebih terselaras dan kukuh. BNM melakukan semakan berkala terhadap langkah-langkah yang dilaksanakan di bawah Portal Anti-Penipuan Kebangsaan (National Fraud Portal, NFP)[10] bersama dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dan pihak industri. Usaha ini telah memperkukuh NFP, meluaskan liputan kepada rangkaian entiti dan set data yang lebih banyak, sekali gus memudahkan usaha pengesanan dana haram. Pihak industri juga telah melaksanakan protokol piawai bagi pengeluar wang elektronik untuk mengendalikan akaun keldai dan menambah baik kualiti dan integriti maklumat, sejajar dengan langkah-langkah yang diterima pakai oleh pihak bank pada tahun 2024. Ciri-ciri baharu yang sedang dibangunkan seperti pengesanan kad pengenalan yang diolah dan analitik penipuan yang terkini akan membantu mengesan aktiviti penipuan dengan lebih pantas. Secara keseluruhannya, penambahbaikan ini akan meningkatkan kecekapan tindak balas terhadap penipuan dan kebertanggungjawaban dalam sistem kewangan.

Pindaan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang berkuat kuasa pada bulan Oktober 2024 telah menyebabkan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap akaun keldai. Pada tahun 2025, 969 sabitan telah diperoleh terhadap pemilik akaun keldai. Tindakan pelbagai cabang ini menggariskan pendekatan seluruh kerajaan untuk membasmi rangkaian akaun keldai.

Menggalakkan Pematuhan AML/CFT/CPF Berterusan oleh Institusi Kewangan dan DNFBP

BNM terus mengukuhkan peranannya untuk memastikan budaya pematuhan AML/CFT/CPF yang teguh merentas sektor kewangan dan DNFBP. Pendekatan penyeliaan BNM menekankan kemampanan, akauntabiliti dan kebolehsuaian terhadap risiko yang sentiasa berubah-ubah. Bagi mencapai matlamat ini, BNM terus menggunakan pelbagai pendekatan penyeliaan dan mengukuhkan aktiviti penyeliaan berasaskan risiko. Perkara ini termasuk memanfaatkan SupTech untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

Selain tumpuan penyeliaan yang berterusan terhadap risiko ML/TF/PF dan kawalan dalam institusi kewangan yang dikawal selia, BNM melakukan penilaian tematik di seluruh industri perbankan. Penilaian ini meneliti kecukupan dan keberkesanan sistem pemantauan transaksi dan saringan sekatan. BNM akan memaklumkan kepada sektor perbankan mengenai dapatan tersebut bagi meningkatkan piawaian industri dan membentuk amalan terbaik industri.

Bagi DNFBP, BNM meneruskan tumpuan penyeliaan di premis merentas sektor berisiko tinggi (iaitu peguam, peniaga logam berharga atau batu berharga serta ejen harta tanah berdaftar). BNM turut menyokong Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Malaysian Institute of Accountants dalam melaksanakan aktiviti penyeliaan bagi sektor masing-masing. Perkara ini telah menghasilkan pengawasan AML/CFT/CPF yang lebih kukuh dan pemahaman risiko khusus sektor, seterusnya menambah baik pelaksanaan dasar AML/CFT/CPF.

BNM mengekalkan komitmennya terhadap penguatkuasaan sebagai pencegah ketidakpatuhan. Pada tahun 2025, BNM mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan seperti mengeluarkan surat amaran, perintah arahan, penalti monetari pentadbiran dan kompaun. Kesemua tindakan ini menzahirkan kehendak BNM agar institusi pelapor mematuhi keperluan AML/CFT/CPF.[11]

BNM terus bekerjasama dengan industri untuk membina budaya pematuhan yang kukuh. Kerjasama ini dilaksanakan melalui sesi libat urus dan forum secara berkala, seperti dengan CONG, untuk mendengar pandangan mengenai isu semasa, cabaran dan cadangan penyelesaian. Sesi libat urus ini membantu meningkatkan pemahaman tentang jenayah kewangan dan ancaman baharu yang muncul, seterusnya membolehkan pengesanan yang lebih pantas dan tindak balas yang lebih cepat. BNM juga melengkapi sesi libat urus ini dengan penerbitan berkala tentang kehendak dan perkembangan pengawalseliaan bagi institusi kewangan dan DNFBP.

Langkah Selanjutnya

Pada tahun 2026, BNM akan terus memperkukuh pelaksanaan piawaian AML/CFT/CPF. BNM akan menumpukan usaha untuk menangani bidang yang ditekankan dalam laporan ME dan melaksanakan strategi dalam Pelan Hala Tuju NCC. Tindakan ini termasuk memupuk kerjasama dengan lebih baik dengan LEA, pihak berkuasa penyeliaan dan sektor swasta. Pada masa yang sama, BNM berhasrat untuk terus memanfaatkan teknologi bagi menangani risiko ML/TF/PF yang sentiasa berubah-ubah, termasuk ancaman rentas sempadan. Kedudukan semasa Malaysia menyediakan asas yang kukuh dan memerlukan usaha yang berterusan serta penambahbaikan selanjutnya untuk mendukung piawaian antarabangsa dan memelihara integriti kewangan negara.

Nota

[1] Institusi pelapor ditakrifkan dalam Jadual Pertama AMLA 2001 dan merangkumi institusi kewangan, institusi kewangan bukan bank dan perniagaan serta profesion bukan kewangan yang ditentukan.

[2] Agensi-agensi ini termasuk Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kewangan, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (sebagai pemerhati), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (sebagai pemerhati) dan BNM.

[3] Pada ME 2015 sebelum ini, Malaysia ditempatkan dalam kategori “Enhanced Follow-up”.

[4] Merangkumi negara anggota FATF yang telah melalui pusingan ME sebelumnya.

[5] Terdapat tiga kumpulan kategori “Follow-up”, iaitu “Regular Follow-up”, “Enhanced Follow-up” dan “Referral to the International Co-operation Review Group (ICRG)”.

[6] Butiran lanjut boleh didapati dalam laporan ME (lihat Malaysia’s measures to counter money laundering, terrorist financing and proliferation financing)

[7] Keselamatan negara meliputi pembiayaan keganasan/keganasan dan pembiayaan percambahan.

[8] Perkongsian risikan kewangan untuk menyokong siasatan penguatkuasaan undang-undang terhadap jenayah kewangan.

[9] Jenayah berisiko tinggi termasuklah penipuan, rasuah, jenayah terancang, penyeludupan dan pengedaran dadah, seperti yang dikenal pasti di bawah NRA 2023.

[10] NFP ialah platform bersepadu untuk mengukuhkan keupayaan operasi NSRC. Platform ini mengautomasikan seluruh proses pengendalian laporan penipuan dan pengesanan dana yang dicuri oleh NSRC.

[11] Maklumat lanjut mengenai tindakan penguatkuasaan yang diambil boleh didapati dalam bab “Menggalakkan Kestabilan Kewangan”.

← Sebelumnya: Pengeluaran Mata Wang

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?