Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN/ASEAN+3 pada Tahun 2025: Memajukan Pertumbuhan Ekonomi yang Inklusif dan Mampan bagi ASEAN dan Malaysia

ASEAN dan ASEAN+3 berfungsi sebagai platform kerjasama penting pada peringkat serantau, yang membolehkan negara-negara bekerjasama untuk memupuk kemakmuran ekonomi bersama serta meningkatkan daya tahan secara kolektif terhadap kejutan luaran. Bagi Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM), kesemua platform ini adalah penting untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan kewangan dengan rakan serantau.

Kepengerusian ASEAN dipegang secara bergilir-gilir setiap tahun antara 11 Negara Anggota ASEAN (ASEAN Member States, AMS). Negara yang menjadi Pengerusi menetapkan keutamaan serantau untuk tahun tersebut; yakni menetapkan agenda, memanggil dan mempengerusikan mesyuarat ASEAN serta memacu inisiatif kerjasama merentas trek serta tonggak ASEAN.

Kepengerusian Malaysia untuk ASEAN dan ASEAN+3 (Gambar Rajah 1) berlaku serentak dengan perpecahan global yang ketara. Dalam persekitaran yang mengalami ketegangan perdagangan dan ketidaktentuan geopolitik yang kian meningkat, usaha untuk memperteguh integrasi ekonomi dan kewangan, memudahkan perdagangan serta mengukuhkan kerjasama pelaburan pada peringkat serantau menjadi penting. Berlatarkan persekitaran ini, BNM bekerjasama erat dengan Kementerian Kewangan untuk memajukan inisiatif yang praktikal di bawah Trek Kewangan ASEAN.[1] Matlamat BNM adalah untuk menghasilkan manfaat yang nyata kepada isi rumah serta perniagaan di Malaysia dan seluruh rantau ini.

Malaysia telah memilih tema “Keterangkuman dan Kemampanan” untuk Kepengerusian ASEAN negara. Tema ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup serta mengurangkan risiko berkaitan iklim dalam persekitaran global yang semakin berpecah dan tidak menentu. Berdasarkan tema ini, BNM menumpukan usaha untuk memajukan kewangan mampan, mengukuhkan rangkaian pembayaran merentas ASEAN dan meningkatkan jaringan keselamatan kewangan serantau. Selain itu, sebagai Pengerusi, Malaysia berusaha untuk meneguhkan platform ASEAN dengan memupuk dialog dasar yang lebih mendalam, dengan matlamat untuk menghasilkan impak yang nyata dan berkesan bagi rantau ini.

Pencapaian utama ASEAN dan ASEAN+3

BNM menerapkan tiga prinsip teras sebagai panduan bagi pencapaiannya, iaitu (i) mengutamakan hasil berorientasikan rakyat; (ii) memajukan kepimpinan pemikiran Malaysia; dan (iii) menyampaikan penyelesaian praktikal dengan hasil yang boleh diukur. Dengan mengambil kira ketiga-tiga prinsip ini, Hasil Keutamaan Ekonomi (Priority Economic Deliverables, PED)[2] menumpukan pada inisiatif untuk menggalakkan pertumbuhan serantau yang mampan dan inklusif (Gambar Rajah 2). Semua usaha ini mustahak untuk mengukuhkan daya tahan serantau dan meningkatkan keupayaan rantau ini supaya lebih bersedia menghadapi kejutan pada masa hadapan. Semua inisiatif ini membentuk sebahagian daripada PED nasional dan pelan kerja tahunan ASEAN Finance Track Working Committees.

Keutamaan pertumbuhan ASEAN mencakupi permintaan yang lebih tinggi terhadap bekalan tenaga yang lebih bersih, lebih diyakini dan lebih berdaya tahan. Ke arah mencapai keutamaan ini, ASEAN perlu menaik taraf infrastruktur grid dan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui. Dalam hal ini, BNM menumpukan usaha terhadap membangunkan saluran untuk membiayai ASEAN Power Grid (APG).[3] Memandangkan projek yang terlibat adalah berskala besar serta berada pada peringkat awal, BNM telah menghimpunkan pembiaya modal awam, swasta dan dermawan untuk membincangkan penyelesaian pembiayaan bagi APG. Selepas pelancarannya, ASEAN Power Grid Financing Initiative (APGF)[4] berfungsi sebagai platform pemangkin yang menawarkan pembiayaan bukan hutang peringkat awal untuk membantu pelaksanaan awal projek APG. Inisiatif ini membantu mengelakkan risiko pelaburan dan mengukuhkan daya maju kewangan projek APG pada peringkat awal, sekali gus merintis jalan bagi penyertaan sektor swasta yang lebih besar apabila projek tersebut semakin matang.

BNM juga berkongsi pengalaman peringkat dalam negeri di pentas serantau. Bersama-sama dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan Asian Development Bank (ADB), BNM telah melancarkan ASEAN Greening Value Chain (GVC) Playbook.[5] Buku panduan ini memberikan bimbingan yang praktikal supaya syarikat di rantau ini terus berdaya saing seiring dengan peralihan pasaran global ke arah piawaian rendah karbon. Buku panduan ini juga menyokong akses ke pasaran baharu dan peluang pembiayaan di samping mencipta peluang pekerjaan yang lebih berdaya tahan pada masa hadapan. Dua Negara Anggota ASEAN telah memulakan program GVC susulan penerbitan Playbook ini, manakala dua lagi Negara Anggota ASEAN menunjukkan minat untuk melaksanakannya.

Dalam bidang pembayaran, BNM berusaha untuk mewujudkan rangkaian pembayaran terangkum merentas ASEAN. Matlamat inisiatif ini adalah untuk menjadikan transaksi rentas sempadan lebih mudah, cepat dan mampu milik. Dengan lebih banyak jalinan pembayaran serantau, individu, usahawan mikro serta perniagaan kini boleh melakukan penghantaran dan penerimaan wang rentas sempadan dengan lebih mudah serta pada kos yang lebih rendah. Hal ini seterusnya menyokong perdagangan, pelancongan, pengiriman wang dan transaksi harian. Menjelang akhir tahun 2025, ASEAN telah mewujudkan sebanyak 29 pengaturan rangkaian pembayaran dua hala, berbanding 18 rangkaian pada bulan Januari 2025.

Selain PED, BNM berusaha untuk meningkatkan kestabilan kewangan serantau dan menambah baik pembayaran rentas sempadan bagi orang awam dan perniagaan melalui ASEAN Working Committees. Dengan menerajui Model Operating Guidelines for the Local Currency Transaction Framework, BNM telah membantu memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan serantau. Usaha ini membantu mengurangkan kos dan volatiliti pertukaran asing untuk perniagaan, terutamanya PKS.

BNM juga menerajui semakan ASEAN Banking Integration Framework (ABIF) bagi menyediakan peraturan pengawalseliaan yang lebih jelas dan konsisten untuk operasi rentas sempadan oleh bank-bank di ASEAN. Semakan ini menyokong persekitaran perbankan yang lebih berdaya saing, justeru meningkatkan akses pembiayaan untuk perniagaan dan isi rumah merentas rantau ini.

Bagi mengukuhkan kesiapsiagaan menghadapi krisis, BNM memainkan peranan penting dalam usaha untuk mewujudkan semula ASEAN Swap Arrangement (ASA). ASA menyediakan sokongan mudah tunai pertukaran asing jangka pendek kepada negara anggota yang menghadapi tekanan imbangan pembayaran. Jaringan keselamatan serantau ini membantu mengurangkan risiko gangguan kewangan secara mendadak yang boleh mempunyai kesan limpahan terhadap pekerjaan, pendapatan dan aktiviti ekonomi harian.

Dalam mendepani risiko digital yang kian meningkat, BNM meneruskan kerjasama serantau melalui ASEAN Cyber Security Resilience and Information Sharing Platform (CRISP). Dengan menggalakkan perkongsian risikan dan kepakaran teknikal tentang ancaman siber, semua usaha ini membantu melindungi sistem pembayaran serta perkhidmatan kewangan yang digunakan oleh individu dan perniagaan pada setiap hari. Selain meneguhkan kepercayaan, usaha ini juga menggalakkan daya tahan dalam sistem kewangan serantau.

Sebagai pengerusi bersama dengan People’s Bank of China, BNM menerajui usaha untuk menambah baik Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), iaitu jaringan keselamatan serantau yang mempunyai saiz berjumlah USD240 bilion. Pencapaian utama pada tahun 2025 ialah penubuhan Rapid Financing Facility. Mekanisme ini menyediakan akses pantas kepada negara anggota ASEAN+3 untuk mendapatkan dana kecemasan sekiranya menghadapi tekanan kewangan secara mendadak yang berpunca daripada peristiwa ekstrem seperti bencana alam.

BNM juga bekerjasama erat dengan rakan sejawat untuk menaik taraf mekanisme pembiayaan CMIM menjadi struktur modal berbayar. Langkah ini bermakna negara-negara menyumbang dana terlebih dahulu, lantas menjadikan CMIM lebih tersedia untuk digunakan. Tujuannya adalah supaya sokongan dan akses kepada dana boleh diberikan dengan lebih pantas apabila krisis berlaku. Secara khusus, BNM mencapai kemajuan melalui penerapan model pembiayaan asas berpusat untuk struktur modal berbayar tersebut. Kemajuan ini disokong oleh pelan hala tuju pelaksanaan yang jelas. Pada masa yang sama, usaha untuk mengukuhkan rangka kerja operasi CMIM juga menunjukkan kemajuan. Matlamat usaha ini adalah untuk menambah baik akses, kecekapan kos dan tempoh tindak balas terhadap krisis. Semua usaha ini memastikan bahawa ASEAN+3 termasuk Malaysia mempunyai alat dan sumber untuk mengimbangi kesan kejutan ekonomi global.

Mengukuhkan Pandangan Bersama ASEAN

BNM bekerjasama dengan para Negara Anggota ASEAN serta rakan strategik, termasuk institusi kewangan, perniagaan dan organisasi antarabangsa, untuk menangani cabaran dan keutamaan bersama. Kerjasama ini termasuk menyelaraskan pandangan dan tindakan berkaitan dengan isu seperti tarif AS dan penipuan kewangan, menambah baik pembayaran rentas sempadan, menggalakkan kewangan mampan serta inovasi digital.

Tatkala rantau ini menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang ketara, cabaran serantau dan perpecahan geoekonomi yang kian meluas, usaha sebegini membantu ASEAN untuk bersepakat tentang kedudukan serantau serta pelan tindakan yang lebih jelas dan selaras pada detik penentu.

Sebagai sebahagian daripada semua usaha ini, BNM menyokong pelaksanaan kajian bebas mengenai halangan struktur terhadap perdagangan intra-ASEAN. Usaha ini menyebabkan terhasilnya analisis yang mendalam tentang perdagangan dan pelaburan intrarantau oleh ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO). Kajian ini dijalankan pada masa yang tepat, sekali gus menawarkan saranan strategik bagi membuka potensi pertumbuhan selanjutnya untuk Malaysia dan ASEAN. BNM juga menyarankan agar IMF memberikan perspektif tentang corak perdagangan yang sedang berubah dan implikasinya terhadap integrasi serantau.[6]

Meningkatkan Jangkauan Melalui Acara Sampingan dan Pameran Trek Kewangan ASEAN

Selain libat urus dasar, BNM menganjurkan beberapa acara sampingan untuk meningkatkan kesedaran tentang inisiatif Kepengerusian Malaysia dan memperdalam libat urus dengan pihak berkepentingan. Semua acara ini mengumpulkan perumus dasar, peserta industri dan rakan kongsi antarabangsa untuk berinteraksi dalam dialog serta bekerjasama merentas bidang seperti kewangan mampan, kesejahteraan kewangan, transaksi mata wang tempatan dan integrasi serantau.

Satu acara utama ialah Malaysia Open House Exhibition yang dianjurkan bersama oleh BNM dan Kementerian Kewangan. Pameran tersebut menarik pelbagai pengunjung, daripada institusi kewangan sehinggalah PKS ASEAN, serta mempamerkan inovasi kewangan praktikal yang mempunyai aplikasi dalam dunia sebenar. Salah satu tumpuan utama ialah demonstrasi secara langsung pembayaran rentas sempadan menggunakan kod QR, yang kini tersedia di beberapa negara ASEAN. Penyelesaian ini membolehkan peniaga dan pengguna melakukan pembayaran mudah alih segera merentas sempadan tanpa proses yang rumit atau fi yang tinggi. Bagi perniagaan kecil, pengembara dan pengguna harian, penyelesaian ini menjadikan pembayaran rentas sempadan berlaku selancar transaksi domestik.

Menggalakkan Kerjasama Merentas Tonggak

Selain Trek Kewangan, BNM juga bekerjasama erat dengan beberapa kementerian[7] merentas trek dan tonggak lain dalam ASEAN Community. Secara khusus, BNM memudahkan pembentukan platform Ministerial Interface merentas Trek Tenaga, Ekonomi dan Kewangan. Platform ini menyediakan pendekatan terselaras bagi menggerakkan pelaburan untuk APG, justeru mengukuhkan penyelarasan merentas bidang dasar.

Pada masa yang sama, melalui ASEAN Geoeconomics Task Force (AGTF),[8] BNM membantu mengenal pasti dasar-dasar utama untuk tindak balas ASEAN terhadap ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat. BNM terus menyokong usaha AGTF untuk menggalakkan kerjasama merentas tonggak berkaitan dengan isu geoekonomi. Usaha ini menghasilkan ASEAN Joint Foreign and Economic Ministers’ (AMM–AEM) Meeting yang diadakan buat julung-julung kalinya, yang merapatkan jurang antara tonggak Politik-Keselamatan dengan tonggak Ekonomi ASEAN. Libat urus ini mencerminkan persilangan yang semakin meningkat antara isu keselamatan dengan isu ekonomi, berserta keperluan terhadap tindak balas serantau yang lebih koheren dan selaras.

Inisiatif Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN dan ASEAN+3 telah mengukuhkan hubungan dengan negara-negara anggota, badan serantau dan rakan strategik. Dengan menyelaraskan kedudukan serantau dan bertindak secara kolektif, ASEAN meningkatkan keupayaannya untuk menangani kejutan ekonomi, gangguan perdagangan dan risiko baharu pada peringkat global. Semua hasil ini mengukuhkan daya tahan secara kolektif dan memberikan manfaat nyata untuk Malaysia, iaitu menyokong pekerjaan, melancarkan perdagangan dan pembayaran, serta melindungi pendapatan dan mata pencarian dalam keadaan ketidaktentuan global.

Nota

[1] Trek Kewangan ASEAN giat mengusahakan kerjasama dalam pelbagai bidang yang mencakupi usaha untuk meningkatkan integrasi dan daya tahan kewangan, membangunkan lagi pasaran modal serta memajukan kerjasama dalam fungsi percukaian dan perbendaharaan.

[2] PED merupakan inisiatif oleh Pengerusi ASEAN dengan matlamat untuk memperoleh hasil yang berkesan dan menyumbang pada agenda integrasi ekonomi ASEAN. PED disasarkan untuk dilaksanakan dan selesai sepenuhnya pada tahun Kepengerusian.

[3] Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid, APG) merupakan visi bersama Negara-negara Anggota ASEAN (ASEAN Member States, AMS) ke arah operasi grid bersepadu sepenuhnya di Asia Tenggara menjelang tahun 2045. APG menjanjikan peluang yang cerah untuk menggalakkan integrasi dan pertumbuhan ekonomi serantau, meningkatkan keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga bersih.

[4] Diterajui oleh ADB serta Bank Dunia dengan kerjasama Sekretariat ASEAN dan ASEAN Centre for Energy (ACE).

[5] Buku panduan ini menerima pandangan daripada program rintis Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) Malaysia oleh Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3).

[6] IMF membentangkan kajiannya tentang ASEAN Integration in a Shifting Global Landscape semasa IMF-ASEAN Roundtable pada bulan Oktober 2025.

[7] Kementerian yang terlibat termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Luar Negeri.

[8] AGTF merupakan badan penasihat peringkat tinggi secara ad hoc dan khusus di bawah Trek Ekonomi yang ditubuhkan pada awal tahun 2025. Badan ini memberikan analisis yang selaras dan strategik untuk keseluruhan rantau ini serta cadangan dasar yang boleh dilaksanakan bagi menyokong ASEAN Sectoral Bodies dalam menangani cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa. AGTF telah menerbitkan laporan geoekonomi pertama pada bulan November 2025.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?