BNM kekal komited dalam memastikan transaksi pembayaran dan pengiriman wang dilaksanakan secara selamat, diyakini dan dengan kos yang berpatutan.
Menjadikan Perkhidmatan Pembayaran dan Perkhidmatan Wang[1] Selamat, Cekap dan Diyakini untuk Semua
Pada tahun 2025, Bank Negara Malaysia (BNM) terus memberikan tumpuan terhadap usaha menjadikan perkhidmatan pembayaran yang selamat, cekap dan diyakini untuk semua. Usaha ini tertumpu pada tiga aspek:
- Memperluas pembayaran elektronik (e-pembayaran) supaya transaksi lebih mudah dan inklusif, di samping mengekalkan keyakinan pengguna.
- Memperkukuh infrastruktur dan pengaturan pengawasan di samping memastikan sistem pembayaran kekal berdaya tahan dan pengawalseliaan yang relevan seiring dengan perkembangan ekosistem.
- Meneroka teknologi baharu bagi memperteguh kesiapsiagaan ekosistem pembayaran Malaysia untuk masa hadapan, supaya pengguna dan perniagaan dapat menjalankan urus niaga dengan cara yang selamat dan cekap.
Mengekalkan Pertumbuhan Pendigitalan Perkhidmatan Pembayaran dan Wang
Transaksi e-pembayaran meningkat sebanyak 25% kepada 18.4 bilion (2024: 14.7 bilion) pada tahun 2025, susulan lebih banyak orang memilih cara pembayaran yang pantas, mudah dan selamat untuk transaksi harian.
Secara purata, setiap rakyat Malaysia telah membuat 538 e-pembayaran pada tahun 2025, peningkatan sebanyak 25% daripada 432 pada tahun 2024[2] (Gambar Rajah 1). Antara tahun 2022 hingga 2025, transaksi e-pembayaran meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (compounded annual growth rate, CAGR) sebanyak 17%. Oleh yang demikian, Malaysia secara konsisten telah melepasi sasaran Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 iaitu sekurang-kurangnya 15% CAGR bagi purata transaksi e-pembayaran per kapita. Pertumbuhan pada tahun 2025 disokong oleh aktiviti penggunaan yang berterusan. Hal ini terbukti melalui peningkatan transaksi e-pembayaran runcit[3] sebanyak 19%, kepada RM831 bilion pada tahun tersebut (2024: RM698.2 bilion).

Lebih banyak perniagaan, terutamanya yang berskala kecil, beralih kepada penggunaan e-pembayaran, sekali gus memperluas penggunaannya merentas ekonomi. Perkembangan penting merangkumi:
- Penggunaan wang elektronik (e-wang) yang lebih meluas. Purata saiz transaksi e-wang yang lebih tinggi iaitu RM43 (2024: RM33) mencerminkan tahap keyakinan pengguna yang semakin meningkat, bukan sahaja untuk perbelanjaan harian seperti pengangkutan, makanan dan minuman, bahkan untuk pembayaran bernilai lebih tinggi. Perbelanjaan ini termasuk pembayaran untuk perkhidmatan kewangan seperti pembiayaan mikro, pelaburan dana pasaran wang dan insurans/takaful mikro.
- Pertumbuhan perbankan dalam talian yang berterusan. Sebagai saluran perbankan dalam talian yang paling digemari dengan bahagian pasaran sebanyak 64%, penggunaan perbankan mudah alih terus mengatasi perbankan Internet berikutan tahap penembusan telefon pintar yang tinggi, yang membolehkan transaksi dijalankan dengan lancar dan pada bila-bila masa. Bilangan pengguna aktif perbankan mudah alih meningkat sebanyak 8.7% kepada 25 juta, manakala pengguna aktif perbankan Internet menurun sebanyak 3.1% kepada 21 juta berbanding tahun 2024.
- Penggunaan kad yang berterusan. Pembayaran kad kekal sebagai instrumen pembayaran yang penting dan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh. Walaupun pertumbuhan transaksi kad debit meningkat hampir dua kali kadar transaksi kad kredit (20.5% berbanding 10.9%), purata nilai transaksi kad debit menurun sebanyak 11.5% (2025: RM69; 2024: RM78). Hal ini menunjukkan penerimaan kad debit yang lebih meluas untuk pembelian harian bernilai rendah berbanding penggunaan tunai dan saluran pembayaran lain. Pembayaran tanpa sentuh juga terus mendapat sambutan dengan peningkatan sebanyak 20.3% (2025: 2 bilion transaksi; 2024: 1.7 bilion transaksi), didorong oleh kemudahan dan kepantasan penggunaannya.
Peningkatan penggunaan e-pembayaran domestik turut dipacu oleh penggunaan pembayaran QR yang semakin meluas dalam transaksi harian. Jumlah transaksi DuitNow QR[4] melonjak sekali ganda kepada tiga bilion pada tahun 2025 (2024: 1.5 bilion), didorong oleh penggunaannya yang mudah serta penerimaan yang meluas dalam kalangan peniaga. Sehingga akhir tahun 2025, terdapat hampir tiga juta tempat penerimaan DuitNow QR berdaftar di seluruh Malaysia (2024: 2.6 juta). Sebahagian besar terdiri daripada perniagaan kecil yang turut mendapat manfaat daripada kos penerimaan DuitNow QR yang lebih rendah. Selain mengurangkan kos operasi perniagaan, pembayaran QR turut memperluas akses digital kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan, di samping menyediakan pengalaman pembayaran yang lancar kepada pengguna.[5]
Dengan penggunaan e-pembayaran yang semakin meluas, penggunaan cek terus menurun, termasuk dalam kalangan perniagaan kecil. Pada tahun 2025, hanya 31.4 juta cek telah dikeluarkan, 21.3% lebih rendah berbanding 40 juta cek yang dikeluarkan pada tahun 2024.
Kini, permintaan terhadap pengalaman pembayaran yang semudah pembayaran domestik bagi pembelian barangan di luar negara atau penerimaan wang dari luar negara semakin meningkat. Perkembangan ini dapat dilihat melalui peningkatan transaksi e‑pembayaran rentas sempadan menerusi jalinan pembayaran oleh institusi perbankan dan bukan bank (Gambar Rajah 2). Trend ini turut disokong oleh pertambahan bilangan penyedia perkhidmatan pembayaran rentas sempadan, di samping usaha promosi[6] yang semakin giat bagi mempertingkatkan tahap pemahaman pengguna terhadap perkhidmatan ini. Keadaan ini seterusnya memudahkan perdagangan rentas sempadan termasuk untuk perniagaan kecil.

Pendigitalan juga menjadi pemacu pertumbuhan dalam segmen perniagaan perkhidmatan wang.
- Perkhidmatan digital terus menjadi pemacu pertumbuhan kukuh dalam segmen pengiriman wang. Perkhidmatan kiriman wang elektronik (e-kiriman wang) oleh penyedia perkhidmatan kiriman wang berlesen melonjak sebanyak 70.1% mencecah RM31.6 bilion pada tahun 2025. Jumlah ini merangkumi 51.8% daripada kiriman wang ke luar negara. Bangladesh, Indonesia dan Myanmar merupakan koridor penerima utama kiriman wang sejajar dengan bilangan pekerja migran yang banyak dari negara-negara berkenaan.
- Perkhidmatan pengurupan wang disokong oleh penyelesaian digital. Meskipun pertumbuhan keseluruhan adalah negatif, transaksi pertukaran mata wang yang dijalankan oleh pengurup mata wang bukan bank secara digital, meningkat sebanyak 29.1% kepada RM7.6 bilion (2024: RM5.9 bilion). Hal ini disebabkan oleh peningkatan penawaran penyelesaian digital, termasuk melalui penerimaan e-pembayaran dan kad prabayar pelbagai mata wang.
Keutamaan pada Tahun 2025
Usaha BNM pada tahun 2025 tertumpu kepada tiga tema – meluaskan, memelihara dan memperteguh ekosistem pembayaran Malaysia untuk persediaan masa hadapan (Gambar Rajah 3).

Meluaskan Jangkauan E-Pembayaran untuk Ekonomi yang Lebih Inklusif
Mengimbangi inovasi agar lebih inklusif dan mampu milik
E-pembayaran menyokong penyertaan perniagaan yang lebih meluas merentasi pelbagai sektor ekonomi. Bagi perusahaan kecil khususnya, kitaran penyelesaian yang lebih pantas dan kos penerimaan yang lebih rendah membantu pengurusan aliran tunai. Sementara itu, pengendalian tunai yang lebih rendah mengurangkan risiko operasi dan keselamatan.
Bagi menjadikan perkhidmatan ini lebih mudah diakses, BNM telah mengemas kini rangka kerja fi pertukaran (interchange fee, IF)[7] untuk kad debit pada tahun 2025. IF merupakan komponen utama dalam kadar diskaun peniaga (merchant discount rate, MDR) dan merupakan faktor kos yang penting bagi perniagaan ketika memutuskan sama ada untuk menerima pembayaran digital menggunakan dompet mudah alih.[8] Menerusi rangka kerja yang ditambah baik ini, perniagaan boleh menerima pembayaran sedemikian pada kos yang lebih rendah. BNM juga mewajibkan pengeluar kad untuk menyediakan pilihan rangkaian kos terendah bagi kad debit pelbagai rangkaian (co-badged debit card), termasuk apabila digunakan melalui dompet mudah alih. Langkah-langkah ini secara keseluruhannya memberi perniagaan lebih fleksibiliti untuk memproses transaksi melalui rangkaian pembayaran pilihan mereka, sekali gus mengelakkan peniaga daripada terikat kepada kaedah pembayaran yang berkos tinggi. Bagi pengguna pula, mereka kini mempunyai lebih banyak pilihan pembayaran, termasuk melalui dompet mudah alih yang lebih mesra pengguna.
Di samping itu, Kerajaan mengecualikan cukai perkhidmatan ke atas fi dan komisen bagi perkhidmatan perbankan asas, termasuk pemindahan wang melalui DuitNow dan pengeluaran kad pembayaran. Pengecualian ini membolehkan institusi kewangan menguruskan kos transaksi dengan lebih baik, serta memastikan pembayaran digital kekal mampu milik untuk pengguna serta perniagaan.
Secara kolektif, inisiatif ini menggalakkan rangkuman dan membantu mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital moden yang kurang bergantung pada wang tunai.
Pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah dan mudah diakses

Pembayaran digital rentas sempadan telah menjadi semakin lazim bagi kebanyakan rakyat Malaysia, sama ada untuk melancong, membeli-belah atau urusan perniagaan. Oleh itu, pada tahun 2025, BNM telah mempergiat usaha serantau untuk meningkatkan akses dan kepantasan pembayaran rentas sempadan serta menjadikannya lebih mampu milik, sejajar dengan kepengerusian ASEAN Malaysia[9] dan peranan BNM sebagai pengerusi bersama[10] untuk ASEAN Working Committee on Payment and Settlement Systems (WC-PSS). Hasil Keutamaan Ekonomi (Priority Economic Deliverables, PED) (Gambar Rajah 4) yang diterajui oleh BNM berusaha menjadikan pembayaran merentasi rantau ASEAN selancar transaksi domestik. Inisiatif ini juga bertujuan untuk mengurangkan kos dan kelewatan yang sering dikaitkan dengan pembayaran rentas sempadan. Pada masa ini, terdapat 29 jalinan pembayaran masa nyata yang beroperasi di rantau ini (Gambar Rajah 5), mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap pilihan pembayaran rentas sempadan yang lebih mudah.

Pada tahun 2025, fasa 2 jalinan pembayaran Malaysia–Kemboja telah mula beroperasi, berasaskan sistem domestik sedia ada yang berdaya tahan dan selamat. Rakyat Malaysia kini boleh membayar peniaga Kemboja dengan hanya mengimbas KHQR[11] menggunakan aplikasi perbankan Malaysia. Fasa ini melengkapi Fasa 1, yang telah dilancarkan pada bulan September 2024, membolehkan pelawat dari Kemboja menggunakan Bakong[12] atau aplikasi perbankan Kemboja tertentu untuk mengimbas DuitNow QR di Malaysia. Perbelanjaan di luar negara kini menjadi lebih mudah untuk pelancong, memandangkan keupayaan membuat pembayaran QR di lebih tujuh juta perniagaan merentas kedua-dua negara. Perniagaan, terutamanya peniaga kecil, turut memperoleh manfaat daripada peningkatan jumlah pelanggan yang mampu melaksanakan transaksi melalui saluran pembayaran QR yang mudah dan berkos rendah.

Berpaksikan pengalaman dan manfaat yang diperoleh daripada jalinan sistem pembayaran segera (instant payment system, IPS) secara dua hala, negara-negara serantau kini bekerjasama untuk membangunkan satu platform global melalui Projek Nexus. Nexus bermatlamat untuk menghubungkan IPS dari India, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand melalui satu sambungan tunggal, sekali gus mewujudkan rangkaian merentasi rangkaian (network of networks) untuk pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas dan berpatutan. Pendekatan ini memudahkan peluasan ke negara lain dan mengurangkan kos integrasi untuk IPS serta penyedia perkhidmatan pembayaran. Pada tahun 2025, Nexus Global Payments (NGP) telah ditubuhkan sebagai pemilik skim untuk mentadbir platform Nexus serta membuat persiapan ke arah pelaksanaan operasinya. Tahap kesediaan industri juga terus dibina melalui libat urus yang diterajui oleh BNM dan PayNet yang merupakan pengendali IPS Malaysia, iaitu Platform Pembayaran Runcit Masa Nyata (Real-time Retail Payments Platform, RPP).[13] Libat urus ini termasuk mengumpulkan maklum balas mengenai peraturan skim dan pengaturan komersial yang dicadangkan.
Bagi memastikan pengguna menikmati pengalaman yang konsisten dan lancar, lebih banyak institusi kewangan yang menyertai RPP akan dapat menyokong pembayaran rentas sempadan melalui jalinan dua hala sedia ada dan penyertaan dalam Nexus. Pendekatan ini akan meluaskan akses pengguna kepada pilihan pembayaran serantau dan menyokong keutamaan ekonomi Malaysia yang lebih luas dengan memudahkan urus niaga rentas sempadan bagi individu, perniagaan dan pengembara.
Memelihara Keyakinan Orang Ramai Terhadap Penggunaan Perkhidmatan Pembayaran
Seiring dengan peningkatan penggunaan pembayaran digital di Malaysia, langkah perlindungan yang mantap adalah penting untuk perkhidmatan kekal diyakini. Langkah-langkah perlindungan juga berfungsi untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai dan melindungi pengguna daripada penipuan digital dalam ekosistem pembayaran. Pada tahun 2025, usaha tertumpu pada mengekalkan tahap ketersediaan perkhidmatan yang tinggi, memperkukuh keselamatan menghadapi penipuan dan memastikan layanan yang adil terhadap mangsa penipuan.
Penyeliaan berterusan terhadap perkhidmatan pembayaran
Sepanjang tahun 2025, RENTAS dan platform pembayaran runcit utama mengekalkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi. Hal ini memastikan perkhidmatan pembayaran berfungsi dengan baik apabila orang ramai dan perniagaan memerlukannya. Dalam kes terpencil yang melibatkan gangguan perkhidmatan, langkah-langkah seperti peralihan ke lokasi sandaran (back-up sites) tepat pada masanya serta pemulihan sistem telah dilaksanakan dengan pantas bagi menyelesaikan keadaan tersebut dan mengelakkan kejadian berulang. BNM juga telah menjalankan semakan penyeliaan terhadap RPP untuk mengenal pasti penambahbaikan lanjut sistem dan operasi bagi memelihara daya tahan, kebolehpercayaan dan keselamatan.
Bagi memperkukuh integriti sistem, BNM juga telah menjalankan semakan bersasar terhadap keberkesanan kawalan penipuan, pengurusan risiko teknologi maklumat dan keselamatan siber. Tindakan penguatkuasaan[14] kemudiannya diambil untuk menangani kelemahan ketara yang ditemui. Langkah-langkah ini membawa kepada peningkatan tahap kecekapan dan pematuhan yang lebih baik, serta pengurangan risiko operasi dalam kalangan pengendali sistem pembayaran dan penyedia perkhidmatan. Dengan risiko kegagalan pembayaran yang lebih rendah bagi pelanggan, perniagaan semakin kurang berdepan gangguan semasa proses pembayaran, sekali gus mendapat manfaat daripada penyelesaian dana yang lebih cekap BNM juga mula memanfaatkan teknologi penyeliaan (supervisory technology, SupTech) untuk meningkatkan pengesanan risiko yang baru muncul dan kecekapan tugas penyeliaan (Gambar Rajah 6). Pemerhatian yang tepat pada masanya dan analisis yang dipertingkatkan telah membantu penyelia mengenal pasti potensi risiko dan membolehkan tindakan awal diambil sebelum apa-apa isu menjejaskan kumpulan pengguna yang lebih luas. Usaha ini memastikan pengawasan kekal responsif dalam landskap pembayaran yang lebih digital.

Tindak balas dasar untuk memperkukuh perlindungan pelanggan dan mengekang risiko penipuan
Pada tahun 2025, BNM meluaskan pelaksanaan piawaian keselamatan yang diguna pakai bagi perbankan dalam talian kepada kad pembayaran. Langkah ini meningkatkan tahap keselamatan kad pembayaran, sekali gus memperkukuh perlindungan pengguna dan mengurangkan risiko penipuan. Hal ini termasuk beralih daripada kata laluan sekali guna (one-time password, OTP) berasaskan SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.[15] Walau bagaimanapun, SMS OTP masih tersedia sebagai mekanisme sandaran untuk kumpulan pengguna yang terhad bagi menangani potensi risiko pengecualian (exclusion risk). Hal ini bermakna pengguna yang bergantung pada peranti asas atau lama masih boleh membuat pembayaran kad secara dalam talian dengan selamat. Kini, pemegang kad juga boleh memilih tetapan keselamatan mereka sendiri. Tetapan ini termasuk keupayaan untuk melumpuhkan[16] fungsi pembayaran dalam talian dan mengaktifkan suis pemati (kill switch), untuk menyekat penggunaan kad secara serta-merta apabila mereka mengesan aktiviti yang mencurigakan.
Bagi pengeluar wang elektronik (e-money issuer, EMI), BNM juga telah memperkenalkan piawaian keselamatan yang berpadanan dengan mengambil kira model perniagaan EMI yang pelbagai. Berkuat kuasa bulan Januari 2025, EMI yang layak[17] dikehendaki melaksanakan kawalan keselamatan yang setara dengan institusi perbankan. Kawalan ini merangkumi pengesahan berbilang faktor, pengesahan melalui peranti selamat tunggal dan penyediaan suis pemati. EMI yang memilih untuk tidak melaksanakan langkah-langkah ini perlu menanggung sepenuhnya kos kerugian akibat penipuan. Keperluan ini mewujudkan insentif yang kukuh untuk memperketat kawalan keselamatan dan melindungi pengguna daripada menanggung kos akibat kelemahan tahap keselamatan EMI.
Bagi memperkukuh perlindungan untuk mangsa penipuan, BNM turut meneliti pelaksanaan rangka kerja pampasan oleh institusi perbankan yang diperkenalkan pada bulan Oktober 2024 di bawah Policy Document on Ensuring Fair Treatment for Victims of Unauthorised e-Banking Transactions (SEFT). Semakan ini tertumpu pada amalan pengurusan kes dan peruntukan kerugian untuk transaksi sedemikian, bagi memastikan pelanggan tidak menanggung kerugian yang berpunca daripada kelemahan atau jurang dalam kawalan penipuan yang dilaksanakan oleh institusi perbankan.[18]
Memperteguh Infrastruktur Pembayaran Utama untuk Persediaan Masa Hadapan
Sistem pembayaran Malaysia menjadi tulang belakang hampir setiap transaksi yang kita lakukan. Seiring dengan ekonomi yang semakin dipacu secara digital, infrastruktur yang menyokong aktiviti pembayaran ini perlu kekal selamat, berdaya tahan dan bersedia untuk menyokong inovasi masa hadapan. Pada tahun 2025, BNM telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memodenkan infrastruktur pembayaran teras negara dan mengkaji teknologi baharu (Gambar Rajah 7). Usaha ini bertujuan memastikan pengguna dan perniagaan dapat terus menikmati perkhidmatan pembayaran yang pantas, selamat dan cekap.

Memodenkan RENTAS untuk daya tahan dan kecekapan yang lebih tinggi
RENTAS+[19] telah dilancarkan pada 29 September 2025, membolehkan penyelesaian hampir masa nyata (near real-time settlement, NRTS) untuk transaksi RPP. Dengan RENTAS+, transaksi RPP dapat diselesaikan hampir serta-merta, menggantikan model penyelesaian bersih tertangguh (deferred net settlement, DNS)[20] (Gambar Rajah 8). Bagi orang ramai, pengalaman pembayaran kekal sama. Walau bagaimanapun, proses penyelesaian di antara bank (back-end settlement) kini lebih pantas dan diyakini, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa pembayaran akan diselesaikan tepat pada masanya. Hal ini membantu mengurangkan risiko kredit dan mudah tunai untuk institusi kewangan.

Bagi menyokong pembayaran rentas sempadan yang cekap, penting untuk infrastruktur pembayaran utama terus seiring dengan kemajuan piawaian global. Pada tahun 2025, Malaysia menjadi negara pertama yang melaksanakan dengan sepenuhnya piawaian pemesejan ISO 20022[21] untuk pembayaran rentas sempadan. Pencapaian ini mencerminkan komitmen kukuh industri dalam menyokong peralihan tersebut (Gambar Rajah 9). ISO 20022 meningkatkan tahap saling boleh kendali rangkaian pembayaran, lantas membolehkan pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, telus dan murah. Bagi perniagaan, data berstruktur yang lebih terperinci berupaya mengurangkan ralat dan memudahkan proses penyelarasan, sekali gus mengurangkan keperluan kerja berulang secara manual dan meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan.

Malaysia telah melaksanakan sepenuhnya piawaian ISO 20022 untuk transaksi pembayaran rentas sempadan mendahului tarikh akhir pematuhan global yang ditetapkan oleh SWIFT.
Memperkukuh infrastruktur pembayaran bersama[22]
Untuk memajukan ekosistem pembayaran Malaysia, akses kepada infrastruktur pembayaran bersama seperti RPP perlu kekal inklusif dengan langkah perlindungan yang bersesuaian. Pendekatan ini membantu mengelakkan perpecahan pasaran, memacu kecekapan dan inovasi, serta mengukuhkan keyakinan orang ramai dalam keadaan ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat. Bagi tujuan ini, BNM telah memulakan semakan terhadap Interoperable Fund Transfer Framework, yang menyokong pemindahan dana segera merentas pelbagai institusi kewangan. Sebagai sebahagian daripada semakan ini, BNM merancang untuk mewajibkan kebolehoperasian sebarang skim kod QR domestik[23] supaya saling beroperasi dengan piawaian kod QR kebangsaan. Langkah ini akan menghentikan penggunaan paparan kod QR khusus pengendali, lantas memastikan pengalaman pembayaran yang lebih lancar untuk pengguna di seluruh Malaysia.
Mempergiat penerokaan mata wang digital bank pusat
BNM komited untuk memacu inovasi pembayaran masa hadapan di Malaysia. Pada tahun 2025, Projek Mata Wang Ringgit, juga dikenali sebagai Projek Mawar, telah mencatatkan kemajuan bermakna dalam menilai cara mata wang digital bank pusat borong (wholesale central bank digital currency, wCBDC) dan teknologi lejar teragih (distributed ledger technology, DLT) mampu meningkatkan kecekapan penyelesaian (Gambar Rajah 10). Kelebihan utama termasuk penyelesaian antara bank yang lebih pantas dan lebih diyakini dengan pengurangan pergantungan pada bank pengantara yang terlibat, serta pemprosesan transaksi yang lebih cekap. Projek ini mengkaji kes penggunaan dengan lebih terperinci, bagi mengemudi usaha untuk memodenkan RENTAS pada masa hadapan, termasuk keupayaan untuk beroperasi 24/7. Bank-bank yang mengambil bahagian dalam projek ini telah menyumbang dengan mengenal pasti kes penggunaan yang berdaya maju berdasarkan kesukaran (pain points) semasa. Projek ini juga telah menyokong pembinaan kapasiti teknologi baharu, lantas memastikan kesiapsiagaan industri untuk sebarang potensi penggunaan CBDC pada masa hadapan.

BNM juga terus bekerjasama dengan Bank for International Settlements Innovation Hub (BISIH) dan bank-bank pusat lain dalam inisiatif global[24] (Gambar Rajah 11). Semua usaha ini memastikan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan inovasi pembayaran baharu dan menterjemahkan inisiatif kajian kepada pelaksanaan sebenar pada masa hadapan.

Memajukan inisiatif aset digital dan tokenisasi

Aset digital dan teknologi yang sedang dibangunkan seperti DLT telah menarik minat yang tinggi daripada orang ramai. Usaha ini berpotensi mengubah cara wang disimpan, dipindahkan dan digunakan di seluruh sistem kewangan di dalam negara dan merentas sempadan. Bagi membolehkan ujian terhadap kes penggunaan yang bermakna, BNM menubuhkan Hab Inovasi Aset Digital (Digital Asset Innovation Hub, DAIH)[25] sebagai platform untuk pemain industri menguji penggunaan aset digital mereka secara selamat. Sehingga suku pertama tahun 2026, beberapa institusi kewangan utama telah menyertai inisiatif di bawah DAIH untuk membangunkan kes penggunaan wang yang ditokenkan. Momentum industri yang kukuh menunjukkan keperluan pengawalseliaan untuk turut berubah dan disesuaikan seiring dengan perkembangan ini.
Di samping itu, BNM juga mengeluarkan Discussion Paper on Asset Tokenisation, yang menggariskan prinsip utama dan kes penggunaan keutamaan untuk membimbing tumpuan industri. Usaha ini disokong oleh kumpulan kerja industri (industry working group, IWG) khusus untuk menyokong dialog secara berstruktur.
BNM menyedari bahawa pembangunan ekosistem aset digital yang mampan memerlukan kerjasama yang erat antara sektor awam dengan sektor swasta. Untuk mencapai matlamat ini, BNM bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia[26] dan agensi lain yang berkaitan untuk menyelaraskan dasar, termasuk melalui Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Selain itu, BNM telah menghimpunkan institusi kewangan dan pemain aset digital dalam sesi dialog berstruktur bagi membina persefahaman bersama mengenai amalan pengurusan risiko dan mengukuhkan kepercayaan antara pihak yang terlibat.

Langkah-langkah ini akan membantu Malaysia membina ekonomi digital yang selamat, dinamik dan menyokong inovasi yang bertanggungjawab sambil mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan.[27]
Langkah Selanjutnya
Pada tahun 2026, BNM akan terus berusaha memastikan perkhidmatan pembayaran dan perkhidmatan wang yang selamat serta diyakini untuk pengguna individu dan perniagaan. Usaha untuk memperluas penggunaan pembayaran digital merangkumi segenap lapisan masyarakat akan dipergiat. Pada masa yang sama, pengukuhan pengawasan dan pencegahan penipuan untuk melindungi pengguna akan kekal menjadi keutamaan. Usaha ini termasuk kerjasama rentas sektor yang lebih erat serta perlindungan rentas sempadan yang dipertingkatkan untuk menangani penipuan yang semakin canggih. Langkah-langkah ini akan memastikan pengguna boleh berurus niaga dengan selamat, sekali gus menyokong keyakinan terhadap ekonomi digital Malaysia.
Selaras dengan minat global yang semakin meningkat terhadap ekonomi berasaskan token, BNM akan terus memajukan usaha berkaitan aset ditokenkan dan wang digital termasuk CBDC, deposit ditokenkan dan stablecoin ringgit. Kesemua usaha ini akan dilaksanakan dengan tujuan untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia yang jelas. Pendekatan ini akan memberikan kepastian kepada industri sambil memelihara kestabilan kewangan dan perlindungan pengguna. Semua usaha ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang dipercayai dan berpandangan jauh dalam inovasi kewangan digital yang bertanggungjawab. Akhirnya, usaha ini diharap akan diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang nyata serta menyokong transformasi ekonomi Malaysia secara lebih menyeluruh.
Nota
[1] Perkhidmatan wang termasuk kiriman wang, pertukaran mata wang dan perkhidmatan mata wang borong. Mata wang borong merujuk pembelian dan penjualan mata wang asing oleh bank perdagangan berlesen, bank Islam, bank pelaburan atau pengendali perniagaan perkhidmatan wang berlesen, serta import dan eksport mata wang asing.
[2] Transaksi e-pembayaran per kapita bagi tahun 2024 telah dikemas kini daripada angka yang diterbitkan dalam Laporan Tahunan 2024 BNM disebabkan oleh pelarasan data populasi yang digunakan dalam pengiraan.
[3] Merujuk transaksi e-pembayaran yang dibuat melalui kad pembayaran, transaksi pembelian menggunakan e-wang, transaksi Financial Process Exchange (FPX) dan DuitNow Online Banking/Wallets (OBW). FPX dan DuitNow OBW lazimnya digunakan untuk pembelian e-dagang.
[4] Merangkumi transaksi DuitNow QR yang dilaksanakan oleh individu dan peniaga, meliputi institusi perbankan serta institusi kewangan bukan bank.
[5] Rujuk rencana mengenai DuitNow QR: Memupuk Pembayaran Digital Inklusif (/documents/20124/12142010/ar2023_en_box6.pdf) dalam Laporan Tahunan 2023 untuk maklumat lanjut tentang penyediaan DuitNow QR yang berkesan dari segi kos.
[6] Merujuk kempen kesedaran menerusi media sosial dan di lapangan yang dijalankan oleh PayNet bersama bank serta pengeluar e-wang dan pemeroleh.
[7] Fi pertukaran ialah caj antara bank untuk memproses pembayaran kad, yang mempengaruhi kos bagi peniaga untuk menerima pembayaran kad.
[8] Contoh dompet mudah alih termasuk Apple Pay, Samsung Pay dan Google Pay.
[9] Rujuk rencana bertajuk “Kepengerusian ASEAN/ASEAN+3 Malaysia 2025: Memajukan Pertumbuhan Ekonomi Inklusif dan Mampan untuk ASEAN dan Malaysia”.
[10] Bersama Brunei Darussalam Central Bank sebagai pengerusi bersama untuk WC-PSS.
[11] Khmer QR (KHQR) ialah sistem pembayaran kod QR berstandard di Kemboja yang direka untuk memudahkan transaksi tanpa tunai dan meningkatkan tahap saling boleh kendali antara bank dengan penyedia perkhidmatan pembayaran yang berbeza.
[12] Bakong ialah aplikasi pembayaran dan perbankan mudah alih semua dalam satu bagi negara Kemboja, yang dilancarkan oleh National Bank of Cambodia. Aplikasi ini membolehkan pengguna membuat pembayaran, memindahkan wang dan mengakses pelbagai perkhidmatan kewangan melalui satu platform.
[13] RPP ialah infrastruktur pembayaran bersama yang dibangunkan dan dikendalikan oleh PayNet bagi memudahkan pembayaran dan kutipan secara segera menggunakan proksi yang mudah diingati atau melalui nombor akaun.
[14] Rujuk bab “Menggalakkan Kestabilan Kewangan” dalam Laporan Tahunan 2025 BNM untuk maklumat lanjut tentang tindakan penguatkuasaan yang diambil.
[15] Langkah ini adalah untuk menangani kelemahan berasaskan SMS seperti pendedahan kepada risiko pertukaran SIM, perisian hasad dan pintasan.
[16] Juga merujuk transaksi tanpa kad (card-not-present) atau transaksi dalam talian.
[17] EMI diklasifikasikan kepada dua kumpulan iaitu EMI yang layak dan EMI yang standard. EMI yang layak ialah EMI yang memenuhi kriteria BNM dari aspek kehadiran pasaran yang ketara dan dikenakan syarat perlindungan yang lebih kukuh. Semua EMI lain dianggap sebagai EMI yang standard.
[18] Rujuk rencana bertajuk “Penyelesaian bagi Penipuan: Memupuk Keyakinan melalui Tanggungjawab Bersama” dalam Laporan Tahunan 2025 BNM untuk maklumat lanjut tentang pelaksanaannya.
[19] RENTAS+ dibina berdasarkan infrastruktur RENTAS sedia ada menggunakan teknologi awan moden. Sistem ini membolehkan pemindahan dana antara bank dan penyelesaian dalam RENTAS secara 24 jam setiap hari sepanjang tahun. Bagi menyokong penyelesaian sepanjang masa, institusi kewangan mempunyai akses kepada kemudahan mudah tunai automatik 24/7 yang baru diperkenalkan menggunakan perjanjian belian balik (repurchase agreement, repo) dan perjanjian jual beli balik (sell and buy back agreements, SBBA).
[20] RENTAS+ menyelesaikan setiap transaksi pembayaran runcit secara individu dalam masa nyata. Sementara itu, model DNS mengumpulkan berbilang transaksi sepanjang tempoh yang telah ditentukan dan mengira kedudukan penyelesaian bersih setiap peserta. Pada akhir setiap kitaran penyelesaian, hanya jumlah bersih yang diselesaikan.
[21] ISO 20022 ialah piawaian pemesejan antarabangsa untuk industri kewangan dengan kandungan data yang dipertingkatkan dan format pesanan berstruktur. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Laporan Tahunan BNM 2020 dan video pengenalan di (https://www.iso20022.org/about-iso-20022).
[22] Infrastruktur pembayaran bersama berfungsi sebagai rangkaian saling kendali yang menghubungkan akaun bank dan akaun e-wang bukan bank untuk pemindahan dana akaun ke akaun serta pembayaran kepada peniaga. Infrastruktur ini membolehkan industri bekerjasama dengan mengumpulkan sumber dan berkongsi kos, sambil bersaing pada peringkat produk untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna akhir, seperti pengguna dan peniaga.
[23] Keperluan ini hanya terpakai kepada bank dan EMI yang layak.
[24] Projek Rialto merupakan projek yang paling baru disiapkan dengan BISIH Eurosystem and Singapore Centres. Empat bank pusat iaitu Banque de France, Bank of Italy, Monetary Authority of Singapore dan BNM telah mengambil bahagian dalam projek ini. Laporan teknikal Projek Rialto telah dikeluarkan pada 10 Disember 2025 dan boleh diakses melalui (https://www.bis.org/publ/othp106.pdf).
[25] Ditubuhkan oleh Hab Mata Wang Digital BNM, DAIH telah mendapat sambutan yang menggalakkan sejak pelancarannya pada bulan Jun 2025. Hab ini telah mengadakan libat urus dengan pelbagai peserta domestik dan antarabangsa merentas sektor kewangan, fintech dan bukan kewangan. Penyertaan dalam DAIH dipandu oleh prinsip inovasi yang bertanggungjawab, termasuk kejelasan cadangan nilai, rekod tadbir urus yang kukuh, serta pengurusan risiko yang berkesan.
[26] Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengawal selia pengeluaran, perdagangan dan penjagaan aset digital di Malaysia melalui Perintah Preskripsi 2019 dan garis panduan tambahan yang meliputi Bursa Aset Digital (Digital Asset Exchange, DAX), Tawaran Bursa Permulaan (Initial Exchange Offering, IEO) dan Penjaga Aset Digital.
[27] Inovasi aset digital yang disertai dengan kawalan risiko yang kukuh dan rangka kerja kawal selia yang sesuai boleh diperluas dengan cara yang selamat untuk menangani sebarang tekanan mata wang asing dan risiko penularan sambil memastikan pengaturan pembayaran kekal berdaya tahan.