Sepanjang satu dekad ini, kewangan Islam di ASEAN terus melalui proses transformasi. Bermula khusus bagi memenuhi keperluan pengguna Islam, kewangan Islam kini telah berkembang menjadi segmen yang dinamik dalam sistem kewangan serantau. Peningkatan permintaan terhadap penyelesaian kewangan patuh Syariah, didorong oleh pilihan yang pelbagai serta sokongan dasar yang lebih kukuh dalam beberapa ekonomi ASEAN, merupakan pemangkin utama pertumbuhan ini. Seiring dengan perkembangan kecenderungan global terhadap kewangan beretika dan mampan, kewangan Islam di ASEAN terus mencatatkan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh. Penekanannya terhadap prinsip-prinsip berasaskan nilai, keseimbangan pertimbangan risiko dan ganjaran serta manfaat yang lebih luas kepada masyarakat dan alam sekitar adalah sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian kewangan yang menjana kebaikan jangka panjang melangkaui keuntungan.
Sejak tahun 2014, aset kewangan Islam di ASEAN telah meningkat lebih dua kali, daripada USD468 bilion kepada USD954 bilion pada tahun 2024.[1] Lebih penting lagi, pertumbuhan kewangan Islam juga ketara di negara seperti Singapura dan Filipina yang sebahagian besar masyarakatnya bukan beragama Islam, lantas mencerminkan tarikannya yang lebih luas.
Kewangan Islam sebagai pemangkin pertumbuhan yang inklusif dan mampan merentasi ASEAN
Kewangan Islam terus memberikan sumbangan besar bagi mencapai matlamat pembangunan negara dan serantau. Sistem kewangan ini telah memperluas akses kewangan untuk golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Islam yang sebelum ini keberatan untuk terlibat dalam perbankan konvensional.[2] Melalui kewangan yang patuh Syariah, banyak individu telah berupaya memperoleh pembiayaan untuk memiliki rumah dan kenderaan. Pada masa yang sama, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini dapat mengakses pembiayaan yang patuh Syariah untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka. Hal ini membantu mereka meningkatkan keupayaan produktiviti dan menambahkan peluang pekerjaan.
Selain pembiayaan, kewangan Islam turut menggalakkan pengagihan kekayaan yang inklusif. Dengan integrasi zakat, wakaf serta sedekah dalam penawaran sektor, kewangan Islam menyediakan saluran yang lebih luas untuk menyokong komuniti yang mudah terjejas. Sebagai contoh, Indonesia telah memperkenalkan instrumen yang inovatif seperti sukuk dan deposit berkait wakaf tunai yang membolehkan pemegang akaun menyalurkan dana mereka ke dalam projek sosial, kemanusiaan atau kepentingan awam. Malaysia pula secara aktif memanfaatkan inisiatif pembiayaan campuran yang dikenali sebagai iTEKAD. Inisiatif ini menyokong aktiviti keusahawanan dengan menggabungkan pembiayaan bank dengan dana zakat sebagai modal permulaan (seed capital) dan turut dilengkapi program pembinaan keupayaan dan latihan kemahiran. Dengan berkembangnya aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan komuniti ini, peserta iTEKAD dapat berubah status daripada penerima dana kepada penyumbang ekonomi yang membantu orang lain. Hasilnya, usaha ini membuka laluan untuk pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan dalam ekonomi. Selain itu, struktur takaful dan perkongsian risiko juga membantu memperkukuh perlindungan kewangan. Gabungan ciri-ciri ini menjadikan kewangan Islam alat yang praktikal untuk memajukan rangkuman kewangan, daya tahan sosial dan akhirnya pembangunan yang saksama merentasi ASEAN.
Kewangan Islam juga memainkan peranan yang penting dalam menyokong pembangunan ekonomi. Peranan ini berteraskan prinsip asasnya yang memerlukan instrumen kewangan disokong oleh aset sandaran dan berpaksikan kepada kegiatan ekonomi. Sukuk, khususnya, telah digunakan secara meluas untuk pembinaan pelbagai projek pembangunan dan keperluan infrastruktur. Pasaran sukuk Malaysia dan Indonesia telah membiayai pembangunan pelbagai prasarana termasuk pembinaan lebuhraya, kemudahan kesihatan dan projek hijau. Penggunaan sukuk juga didorong oleh keupayaannya untuk menyediakan pembiayaan jangka panjang daripada kumpulan pelabur yang lebih luas, sesuai bagi memenuhi keperluan kewangan projek berskala besar dan intensif modal.
Baru-baru ini, kewangan Islam semakin banyak disalurkan kepada aktiviti hijau dan aktiviti berkaitan peralihan. Indonesia dan Malaysia secara kolektif telah menyumbang 45% daripada bahagian sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investments, SRI) serta sukuk alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environment, social and governance, ESG) global terkumpul pada tahun 2024.[3] Perkara ini mengukuhkan lagi keselarasan sektor tersebut dengan matlamat ESG yang lebih luas serta mengukuhkan peranannya sebagai pemangkin pembangunan yang mampan. Meneruskan momentum ini dan mengambil kira kepentingan PKS dalam ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membangunkan kemudahan praktikal untuk menyokong peralihan hijau PKS. Usaha ini merangkumi program seperti Penghijauan Rantaian Nilai (Greening Value Chain, GVC) dan Penghijauan Perniagaan Halal (Greening Halal Businesses, GHB),[4] yang menawarkan bantuan teknikal dan sokongan kewangan. Bersama-sama dengan Asian Development Bank dan United Nations Development Programme, BNM telah menerbitkan buku panduan “Building Supply Chain Resilience: Insights into Greening Value Chains for ASEAN”. Buku panduan ini mengetengahkan pengalaman Malaysia sebagai rujukan dan menyediakan panduan kepada perumus dasar, institusi kewangan dan perniagaan di negara ASEAN mengenai cara menyepadukan kelestarian dan kemampanan dalam rantaian nilai mereka. Selain itu, BNM turut menggalakkan kewangan Islam sebagai sumber pembiayaan yang berdaya maju untuk pembinaan infrastruktur awam berskala besar seperti ASEAN Power Grid dan projek penyelesaian inovatif menerusi Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL).[5]
Seiring pertumbuhan saiz dan kematangan segmen utama dalam ekosistem kewangan Islam di ASEAN (rujuk Rajah 1), terbitan sukuk rentas sempadan, aliran pelaburan dan perkongsian kewangan juga mula menyokong integrasi serantau yang lebih erat. Integrasi ini penting untuk mengembangkan kumpulan peserta pasaran, mempelbagaikan instrumen, memperdalam mudah tunai dan menggerakkan aliran modal serantau. Pada tahun 2025, sembilan peserta dari negara ASEAN menyertai platform dagangan komoditi Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS), dengan nilai gabungan transaksi berjumlah RM55.9 bilion bagi tahun itu.[6] Penyertaan sembilan peserta ASEAN dalam BSAS ini secara khususnya menyokong operasi mereka bagi aktiviti pembiayaan, deposit dan pelaburan patuh Syariah.

Peranan Malaysia dalam memajukan kewangan Islam di ASEAN
Malaysia telah melaksanakan strategi jangka panjang yang tersusun untuk membangunkan sistem kewangan Islam yang menyeluruh, seiring dengan pembangunan sistem kewangan konvensional. Di BNM, usaha untuk menyokong kewangan Islam termasuk pengukuhan tadbir urus Syariah, peningkatan ekosistem perundangan, pengawalseliaan dan pasaran serta menggalakkan inovasi untuk memenuhi keperluan ekonomi dan sosial yang lebih pelbagai. Disokong oleh usaha yang berterusan dalam pembinaan keupayaan, Malaysia telah membangunkan ekosistem kewangan Islam yang pelbagai dan merangkumi perbankan, modal, pasaran kewangan dan takaful.
Dengan memanfaatkan kekuatan ekosistem domestik, Malaysia giat melaksanakan inisiatif untuk memudahkan jangkauan kewangan Islam menerusi kerjasama dengan negara-negara jiran. Berserta sokongan daripada pihak berkuasa pengawalseliaan negara tuan rumah, usaha ini telah membantu untuk memudahkan penyertaan ke dalam pasaran dan membolehkan pembangunan segmen kewangan Islam baharu di ASEAN. Bahagian rencana yang berikut memberikan gambaran sumbangan Malaysia dalam menyokong pelbagai pembangunan seiring dengan usaha negara-negara ASEAN dalam memperluas kewangan Islam.
(i) Memperluas jejak serantau dan perkhidmatan rentas sempadan
Malaysia telah membangunkan institusi kewangan Islam yang berwibawa dan berdaya saing menerusi kepakaran yang tinggi dan rekod prestasi yang kukuh. Bank-bank domestik yang lebih besar mempunyai kedudukan yang kukuh di rantau ini dan menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan Islam. Peranan mereka turut diiktiraf sebagai penasihat dalam penerbitan sukuk di ASEAN dan global. Hal ini mencerminkan peranan aktif mereka dalam pembangunan pasaran modal Islam. Dalam sektor takaful, pengendali takaful semula Malaysia telah meningkatkan jumlah pelanggan mereka secara konsisten merentas rantau (rujuk Gambar Rajah 1). Selain memperluas perkhidmatan kewangan, penyedia perkhidmatan sokongan Malaysia khususnya firma guaman dan khidmat nasihat Syariah turut memainkan peranan penting dalam menggerakkan transaksi kewangan Islam rentas sempadan.

Perkembangan ini penting kerana membuka peluang perniagaan baharu kepada sektor kewangan Malaysia dan pada masa yang sama membolehkan peserta domestik meluaskan operasi mereka, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan bersaing dengan lebih berkesan pada peringkat serantau. Perkhidmatan rentas sempadan juga menggalakkan kerjasama dengan rakan serantau dan menjana peluang pertumbuhan yang dikongsi bersama, daripada peluang pekerjaan baharu sehingga penawaran produk dan perkhidmatan kewangan alternatif yang lebih meluas.
(ii) Merintis pembaharuan dan pembangunan pasaran
Malaysia telah menjadi peneraju pembangunan inovasi dan pasaran kewangan Islam. Hal ini termasuk merintis inovasi baharu bagi sukuk dan kewangan sosial, memperkenalkan infrastruktur pasaran kewangan dan menerajui penerapan Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation, VBI) (rujuk Gambar Rajah 2). Kemajuan ini menyediakan model rujukan dan panduan amalan yang berguna untuk negara-negara ASEAN lain, lantas membantu meningkatkan piawaian keseluruhan dan menyokong pembangunan kewangan Islam yang lebih maju di rantau ini. Secara kolektif, perkembangan ini turut menarik minat pelabur antarabangsa dan institusi kewangan global, sekali gus mempelbagaikan lagi pasaran kewangan Islam.

(iii) Memupuk tenaga mahir dan keupayaan
Kemajuan kewangan Islam memerlukan kumpulan tenaga mahir profesional yang memiliki kepakaran merangkumi bidang ekonomi, kewangan, Syariah dan bidang berkaitan lain. Pada peringkat industri, institusi pembangunan tenaga mahir Malaysia memainkan peranan utama dengan menawarkan pensijilan profesional khusus, program ijazah dan lepasan ijazah yang memupuk tenaga mahir yang terlatih dan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan (rujuk Gambar Rajah 3).

Seiring dengan pengukuhan hubungan Malaysia dengan ASEAN, institusi modal insan turut memainkan peranan serantau yang lebih luas. Peningkatan perkhidmatan dan kerjasama rentas sempadan menuntut golongan profesional yang mampu mengendalikan persekitaran pengawalseliaan dan pasaran yang pelbagai serta pada masa yang sama mengekalkan piawaian patuh Syariah dan integriti kewangan yang tinggi. Pada tahun 2025, sejumlah 1,632 orang graduan dan ahli profesional daripada negara ASEAN telah mendapat manfaat daripada pelbagai program pascasiswazah dan modul latihan yang ditawarkan oleh entiti tenaga mahir kewangan Islam ini.[7]
BNM turut menjalinkan kerjasama rapat dengan badan pengawal selia serantau dalam bidang utama seperti pengurusan mudah tunai Islam dan Syariah (rujuk Gambar Rajah 4). Kesemua usaha sama ini menggalakkan pemahaman bersama, menyokong pelaksanaan yang lebih konsisten merentas bidang kuasa serta membantu menangani jurang pengawalseliaan yang akhirnya mengukuhkan ekosistem kewangan Islam serantau.




Hala tuju masa hadapan – Usaha sama ASEAN yang lebih kukuh
Kewangan Islam, yang berlandaskan asas etika sejagat, berpotensi besar untuk berkembang pesat di ASEAN. Usaha merealisasikan potensi ini memerlukan tindakan yang terselaras merangkumi keseluruhan ekosistem.
Dari perspektif BNM, peserta industri Malaysia perlu terus memodenkan dan mempelbagaikan produk, meningkatkan tawaran nilai dan meluaskan saluran pengagihan untuk mencapai jumlah pelanggan yang lebih besar di seluruh rantau. Langkah ini termasuk:
Memajukan rangkuman kewangan dan kelestarian merentasi ASEAN dengan memperluas penyelesaian patuh Syariah yang menangani jurang pembiayaan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, serta sektor yang terdedah kepada risiko iklim. Usaha ini menyokong agenda lebih luas ASEAN ke arah pertumbuhan inklusif dan peralihan yang teratur.
Memperkukuh peranan pengantaraan dalam rantaian nilai halal serantau, dengan memanfaatkan kedudukan ASEAN sebagai hab yang pesat berkembang bagi pengeluaran, perdagangan, logistik dan pelancongan halal. Institusi kewangan boleh memainkan peranan pemangkin melalui pembiayaan PKS halal, penyediaan keperluan perlindungan, penggerak perdagangan rentas sempadan, serta sokongan kepada pensijilan dan integrasi rantaian bekalan.
Mempercepat pendigitalan perkhidmatan kewangan Islam, termasuk melalui kerjasama fintech, model kewangan tersirat (embedded finance) dan inovasi berasaskan data. Ekosistem digital yang lebih kukuh dapat meningkatkan pengalaman pelanggan, meningkatkan kecekapan operasi, dan memperluas capaian kepada populasi ASEAN yang pelbagai serta sangat mudah alih.
Penubuhan MIFC Business Network[8] pada tahun 2025 tepat pada masanya bagi memanfaatkan peluang perniagaan ini. Dengan menghimpunkan peserta industri perbankan, pasaran modal, takaful, pasaran swasta dan pembangunan ekosistem, matlamat rangkaian ini adalah untuk mendorong pembaharuan, membangunkan penyelesaian secara bersama dan membuka peluang pertumbuhan baharu yang boleh meluaskan penembusan pasaran kewangan Islam di seluruh ASEAN. BNM, bersama-sama dengan agensi lain, akan terus menyediakan sokongan kepada peserta industri untuk fasa seterusnya dalam agenda MIFC. Selain itu, pembinaan keupayaan juga akan memangkin pertumbuhan jangka panjang bagi kewangan Islam di ASEAN. Perkongsian kepakaran secara berterusan boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan pelbagai platform termasuk inisiatif yang memenuhi keperluan serantau seperti ASEAN Takaful Alliance[9] dan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara.[10]
Pembangunan kewangan Islam di ASEAN masih berterusan. Masa hadapannya akan bergantung pada kemajuan secara kolektif berbanding dengan prestasi sesebuah pasaran. Kerjasama pada peringkat pengawal selia amat penting, didukung interaksi dan perbincangan yang lebih mendalam bagi menyokong aktiviti rentas sempadan dan pada masa yang sama memelihara kestabilan kewangan. Kerjasama yang lebih utuh dalam kalangan peserta pasaran juga perlu menjadi keutamaan.
Rujukan
Alliance for Financial Inclusion (2024), “Islamic Finance and Financial Inclusion: AFI Members” Perspectives, AFI & SME Finance Working Group Survey Report
Islamic Finance Advisory and Asian Development Bank (2024), “Unlocking the Potential of Islamic Finance in the Philippines: A Market Analysis and Landscape Report”
Islamic Corporation for the Development of Private Sector of the Islamic Development Bank Group – LSEG Islamic Finance Development Report 2025 (2025), “50 Years of Exponential Growth”
Nota
[1] Sumber: London Stock Exchange Group (LSEG)
[2] Anggaran Islamic Development Bank menunjukkan bahawa secara purata, kira-kira sembilan peratus daripada penduduk di 35 buah negara terpilih yang majoritinya orang Islam (termasuk Indonesia dan Malaysia) secara sukarela tidak melibatkan diri dalam sektor kewangan formal atas sebab-sebab keagamaan (Alliance for Financial Inclusion, 2024). Corak yang serupa dilihat di Filipina apabila satu tinjauan yang dilakukan mendapati minat yang tinggi terhadap perbankan Islam namun pemilikan akaun rendah dalam kalangan responden beragama Islam. Keadaan ini menunjukkan terdapatnya keperluan rangkuman yang tidak dipenuhi (Asian Development Bank Survey, 2024).
[3] Sumber: LSEG
[4] Maklumat lanjut mengenai Penghijauan Perniagaan Halal boleh didapati dalam bab “Menggalakkan Sistem Kewangan Islam yang Progresif dan Inklusif”.
[5] Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) bertujuan untuk menjadi sebuah platform kerjasama bagi mencetuskan idea, membangunkan dan mempercepat penyelesaian serta mekanisme inovatif dalam pembiayaan iklim yang dapat menggerakkan pembiayaan swasta dan awam untuk menyokong peralihan Malaysia ke arah sifar bersih. Selain itu, CFIL bertujuan untuk mengukuhkan daya tahan iklim negara serta memajukan tindakan yang berpaksikan pemuliharaan alam semula jadi.
[6] Anggota BSAS dari negara ASEAN terdiri daripada pelbagai institusi kewangan, termasuk bank-bank Islam sepenuhnya, jendela perbankan Islam dalam bank konvensional, institusi kewangan pembangunan serta syarikat pengurusan aset dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand. Nilai urus niaga ini tidak termasuk Malaysia. (Sumber: Bursa Malaysia)
[7] Berdasarkan data INCEIF University, Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) dan Association of Shariah Advisors in Islamic Finance Malaysia (ASAS).
[8] Butiran lanjut mengenai MIFC Business Network boleh didapati dalam bab “Menggalakkan Sistem Kewangan Islam yang Progresif dan Inklusif”.
[9] Dilancarkan semasa Global Islamic Finance Forum 2025, ASEAN Takaful Alliance komited untuk memupuk perkongsian ilmu dan meningkatkan keupayaan dalam kalangan pengendali takaful di ASEAN.
[10] Sebuah persidangan serantau tahunan yang menghimpunkan para sarjana Syariah, penasihat kewangan Islam, pengawal selia, ahli akademik dan pengamal industri dari seluruh rantau Nusantara (merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand). Persidangan ini berfungsi sebagai platform berimpak tinggi untuk pertukaran intelek, kerjasama serta perbincangan mengenai isu-isu Syariah kontemporari yang mempengaruhi kewangan Islam.