Sebagai pengeluar tunggal mata wang Malaysia, mandat BNM adalah untuk memastikan wang kertas ringgit dan duit syiling boleh dipercayai, boleh diakses dan diyakini. BNM juga memastikan bekalan mata wang dalam edaran (currency in circulation, CIC) adalah mencukupi dengan wang kertas dan duit syiling yang tulen serta berkualiti tinggi.
Mata Wang dalam Edaran

Permintaan terhadap wang tunai masih kekal walaupun momentum pembayaran digital semakin meningkat (Rajah 1). Fenomena ini bukanlah sesuatu yang unik kepada Malaysia dan terdapat beberapa faktor yang menyokong trend ini. Bagi banyak pihak, wang tunai mudah untuk digunakan dan berfungsi meskipun semasa sistem digital terganggu atau apabila capaian rangkaian terhad seperti ketika berlakunya bencana alam. Dalam keadaan sebegini, keupayaan untuk terus melakukan transaksi mengekalkan keyakinan terhadap sistem kewangan dan mengurangkan tekanan terhadap ekonomi. Wang tunai membolehkan penduduk di kawasan luar bandar serta mereka yang tidak mempunyai akaun bank untuk menyertai kegiatan ekonomi. Atas sebab-sebab ini, pengurusan mata wang yang teguh merupakan keutamaan strategik bagi BNM. Perkara ini merupakan teras untuk memelihara kestabilan dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan Malaysia.
Memastikan Daya Tahan Operasi
Usaha memastikan ketersediaan wang tunai pada setiap masa memerlukan rangka kerja operasi mata wang yang mantap dan diselaraskan dengan baik. BNM mencapai matlamat ini dengan mengekalkan paras stok yang mencukupi serta berusaha untuk memproses dan mengagihkan wang kertas secara cekap.
Semua pemprosesan wang kertas di Semenanjung Malaysia kini dilaksanakan di Automated Cash Centre (ACC) BNM. Peralihan kepada pemusatan semua aktiviti pemprosesan di sebuah fasiliti yang dibina khas telah membolehkan BNM meningkatkan kecekapan, menambah baik kawalan risiko dan memanfaatkan automasi. Langkah ini seterusnya meminimumkan gangguan dalam pemprosesan dan pengagihan wang kertas di seluruh negara.
Pada tahun 2025, BNM telah memproses sebanyak 1.7 bilion wang kertas (2024: 2.5 bilion) dengan 86% daripadanya dikendalikan oleh ACC (2024: 69%). Baki daripada jumlah ini disokong oleh aktiviti operasi mata wang yang dikendalikan oleh pejabat wilayah BNM di Sabah dan Sarawak.[1] Daya tahan operasi mata wang dikukuhkan lagi oleh peserta industri wang tunai yang lebih luas. Sebagai contoh, Pemproses Mata Wang Berdaftar (Registered Currency Processors, RCP)[2] terus mengambil peranan yang lebih besar dalam menyokong aktiviti pemprosesan harian seperti pengumpulan, pengisihan dan pembungkusan mata wang. RCP melengkapi operasi berpusat BNM dan memastikan wang kertas diagihkan tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan orang ramai.
Pengedaran Semula Wang Kertas dan Duit Syiling
Edaran semula wang kertas dan duit syiling merupakan komponen penting dalam ekosistem wang tunai yang lestari. Dengan menggunakan semula wang kertas yang sesuai untuk edaran (fit banknotes) serta memastikan duit syiling beredar semula dalam ekonomi, BNM dapat mengurangkan pembaziran, menurunkan keperluan pengeluaran baharu dan menyokong ekosistem mata wang yang lebih berkitar.
Pada tahun 2025, BNM mengeluarkan sebanyak 1.9 bilion wang kertas, dan wang kertas yang sesuai untuk edaran merangkumi 67% daripada jumlah ini (2024: 66%). Trend yang stabil ini mencerminkan usaha berterusan BNM untuk menerapkan pertimbangan kelestarian dalam operasi pengurusan mata wangnya.
Sebaliknya, duit syiling memainkan peranan yang khusus dalam menyokong transaksi harian, terutamanya transaksi runcit dengan nilai yang tepat dan rendah. Namun begitu, duit syiling sering dibiarkan dan disimpan oleh isi rumah dan perniagaan. Perkara ini mewujudkan ketidakcekapan dan menyebabkan duit syiling dikeluarkan melebihi keperluan sebenar. Pada tahun 2025, BNM telah merangka strategi edaran semula (Gambar Rajah 1) bagi menangani isu ini serta memperluas peranan Ejen Duit Syiling yang dilantik oleh BNM. Selain mengagihkan duit syiling daripada Pusat Syiling Malaysia (Malaysia Mint, MyMint), Ejen Duit Syiling kini turut memproses dan mengagihkan semula duit syiling yang dikumpulkan daripada institusi kewangan serta peruncit (Gambar Rajah 2). Kesemua usaha ini telah mula membuahkan hasil. Setakat akhir bulan Disember 2025, inisiatif edaran semula duit syiling mencakupi 31% daripada jumlah pengeluaran duit syiling (2024: 18%), dengan 169.1 juta duit syiling disalurkan semula melalui institusi kewangan dan Ejen Duit Syiling.


BNM akan terus memperluas inisiatif pengumpulan duit syiling bagi meningkatkan kecekapan dan kebolehcapaian di seluruh negara. Usaha ini merangkumi kerjasama yang lebih baik dengan institusi kewangan dan perniagaan supaya duit syiling dikembalikan dalam edaran tepat pada masanya, serta menambah bilangan lokasi deposit duit syiling.
Penyelesaian Canggih ke arah Ekosistem Mata Wang yang Lestari
BNM terus meneroka kaedah inovatif untuk mengurangkan sisa dan memanfaatkan semula bahan untuk tujuan lain. Pada masa ini, BNM melupuskan sisa wang kertas yang dirincih (kertas dan polimer) melalui kemudahan Sisa kepada Tenaga (Waste-to-Energy, WTE). Kaedah ini menukarkan sisa wang kertas yang dirincih kepada bahan pembakaran yang kemudiannya digunakan dalam penjanaan tenaga elektrik. Pada tahun ini, lebih 506 juta keping wang kertas telah dilupuskan melalui kaedah WTE, sekali gus menjana lebih 362 MWj tenaga yang cukup untuk membekalkan elektrik kepada 452 buah rumah selama sebulan.


Pada tahun 2025, BNM merupakan antara bank pusat terawal dalam kalangan rakan serantau dan global yang melaksanakan pembuktian konsep (proof-of-concept) untuk mengitar semula wang kertas Malaysia yang dirincih (Gambar Rajah 3). Usaha ini berlandaskan kejayaan BNM pada tahun 2024[3] dalam mengitar semula sisa wang kertas polimer untuk menghasilkan perabot.
BNM telah bekerjasama dengan sebuah syarikat kitar semula tempatan dalam melaksanakan ujian rintis untuk memanfaatkan semula sisa wang kertas berasaskan kapas. Proses ini rumit kerana melibatkan saiz wang kertas dirincih yang kecil, kewujudan ciri keselamatan pada wang kertas serta tahap penyerapan yang lebih rendah berbanding kertas daripada pulpa kayu tradisional. Kini, sisa wang kertas boleh dijadikan sumber bahan mentah alternatif bagi penghasilan produk berasaskan kertas yang berkualiti seperti buku nota, kertas seni dan sampul duit. BNM akan terus meneroka penyelesaian yang boleh diperluas bersama-sama rakan industri strategik untuk menerapkan amalan kelestarian sebegini merentas keseluruhan ekosistem mata wang.
Integriti Mata Wang Malaysia

Mata wang perlu tulen dan selamat kerana keyakinan terhadap wang merupakan asas kepada keyakinan terhadap sistem kewangan dan ekonomi. Mata wang palsu boleh menjejaskan transaksi pembayaran serta menghakis kepercayaan orang ramai. Perkara ini memerlukan BNM untuk memantau aktiviti pemalsuan mata wang di Malaysia secara aktif supaya sentiasa bersedia mendepani ancaman yang semakin berkembang.
Kadar pemalsuan mata wang di Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara yang ditanda aras[4] dan menurun daripada 1.7 bahagian bagi setiap juta keping (parts per million, ppm) pada tahun 2024 kepada 1.2 ppm pada tahun 2025 (Rajah 2). Penurunan ini mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh dengan Polis Diraja Malaysia, termasuk usaha membanteras mata wang palsu sebelum memasuki edaran. Usaha ini turut merangkumi perkongsian maklumat secara tepat pada masanya, pelarasan strategik untuk melancarkan siasatan dan pelaksanaan langkah yang berkesan bagi mencegah aktiviti pemalsuan mata wang.
Memperkukuh Kerjasama Serantau dalam Pengurusan Mata Wang
Kerjasama serantau memainkan peranan yang semakin penting memandangkan bank-bank pusat menghadapi cabaran yang sama seperti gangguan teknologi yang pantas, perubahan trend penggunaan wang tunai serta keperluan terhadap pengurusan mata wang yang lebih kukuh dan didorong data. Setakat ini, BNM telah bekerjasama dengan rakan sejawat serantau untuk mewujudkan platform kerjasama yang berstruktur dan berterusan. Usaha ini diterajui oleh Komuniti Pengamal (Community of Practice, CoP) yang ditubuhkan susulan Regional Currency Directors’ Forum yang julung-julung kali diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Disember 2025.


Dirangka sebagai platform khusus untuk bank pusat dan pihak berkuasa monetari di Asia Tenggara,[5] Forum ini merupakan langkah pertama ke arah kerjasama yang lebih erat dan berinstitusi dalam hal ehwal berkaitan mata wang. Forum ini juga memupuk kerjasama strategik dan teknikal di seluruh Asia Tenggara, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh pengurusan mata wang pada peringkat serantau untuk jangka panjang.

Berteraskan prinsip berhubung, berkomunikasi dan bekerjasama, Forum ini menghimpunkan wakil-wakil untuk saling bertukar pandangan, berkongsi pengetahuan tentang operasi serta meneroka peluang untuk mengadakan inisiatif bersama pada masa hadapan (Gambar Rajah 4).
Para peserta berkongsi pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk menangani cabaran yang sama, daripada mengukuhkan daya tahan mata wang kepada mengemudi perubahan tingkah laku pembayaran pengguna. Bidang bagi usaha kerjasama pada masa hadapan merangkumi automasi, pengurusan pemalsuan mata wang, kelestarian operasi dan teknologi terkini.
Semasa lawatan teknikal ke MyMint dan ACC, para delegasi berpeluang menanda aras keupayaan automasi berteknologi tinggi BNM serta memerhatikan aliran kerja pemprosesan mata wang secara menyeluruh. Kesemua lawatan ini mengukuhkan nilai kerjasama dengan cara menterjemahkan ilmu pengetahuan yang dikongsi semasa sesi perbincangan kepada pemahaman operasi yang sebenar.
Jangkauan Strategik Melalui Program Pendidikan Mata Wang
Meningkatkan pemahaman orang ramai tentang mata wang Malaysia merupakan bahagian penting dalam usaha untuk mengukuhkan keyakinan terhadap wang tunai. Pada tahun 2025, BNM terus memperkukuh pengetahuan tentang mata wang menerusi program Latihan Pengajar Mata Wang (Currency Master Trainer) dan Kenali Wang Anda (Know Your Currency) di seluruh Malaysia. Usaha ini bukan sekadar melibatkan institusi kewangan dan RCP, malah merangkumi agensi kerajaan dan organisasi perniagaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dewan perniagaan dan institusi akademik. Program yang disertai oleh kira-kira 700 peserta di seluruh negara ini memberi peserta pengetahuan tentang kualiti dan kaedah pengesahan ketulenan serta perbincangan tentang dasar BNM.
Bagi melengkapkan libat urus dengan industri, BNM turut mempergiat usaha pendidikan mata wang kepada orang ramai melalui Karnival Celik Kewangan (KCK) di Pulau Pinang dan Tawau. Inisiatif ini memberikan tumpuan kepada membantu orang ramai mengenal pasti wang kertas dan duit syiling yang tulen, mengendalikan mata wang dengan betul serta memahami kepentingan pengedaran semula duit syiling. BNM turut memperkukuh usaha pendidikannya melalui kempen media sosial yang menampilkan kandungan tentang penjagaan dan pengedaran semula mata wang. Semua usaha ini bertujuan untuk memastikan orang awam dan peserta industri mendapat maklumat yang mencukupi serta selaras dengan matlamat BNM untuk mewujudkan sistem pembayaran yang selamat dan cekap.


Aktiviti Numismatik
Mata wang bukan sekadar medium pertukaran. Mata wang turut mencerminkan budaya, sejarah dan identiti negara. Duit syiling peringatan berperanan untuk melambangkan peristiwa penting negara dan identiti yang dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia. Melalui reka bentuk dan simbol, duit syiling peringatan memelihara pelbagai peristiwa untuk generasi akan datang di samping mengukuhkan lagi peranan mata wang dari segi fungsi dan budaya.

Pada tahun 2025, BNM mengeluarkan dua duit syiling peringatan edisi terhad bagi memperingati peristiwa penting negara dan pencapaian pada peringkat serantau. Duit syiling peringatan ini dikeluarkan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan sambutan Ulang Tahun ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia.
Langkah Selanjutnya
BNM komited untuk memelihara ketersediaan, integriti dan kualiti mata wang Malaysia, serta pada masa yang sama memacu kelestarian dan inovasi. Seiring dengan perkembangan landskap mata wang, BNM akan terus menambah baik dasarnya bagi menggalakkan lebih banyak penglibatan peserta industri dalam operasi agihan runcit dan edaran semula mata wang. Pada masa yang sama, BNM akan memperkukuh usaha penguatkuasaan di bawah Akta Mata Wang 2020 untuk memelihara keyakinan orang ramai terhadap mata wang Malaysia. Kesemua usaha ini secara kolektif akan memastikan ekosistem mata wang Malaysia kekal selamat, lestari dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Nota
[1] Baki 14% diproses oleh Pejabat Wilayah BNM Kota Kinabalu dan Pejabat Wilayah BNM Kuching.
[2] Pemproses Mata Wang Berdaftar ialah entiti perniagaan yang menjalankan perniagaan pemprosesan mata wang untuk institusi kewangan.
[3] Untuk maklumat lanjut mengenai pembuktian konsep oleh BNM untuk mengitar semula wang kertas polimer, rujuk Laporan Tahunan BNM 2024 melalui (/documents/20124/17493532/ar2024_bm_book.pdf/).
[4] Kadar pemalsuan di negara yang ditanda aras adalah antara 3 hingga 20 ppm. (Sumber: Laman sesawang dan laporan tahunan bank pusat masing-masing).
[5] Forum ini dihadiri oleh delegasi daripada Brunei Darussalam Central Bank, National Bank of Cambodia, Bank Indonesia, Bank of the Lao P.D.R, Central Bank of Myanmar, Bangko Sentral ng Pilipinas, Bank of Thailand dan Banco Central de Timor Leste.