Warga Bank Negara Malaysia

Membina Tenaga Kerja BNM yang Bersedia untuk Masa Hadapan

Membentuk tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan adalah penting kepada misi BNM dalam menggalakkan kestabilan monetari dan kewangan bagi pertumbuhan yang mampan. Usaha ini merentas semua segmen tenaga kerja, daripada pekerja baharu pada peringkat permulaan kerjaya sehingga golongan profesional pada peringkat pertengahan kerjaya dan pakar yang berpengalaman. Setiap generasi memiliki kekuatan unik yang secara kolektif berupaya membantu BNM untuk bertindak balas terhadap cabaran masa hadapan. Pendekatan yang inklusif ini memastikan keseluruhan tenaga kerja BNM kekal tangkas, berkemahiran serta bersedia untuk menghadapi landskap kewangan dan teknologi yang berubah-ubah.

Menarik bakat baharu dan memperkukuh keupayaan warga kerja BNM sedia ada adalah penting untuk membina ekosistem tenaga mahir yang inklusif dan mampan. Begitu juga usaha untuk memastikan pemimpin sentiasa dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran operasi yang semakin rumit dan dinamik. Oleh itu, pada tahun 2025, BNM menumpukan usaha untuk mengukuhkan barisan tenaga mahir peringkat permulaan kerjaya, meningkatkan kepintaran operasi perbankan pusat, memanfaatkan teknologi dan AI secara bertanggungjawab serta memupuk kesihatan dan kesejahteraan.

BNM pada kedudukan yang kukuh untuk menghadapi masa hadapan dengan adanya tenaga kerja BNM yang pelbagai dan seimbang dari segi jantina merangkumi tenaga mahir yang baharu dan berpengalaman, serta disokong oleh program pembangunan keupayaan bersasar termasuk usaha pembangunan kepimpinan. Usaha ini memastikan kesinambungan pembangunan pemimpin masa hadapan yang mantap, di samping memelihara pengetahuan organisasi dan kepimpinan berwawasan untuk tahun-tahun yang akan datang.

Program Graduan Kijang: Barisan Tenaga Mahir Peringkat Permulaan Kerjaya

Dalam strategi tenaga mahir BNM yang menyeluruh, program permulaan kerjaya merupakan satu inisiatif penting. BNM berhasrat untuk memberi inspirasi kepada belia Malaysia supaya melihat kerjaya perbankan pusat sebagai satu kerjaya yang bermakna dan berkesan. Matlamat BNM adalah untuk menarik individu yang bukan sahaja berminat untuk menyumbang kepada pembangunan negara tetapi juga bersedia untuk mengemudi cabaran dalam landskap ekonomi dan kewangan yang berkembang pesat.

Pada tahun 2025, BNM terus meluaskan jangkauan kepada golongan belia Malaysia melalui karnival kerjaya serta sesi libat urus dengan universiti dan persatuan pelajar. Platform ini menyediakan pendedahan mengenai peranan BNM dan kepelbagaian laluan kerjaya yang ditawarkan, merangkumi bidang ekonomi, dasar dan penyelidikan serta teknologi, sains data, keselamatan siber dan komunikasi. BNM yakin bahawa tenaga mahir bukan sekadar direkrut, tetapi juga harus diberikan inspirasi, dipupuk dan diperkasakan untuk maju dalam organisasi. Bagi tujuan ini, BNM menekankan kemahiran serta nilai yang diperlukan untuk terus cemerlang dalam kerjaya di sini.

Program Graduan Kijang (Kijang Graduate Programme, KGP) telah menjadi saluran yang penting bagi pengambilan tenaga mahir peringkat permulaan kerjaya di BNM sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2021. Program ini semakin berjaya menarik belia cemerlang Malaysia yang benar-benar berhasrat untuk bekerja di BNM dan menyumbang kepada pembangunan negara. Pada tahun 2025, permohonan terhadap program ini melonjak, dengan peningkatan sebanyak 55%. Daripada jumlah ini, BNM mencatatkan peningkatan permohonan sebanyak 47% daripada 100 universiti terkemuka dunia khususnya berbanding tahun 2024.

KGP menghimpunkan bakat yang pelbagai, merangkumi bidang ekonomi, dasar awam, teknologi, sains data, pendidikan malah sastera dalam kohort yang terkini. Kepelbagaian ini memperkaya kumpulan tenaga mahir dan meneguhkan komitmen BNM dalam pemikiran rentas disiplin. KGP menawarkan program berstruktur dengan tiga laluan yang berbeza iaitu Graduan Penganalisis, Graduan Penganalisis Penyeliaan dan Graduan Penganalisis Digital, selama 18 bulan yang melibatkan penugasan graduan secara bergilir-gilir di tiga fungsi perbankan pusat. Penggiliran ini membolehkan graduan menerima pendedahan langsung dalam pemantauan dan analisis dasar ekonomi, kestabilan dan pembangunan kewangan, serta pengurusan korporat. Penugasan ini dilaksanakan di bawah bimbingan mentor yang berpengalaman. Pendedahan berstruktur ini membantu graduan memahami bagaimana pelbagai fungsi berbeza saling melengkapi dalam melaksanakan mandat BNM sekali gus menyumbang secara bermakna sejak awal kerjaya mereka.

Memperkukuh Kepintaran Operasi Perbankan Pusat

BNM terus mengukuhkan keupayaan tenaga kerjanya. Hal ini penting untuk memastikan tenaga mahir BNM kekal tangkas, bersedia untuk masa hadapan dan dilengkapi kemahiran baharu yang sangat penting untuk perbankan pusat. BNM telah meluaskan usaha pembelajaran teknikal dengan mewujudkan lebih banyak peluang untuk warga kerjanya menyertai program luar. Program-program ini memberikan pendedahan tentang kepakaran global dan kepelbagaian perspektif yang memperkaya keupayaan organisasi BNM. Inisiatif BNM juga menyokong peningkatan kemahiran warga sedia ada dan pembangunan pesat bagi warga baharu melalui sejumlah 174 sesi latihan teknikal, meliputi 785 jam pembelajaran yang dilaksanakan untuk jabatan Ekonomi, Pelaburan, Penyeliaan, Pengawalan dan Perkhidmatan Pembayaran.

BNM turut mengiktiraf peranan pembelajaran semasa bekerja dan pengalaman kerja sebenar sebagai pendorong pembangunan tenaga mahir yang sangat berkesan. Faktor ini menjadi asas bagi Program Mobiliti Tenaga Mahir (Talent Mobility Programme), iaitu penempatan kakitangan secara silang jabatan selama 12 bulan dengan matlamat untuk meluaskan perspektif, menggalakkan kerjasama dan mempercepat kesiapsiagaan profesional. Selain itu, melalui kerjasama dengan Asia School of Business (ASB), BNM melaksanakan Central Banking Business Acumen Programme untuk pemimpin peringkat pertengahan hingga pengurusan kanan. Program ini dirangka bagi memperluas pendedahan peserta kepada perspektif perbankan pusat dan mengukuhkan pemahaman mereka tentang kesalinghubungan dasar seterusnya membantu mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi merentasi fungsi. Secara keseluruhannya, kesemua inisiatif ini membentuk pendekatan yang bersepadu dalam membangunkan tenaga kerja yang berkeupayaan dan tangkas selaras dengan keutamaan strategik jangka panjang BNM.

Meningkatkan Produktiviti secara Bertanggungjawab dengan Teknologi dan Kecerdasan Buatan

Melangkah ke hadapan, BNM terus memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI). Menyedari kepentingan tenaga kerja yang celik digital dan bersedia menempuhi masa hadapan, BNM mengambil pendekatan yang proaktif serta terkawal dalam penerapan AI. Pendekatan ini termasuk instrumen produktiviti berasaskan AI yang dibangunkan sendiri seperti KijangBot yang merupakan AI generatif serba guna serta PolicyBot, yang menyokong perkongsian pengetahuan organisasi tentang dasar BNM dan dokumen pengawalseliaan yang tersedia dalam laman sesawang BNM.

Memandangkan BNM memanfaatkan teknologi digital termasuk AI, usaha memperkukuh kesedaran keselamatan siber dalam kalangan warga kerja menjadi semakin penting. Latihan mandatori, simulasi pancingan data (phishing) dan program jangkauan berterusan telah dilaksanakan bagi memastikan warga kerja sentiasa bersedia untuk membanteras ancaman yang semakin mencabar di samping melindungi aset serta reputasi BNM.

Melakar Perjalanan BNM dengan AI Generatif: Daripada Permulaan Penerapan kepada Transformasi Masa Hadapan

Sejak dua tahun lalu, BNM telah mengambil pendekatan yang terancang dan terkawal terhadap penerapan AI Generatif (Generative AI, GenAI). Pendekatan ini dimulakan dengan melaksanakan program rintis bersifat penerokaan, melancarkan dua bot yang dibina dengan tujuan khusus (KijangBot dan PolicyBot), serta melaksanakan Piawaian Tadbir Urus GenAI (GenAI Governance Standard) untuk memastikan penggunaan yang bertanggungjawab. Setakat ini, GenAI berfungsi sebagai rakan sokongan yang membolehkan warga BNM bekerja dengan lebih bijak. Dengan memudahkan tugas yang berulang serta membantu meringkaskan dan menghasilkan kandungan, GenAI menyokong pembelajaran, menajamkan pemikiran dan mengukuhkan pembuatan keputusan. Melalui program rintis yang terkawal dan pelaksanaan perlindungan yang sesuai, matlamat BNM adalah untuk meningkatkan kecekapan dan pada masa yang sama memastikan risiko diuruskan dengan teliti.

Kini, semua aplikasi ini dapat mempertingkatkan cara warga BNM menjalankan kerja mereka. KijangBot membantu meringkaskan dokumen, melakukan terjemahan dan menyokong penghasilan kandungan pada skala besar. PolicyBot membolehkan warga BNM mencari dokumen dasar yang betul dengan lebih cepat, lantas membolehkan mereka menumpukan usaha untuk membuat pertimbangan dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat. Program rintis ini juga memberikan maklumat tentang cara untuk membentuk semula cara kerja warga BNM, meringkaskan proses dan membekalkan warga kerja dengan kemahiran AI yang betul.

Tumpuan akan terus diberikan terhadap cara untuk menggunakan AI sebagai alat yang menyokong cara bekerja merentas organisasi. Fokus BNM adalah untuk memahami bahagian yang benar-benar boleh ditambah nilai oleh AI dan bukannya menerapkan AI untuk tujuan asas semata-mata. Kegunaan ini termasuk menyokong pengurusan pengetahuan dan penambahbaikan proses. Satu lagi bidang tumpuan kegunaan AI adalah untuk membantu warga kerja membuat keputusan yang lebih baik dengan menyepadukannya dalam rumusan dasar, sokongan keputusan dan aliran kerja operasi. Pembangunan keupayaan warga kerja adalah faktor penting untuk merealisasikan matlamat ini. Hal ini merangkumi perkara seperti membangunkan tahap celik AI dan meningkatkan kemahiran warga kerja, yang merupakan keutamaan penting untuk memastikan warga kerja dapat menggunakan GenAI dengan selamat, berkesan dan selaras dengan mandat BNM.

Menghidupkan Nilai Teras BNM: Tenaga Kerja yang Berhubung dan Sihat

Mewujudkan budaya tempat kerja yang membantu warga kerja mencapai prestasi terbaik bagi menyokong pelaksanaan mandat BNM secara berkesan merupakan satu keutamaan. Meneruskan momentum menterjemahkan kesedaran kepada tindakan, tahun 2025 ditumpukan pada mengukuhkan cara pengalaman positif dapat diluaskan ke seluruh organisasi. Hasrat BNM adalah supaya nilai-nilainya diterapkan dalam tingkah laku seharian sebagai asas yang kukuh bagi cara organisasi bekerja.

BNM menyedari bahawa perubahan yang bermakna bermula pada peringkat akar umbi. Pemerhatian yang menunjukkan warga kerja, termasuk para pemimpin semua jabatan, meneroka kaedah praktikal bagi memperkukuh tingkah laku dan amalan harian berkaitan maklum balas adalah sesuatu yang menggalakkan. Bagi meluaskan jangkauan dan impak usaha sebegini, BNM menyediakan ruang yang selamat untuk warganya berkongsi idea, sekali gus mencetuskan kreativiti dan secara kolektif memperbaiki cara warga BNM bekerja.

Bagi terus mengukuhkan budaya yang mengutamakan maklum balas, BNM memperkenalkan siri komunikasi dalaman untuk mengendalikan maklum balas yang diterima daripada warga kerja. Hal ini menggambarkan cara maklum balas seharusnya ditangani di seluruh organisasi, iaitu sebagai sesuatu yang perlu diteliti dan dipertimbangkan, dan warga kerja dimaklumkan tentang tindakan susulan yang telah diambil. Secara keseluruhannya, kesemua inisiatif ini menggalakkan penerokaan, kejujuran yang membina dan kerjasama. BNM berhasrat untuk menjadi tempat warga kerja berasa selamat dan yakin untuk menyuarakan pandangan dalam membentuk hasil yang lebih baik. Dengan memperkukuh budaya pemerkasaan dan kepercayaan ini, BNM meningkatkan keupayaan untuk melaksanakan mandat dengan lebih berkesan.

Warga kerja dapat memberikan prestasi terbaik apabila mereka berasa disokong dari aspek kesejahteraan mental dan fizikal. Dari tahun ke tahun, BNM telah memberikan tumpuan yang jitu kepada usaha meningkatkan kesejahteraan. Pada tahun 2025, BNM meluaskan akses terhadap sokongan kesejahteraan termasuk kaunseling profesional. Langkah ini disokong oleh kempen kesedaran, latihan dan bengkel amali. Hab Kesejahteraan (Wellbeing Hub) iaitu sebuah platform sehenti yang menghimpunkan sumber kesihatan mental dalam satu ruang yang mudah diakses telah diperkenalkan bagi membantu warga kerja untuk mendapatkan sokongan pada peringkat awal dengan yakin dan mengikut keperluan mereka sendiri.

Inisiatif kesejahteraan BNM tertumpu pada usaha menyediakan pengalaman yang bermakna demi menyokong kesejahteraan menyeluruh warga kerja. Inisiatif ini mencakupi program Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta Kesejahteraan BNM. Warga kerja berpeluang menyertai pelbagai program serta aktiviti sepanjang tahun melalui inisiatif yang disasarkan termasuk penilaian dan saringan kesihatan, vaksinasi influenza, sesi kiropraktik dan juga program derma darah. Kadar penyertaan keseluruhan meningkat lebih sekali ganda, sekali gus menunjukkan permintaan yang tinggi dan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan oleh organisasi.

Selain kesejahteraan mental dan emosi, BNM menggalakkan warga kerjanya untuk kekal aktif dan sihat melalui pelbagai aktiviti fizikal serta acara yang memupuk keakraban di luar tempat kerja. Larian BNM 2025, Karnival Sukan 2025 dan Karnival Olahraga 2025 menerima penyertaan yang tinggi dan meluas, lantas menyerlahkan peranan sebagai platform yang boleh digunakan oleh warga kerja untuk membuktikan kehandalan mereka dalam kesukanan sekali gus memupuk semangat kesukanan merentas jabatan. Inisiatif ini menggalakkan gaya hidup sihat dan menekankan kepentingan keseimbangan sambil mengingatkan warga BNM bahawa prestasi kerja yang cemerlang hadir seiring dengan penjagaan kesejahteraan fizikal.

Memacu Matlamat Melangkaui BNM

Warga BNM percaya bahawa matlamat mereka melangkaui batasan organisasi. Matlamat juga mempunyai kaitan dengan penghasilan impak yang bermakna dengan menyumbang kembali kepada masyarakat. Program sukarelawan menyatukan warga kerja untuk membawa perubahan sebenar, sama ada melalui bantuan kepada golongan yang memerlukan, menggalakkan kesejahteraan sosial atau menyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Usaha-usaha ini mencerminkan nilai teras BNM, mengukuhkan kerjasama dan memupuk rasa tanggungjawab bersama di seluruh organisasi.

Pada tahun 2025, Sukarelawan BNM (BNM Volunteers, BNMV) terus menjalankan aktiviti yang mendorong perubahan positif. Satu pencapaian penting ialah World AIDS Day, HIV Awareness & Support yang dilaksanakan dengan kerjasama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Malaysian Society for HIV Medicine (MASHM). Program ini tertumpu pada usaha meningkatkan kesedaran tentang HIV/AIDS dalam kalangan warga BNM dan orang awam. Usaha ini bukan sahaja mengurangkan stigma tetapi juga mengukuhkan sokongan untuk pesakit terutamanya golongan remaja.

BNMV juga memainkan peranan penting dalam pemuliharaan alam sekitar. BNMV bekerjasama dengan agensi tempatan dan kumpulan komuniti untuk menanam 1,000 batang pokok Tangkol melalui Program Penanaman Pokok di Tebing Sungai (Riverbank Tree Planting Program) di Tuaran, Sabah bagi mengurangkan banjir, mencegah hakisan, menstabilkan tanah serta menyokong kepelbagaian biodiversiti. Inisiatif ini mencerminkan keyakinan BNM bahawa penjagaan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Usaha BNM dalam pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitar turut berlanjutan melalui penajaan Kijang, yang juga dikenali sebagai maskot BNM di Zoo Negara. Program ini menunjukkan hasil pemuliharaan yang positif termasuk kelahiran anak kijang baharu sekali gus menunjukkan kejayaan usaha penjagaan dan sokongan yang diberikan.

Pengiktirafan

Usaha yang berterusan untuk menjadikan BNM majikan pilihan di Malaysia kini membuahkan hasil dan semakin mendapat pengiktirafan. Pada tahun 2025, BNM menerima beberapa anugerah seperti Best Organisation & Most Preferred Employer 2025 (Life at Work Awards oleh TalentCorp, GRADUAN Brand Awards dan Graduates’ Choice Award 2026 oleh Talentbank), Best Young Graduates & Most Preferred Graduates Programme 2025 (Life at Work Awards oleh TalentCorp dan GRADUAN Brand Awards). BNM turut tersenarai dalam 100 Leading Graduate Employers 2025 (GTi Media).

BNM akan terus membina tenaga kerja yang tangkas, berdaya tahan, bersedia menghadapi masa hadapan dan didorong oleh matlamat yang jelas. BNM juga komited untuk mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong, menghargai dan memperkasakan warga kerja untuk berkembang. Dalam menghadapi cabaran dan peluang baharu dalam ekonomi yang semakin digerakkan secara digital, tumpuan BNM tetap sama: membantu setiap warganya berkembang maju agar bersama-sama, BNM dapat menghasilkan impak yang berpanjangan untuk masa hadapan Malaysia.


Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?

Bank Negara Malaysia

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?