Menggalakkan Sistem Kewangan yang Progresif & Inklusif

Pada tahun 2025, BNM menumpukan usaha untuk melaksanakan strategi dalam Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 yang belum disempurnakan. Strategi ini dirangka untuk mewujudkan satu sistem kewangan yang mudah diakses, berdaya tahan dan bersedia untuk menyokong agenda transformasi digital dan pembangunan mampan negara. Bagi tujuan ini, inisiatif diambil untuk memperluas pilihan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan mikro, mempertingkatkan kemahiran serta tahap celik kewangan masyarakat serta menggerakkan inovasi bertanggungjawab yang memberikan manfaat secara selamat dan berskala. Inisiatif tahun 2025 turut melibatkan pelaksanaan pembaharuan penanda aras yang diteruskan bagi menyokong peralihan Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate, KLIBOR) kepada Kadar Semalaman Malaysia (Malaysia Overnight Rate, MYOR) dan Kadar Semalaman Islam Malaysia (Malaysia Islamic Overnight Rate, MYOR-i) secara lancar dan teratur. Pembaharuan ini merupakan langkah awal untuk memelihara kekukuhan penanda aras kewangan domestik Malaysia.

Memajukan Akses kepada Pembiayaan

Memacu pembiayaan inklusif untuk PKS

Akses kepada pembiayaan berkualiti bagi PKS penting untuk membina sistem kewangan yang inklusif. Walaupun terdapat kebimbangan terhadap kesan ketidaktentuan global terhadap ekonomi dalam negeri, PKS terus memperoleh pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan pembangunan (IKP). Sebahagian besar pembiayaan yang dikeluarkan adalah untuk modal kerja bagi membantu perniagaan menguruskan aliran tunai berikutan tekanan kos yang semakin meningkat. Bank dan IKP meluluskan pembiayaan baharu sebanyak RM186.7 bilion yang melibatkan lebih 206,000 akaun PKS, selaras dengan trend permintaan. Pembiayaan PKS yang terkumpul terus berkembang sebanyak 5.9%.

Memacu peralihan PKS melalui Kumpulan Fokus PKS di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim

PKS semakin menghadapi tekanan untuk membuat penyesuaian terhadap risiko iklim dan memenuhi jangkaan kelestarian yang semakin meningkat. Banyak PKS memerlukan panduan yang lebih jelas, alat praktikal dan sokongan untuk mempercepat peralihan ini. Bagi merapatkan jurang tersebut, Kumpulan Fokus PKS (SME Focus Group, SFG) dibentuk oleh Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3). SFG dipengerusikan bersama oleh BNM dan industri kewangan dan bertujuan membantu PKS menerima pakai amalan lestari dalam peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

Satu hasil penting daripada usaha ini ialah pelancaran Portal ESG Jumpstart.[1] Portal ini berfungsi sebagai pusat maklumat sehenti mengenai program latihan yang disediakan, langkah mendapatkan pensijilan hijau, panduan mendapatkan pembiayaan dan maklumat tentang insentif yang tersedia. Portal ini juga menampilkan alat praktikal seperti panduan penzahiran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environment, social and governance, ESG), platform pengurusan karbon, dan piawaian pelaporan gas rumah hijau (greenhouse gases, GHG) untuk membantu PKS memulakan kembara kelestarian dengan lebih yakin.

Pada tahun 2025, SFG menganjurkan Persidangan Iklim untuk PKS buat julung kali. Acara ini menghimpunkan lebih 400 peserta daripada seluruh ekosistem termasuk institusi kewangan, agensi kerajaan, PKS dan penyedia perkhidmatan lestari. PKS menerima bimbingan dari segi panduan praktikal dan perkongsian pengalaman perniagaan sebenar, yang meningkatkan pemahaman mereka tentang risiko dan peluang berkaitan iklim.

Mempertingkatkan Dana PKS BNM secara bersasar bagi memenuhi keperluan PKS dengan lebih baik

Bank dan IKP terus menjadi pembiaya utama bagi PKS. Walaupun PKS berskala besar mempunyai akses tersedia kepada pembiayaan, beberapa segmen masih berdepan cabaran untuk mendapatkan pembiayaan, termasuk PKS yang tidak mempunyai sejarah kredit serta yang beroperasi dalam bidang perniagaan baharu atau berisiko tinggi. Bagi merapatkan jurang ini, BNM sejak sekian lama telah memperuntukkan dana untuk memudahkan PKS yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan memperoleh pembiayaan pada kadar yang berpatutan. Pada masa ini, Dana BNM untuk PKS (Dana PKS) menyumbang 7.4% daripada jumlah pembiayaan terkumpul PKS, dengan pembiayaan yang dikeluarkan mencecah RM29.3 bilion sejak tahun 2020 dan memberikan manfaat kepada 82,714 PKS. Pada tahun 2025, BNM menambah RM2.5 bilion kepada dana terpilih demi memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pendigitalan dan daya tahan iklim serta bagi sektor agromakanan. Seiring dengan peningkatan momentum aktiviti pelancongan dan demi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, BNM merangka semula kemudahan Pembiayaan Pelancongan Penjana (Penjana Tourism Financing, PTF) yang asalnya satu langkah bantuan jangka pendek, untuk menjadi struktur sokongan jangka panjang. Tindakan ini bagi membantu PKS menaik taraf operasi, meningkatkan produktiviti dan beralih kepada model perniagaan yang lebih baik.

Peristiwa berkaitan iklim seperti hujan lebat dan banjir semakin kerap berlaku, yang memerlukan perniagaan meningkatkan daya tahan kewangan. Namun, usaha adaptasi sebegini melibatkan kos yang tinggi, terutamanya bagi PKS. Sehubungan dengan itu, BNM memperluas penggunaan Kemudahan Bantuan Bencana (Disaster Relief Facility, DRF), yang sebelum ini disasarkan sebagai pembiayaan bantuan, kini turut merangkumi pembiayaan adaptasi. Kemudahan ini yang dinamakan semula sebagai Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (Relief and Adaptation Facility, RAFt) menawarkan pembiayaan adaptasi banjir bagi membantu PKS menguruskan risiko dan kerugian berkaitan banjir secara lebih proaktif. Oleh itu, selain menjadi pembiayaan bantuan segera untuk memulihkan operasi, RAFt juga boleh digunakan untuk membiayai pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan daya tahan iklim PKS, seperti memperteguh ketahanan untuk menghadapi banjir (flood-proofing). Peralihan ini mencerminkan realiti baharu yang dihadapi oleh PKS dan bertujuan membantu PKS menjadi lebih berdaya tahan menghadapi gangguan pada masa hadapan.

Mengubah pendekatan ke arah sokongan berasaskan jaminan

Pada masa hadapan, pembiayaan akan terus menjadi pelengkap faktor lain untuk menyokong pertumbuhan PKS yang produktif, mampan dan berdaya tahan. Walaupun Dana PKS telah menyediakan sokongan penting sejak sekian lama, perubahan pendekatan diperlukan bagi memudah cara akses pembiayaan oleh PKS secara lebih mampan dan dipacu pasaran.

BNM sedang beralih daripada sokongan pembiayaan PKS secara langsung kepada sokongan berasaskan jaminan untuk meluaskan pembiayaan dipacu pasaran bagi PKS yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan serta untuk tujuan sesuai masa hadapan seperti pelaburan inovasi dan iklim.

Mulai tahun 2026, BNM akan mengubah model Dana PKS daripada model pinjaman langsung kepada model berasaskan jaminan. Peralihan ini mencerminkan keperluan untuk model pembiayaan yang boleh diperluas, dengan sistem kewangan memainkan peranan utama untuk berkongsi risiko secara lebih berkesan. Skim jaminan bersasar boleh mengurangkan keperluan cagaran, serta menggalakkan bank dan IKP untuk menyalurkan pembiayaan kepada segmen yang berdaya maju tetapi kurang mendapat perkhidmatan kewangan, sambil menarik lebih banyak pembiayaan swasta ke dalam sektor keutamaan. Skim sebegini akan menyokong pelaburan dalam segmen yang tiada dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan, segmen inovasi dan transformasi, serta segmen berorientasikan iklim. Rangka kerja peralihan ini sedang dibentuk secara aktif melalui libat urus dengan kumpulan dan persatuan PKS serta komuniti kewangan bagi memastikan penjajaran dan impak yang lebih meluas.

Rangka kerja Skim Pembiayaan Mikro yang dikemas kini

Akses kepada pembiayaan mampan penting untuk menyokong mata pencarian dan membolehkan usahawan mikro mengembangkan perniagaan serta pendapatan secara beransur-ansur. Skim Pembiayaan Mikro (SPM) yang ditawarkan oleh 16 institusi kewangan peserta terus menjadi platform penting untuk akses yang mudah dan berkesan kepada pembiayaan mikro. Sejak diperkenalkan pada tahun 2006, SPM telah menyokong lebih daripada 340,000 usahawan mikro (Gambar Rajah 3). Pada bulan November 2024, BNM menambah baik skim ini, yang hasilnya mula diperhatikan pada tahun 2025. Usahawan mikro kini boleh mengakses lebih banyak produk pembiayaan mikro dengan had pembiayaan yang lebih tinggi hingga RM100,000, dengan ciri inovatif untuk merangsang pertumbuhan perniagaan, seperti jaminan pihak ketiga serta komponen pembiayaan gabungan dalam bentuk dana sosial yang membantu mengurangkan risiko dan kadar pembiayaan. Kemudahan sebegini membolehkan mereka yang berada dalam sektor tidak formal, ekonomi gig serta segmen lain yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan memperoleh dan mampu mendapatkan pembiayaan. Seiring dengan peningkatan had pembiayaan, pengecualian duti setem juga diselaraskan bagi menyokong kemampuan kewangan segmen ini. Untuk memperluas capaian, rangka kerja yang disemak ini turut memberikan penekanan pada penyertaan bank digital. Pendekatan berasaskan data dan proses digital yang digunakan oleh bank digital dapat mengatasi halangan geografi serta menyediakan pembiayaan tanpa kertas yang lebih cekap.

Setakat akhir tahun 2025, pembiayaan SPM terkumpul berjumlah RM2.15 bilion. Skim tersebut kini menawarkan 19 produk baharu dan yang dikemas kini, dengan lapan institusi kewangan peserta meningkatkan had pembiayaan manakala tujuh lagi menawarkan jaminan atau menyasarkan segmen pelanggan baharu.

Memperkasakan segmen mudah terjejas melalui kewangan sosial

Kewangan sosial membantu segmen mudah terjejas untuk memperbaiki taraf hidup dan membolehkan mereka mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, BNM bekerjasama dengan industri untuk memperluas penggunaan kewangan sosial oleh institusi kewangan. Satu contoh usaha ini ialah inisiatif iTEKAD Keusahawanan[2] (iTEKAD) yang telah membantu lebih daripada 14,000 usahawan mikro berpendapatan rendah sejak diperkenalkan pada tahun 2020 (Gambar Rajah 4).

iTEKAD telah berkembang melangkaui sokongan keusahawanan. Pada tahun 2025, komponen perlindungan risiko dan program yang merangsang kebolehpasaran pekerja telah ditambah, lantas membantu peserta membina mata pencarian yang lebih terjamin dan mampan.

iTEKAD bermula dengan sokongan keusahawanan. Inisiatif tersebut kini turut menawarkan perlindungan risiko dan sokongan berteraskan kebolehpasaran pekerja melalui iTEKAD Perlindungan dan iTEKAD Kerjaya (Gambar Rajah 5). Gabungan program ini menyediakan pendekatan yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh rangkuman dan daya tahan peserta.

Kerajaan juga terus menyokong inisiatif iTEKAD. Melalui belanjawan fiskal 2026, Kerajaan memperuntukkan geran padanan sebanyak RM35 juta untuk membantu memperluas capaian program iTEKAD dan meningkatkan impaknya.[3]

IKP sebagai pemangkin pertumbuhan yang inklusif dan mampan

IKP memainkan peranan penting dalam agenda pembinaan negara dan memacu pembangunan inklusif. Dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, tadbir urus yang kukuh serta akauntabiliti amat penting. Hal ini termasuk usaha memperkukuh keselarasan mandat dan melaksanakan strategi berimpak tinggi yang terus membuahkan hasil nyata dalam ekonomi benar. Pembiayaan terkumpul oleh IKP meningkat sebanyak 5.8% kepada RM193.9 bilion (2024: 5.6% kepada
RM183.3 bilion), didorong oleh permintaan yang lebih tinggi merentas sektor keutamaan. Kelulusan pembiayaan mencapai 1.8 juta akaun (2024: 1.3 juta akaun), dengan pembiayaan disalurkan kepada sektor bernilai pembangunan tinggi seperti infrastruktur, pertanian, PMKS dan isi rumah berpendapatan rendah. Kelulusan pembiayaan mikro mencecah hampir RM500 juta, yang menjangkau peminjam kali pertama dan pekerja gig. IKP kini mencakupi 91% daripada portfolio pembiayaan mikro industri kewangan.

Aktiviti pembiayaan tersebut membantu meningkatkan pendapatan dan daya tahan kewangan perniagaan, dengan lebih daripada 21,000 perniagaan mencatatkan pertumbuhan dan peningkatan dalam jualan. Sokongan IKP juga mewujudkan dan mengekalkan lebih 150,000 peluang pekerjaan.

Untuk mencapai hasil ini, IKP bukan sahaja perlu menyediakan pembiayaan, tetapi juga memperkukuh keupayaan institusi supaya kekal berkesan dan berfokus. Banyak institusi kini telah menubuhkan pasukan khas yang memberikan tumpuan pada pelaksanaan mandat dengan lebih berkesan. Beberapa institusi telah melantik Ketua Pegawai Pembangunan yang berperanan untuk memperkukuh keselarasan antara objektif pembangunan dengan strategi institusi. Lembaga Pengarah juga melaksanakan pemantauan yang lebih kukuh serta memupuk budaya berteraskan pembangunan yang lebih jelas. Sepanjang tahun, BNM turut bekerjasama rapat dengan IKP melalui Kumpulan Kerja Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (Performance Measurement Framework, PMF) untuk memperkukuh rangka kerja tersebut serta menambah baik pelaksanaannya. PMF yang dikemas kini menyediakan panduan yang jelas berhubung dengan tadbir urus mandat, perancangan strategik, penzahiran hasil tambahan (additionality),[4] reka bentuk produk serta pelaporan telus. Penambahbaikan ini memastikan IKP tetap menumpukan usaha untuk mencapai hasil pembangunan.

Satu pencapaian penting direkodkan pada bulan Mei 2025 apabila Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) mengambil alih SME Bank dan EXIM Bank. Perkembangan ini menandakan langkah penting ke arah membentuk ekosistem IKP yang lebih bersepadu dan berkeupayaan. Penggabungan ini dijangka memperkukuh keupayaan institusi, meningkatkan kecekapan serta mewujudkan platform yang lebih berimpak demi menyokong keutamaan pembangunan negara.

Memperkukuh Keupayaan dan Akses Kewangan untuk Rangkuman Kewangan yang Bermakna

Mempertingkatkan akses inklusif merentas saluran fizikal dan digital

Rangkuman kewangan merupakan salah satu tonggak utama agenda pembangunan oleh BNM. Tonggak ini mencerminkan komitmen BNM agar semua rakyat Malaysia memiliki akses kepada perkhidmatan kewangan yang menyokong kehidupan serta aspirasi mereka. Pada tahun 2025, 99% mukim mempunyai sekurang-kurangnya satu titik akses kewangan dalam jarak 10 kilometer.

Penggunaan kewangan digital di Malaysia telah meningkat kepada 92% pada tahun 2024 (2021: 74%).[5] Oleh itu, tumpuan BNM beralih kepada usaha membantu rakyat Malaysia memanfaatkan perkhidmatan kewangan digital secara selamat dan bermakna. Matlamat BNM adalah untuk membangunkan masyarakat yang lebih memilih untuk menggunakan kewangan digital berbanding wang tunai (cash-lite). Usaha dasar bertumpu kepada galakan penggunaan alat digital untuk menyediakan belanjawan, menabung dan menguruskan kewangan. Alatan ini membantu membina tabiat kewangan yang baik serta mengukuhkan daya tahan kewangan mereka.

Seiring dengan peningkatan penggunaan digital, BNM juga peka bahawa terdapat kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan yang masih memerlukan akses fizikal. Oleh itu, beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk peluasan ejen bank, bank bergerak, MyDebit Cash Out (MDCO),[6] terminal layan diri kendalian agensi bukan bank,[7] serta Deposit Tunai Antara Bank (Interbank Cash Deposit, IBCD).[8] Pos Malaysia juga memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan pengeluaran wang tunai melalui rangkaian cawangannya di seluruh negara. Kesemua usaha ini membantu merapatkan jurang akses kewangan khususnya bagi pekan kecil dan komuniti luar bandar.

Pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan kedua 2026−2030

Pada bulan Oktober 2025, Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)[9] melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan kedua 2026–2030 (NS2.0).[10] Berdasarkan Strategi Kebangsaan pertama (2019−2023), NS2.0 menggariskan lima keutamaan yang merangkumi keperluan literasi kewangan pada setiap peringkat kehidupan, dengan tumpuan khusus diberikan kepada kumpulan yang mudah terjejas.

Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 (NS2.0) menetapkan wawasan diperbaharui untuk memperkukuh keupayaan kewangan, menggalakkan keputusan kewangan bermaklumat dan membina daya tahan kewangan jangka panjang untuk semua rakyat Malaysia.

Satu Pelan Pelaksanaan, yang bakal diterbitkan pada tahun 2026, akan memberikan panduan agar pelaksanaan dapat memperluas program yang berkesan, memperkukuh penyelarasan, dan memastikan keberhasilan impak yang boleh diukur. Analitik tingkah laku juga akan memainkan peranan yang lebih besar dalam merangka intervensi. Sebagai permulaan, program rintis Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (Just-In-Time Financial Education, JITFE) bersama tiga IKP[11] akan dilaksanakan bagi menangani isu beban hutang berlebihan. Program ini menyampaikan pendidikan kewangan tepat pada masanya sewaktu tempoh membuat keputusan mustahak dalam proses permohonan pembiayaan, bagi menggalakkan pengguna membuat keputusan peminjaman dengan lebih terancang dan bermaklumat.

FEN juga menubuhkan Pejabat Koordinasi Kebangsaan (National Coordination Office, FENNCO) yang ditempatkan di BNM dan disertai oleh wakil daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit.[12] Penubuhan FENNCO memperkukuh penyelarasan antara agensi dan memastikan penyampaian program literasi kewangan yang terselaras dan diperluas.

Memperluas literasi kewangan melalui Program Latihan Jurulatih

Guru memainkan peranan penting di sekolah dan dalam komuniti. Bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO),[13] FEN memperkenalkan Program Latihan Jurulatih (Train-the-Trainers, TTT) Pengurusan Kewangan Peribadi (Gambar Rajah 8). Program ini disampaikan kepada 209 jurulatih pakar yang terdiri daripada guru, pegawai KPM serta pensyarah dari Institut Pendidikan Guru di lima wilayah seluruh Malaysia. Para jurulatih pakar ini seterusnya akan melatih guru-guru di seluruh negara bagi meningkatkan tahap celik kewangan serta keyakinan diri agar mereka pula dapat membimbing pelajar dan komuniti ke arah membuat keputusan kewangan yang lebih baik. Berbekalkan pengetahuan dan alat yang betul, pendekatan sebegini berupaya membantu pendidikan kewangan sampai kepada lebih ramai guru, pelajar dan komuniti di seluruh negara.

Memajukan akses inklusif bagi orang kurang upaya

BNM juga meneruskan usaha untuk menyokong orang kurang upaya (OKU) dengan memberikan penekanan kepada akses inklusif dan layanan yang adil (Gambar Rajah 9). BNM merangka program dalam talian supaya mudah diakses oleh golongan yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran. Program disediakan dalam format mesra audio, jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia dan serasi pembaca skrin (screen-reader compatible). Ciri-ciri ini memudahkan penyertaan golongan OKU dan meningkatkan keyakinan mereka, sekali gus membantu mereka membuat keputusan kewangan yang bijak. Berlandaskan asas ini, BNM akan terus mempergiat usaha ini melalui program dan kerjasama strategik bagi membantu golongan OKU mengendalikan perkhidmatan kewangan dengan lebih yakin.

Menggalakkan tawaran perlindungan kewangan inklusif

Dalam segmen perlindungan, BNM memperkukuh pasaran mikroinsurans dan mikrotakaful. Fasa ketiga program baucar Perlindungan Tenang (PT) melalui Belanjawan 2025 mula berkuat kuasa pada bulan September 2025, yang menyaksikan isi rumah yang layak menerima baucar bernilai RM30 untuk membeli produk perlindungan. Pengecualian duti setem juga dilanjutkan melalui Belanjawan 2026 bagi memastikan premium dan sumbangan kekal mampu dibiayai. Kadar pengambilan terus meningkat dengan sokongan kempen jelajah dan pendidikan kewangan bersasar seperti Bulan Literasi Kewangan serta Karnival Celik Kewangan.

Memudah cara kemasukan peserta pasaran bagi rangkuman kewangan

Menjelang akhir tahun 2025, kelima-lima bank digital telah memulakan operasi, menandakan satu pencapaian penting dalam rangkuman kewangan. Bank digital secara kolektif telah berkhidmat kepada 2.4 juta pelanggan, dengan jumlah deposit sebanyak RM4.2 bilion. Kira-kira 65% pelanggan terdiri daripada segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan termasuk isi rumah berpendapatan rendah, pekerja gig dan golongan belia. Sesetengah bank digital juga telah mula menawarkan pembiayaan bernilai kecil. Daripada RM1 bilion pembiayaan yang diluluskan, sebanyak 34% disalurkan kepada pelanggan dalam segmen yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Walaupun jumlahnya masih kecil pada peringkat seawal ini, pencapaian tersebut mencerminkan kemajuan yang bermakna dalam menangani keperluan kewangan yang belum tercapai.

Bagi memperkukuh akauntabiliti dan memastikan rangkuman sentiasa menjadi teras perbankan digital, BNM telah memperkenalkan Rangka Kerja Pemantauan dan Penilaian Rangkuman Bank Digital (Digital Bank Inclusion Monitoring and Evaluation, DIME) (Gambar Rajah 10). Rangka kerja ini menggariskan kehendak supaya bank digital mengintegrasikan rangkuman kewangan dalam strategi, susunan tadbir urus dan reka bentuk produk mereka. Penilaian rintis pada tahun 2025 menunjukkan penyelarasan yang kukuh dengan kehendak tersebut. Bank digital mempunyai strategi rangkuman yang jelas, struktur tadbir urus yang membolehkan pemantauan hasil, serta produk yang disesuaikan bagi segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan. Bank digital juga memanfaatkan analisis data untuk melayani pelanggan yang mempunyai maklumat kredit terhad (thin-file customers),[14] dengan menawarkan pilihan bayaran balik pinjaman yang fleksibel serta kelulusan hampir serta-merta, sekali gus membantu individu dan PKS menguruskan aliran tunai dengan lebih berkesan.

BNM menghendaki agar bank digital memperkukuh komitmen ini dengan menghubungkan perkhidmatan mereka kepada platform digital harian seperti telekomunikasi, utiliti dan perkhidmatan awam, sekali gus meningkatkan kebolehcapaian serta liputan perkhidmatan.

Memangkinkan pembaharuan struktur bagi insurans/takaful perubatan dan kesihatan

Pada akhir tahun 2024, BNM memperkenalkan langkah-langkah interim[15] untuk mengurangkan kesan pelarasan semula premium terhadap pemegang polisi insurans[16] serta mengekalkan akses kepada perlindungan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (medical and health insurance/takaful, MHIT). Menjelang bulan Jun 2025, kenaikan premium bagi hampir 200,000 pemegang polisi berusia 60 tahun ke atas telah ditangguhkan, manakala lebih 15,000 pemegang polisi berjaya mengaktifkan semula polisi tanpa pengunderaitan tambahan. Peningkatan premium bagi lebih 90% polisi yang dilaraskan semula akibat inflasi perubatan adalah kurang daripada 10%.

Kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta serta premium MHIT sememangnya menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia. BNM bertindak balas kepada isu ini dengan menggerakkan tumpuan yang lebih pantas pada tahap mampu milik dan kemampanan jangka panjang MHIT. Pendekatan dua fasa dilaksanakan, iaitu bermula dengan langkah-langkah segera untuk mengurangkan tekanan dan seterusnya menggerakkan usaha pembaharuan yang lebih mendalam dan menyeluruh.

Pada masa yang sama, pembaharuan struktur yang lebih meluas juga sedang dijalankan. Di bawah rangka kerja RESET, inisiatifnya (Gambar Rajah 11) bertujuan menangani pendorong yang mendasari inflasi kos perubatan dan menjadikan penjagaan kesihatan swasta lebih mampan, berasaskan nilai serta mudah diakses oleh rakyat Malaysia.[17] Bagi menyokong penyelarasan yang berkesan pada peringkat kebangsaan untuk pembaharuan peringkat sistem, Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) telah ditubuhkan. JBMKKS dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II dan Menteri Kesihatan. Pada tahun tersebut, Jawatankuasa Mekanisme Aduan (kini dikenali sebagai Healthcare Partners Protocol & Solutions Committee atau HPPSC) telah diaktifkan semula.[18] Jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform berstruktur bagi penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO), hospital swasta, kumpulan profesional perubatan dan kumpulan kepentingan pengguna untuk menyelesaikan isu lazim berkaitan tuntutan perubatan serta proses prakebenaran seperti surat jaminan (guarantee letters, GL).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan dan BNM juga bekerjasama rapat dengan ITO, kumpulan profesional perubatan, hospital serta pakar bidang untuk mereka bentuk pelan MHIT asas[19] (Gambar Rajah 12). Pelan MHIT asas, yang projek rintisnya dijadualkan pada separuh kedua tahun 2026 dan pelaksanaan penuh pada awal tahun 2027, bertujuan menyediakan perlindungan asas penting kepada lebih banyak rakyat Malaysia, menguruskan kos penjagaan kesihatan dan menyokong hasil kesihatan yang berasaskan nilai.

BNM juga mencatatkan kemajuan dari segi ketelusan bagi menyokong proses membuat keputusan yang lebih baik oleh pengguna dan perumus dasar. Buat pertama kali, persatuan industri insurans dan takaful menyiarkan julat harga bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lazim.[20] Hospital dan klinik swasta juga kini dikehendaki memaparkan harga runcit ubat-ubatan. Inisiatif ini membolehkan pesakit membandingkan kos yang mungkin ditanggung sebelum mendapatkan rawatan. Terdapat juga alat pengguna yang baharu dan dipertingkatkan termasuk laman mikro FEN[21] serta perancang belanjawan penjagaan kesihatan.[22] Alatan ini berfungsi untuk membimbing pengguna dalam membuat pilihan dengan maklumat yang mencukupi. Bagi memperkukuh penemuan berasaskan bukti yang menyokong kesemua inisiatif ini, Bank Dunia bersama Insurance Services Malaysia telah menjalankan kajian mengenai pendorong inflasi kos perubatan dalam tuntutan MHIT.

Beberapa langkah juga sedang dijalankan untuk mengurangkan fragmentasi dalam sistem penjagaan kesihatan. Hal ini merangkumi usaha memperkukuh saling boleh kendali dan akses kepada rekod perubatan elektronik. KKM menerajui usaha untuk melancarkan perkongsian data klinikal, bermula dengan keputusan makmal dan radiologi melalui inisiatif rintis bersama beberapa hospital awam serta swasta terpilih.

Seiring dengan itu, Belanjawan 2026 memperkenalkan insentif untuk mengembangkan pilihan penjagaan kesihatan swasta yang mampu milik. Hospital swasta akan dibenarkan menubuhkan Tabung Kebajikan Hospital untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan, dengan sumbangan kepada dana ini layak menerima pengecualian cukai. Pada masa yang sama, keperluan pelesenan bagi pusat rawatan ambulatori dan pusat diagnostik sedang dipermudah untuk menggalakkan pertumbuhan pilihan rawatan yang lebih berkesan dari segi kos bagi pesakit serta pemegang polisi.

Sistem pembayaran kumpulan berkaitan diagnostik (diagnostic-related groups, DRG) sedang dibangunkan untuk perkhidmatan hospital.[23] Bagi hospital swasta, DRG akan menjadi komponen teras dalam pelan MHIT asas sekali gus menggalakkan penetapan harga yang lebih konsisten dan memperkukuh langkah kawalan kos yang lebih berkesan di seluruh sektor.

Menuju masa hadapan, BNM akan meneruskan usahanya melalui JBMKKS. BNM akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan bagi menyokong pembaharuan penjagaan kesihatan yang lebih meluas untuk negara. Usaha ini akan membantu persediaan ke arah pelaksanaan pelan MHIT asas pada tahun 2027.

Memajukan pembaharuan dalam ekosistem insurans dan takaful motor

Pembaharuan dalam ruang insurans dan takaful motor juga menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. BNM membantu merintis sistem pelaporan polis elektronik (electronic police reporting, e-PR) bagi kemalangan kecil di Lebuh Raya Utara-Selatan PLUS. Projek rintis ini dibangunkan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengangkutan (Ministry of Transport MOT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC) serta syarikat insurans am dan pengendali takaful am (general insurers and takaful operators, GITO).[24] Sistem rintis ini bertujuan memudahkan proses pelaporan, memperkemas proses tuntutan, mengurangkan penipuan serta menyokong peralihan ke arah ekosistem motor yang digital sepenuhnya. Gambar Rajah 13 menunjukkan proses tuntutan digital yang menyeluruh bagi pemegang polisi.

BNM juga memperkenalkan langkah-langkah untuk menguruskan peningkatan tuntutan dan meningkatkan keselamatan jalan raya. Usaha ini bertujuan menggalakkan tingkah laku pemanduan yang lebih selamat dan mengurangkan risiko kemalangan sekali gus membantu mengawal kos tuntutan. Satu pasukan petugas bersama MOT, JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat ditubuhkan pada akhir tahun 2025 untuk menyelaraskan usaha keselamatan serta menggalakkan teknologi pemanduan pintar yang menggalakkan tingkah laku lebih selamat di jalan raya. Kerjasama dengan GITO dan pengendali e-panggilan (e-hailing) juga diteruskan bagi menangani jurang perlindungan serta memastikan perlindungan kekal mampu milik, memandangkan pemandu yang berada lebih lama di jalan raya akan berdepan risiko kemalangan yang lebih tinggi.

Libat urus dengan industri, kumpulan pengguna dan persatuan e-panggilan juga menekankan keperluan pemanduan yang lebih selamat sejajar dengan peningkatan kadar kemalangan. Seterusnya, BNM akan memperbaiki proses tuntutan melalui automasi, memperkukuh pengesanan penipuan melalui perkongsian data, serta menyokong usaha keselamatan jalan raya pada peringkat kebangsaan. BNM juga akan bekerjasama dengan industri untuk mendepani trend baharu, termasuk peningkatan penggunaan kenderaan elektrik bagi menyokong perlindungan motor yang mampu milik dan mampan.

Memajukan Pendigitalan dalam Perkhidmatan Kewangan

Memacu inovasi yang bertanggungjawab melalui penciptaan bersama

BNM kekal fokus untuk menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab bagi menyokong kepercayaan, daya tahan dan kecekapan dalam sistem kewangan Malaysia. Seiring dengan landskap yang semakin kompleks, kerjasama berkesan antara pengawal selia dengan industri penting bagi memastikan inovasi baharu yang selamat, boleh diperluas dan selaras dengan kepentingan awam. Pada tahun 2025, BNM memajukan usaha ini melalui libat urus berstruktur yang mempertingkatkan dialog, membina platform kerjasama serta merangka dasar yang menyokong penyelesaian yang saling boleh kendali. Usaha ini bertujuan mendorong pendigitalan sambil memastikan kestabilan kewangan, perlindungan pengguna dan daya tahan sistem terus terpelihara.

BNM memajukan inovasi bertanggungjawab, selamat dan saling boleh kendali menerusi dasar bersasar dan kerjasama industri yang menyokong pendigitalan di samping memelihara kestabilan dan perlindungan pengguna.

Salah satu platform utama yang menyokong usaha ini ialah MyFintech Week edisi ketiga, yang dianjurkan bersama oleh BNM dan rakan industri pada bulan Ogos 2025. Melalui kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Malaysia Digital Economy Corporation dan Fintech Association of Malaysia, acara ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta dan 200 pembicara untuk membincangkan inovasi dan daya tahan digital, kewangan inklusif, tindakan iklim serta kerjasama rentas sempadan. Semua perbincangan ini membantu merangka langkah tindakan praktikal untuk membina ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan berupaya menghadapi masa hadapan. Sorotan acara ditunjukkan dalam Gambar Rajah 15.

Kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) semakin mendapat perhatian dalam sektor kewangan. BNM melihat semakin banyak penyedia perkhidmatan kewangan (PPK) di Malaysia menerapkan AI untuk memperkukuh analitik pelanggan, meningkatkan kecekapan operasi serta memperbaiki pengurusan risiko dalam sektor kewangan Malaysia.[25] Bagi menyokong inovasi yang bertanggungjawab, BNM menerbitkan kertas perbincangan yang menggariskan pendekatan pengawalseliaan dan pembangunan berkaitan AI. Maklum balas orang ramai dilengkapkan pada bulan Oktober 2025 dan satu pernyataan maklum balas akan dikeluarkan pada tahun 2026. Selain itu, Chief Risk Officers Forum AICB melancarkan AI Governance Framework. Rangka kerja yang diterajui industri ini menyediakan amalan terbaik untuk menguruskan risiko AI dan menyokong penyelarasan yang lebih tinggi berhubung dengan piawaian AI yang bertanggungjawab di seluruh sektor (Gambar Rajah 16). BNM mengalu-alukan perkembangan ini dan menggalakkan sektor lain, termasuk insurans dan takaful untuk membangunkan atau menyelaraskan garis panduan yang sesuai dan melengkapi keperluan masing-masing.

Menuju masa hadapan, BNM akan terus menggalakkan penggunaan AI yang bertanggungjawab dengan membangunkan garis panduan industri dan amalan terbaik, memudah cara perkongsian pengetahuan, serta menyokong pembangunan tenaga mahir. Usaha meningkatkan kesedaran orang ramai melalui program pendidikan dan literasi kewangan juga akan diperkukuh. Kesemua langkah ini bertujuan memastikan AI diadaptasi untuk mempertingkatkan perkhidmatan kewangan dengan cara yang menghasilkan nilai sebenar, seperti pengesanan penipuan yang lebih berkesan, pengalaman pelanggan yang lebih baik serta pengurusan risiko yang lebih mantap.

Seiring dengan AI, BNM juga mempergiat usaha dalam teknologi baharu yang berpotensi membentuk semula perkhidmatan kewangan. Salah satu bidang utama ialah penerokaan industri terhadap tokenisasi aset. Pada bulan Oktober 2025, satu kertas perbincangan diterbitkan untuk menerangkan pendekatan BNM dan mendapatkan maklum balas industri tentang potensi kes penggunaan, pembuktian konsep (proof-of-concept) dan inisiatif rintis. Bagi menyokong usaha ini, BNM melancarkan Hab Inovasi Aset Digital (Digital Asset Innovation Hub, DAIH) sebagai platform utama untuk bekerjasama, membina keupayaan dan menguji kes penggunaan tokenisasi. Melalui DAIH, BNM juga menubuhkan Asset Tokenisation Industry Working Group untuk menyelaraskan perkongsian pengetahuan serta eksperimen bersama. Butiran lanjut berkenaan inisiatif ini boleh didapati dalam bab “Menggalakkan Perkhidmatan Pembayaran dan Pengiriman Wang yang Selamat dan Cekap”.

Pada bulan November 2025, BNM menerbitkan draf dedahan berkenaan kewangan terbuka (open finance) yang menggariskan keperluan bagi amalan perkongsian data yang selamat dan konsisten. Draf ini mencadangkan agar PPK yang ditetapkan menawarkan perkhidmatan kewangan terbuka, yang disokong oleh mekanisme persetujuan pengguna yang kukuh, dan perlindungan data yang terjamin selamat. Kewangan terbuka memberi pelanggan lebih kawalan terhadap data kewangan mereka. Melalui parameter persetujuan yang jelas tentang jenis data yang dikongsi, pihak terlibat, tujuan dan tempoh perkongsian data, pelanggan akan lebih berupaya membuat keputusan bermaklumat serta mengakses produk kewangan yang lebih bersesuaian dengan keperluan masing-masing. Selain memperkasakan pelanggan, kewangan terbuka juga menggalakkan perkongsian data yang lebih selamat dan seragam, sekali gus membuka ruang kepada inovasi berasaskan data seperti yang dipaparkan dalam Gambar Rajah 17. Bagi menyediakan ekosistem ini, BNM bekerjasama rapat dengan PayNet dan industri untuk membangunkan infrastruktur yang diperlukan. PayNet telah membentuk kumpulan perintis bersama bank-bank utama dan KWSP untuk menguji kes penggunaan berimpak tinggi yang berupaya memberikan manfaat nyata kepada pelanggan. Semua langkah ini menyumbang ke arah menjadikan rangka kerja kewangan terbuka Malaysia yang selamat, inklusif dan dipercayai.

Mempertingkatkan penggerak utama inovasi

Satu lagi keutamaan ialah memperkukuh penggerak utama bagi inovasi. MyDigital ID terus memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi digital negara. Menjelang tahun 2025, institusi kewangan telah menyelesaikan Fasa 1 ujian Sandbox sekali gus menyokong usaha membangunkan identiti digital kebangsaan yang dipercayai. Fasa 2 kini sedang dijalankan dengan penyertaan industri yang lebih meluas untuk menyokong penggunaan yang lancar di seluruh sektor. Berikutan ancaman digital yang semakin canggih seperti teknologi palsu tulen (deepfake), tindakan terselaras merentas ekosistem adalah penting bagi mengekalkan kepercayaan dan integriti sistem.

Sandbox Pengawalseliaan Teknologi Kewangan juga terus menyokong pengujian idea baharu secara selamat. Pada tahun 2025, dua inisiatif Green Lane memberikan tumpuan kepada penyelesaian yang meningkatkan keterangkuman seperti model anggaran pendapatan dan proses Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (electronic Know-Your-Customer, e-KYC) untuk pekerja asing. Usaha ini membantu memperluas akses dan meningkatkan kecekapan. Sandbox juga akan terus menyokong pengujian inovasi berimpak tinggi dalam persekitaran yang terkawal.

Memperkukuh Pasaran Kewangan 

BNM terus memajukan pembaharuan dalam pasaran kewangan Malaysia. Walaupun pasaran terus berfungsi dengan lancar, peningkatan kadar penanda aras domestik akan terus memelihara integriti pasaran. BNM bekerjasama rapat dengan industri untuk menyokong inisiatif yang bertujuan untuk memperkukuh pembaharuan kadar penanda aras dan mempertingkatkan infrastruktur pasaran. Pada bulan Oktober 2025, BNM mengumumkan rancangan untuk beralih daripada KLIBOR kepada MYOR dan MYOR-i,[26] disokong oleh pelan hala tuju tiga tahun dengan garis masa dan penanda pencapaian yang jelas. Peralihan ini akan memberikan kesan kepada individu dan perniagaan yang mempunyai pinjaman atau produk kewangan berasaskan KLIBOR. Peralihan kepada penanda aras yang berpaksikan data transaksi pasaran bermakna penetapan harga pinjaman akan menjadi lebih adil dan telus. Peralihan ini sejajar dengan pembaharuan penanda aras pada peringkat global dan turut menyokong Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 dengan memperkukuh kredibiliti penanda aras kewangan Malaysia menerusi peralihan kepada kadar rujukan yang lebih telus serta berasaskan transaksi.

Gambar Rajah 18 menggariskan usaha untuk menyokong peralihan yang lancar dan teratur. Kesemua usaha ini akan diteruskan dengan kemas kini secara berkala kepada peserta pasaran melalui Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC).[27]

Satu lagi bidang tumpuan ialah pembangunan infrastruktur pasaran kewangan, yang melibatkan sistem utama dinaik taraf untuk meningkatkan daya tahan pasaran dan kesiapsiagaan operasi. Hal ini termasuk pemodenan Fully Automated System for Issuing/Tendering (FAST), Institutional Securities Custodian Programme (ISCAP) dan Ringgit Operation Monitoring System (ROMS). Pada tahun 2025, BNM melancarkan Projek Pemodenan FAST, satu usaha berbilang tahun bagi mentransformasikan FAST menjadi platform yang bersedia untuk masa hadapan dengan seni bina modular, integrasi API serta kebolehskalaan berasaskan awan. FAST dan ISCAP kini dipindahkan kepada persekitaran awan yang selamat dengan perlindungan tambahan seperti pengesahan kata laluan sekali guna (one-time password, OTP). Naik taraf ROMS pula bermula dengan Fasa 1 pada bulan Disember 2025, yang berfokus pada pelaporan pasaran pertukaran asing, manakala Fasa 2 yang meliputi pelaporan pasaran wang dijadualkan untuk dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2026.

Langkah Selanjutnya

Dalam usaha membina sistem kewangan yang inklusif dan progresif, BNM menetapkan beberapa keutamaan bagi tahun 2026. Keutamaan ini termasuk mempercepat skim jaminan untuk membantu PKS mengakses pembiayaan dengan lebih mudah serta menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab bagi mengecilkan jurang akses dan perlindungan. Peluasan program literasi kewangan akan terus memperkasakan isi rumah. Pembaharuan dalam sektor insurans dan takaful juga akan diteruskan bagi memastikan produk industri itu mampu dimiliki oleh rakyat dan mampan. Pendigitalan akan terus diperkukuh secara selamat melalui ekosistem kewangan terbuka, tadbir urus AI yang berkesan dan sistem identiti digital yang dipercayai. Kejayaan usaha ini bergantung pada kerjasama antara industri dengan Kerajaan. Dalam hal ini, BNM akan terus bekerjasama dengan rakan strategik untuk memperkukuh daya tahan iklim, melindungi kumpulan mudah terjejas serta membina sistem kewangan yang bersedia menghadapi masa hadapan, inklusif dan dipercayai.

Nota

[1] Portal ini boleh diakses melalui (https://imsme.com.my/jc3-esg-jumpstart-for-smes).

[2] Inisiatif iTEKAD Keusahawanan ialah program kewangan sosial campuran yang menyediakan modal permulaan, latihan berstruktur dan pembiayaan mikro. Program ini menyasarkan segmen berpendapatan rendah dalam kalangan usahawan mikro yang bercita-cita untuk memulakan perniagaan serta usahawan mikro sedia ada.

[3] Peruntukan geran padanan bagi inisiatif iTEKAD untuk tahun-tahun terdahulu adalah sebanyak RM20 juta (2022), RM10 juta (2023), RM25 juta (2024) dan RM20 juta (2025).

[4] “Additionality” merujuk nilai sosial dan ekonomi unik yang diwujudkan oleh IKP yang tidak akan terhasil dalam persekitaran yang komersial sepenuhnya.

[5] Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Segi Permintaan bagi Tahun 2021 dan 2024.

[6] MDCO ialah ciri yang membolehkan pemegang kad debit mengeluarkan wang tunai daripada akaun bank di terminal POS peniaga yang mengambil bahagian semasa membuat pembelian.

[7] Terminal layan diri kendalian agensi bukan bank (white label self-service terminal) merujuk terminal layan diri yang disediakan oleh entiti bukan bank atau syarikat swasta.

[8] IBCD ialah kemudahan yang membolehkan pengguna mendepositkan wang tunai ke dalam akaun bank lain menggunakan Mesin Deposit Tunai (Cash Deposit Machine, CDM) atau Mesin Kitar Semula Tunai (Cash Recycler Machine, CRM).

[9] FEN ialah rangkaian antara agensi yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, dengan keahlian terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Permodalan Nasional Berhad.

[10] Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026−2030 boleh diakses menerusi (https://www.fenetwork.my/wp-content/uploads/2025/10/FEN_NS2_BM_Interactive_FA_LowRes.pdf).

[11] Merujuk Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

[12] Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad akan menyokong penjenamaan dan komunikasi FENNCO dengan menerajui Kumpulan Kerja Komunikasi FEN.

[13] FINCO membantu kanak-kanak dan belia daripada golongan kurang berkemampuan memperoleh pendidikan dan kemahiran hidup dalam empat bidang: Bahasa Inggeris, Aspirasi, Pengurusan Wang dan Bantuan Bencana. Disokong oleh 107 institusi kewangan, FINCO melaksanakan program yang memberikan impak berpanjangan kepada komuniti B40.

[14] Merujuk pelanggan yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan yang kekurangan dokumentasi seperti pengenalan diri bagi pengesahan, sejarah kredit, cagaran, rekod kewangan atau data yang mencukupi untuk menyokong penentuan harga risiko oleh bank.

[15] Kesemua langkah ini menyediakan bantuan sementara melalui pelarasan premium secara berperingkat dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, penangguhan pelarasan semula premium bagi pemegang polisi berusia 60 tahun ke atas yang memiliki pelan minimum, pengaktifan semula polisi yang telah luput akibat tekanan pelarasan premium serta penyediaan produk alternatif dengan kos lebih rendah. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk (/-/mhit-pr-bm).

[16] Sebarang rujukan kepada polisi insurans/premium insurans/pemegang polisi juga termasuk sijil takaful/sumbangan takaful/peserta takaful bagi produk MHIT kendiri serta kos insurans (cost of insurance)/tabarru’ bagi produk MHIT yang dibiayai oleh akaun unit.

[17] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk rencana ”Menjamin Akses yang Berterusan untuk Perlindungan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan” dalam Laporan Tahunan 2024 BNM.

[18] HPPSC ialah badan penasihat yang dianggotai wakil daripada BNM, Kementerian Kesihatan Malaysia, persatuan industri insurans dan takaful (Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia), Persatuan Hospital Swasta Malaysia serta Persatuan Perubatan Malaysia.

[19] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk (/-/mhitreset-bm).

[20] Berdasarkan data pesakit yang diinsuranskan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia.

[21] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk (https://www.fenetwork.my/bm/fahami-insurans-takaful-perubatan-dan-kesihatan/).

[22] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang Jaringan Pendidikan Kewangan, Persatuan Insurans Hayat Malaysia, Persatuan Takaful Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia.

[23] Mekanisme bayaran yang menggantikan bayaran untuk perkhidmatan (fee-for-service) dengan mengumpulkan pesakit berdasarkan diagnosis dan keperluan perubatan, dengan setiap kumpulan diberikan kadar yang ditetapkan lebih awal.

[24] Pelaksanaan projek rintis e-PR membolehkan pengguna jalan raya melaporkan kes kemalangan kecil dengan cepat, selamat dan mudah melalui sistem e-Reporting dalam talian PDRM menggunakan pautan: (https://ereporting.rmp.gov.my/).

[25] Seperti yang dilaporkan dalam kertas perbincangan Artificial Intelligence in the Malaysian Financial Sector 2025, lebih 70% PPK di Malaysia telah menggunakan sekurang-kurangnya satu aplikasi AI dalam operasi masing-masing.

[26] Siaran akhbar rasmi tentang peralihan ini boleh diakses melalui (/-/klibor-to-myor-bm).

[27] Untuk maklumat lanjut, rujuk rencana BNM tentang “Peralihan daripada KLIBOR kepada MYOR/ MYOR-i” dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2025 BNM yang boleh diakses melalui (/documents/20124/19635466/fsr25h1_bm_box1.pdf/).


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?