Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) merumuskan dasar monetari di Malaysia untuk mengekalkan kestabilan harga dan pada masa yang sama mengambil kira keadaan ekonomi dan kewangan yang lebih luas. Bermesyuarat enam kali setahun, MPC menilai prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk menetapkan Kadar Dasar Semalaman
Dasar Monetari pada Tahun 2025
Pengenalan Dasar Monetari
Dasar monetari[1] di Malaysia ditetapkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) menerusi kadar dasar utama bank pusat yang juga dikenali sebagai Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR). Perubahan dalam OPR mempengaruhi, antara lain, kadar pinjaman, pembiayaan dan deposit bank. Pelarasan kadar‑kadar ini menentukan sama ada kos pinjaman menjadi lebih mahal atau lebih murah, serta sejauh mana menariknya untuk menyimpan. Semua ini membentuk keputusan perbelanjaan dan simpanan isi rumah dan perniagaan. Seterusnya, perubahan dalam corak perbelanjaan dan simpanan ini mempengaruhi permintaan keseluruhan dan harga barangan serta perkhidmatan dalam ekonomi.

Ketika menetapkan OPR, MPC menilai keadaan ekonomi semasa serta hala tuju ekonomi. Matlamat utamanya adalah untuk memastikan inflasi kekal rendah dan stabil bagi menyokong pertumbuhan yang mampan. Jika kegiatan ekonomi dijangka perlahan, MPC mungkin menurunkan OPR untuk mengurangkan kos pinjaman dan menggalakkan perbelanjaan. Apabila harga meningkat terlalu cepat kerana permintaan lebih tinggi daripada penawaran, MPC mungkin menaikkan OPR untuk memperlahankan perbelanjaan dan memastikan inflasi kekal terkawal. (Lihat Gambar Rajah 1 sebagai ilustrasi).
Keadaan Ekonomi dan Kewangan Global
Dalam membuat keputusan dasar monetari, MPC terlebih dahulu mengambil kira perkembangan ekonomi global. Hal ini penting kerana Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, berkait rapat dengan negara-negara lain. Perkembangan luar negeri boleh memberikan kesan yang nyata kepada ekonomi Malaysia, daripada harga yang kita bayar hinggalah kepada cara kita berdagang.
Ekonomi global terus berkembang pada tahun 2025 meskipun persekitaran luaran sangat mencabar dan tidak menentu. Apabila Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif import yang lebih tinggi pada awal tahun 2025, aliran perdagangan global terjejas dan ketidaktentuan berhubung dasar serta prospek pertumbuhan ekonomi meningkat.[2] Namun begitu, perdagangan global secara relatif berdaya tahan sepanjang tahun. Syarikat-syarikat mempercepat penghantaran sebelum kenaikan tarif AS, manakala permintaan tinggi terhadap barangan teknologi berkaitan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI) memberikan rangsangan tambahan. Sepanjang perkembangan tahun tersebut, perjanjian perdagangan yang dimeterai antara AS dengan beberapa rakan perdagangan telah meredakan sebahagian daripada ketidaktentuan. Banyak kadar tarif akhir ditetapkan lebih rendah daripada jangkaan awal,[3] sekali gus mengurangkan tekanan terhadap perdagangan dan sentimen global. Di samping itu, perbelanjaan isi rumah, pelaburan serta sokongan dasar fiskal dan monetari di ekonomi-ekonomi utama turut menyokong pertumbuhan ekonomi global.
Inflasi global terus mereda sepanjang tahun 2025. Meskipun permintaan dan kegiatan ekonomi meningkat, kadar pertumbuhan tersebut tidak menimbulkan tekanan inflasi yang berlebihan. Pada masa yang sama, bekalan komoditi utama seperti minyak yang lebih tinggi menyumbang kepada penurunan harga. Keadaan ini seterusnya mengurangkan kos input[4] bagi pengeluar. Mata wang yang lebih kukuh berbanding dolar AS juga membantu mengekang inflasi di kebanyakan negara.
Harga global yang kekal stabil secara amnya membolehkan bank-bank pusat utama menurunkan kadar faedah, sekali gus menyokong pelonggaran lanjut dalam keadaan kewangan global yang semakin reda. Keredaan ini berterusan walaupun berlaku episod volatiliti dalam pasaran kewangan global akibat ketidakpastian mengenai perdagangan dan dasar monetari global yang memuncak pada bulan April selepas pentadbiran AS mengumumkan tarif timbal balik.[5] Namun demikian, sepanjang tahun tersebut, perjanjian perdagangan baharu dan prospek perdagangan global yang lebih jelas telah membantu memulihkan keyakinan pelabur. Dalam persekitaran ini, ekonomi sedang pesat membangun (emerging market economies, EME), termasuk Malaysia, mencatatkan aliran masuk modal dan pengukuhan mata wang berbanding dolar AS, khususnya pada separuh kedua tahun 2025.
Ekonomi Dalam Negeri
Ekonomi Malaysia mencatatkan prestasi yang baik pada tahun 2025 walaupun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar. Meskipun keadaan global membentuk persekitaran yang penting, tumpuan utama MPC dalam menentukan dasar monetari adalah pada prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.

Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia terdedah kepada perkembangan luaran. Oleh itu, MPC menilai sejauh mana perkembangan ini mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi dalam negeri. Sebahagian besar sektor luaran[6] kekal berdaya tahan sepanjang tahun 2025, dengan eksport disokong oleh prestasi kukuh sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta ketibaan pelancong yang tinggi.
Malaysia mempunyai struktur eksport yang pelbagai, dari segi rakan perdagangan dan segmen produk. Kepelbagaian ini membantu meredakan kesan peningkatan halangan perdagangan global dan penghantaran eksport ke AS yang lebih lemah. Meskipun aktiviti pembelian awal (frontloading) oleh pengimport AS berkurang pada separuh kedua tahun tersebut, eksport E&E tetap mendapat manfaat daripada permintaan global yang kukuh terhadap barangan teknologi berkaitan AI. Pada masa yang sama, peningkatan sambungan penerbangan, pengecualian visa kepada beberapa negara terpilih[7] dan inisiatif promosi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026[8] telah menarik lebih banyak pelancong ke Malaysia. Sehubungan dengan itu, Malaysia terus mencatatkan lebihan akaun semasa pada tahun 2025, dengan pendapatan eksport melebihi perbelanjaan import.
Dengan sektor luaran yang kekal berdaya tahan, permintaan dalam negeri[9] terus menjadi pemacu utama pertumbuhan. Peningkatan peluang pekerjaan, pertumbuhan gaji dan langkah berkaitan pendapatan sepanjang tahun telah membentuk corak perbelanjaan isi rumah. Langkah ini termasuk Semakan Gaji Penjawat Awam (SGPA) dan pindaan gaji minimum bagi sektor swasta, manakala pindahan tunai bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut memberikan sokongan tambahan.
Aktiviti pelaburan terus menjadi pemacu penting pertumbuhan Malaysia. Projek berbilang tahun oleh sektor awam dan swasta terus berjalan lancar, seiring dengan pelaksanaan inisiatif di bawah pelan induk nasional.[10] Kelulusan pelaburan kekal kukuh, mencerminkan keyakinan yang berterusan terhadap landskap pelaburan Malaysia. Banyak pelaburan yang diluluskan sebelum ini juga telah direalisasikan kepada aktiviti sebenar. Yang ketara, 84.9% projek pelaburan dalam sektor perkilangan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Malaysian Investment Development Authority, MIDA) antara tahun 2021 hingga 2025 telah maju ke pelbagai peringkat pelaksanaan.[11] Perbelanjaan kerajaan yang berterusan dan pelaburan modal strategik oleh syarikat awam turut menyokong pertumbuhan pelaburan awam. Secara keseluruhannya, faktor-faktor ini memperkukuh momentum pelaburan keseluruhan.
Inflasi Dalam Negeri
Dalam menilai inflasi, MPC mengambil kira inflasi keseluruhan (headline inflation) dan inflasi teras (core inflation). (Rujuk Gambar Rajah 3 untuk maklumat lanjut). Inflasi dalam negeri kekal terkawal sepanjang tahun 2025. Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 1.4% seiring dengan persekitaran kos global yang semakin reda. Walaupun pelarasan dasar dalam negeri, khususnya penstrukturan semula tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi RON95, pada awalnya dijangka menambah tekanan sementara ke atas inflasi, namun secara keseluruhan, kesannya bersifat disinflasi.[12] Perkembangan ini mencerminkan reka bentuk dan pelaksanaan dasar, iaitu kebanyakan isi rumah memperoleh kadar elektrik yang lebih rendah manakala rakyat Malaysia yang layak menikmati harga bahan api runcit yang lebih rendah, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meringankan kesan pelarasan tersebut ke atas isi rumah.

Sementara itu, inflasi teras kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjang 2%, disokong oleh permintaan dalam negeri yang mantap tanpa tekanan harga yang berlebihan. Secara keseluruhan, inflasi yang terkawal ini mewujudkan persekitaran yang stabil untuk orang ramai dan perniagaan dalam menjalankan kegiatan ekonomi tanpa perlu bimbang tentang perubahan harga yang ketara.
Perkembangan Dasar Monetari
MPC sentiasa memberikan tumpuan pada pertimbangan prospek masa hadapan ketika membuat keputusan dasar monetari. Hal ini kerana perubahan OPR tidak memberikan kesan serta-merta terhadap aktiviti ekonomi dan inflasi.[13] Pada tahun 2025, MPC mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75% pada bulan Julai sebagai langkah awalan.[14]
Walaupun ekonomi dalam negeri berada pada kedudukan yang kukuh pada ketika itu, perkembangan global menimbulkan risiko penurunan yang lebih besar terhadap prospek pertumbuhan Malaysia. Dengan bertindak awal, MPC berusaha memastikan sokongan dasar sudah tersedia sekiranya risiko ini menjadi kenyataan. Jika sebaliknya, kos langkah awalan adalah terhad memandangkan inflasi kekal terkawal.
Sepanjang baki tahun tersebut, ekonomi Malaysia terus disokong oleh perbelanjaan dan pelaburan yang stabil. Inflasi juga kekal rendah, didorong oleh keadaan kos global yang terkawal dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan. Dalam persekitaran ini, MPC mengekalkan OPR pada kadar sedia ada kerana pendirian semasa dinilai sebagai wajar dan menyokong ekonomi. Langkah awalan pengurangan OPR itu dijangka terus memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi keseluruhan pada tahun 2026.
Di samping keputusan dasar monetari, BNM telah mengurangkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement, SRR) daripada 2% kepada 1% pada bulan Mei. Langkah ini memberikan lebih fleksibiliti kepada bank-bank untuk menguruskan mudah tunai apabila berhadapan dengan volatiliti pasaran kewangan.[15] Sepanjang tahun itu, operasi monetari BNM tertumpu pada mengekalkan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem perbankan domestik bagi menyokong pengantaraan kewangan.
Kadar Pertukaran Ringgit
Malaysia mengamalkan rejim kadar pertukaran yang fleksibel.[16] Hal ini bermakna nilai ringgit ditentukan oleh penawaran dan permintaan terhadap mata wang negara, manakala pergerakan kadar pertukaran asing dipengaruhi oleh faktor global dan dalam negeri. Faktor global merangkumi dasar monetari dalam ekonomi-ekonomi utama serta perubahan harga komoditi. Faktor dalam negeri pula termasuk prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia serta sentimen pasaran secara keseluruhan.
Ringgit telah mengukuh pada separuh pertama tahun 2025. Pengukuhan nilai ini didorong oleh minat pelabur global terhadap aset ekonomi sedang pesat membangun (emerging market economies, EME) dalam keadaan ketidakpastian berkaitan perdagangan. Trend ini berterusan hingga separuh kedua tahun tersebut, disokong oleh dasar monetari global yang lebih longgar. Hal ini termasuk Federal Reserve AS yang mengurangkan kadar dasarnya sebanyak tiga kali sejak bulan September 2025.
Pelonggaran monetari global menyokong ringgit melalui dua cara. Pertama, apabila kadar faedah luar negeri jatuh, jurang antara kadar faedahnya dengan kadar faedah Malaysia menjadi semakin kecil. Oleh itu, pelabur asing memperoleh pulangan lebih rendah apabila memegang aset di negara masing-masing berbanding sebelum ini lantas menjadikan pelaburan dalam aset Malaysia lebih menarik. Kedua, keadaan kewangan global yang lebih longgar turut menyumbang kepada sentimen risiko yang bertambah baik. Keadaan ini menggalakkan pelabur untuk mencari pulangan yang lebih baik dalam pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia. Seiring peningkatan aliran masuk, permintaan terhadap ringgit juga meningkat, sekali gus menyokong nilai mata wang tersebut.
Selain faktor-faktor global ini, prestasi ringgit juga disokong oleh sentimen positif berhubung dengan prospek ekonomi Malaysia yang menggalakkan. Pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan berlatarkan kestabilan politik turut mengukuhkan lagi keyakinan pelabur. Perkembangan ini meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Menjelang penghujung tahun 2025, ringgit mencatatkan penambahan nilai terbesar dalam kalangan mata wang serantau berbanding dolar AS (Rajah 1).

Sepanjang tahun 2025, BNM menyokong kelancaran pasaran pertukaran asing melalui operasi mudah tunai dan mata wang asing. Melalui pembelian atau penjualan ringgit apabila perlu, matlamat BNM adalah untuk mengekalkan mudah tunai dua hala dalam pasaran, khususnya semasa tempoh tekanan. Langkah ini membantu meredakan tekanan terhadap mata wang dan memastikan pasaran terus beroperasi dengan lancar. Operasi seperti ini turut menghalang turun naik ringgit secara mendadak dan berlebihan yang boleh menjejaskan aktiviti seperti eksport dan pelaburan. Tambahan lagi, usaha terlaras Kerajaan dan BNM yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan penghantaran balik serta penukaran pendapatan asing secara lebih konsisten oleh syarikat dan pelabur terus menyokong aliran dua hala yang lebih seimbang dalam pasaran kewangan domestik, termasuk melalui program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (Qualified Resident Investor, QRI).[17]
Melalui inisiatif berterusan di bawah Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) serta sesi libat urus secara berkala dengan syarikat besar, BNM melaksanakan usaha untuk mengukuhkan lagi pasaran pertukaran asing sekali gus membolehkan bank dan perniagaan memenuhi keperluan pembiayaan serta pertukaran asing dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, BNM terus menggalakkan akses kepada instrumen lindung nilai[18] bagi membantu perniagaan menguruskan risiko pertukaran asing mereka dengan lebih berkesan.
Penyelidikan dan Analisis
BNM menjalankan kajian tentang perkembangan ekonomi jangka pendek dan panjang, dengan tujuan untuk memahami implikasinya terhadap ekonomi Malaysia. Hasil analisis ini menjadi rujukan penting dalam pertimbangan MPC dan memperkukuh usaha BNM dalam menyarankan dasar ekonomi yang lebih luas.
Berlatarkan tahap ketidakpastian yang tinggi pada tahun ini, kajian BNM menumpukan kepada menilai bagaimana perkembangan global dan langkah-langkah dasar dalam negeri boleh membentuk prospek ekonomi Malaysia. Penilaian ini bukan mudah kerana kejutan global kerap tersebar melalui banyak saluran yang saling berkait dan mempengaruhi pertumbuhan dan inflasi dalam pelbagai cara. Sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia amat peka terhadap kesan riak (ripple effects) sebegini.
Tumpuan penting pada tahun 2025 adalah kesan perkembangan berkaitan perdagangan, khususnya tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS. Analisis mendalam dilakukan untuk menilai cara tarif ini membentuk aliran perdagangan global, keputusan pelaburan serta tingkah laku perniagaan. Penilaian ini membolehkan MPC membezakan antara gangguan jangka pendek berkaitan perdagangan dengan kesan yang lebih berpanjangan terhadap pertumbuhan. Analisis yang teliti turut dijalankan terhadap keadaan pertumbuhan dalam negeri dan unjuran pertumbuhan Malaysia untuk tahun tersebut telah dikemas kini.[19]

BNM turut menjalankan kajian terhadap aspek ekonomi pelaburan pusat data, sejajar dengan kedudukan Malaysia yang kian berkembang sebagai hab pusat data serantau. Selain sumbangan langsung terhadap KDNK, kajian ini menunjukkan bahawa pusat data juga berpotensi menjana perolehan limpahan (spillover gains) di seluruh rantaian bekalan termasuk permintaan yang lebih tinggi terhadap pembinaan, utiliti, perkhidmatan profesional dan infrastruktur digital serta mencipta pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi. Manfaat ini hanya dapat direalisasikan jika dasar yang betul dilaksanakan untuk memperkukuh rantaian hadapan dan belakang serta pada masa yang sama menguruskan risiko utama.[20]
Perdagangan perkhidmatan digital semakin menjadi penyumbang penting kepada sektor luaran Malaysia. Keadaan ini mendorong BNM untuk menilai peranannya yang semakin berkembang, bersama-sama dengan peluang dan keutamaan dasar yang diperlukan untuk merungkaikan potensi ekonomi digital sepenuhnya. Kajian BNM menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk mengembangkan industri perkhidmatan digital. Faktor-faktor ini merangkumi infrastruktur ICT yang baik, dasar kerajaan yang menyokong, sektor teknologi yang memberangsangkan serta kumpulan tenaga mahir yang kompetitif. Namun begitu, lebih banyak usaha masih diperlukan untuk membentuk tahap pertumbuhan seterusnya. Kepentingan utama termasuk memberikan tumpuan pada industri bernilai tinggi dan kependaman (latency) rendah, memperkukuh ekosistem syarikat permulaan dan harta intelek Malaysia, di samping membangunkan kumpulan tenaga mahir digital yang lebih besar.[21]
BNM turut menilai daya tahan sektor luaran Malaysia dengan meneliti pertumbuhan dan komposisi hutang luar negeri jangka pendek. Kajian mendapati bahawa hutang luar negeri jangka pendek semakin meningkat, namun hal ini mencerminkan tahap integrasi Malaysia yang lebih tinggi dengan ekonomi global, disokong oleh penyertaan aktif bank dan syarikat swasta dalam aktiviti rentas sempadan seperti peminjaman antara bank serta kredit perdagangan. Yang penting, profil hutang adalah menggalakkan lantas membantu mengehadkan kelemahan yang berkaitan. Secara keseluruhan, sektor luaran Malaysia terus menjadi tonggak utama kekuatan ekonomi, lantas menyediakan penampan yang utuh terhadap kejutan luaran. Daya tahan ini disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta perlindungan dasar yang mantap.[22]
Satu lagi bidang kajian ialah memahami bagaimana perubahan dasar dalam negeri yang diperkenalkan sepanjang tahun memberikan kesan terhadap inflasi. Apabila disinflasi meluas berlaku dalam banyak ekonomi, BNM membangunkan rangka kerja dalaman bagi membezakan antara disinflasi dengan deflasi[23] (lihat Rajah 2 untuk ilustrasi). Rangka kerja ini memberikan panduan kepada MPC untuk bertindak dengan sewajarnya tanpa reaksi berlebihan terhadap perubahan harga jangka pendek. Secara keseluruhan, penilaian menunjukkan bahawa deflasi bukanlah risiko yang besar bagi Malaysia, mencerminkan keadaan permintaan yang kukuh, pasaran pekerja yang berdaya tahan serta prospek inflasi yang stabil dalam kalangan syarikat dan isi rumah.

Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali (Tun Ismail Ali Centre of Excellence, TIACOE) dalam Ekonomi Monetari dan Kewangan telah dilancarkan secara rasmi sebagai pusat kajian yang dibiayai BNM dan di bawah tadbir urus Asia School of Business (ASB).[24] TIACOE melengkapkan usaha penyelidikan dalaman BNM dengan menyediakan platform bagi felow dan afiliasi ASB, pegawai bank pusat, ahli akademik serta pelajar siswazah untuk menjalankan kajian dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan. Susulan penubuhannya pada bulan Ogos, geran penyelidikan diberikan kepada penerima yang mengendalikan projek berkaitan dasar monetari serta dinamik mudah tunai dalam Kewangan Islam.[25]
Selain kajian, BNM sebagai penasihat kewangan dan ekonomi kepada Kerajaan terus mengambil bahagian secara aktif dalam beberapa kumpulan dasar antara agensi yang menumpukan perhatian kepada keutamaan ekonomi Malaysia. Hal ini termasuk bidang seperti kos sara hidup, tenaga kerja, pembiayaan awam, pelaburan dan perlindungan sosial. Sebagai contoh, BNM memberikan input tentang reka bentuk dasar dan mekanisme untuk BUDI95 bagi membantu memastikan subsidi disalurkan kepada rakyat secara bersasar dan pada masa yang sama mengurangkan ketirisan.
Sepanjang sesi libat urus tersebut, nasihat dasar BNM terus berdasarkan pemahaman ekonomi yang mantap. BNM meneliti dengan rapi cara sesuatu dasar boleh mempengaruhi inflasi dan pertumbuhan dalam negeri, serta kehidupan seharian isi rumah dan perniagaan. Matlamat BNM kekal untuk memelihara kestabilan makroekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Komunikasi dan Jangkauan
Sepanjang tahun 2025, BNM terus aktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan utama, termasuk penganalisis, peserta pasaran kewangan, media dan rakyat Malaysia. Menerusi sesi libat urus ini, BNM menjelaskan keputusan dasar monetari serta perkembangan ekonomi utama seperti pertumbuhan, inflasi serta pergerakan ringgit. Usaha ini memperkukuh pemahaman tentang peranan BNM dan memastikan BNM responsif terhadap isu-isu penting dalam persekitaran global yang tidak menentu.
Pada tahun ini, BNM telah menambah baik cara komunikasi keputusan dasar monetari. Bagi meningkatkan ketelusan, BNM telah memperkenalkan siri temu bual media selepas MPC buat pertama kalinya dengan tujuan untuk memaklumkan orang ramai mengenai pertimbangan MPC di sebalik keputusan dasar serta keadaan global dan dalam negeri yang mempengaruhi keputusan tersebut. Bagi memperluas jangkauan dasar monetari, BNM terus memanfaatkan pelbagai saluran termasuk media sosial, temu bual media, ucapan, penerbitan, sidang media serta bengkel dan taklimat bersasar.[26]
Libat urus berkala diadakan dengan penganalisis selepas setiap mesyuarat MPC. Dalam sesi ini, BNM menjelaskan dengan lebih terperinci keputusan dasar serta penilaian yang menjadi asas keputusan tersebut. Sesi ini bersifat interaktif, membolehkan penganalisis mengemukakan soalan serta memberikan maklum balas kepada BNM. BNM turut menganjurkan bengkel dasar monetari untuk orang ramai dan media, yang memperdalam pemahaman tentang pendekatan dasar BNM serta menyediakan ruang perbincangan interaktif bagi menangani salah tanggapan serta jurang maklumat. Topik yang dibincangkan termasuk kaedah pengukuran inflasi, pemacu ringgit serta peranan dasar monetari dalam ekonomi.

Langkah Selanjutnya
Persekitaran global dijangka kekal tidak menentu dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi keadaan ekonomi dalam negeri. Namun begitu, ekonomi Malaysia diunjurkan masih berada pada landasan yang kukuh dan disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Inflasi dijangka kekal sederhana sekali gus menjadikan perubahan harga stabil dan mudah dijangka.
Menyedari bahawa perkembangan pada peringkat antarabangsa boleh mempengaruhi keadaan dalam negeri, MPC akan terus memantau trend global dengan teliti. Dalam menentukan hala tuju yang stabil, MPC akan kekal fokus, peka terhadap risiko baharu dan berwaspada terhadap faktor yang mungkin menjejaskan prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia. Yang paling penting, MPC terus komited untuk mengekalkan inflasi pada paras rendah dan stabil bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Nota
[1] Maklumat lanjut berkenaan dengan dasar monetari Malaysia dan MPC boleh didapati dalam bab “Tadbir Urus” laporan ini dan dalam bahagian “Kestabilan Monetari” menerusi laman sesawang BNM (/monetary-stability).
[2] Masalah ini bertambah serius berikutan kemungkinan tindak balas daripada ekonomi utama lain.
[3] Berdasarkan anggaran BNM, kadar tarif efektif (effective tariff rate, ETR) AS, yang mengambil kira kadar tarif timbal balik, kadar tarif produk dan pengecualian tarif, menurun kepada kira-kira 17.4% menjelang akhir tahun.
[4] Kos input merujuk perbelanjaan yang ditanggung oleh perniagaan atau pengeluar untuk mendapatkan sumber, bahan dan perkhidmatan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu produk atau menyediakan perkhidmatan.
[5] Ketidaktentuan berkaitan dasar monetari global dalam konteks ini mencerminkan terutamanya perubahan jangkaan terhadap hala tuju dasar Federal Reserve AS.
[6] Sektor luaran merujuk interaksi ekonomi sesebuah negara dengan seluruh dunia termasuk jual beli barangan dan perkhidmatan serta aliran pelaburan merentas sempadan.
[7] Skim kemasukan ke Malaysia tanpa visa untuk pelancong dari China dan India asalnya diperkenalkan pada bulan Disember 2023. Inisiatif ini, yang membenarkan mereka berada di Malaysia hingga 30 hari, telah dilanjutkan hingga 31 Disember 2026.
[8] Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada laman sesawang rasmi pelancongan Malaysia (https://www.malaysia.travel/page/visit-malaysia-2026).
[9] Permintaan dalam negeri merujuk jumlah perbelanjaan di dalam sesebuah negara oleh isi rumah, perniagaan dan kerajaan.
[10] Antaranya termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan, NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR).
[11] Sumber: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang MIDA (https://www.mida.gov.my/why-malaysia/mida-insights/).
[12] Kos elektrik menurun bagi kebanyakan isi rumah berikutan penstrukturan semula tarif yang memperkenalkan kadar domestik lebih rendah serta rebat di bawah Insentif Cekap Tenaga (Energy Efficiency Incentive). Pelaksanaan program BUDI95 secara berperingkat, khususnya pengenalan harga bersubsidi yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter bagi semua warganegara Malaysia yang layak, turut menyumbang kepada inflasi yang lebih rendah pada tahun itu.
[13] Di Malaysia, perubahan OPR hampir serta-merta dipindahkan kepada kadar pasaran dan kadar rujukan, termasuk Kadar Asas Standard (Standard Base Rate,SBR), Kadar Asas (Base Rate, BR) dan Kadar Pinjaman Asas (Based Lending Rate, BLR). Namun begitu, kesannya terhadap ekonomi secara keseluruhan mengambil masa lebih lama untuk dirasai kerana penggunaan isi rumah dan perniagaan serta keputusan pelaburan berubah secara beransur-ansur.
[14] Maklumat lanjut berkenaan dengan proses membuat keputusan dasar monetari Malaysia boleh didapati dalam bahagian “Kestabilan Monetari” menerusi laman sesawang BNM (/monetary-stability#mpdmp).
[15] Maklumat lanjut berkenaan SRR boleh didapati pada bahagian “Operasi Monetari” menerusi laman sesawang BNM (/statutory-reserve-requirement-srr-).
[16] Maklumat lanjut mengenai ringgit boleh didapati pada bahagian “Dasar Kadar Pertukaran Ringgit” menerusi laman sesawang BNM ((/monetary-stability/ringgit).
[17] Maklumat lanjut berkenaan program QRI boleh didapati pada bahagian “Dasar Pertukaran Asing” menerusi laman sesawang BNM. (/fep/flexibilities/qri).
[18] Pada bulan Disember 2016, BNM memperkenalkan program lindung nilai dinamik bagi membolehkan fleksibiliti yang lebih besar diberikan kepada pelabur institusi berdaftar untuk mengurus secara aktif dedahan pertukaran asing terhadap aset pelaburan mereka. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang Financial Market Investor Portal (FMIP): (https://financialmarkets.bnm.gov.my/frequently-asked-questions).
[19] Analisis lanjut boleh didapati dalam Rencana Buletin Suku Tahunan Suku Kedua 2025 BNM bertajuk “Unjuran Pertumbuhan yang Dikemas Kini: Daya Tahan Menghadapi Rintangan Global”.
[20] Analisis lanjut boleh didapati dalam Rencana Buletin Suku Tahunan BNM Suku Ketiga 2025 bertajuk “Daripada Bait kepada Ringgit: Analisis Ekonomi Pusat Data di Malaysia”.
[21] Analisis lanjut boleh didapati dalam Rencana Buletin Suku Tahunan BNM Suku Kedua 2025 bertajuk “Perdagangan Perkhidmatan Digital di Malaysia: Peluang dan Keutamaan Dasar”.
[22] Analisis lanjut boleh didapati dalam Rencana Buletin Suku Tahunan BNM Suku Ketiga 2025 bertajuk “Pemahaman Mengenai Pendorong Utama Hutang Luar Negeri Jangka Pendek Malaysia”.
[23] Perbincangan lanjut berkenaan dengan kos sara hidup dan sebab pengalaman isi rumah boleh berbeza daripada inflasi keseluruhan boleh didapati dalam Rencana dalam bab ini yang bertajuk “Di Sebalik Angka Rasmi: Inflasi dari Perspektif Isi Rumah”.
[24] Kerusi Tun Ismail Ali (Tun Ismail Ali Chair, TIAC) ditubuhkan di Universiti Malaya pada tahun 2000 bagi memperkukuh kecemerlangan akademik dalam bidang ekonomi monetari dan kewangan. TIAC diwujudkan sebagai penghormatan kepada Tun Ismail Ali, iaitu rakyat Malaysia pertama yang menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia dan merupakan Gabenor yang paling lama berkhidmat. Dengan peredaran masa, inisiatif ini telah berkembang menjadi Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali, kini berada di bawah pengawasan Asia School of Business.
[25] Maklumat lanjut mengenai geran kajian ini boleh diperoleh melalui laman sesawang Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali dalam Monetari dan Ekonomi Kewangan, Asia School of Business: (https://asb.edu.my/research-office/tun-ismail-ali-coe).
[26] Maklumat lanjut mengenai libat urus BNM dengan orang ramai sepanjang tahun 2025 boleh didapati dalam bab “Menyantuni Rakyat Malaysia” dalam Laporan Tahunan ini.