Teras mandat Bank Negara Malaysia (BNM) adalah untuk menggalakkan sistem kewangan yang stabil dan menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan. Hal ini bermaksud institusi kewangan boleh menyerap kejutan dan terus menyediakan perkhidmatan kewangan yang perlu kepada isi rumah dan perniagaan pada setiap masa. Sistem kewangan yang stabil memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses yang berterusan kepada simpanan, pembiayaan, perlindungan insurans/takaful dan perkhidmatan pembayaran walaupun semasa tempoh ekonomi menghadapi tekanan. Bagi tujuan ini, BNM mengawal dan menyelia institusi kewangan untuk memastikan sistem kewangan kekal kukuh.
Keutamaan Kestabilan Kewangan pada Tahun 2025
Sistem kewangan yang berdaya tahan memastikan kesinambungan pengantaraan dan perkhidmatan kewangan semasa tempoh tekanan dan ketidakpastian. Hal ini mengekalkan keyakinan orang ramai, sekali gus menyokong kestabilan dan pertumbuhan ekonomi. Ketika berhadapan dengan ketidakpastian global, termasuk ketegangan perdagangan global dan geopolitik, sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2025 dalam persekitaran pengawalseliaan yang berhemat dan teguh.
Berlatarkan persekitaran ini, BNM terus menjadikan usaha memelihara daya tahan sistem kewangan sebagai teras kepada keutamaan pengawalseliaan dan penyeliaan pada tahun 2025. Usaha BNM tertumpu pada empat bidang utama:
- Melaraskan rangka kerja pengawalseliaan dengan piawaian antarabangsa dan pada masa yang sama menyesuaikannya dengan keperluan setempat.
- Memperkukuh keupayaan institusi kewangan untuk mengurus gangguan operasi dalam persekitaran yang semakin berorientasikan digital dan saling terhubung.
- Menambah baik amalan pengurusan risiko untuk membina daya tahan terhadap risiko yang semakin berkembang seperti penipuan, ancaman siber dan perubahan iklim.
- Memupuk amalan yang bertanggungjawab dan pengurusan perniagaan dengan piawaian yang tinggi untuk memastikan hasil yang adil kepada pengguna.
Keutamaan Pengawalseliaan
Sejajar dengan bidang keutamaan tersebut, BNM mengeluarkan sembilan dasar utama berkaitan dengan kehematan, amalan pasaran dan sistem pembayaran (Gambar Rajah 1).
Penerapan piawaian pengawalseliaan antarabangsa
BNM meneruskan usaha untuk melaraskan rangka kerja pengawalseliaan dengan piawaian Basel III. Matlamatnya adalah untuk memastikan institusi kewangan kekal utuh dan bersedia untuk menghadapi kejutan. Hal ini seterusnya melindungi pendeposit dan menyokong keyakinan terhadap sistem kewangan. Pada tahun 2025, BNM telah mengeluarkan tiga Draf Dedahan (Exposure Draft), iaitu Rangka Kerja Kecukupan Modal (Semakan Pendekatan Berasaskan Penarafan Dalaman bagi Risiko Kredit) (Capital Adequacy Framework (Internal Ratings-Based Approach for Credit Risk), IRB), Rangka Kerja Kecukupan Modal (Risiko Kredit Rakan Niaga) (Capital Adequacy Framework (Counterparty Credit Risk), CCR) dan Risiko Kadar Faedah dalam Buku Perbankan (Interest Rate Risk in the Banking Book, IRRBB).
Dasar-dasar ini menambah baik cara bank-bank mengukur dan menguruskan risiko. IRB yang dikemas kini mengurangkan perbezaan yang tidak wajar dalam anggaran risiko berasaskan model,[1] sekali gus menyumbang kepada nisbah modal bank yang lebih berwibawa dan setanding. Sementara itu, metodologi CCR yang baharu membolehkan bank memperuntukkan modal dengan lebih cekap, khususnya bagi transaksi derivatif, disokong oleh amalan pengurusan risiko yang kukuh. Piawaian IRRBB menetapkan jangkaan yang lebih jelas mengenai cara bank-bank menguruskan risiko yang berpunca daripada perubahan kadar faedah atau kadar keuntungan. Ini bermaksud, bank-bank mesti mengamalkan tahap pengawasan yang kukuh, kawalan yang sewajarnya dan modal yang mencukupi untuk menampung perubahan tersebut. Pengurusan risiko ini secara berkesan membantu memastikan bank-bank kekal berdaya tahan dalam persekitaran kadar faedah yang berbeza.
Memperkukuh piawaian pengurusan risiko dan daya tahan operasi
Penggunaan teknologi digital dan sistem perkongsian (shared system) secara lebih meluas telah meningkatkan kecekapan sistem kewangan serta memberikan manfaat yang lebih baik kepada pengguna. Walau bagaimanapun, keadaan ini juga meningkatkan risiko gangguan yang berpunca daripada insiden siber dan kegagalan teknikal. Sejajar dengan peningkatan risiko tersebut, BNM telah mengemaskinikan keperluan Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology, RMiT). Matlamatnya adalah untuk memperkukuh keselamatan IT dan daya tahan terhadap ancaman siber yang semakin berkembang, gangguan sistem dan pencerobohan data. BNM juga telah menerbitkan Kertas Perbincangan mengenai Daya Tahan Operasi untuk mendapatkan maklum balas daripada industri mengenai cara institusi kewangan harus bersedia dan bertindak balas terhadap gangguan yang serius. Langkah ini bertujuan memastikan institusi kewangan dapat terus menyediakan perkhidmatan penting walaupun berdepan dengan gangguan operasi yang serius.
Memastikan pemberian pembiayaan yang bertanggungjawab dan hasil yang adil kepada pengguna
Bagi memastikan sistem kewangan berfungsi dengan cekap, kepercayaan antara institusi kewangan dengan pengguna amat penting. Kepercayaan ini, yang dibina atas asas akauntabiliti, keadilan dan ketelusan, memberikan keyakinan kepada pengguna untuk mengambil bahagian dalam sistem kewangan.
Pada tahun 2025, BNM telah mempergiat usaha untuk memperkukuh kepercayaan tersebut. Dengan dasar yang disemak, penyedia perkhidmatan kewangan tidak lagi boleh menggunakan kadar rata[2] (flat rate) dan/atau kaedah Peraturan 78[3] untuk pengiraan faedah atau keuntungan bagi pembiayaan peribadi. Hal ini bermakna pengguna hanya membayar faedah atau keuntungan atas baki pembiayaan yang masih terhutang dan tidak lagi dikenakan caj berlebihan apabila membuat bayaran balik lebih awal. Selain itu, penyedia perkhidmatan kewangan kini perlu memastikan bahawa pengguna melengkapkan modul pendidikan kewangan, sama ada disampaikan oleh penyedia perkhidmatan kewangan tersebut atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebelum memohon sebarang produk pembiayaan peribadi baharu yang melebihi RM100,000. Sekatan yang sama terhadap penggunaan kadar rata dan/atau kaedah Peraturan 78 juga akan terpakai pada pembiayaan sewa beli yang ditawarkan oleh penyedia pembiayaan sewa beli apabila Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang baru digubal mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
Penyedia perkhidmatan kewangan juga kini dikehendaki melaksanakan penilaian kemampuan kewangan yang lebih menyeluruh. Penilaian ini melangkaui penilaian sama ada pendapatan peminjam mampu menampung obligasi hutang sedia ada. Mereka juga perlu memastikan bahawa peminjam masih mempunyai baki pendapatan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan sara hidup asas selepas mengambil pembiayaan peribadi baharu. Keperluan yang ditambah baik ini menggalakkan amalan pembiayaan yang lebih berhemat, bertanggungjawab dan telus. Langkah ini juga membantu peminjam membuat keputusan kewangan yang lebih berhemat berdasarkan maklumat serta mengelakkan pengambilan hutang melebihi kemampuan mereka.
Dalam ruang pembayaran digital, BNM telah mengemaskinikan peraturan kad pembayaran bagi memberi pemegang kad kawalan yang lebih besar terhadap keselamatan kad pembayaran mereka. Perubahan utama termasuk kaedah pengesahan yang lebih kukuh serta ciri keselamatan layan diri baharu yang membolehkan pemegang kad menyesuaikan tetapan keselamatan kad pembayaran mereka. Hal ini termasuk pilihan untuk mematikan fungsi seperti transaksi kad tanpa kehadiran fizikal (card-not-present)[4] untuk transaksi luar negara melalui aplikasi perbankan mereka. Sebagai langkah selanjutnya, BNM juga merancang untuk menetapkan peraturan lebih kukuh mengenai cara institusi kewangan bertindak balas terhadap penipuan, dengan memberikan tumpuan pada komunikasi yang jelas dan berkesan dengan pemegang akaun. Langkah-langkah ini akan membantu meningkatkan penyelarasan dan mempercepat tindakan menyeluruh pada peringkat industri. Secara keseluruhannya, langkah ini akan meningkatkan keyakinan pengguna dan mendorong tahap keadilan dan ketelusan yang lebih tinggi dalam cara institusi kewangan bertindak balas terhadap penipuan.
Selain itu, kelulusan Akta Kredit Pengguna 2025 (Consumer Credit Act 2025, CCA)[5] menandakan pembaharuan perundangan penting yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna dan menyelaras pengawalseliaan kredit pengguna. CCA menyediakan rangka kerja menyeluruh yang terpakai pada semua pihak berkuasa[6] yang mempunyai fungsi pengawalseliaan terhadap kredit pengguna, termasuk BNM. Langkah ini menggalakkan ketekalan dengan memastikan piawaian pengawalseliaan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa memenuhi keperluan minimum perlindungan pengguna yang ditetapkan di bawah CCA. Melalui pendekatan yang diselaraskan ini, para pengguna akan mendapat manfaat daripada perlindungan yang berkesan dan setara di seluruh industri kredit.
Selain pembaharuan dasar, BNM juga mengadakan sesi libat urus dengan orang ramai sebagai sebahagian daripada komitmen BNM yang lebih luas untuk membina sistem kewangan yang adil, telus dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia. Sebagai contoh, BNM telah menganjurkan program jangkauan, termasuk bengkel bersama media, untuk menjelaskan maksud layanan adil dalam amalan serta cara layanan adil ini terpakai semasa interaksi pelanggan dengan penyedia perkhidmatan kewangan. Seiring dengan langkah ini, BNM juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pengguna, terutamanya segmen yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan, mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan asas pada kos yang minimum.[7]

Keutamaan dan Pendekatan Penyeliaan
BNM mengamalkan pendekatan penyeliaan berasaskan risiko dan berpandangan ke hadapan. Aktiviti penyeliaan diberikan keutamaan berdasarkan risiko besar yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan. Melalui penilaian di lokasi (on-site reviews) dan pemantauan luar lokasi (off-site monitoring), BNM memperoleh gambaran menyeluruh tentang cara institusi kewangan mengendalikan risiko tersebut. Hal ini membolehkan BNM melakukan intervensi awal apabila perlu. Selain itu, BNM juga melaksanakan semakan tematik bagi menilai bagaimana setiap institusi kewangan mengurus risiko yang lebih meluas pada peringkat sistem berbanding dengan rakan industri lain. Selepas penilaian dijalankan, BNM akan memaklumkan dapatan dan saranannya kepada institusi kewangan. Tujuannya adalah supaya institusi kewangan mengambil langkah untuk melindungi pelanggan dan mengekalkan kestabilan kewangan. Yang penting, aktiviti penyeliaan BNM juga diselaraskan dengan keutamaan pengawalseliaan bagi tahun tersebut.
Pengurusan penyedia perkhidmatan pihak ketiga (third-party service providers, TPSP) yang mantap
Bagi menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap, institusi kewangan menggunakan TPSP untuk pelbagai jenis perkhidmatan, termasuk perkhidmatan penting seperti operasi IT dan pengurusan pusat data. Walau bagaimanapun, pergantungan pada TPSP boleh mewujudkan risiko, terutamanya jika gangguan yang berlaku pada TPSP menjejaskan keupayaan institusi kewangan untuk mengekalkan kesinambungan perkhidmatan mereka. Jika tidak diurus dengan sewajarnya, pergantungan sedemikian boleh memberikan kesan yang serius kepada sistem kewangan, sekali gus menjejaskan kepercayaan orang ramai secara keseluruhan. Oleh itu, institusi kewangan perlu mempunyai rangka kerja tadbir urus dan pengurusan risiko yang kukuh bagi mendukung akauntabiliti dan memastikan daya tahan operasi.
Pada tahun 2025, BNM menilai amalan pengurusan risiko bank-bank berbanding dengan prinsip pengurusan risiko pihak ketiga yang mantap (Gambar Rajah 2) yang diterima pakai daripada Basel Committee on Banking Supervision (BCBS). Semakan itu mendapati bahawa bank-bank pada umumnya berupaya untuk menguruskan risiko yang berkaitan dengan TPSP, meskipun tidak semua risiko sistemik dapat dihapuskan sepenuhnya. Bagi tujuan ini, BNM menghendaki bank-bank untuk terus meningkatkan keterlihatan mereka terhadap pergantungan pada pihak nth utama,[8] menguruskan risiko penumpuan dalam kalangan beberapa penyedia penting serta melaksanakan pelan kesinambungan dan strategi keluar yang lebih mantap. Usaha berterusan untuk memperkukuh aspek ini membantu memastikan perkhidmatan asas, seperti akses kepada ATM, baki akaun dan perkhidmatan pembayaran, kekal selamat dan tidak tergendala, walaupun ketika berlakunya gangguan yang tidak dijangka.

Memupuk amalan operasi Syariah yang lebih kukuh
Takaful merupakan perlindungan berasaskan Syariah yang berlandaskan prinsip saling membantu, adil dan perkongsian risiko. Pada tahun 2025, BNM telah menyemak cara pengendali takaful menerapkan prinsip Syariah dalam operasi perniagaan mereka. Teras kepada proses ini ialah Jawatankuasa Syariah, yang bertanggungjawab memberikan nasihat yang objektif dan berwibawa kepada institusi kewangan Islam bagi memastikan prinsip Syariah dipatuhi dalam semua aspek operasi dan urusan institusi tersebut. Oleh yang demikian, adalah penting bahawa penilaian yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Syariah dilaksanakan secara teliti bagi menyokong perbincangan dan pembuatan keputusan yang mantap berhubung dengan hal ehwal Syariah. Keputusan tersebut juga perlu disemak secara berkala bagi memastikan kesesuaiannya kekal terpelihara apabila keadaan berubah.
Hasil dan hasrat daripada semakan tersebut diperkukuh melalui libat urus dengan ahli Jawatankuasa Syariah dan ketua-ketua Syariah. Yang penting, usaha ini membantu mengekalkan keyakinan orang ramai bahawa produk takaful kekal patuh Syariah sepanjang kitaran hayatnya.
Memastikan kesiapsiagaan menghadapi krisis
Berlandaskan usaha yang dimulakan pada tahun 2024, BNM telah menyemak baki pelan pemulihan bank-bank bagi menilai ketersediaan mereka untuk menguruskan tekanan kewangan. Semakan tersebut mendapati bahawa bank-bank telah mempertimbangkan pelbagai pilihan pemulihan yang disokong oleh pengaturan tadbir urus yang jelas dan pencetus amaran awal bagi membolehkan tindak balas krisis yang pantas. Walau bagaimanapun, masih ada aspek yang perlu ditambah baik. Bank-bank perlu melakukan analisis yang lebih mendalam terhadap kebolehlaksanaan pilihan pemulihan mereka serta perancangan senario yang lebih terperinci untuk mencerminkan peristiwa tekanan dunia sebenar. Hal ini termasuk memperhalus garis masa dan menjalankan ujian semula (back-testing) secara menyeluruh untuk memastikan pelan pemulihan tersebut berfungsi dengan berkesan dalam keadaan tekanan.
Perancangan pemulihan merupakan asas penting kepada daya tahan institusi. Memandangkan model perniagaan, profil risiko dan persekitaran operasi bank-bank terus berkembang, pelan pemulihan perlu disemak dan diperkukuh secara berkala untuk memastikan keberkesanannya terus terpelihara.
Memperkukuh daya tahan iklim
Peristiwa cuaca ekstrem seperti banjir dan kemarau berpanjangan terus menjejaskan komuniti dan perniagaan di Malaysia. Gangguan ini menyerlahkan keperluan institusi kewangan untuk bersedia menghadapi kesan peristiwa risiko iklim yang semakin meningkat. Pada tahun 2025, BNM menumpukan usaha untuk meningkatkan kepakaran teknikal dalam kalangan institusi kewangan bagi mengukur dan mengurus risiko berkaitan iklim (Gambar Rajah 3). Usaha ini termasuk pembangunan kemahiran melalui latihan khusus dalam perancangan peralihan, pemodelan risiko dan teknik ujian tekanan berasaskan senario. Tahap kesiapsiagaan iklim yang kukuh membantu mengekalkan kestabilan kewangan dengan memastikan isi rumah dan perniagaan dapat terus mengakses perkhidmatan kewangan, termasuk apabila berlakunya gangguan berkaitan iklim.

Memupuk amalan perniagaan yang adil, bertanggungjawab dan profesional
BNM menyedari betapa pentingnya penyedia perkhidmatan kewangan bertindak secara bertanggungjawab dan mendukung amalan perniagaan yang adil supaya pengguna mempunyai keyakinan terhadap sistem kewangan. Sehubungan dengan itu, inisiatif penyeliaan amalan pasaran BNM ditumpukan untuk memperkukuh hasrat tersebut dan memastikan peserta industri terus memberikan hasil yang melindungi kepentingan pengguna.
Pertama, BNM telah menyemak amalan pengendalian aduan berkaitan dengan transaksi perbankan elektronik tanpa kebenaran. BNM mendapati bahawa bank-bank yang disemak mengamalkan pendekatan pengurusan penipuan yang diselaraskan dengan baik. Pendekatan ini disokong oleh saluran pelaporan yang mudah diakses, pengendalian kes yang tepat pada masanya dan rangka kerja penilaian yang mantap. Walau bagaimanapun, BNM juga mengenal pasti beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan dalam pengendalian aduan penipuan, termasuk dari segi kejelasan surat keputusan kepada pengguna, ketelitian penyiasatan dan ketepatan masa dana dikembalikan.
Kedua, BNM menyemak amalan penyedia bankasurans/bankatakaful (banca), iaitu saluran pengedaran utama yang membolehkan pengguna membeli produk insurans dan takaful melalui bank-bank mereka. Langkah ini dimulakan susulan pemerhatian BNM terhadap kadar ketegaran[9] (persistency) yang rendah dalam saluran ini. Keadaan ini mungkin menandakan berlakunya salah jual (mis-selling) atau ketidakpadanan produk yang timbul daripada kelemahan dalam struktur insentif dan pengaturan pengawasan. Memandangkan keadaan ini berpotensi menimbulkan tekanan kewangan kepada pengguna, BNM telah menyemak tahap pengawasan yang dilaksanakan oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanan untuk mengurangkan risiko salah jual atau ketidakpadanan produk. Hal ini termasuk melaraskan insentif dengan hasil yang adil kepada pengguna serta memastikan akauntabiliti terhadap reka bentuk produk dan amalan jualan. Semakan itu juga mengenal pasti beberapa ruang penambahbaikan. Antaranya termasuk penyedia banca seharusnya menambah baik pemprofilan pelanggan supaya penawaran produk lebih sepadan dengan segmen pelanggan yang berbeza. Selain itu, kawalan semasa penjualan (point-of-sale) harus diperketatkan bagi menyokong penilaian kesesuaian dan kemampuan yang lebih mantap, serta amalan telepemasaran harus dipertingkatkan untuk mengelakkan tekanan yang tidak wajar ke atas pengguna untuk membeli produk yang tidak sesuai.
Ketiga, BNM turut memberikan tumpuan pada ajuster - iaitu ahli profesional yang memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dan pemprosesan tuntutan yang berkesan dalam industri insurans kenderaan bermotor. Berdasarkan peranan mereka dalam industri, penting bagi ajuster untuk menjalankan urusan mereka secara profesional. Tahap profesionalisme yang lemah boleh menimbulkan konflik kepentingan yang seterusnya membawa kepada keputusan yang berat sebelah.[10] Semakan BNM mengenal pasti beberapa isu seperti kekurangan pengesahan kelayakan minimum pekerja, pelaksanaan semakan latar belakang berkala yang tidak mencukupi terhadap pemegang saham, CEO dan pengarah, serta usaha wajar yang tidak memadai untuk mengenal pasti dan mencegah konflik kepentingan.
Secara keseluruhan, aktiviti penyeliaan BNM telah membolehkan risiko amalan utama dikesan lebih awal seperti kelemahan dalam tadbir urus kawalan dan standard profesional. Dapatan daripada semakan BNM telah dimaklumkan kepada peserta industri, lantas menggalakkan pemulihan yang tepat pada masanya oleh penyedia perkhidmatan kewangan. BNM mengambil tindakan yang lebih tegas jika pelanggaran yang ketara dikenal pasti. Hal ini termasuk membatalkan pendaftaran sebuah firma ajuster bagi melindungi pengguna dan mengekalkan piawaian profesional dalam industri.
Tindakan Penyeliaan dan Penguatkuasaan
BNM mengambil pelbagai tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan untuk memelihara kestabilan kewangan dan integriti sistem kewangan negara. Berpandukan rangka kerja Pendekatan Penguatkuasaan BNM, BNM melaksanakan tindakan yang konsisten, telus dan seimbang. Tindakan ini memperkukuh pendirian sifar toleransi BNM terhadap jenayah kewangan dan komitmen BNM untuk melindungi pengguna, mengekalkan kepercayaan serta mendukung integriti sistem kewangan Malaysia.
Tindakan penyeliaan, seperti surat amaran, teguran dan aku janji yang boleh dikuatkuasakan, berfungsi sebagai langkah pencegahan dan pembetulan. Tindakan ini memastikan institusi membaiki jurang pematuhan, menambah baik tadbir urus serta memperkukuh kawalan dalaman. Tindakan penguatkuasaan, seperti penalti monetari pentadbiran dan kompaun, dikenakan untuk pelanggaran pengawalseliaan yang ketara untuk memperkukuh akauntabiliti dan mencegah salah laku.
Pada tahun 2025, BNM telah melaksanakan 284 tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan (Rajah 1), termasuk mengenakan penalti monetari berjumlah RM15.9 juta. Kebanyakan kesalahan yang dikenal pasti berkaitan dengan pencegahan pengubahan wang haram,[11] pengurusan risiko teknologi, piawaian kehematan dan dasar pertukaran asing (Rajah 2).


Satu tindakan penguatkuasaan dan penyeliaan yang ketara pada tahun 2025 melibatkan gangguan sistem yang tidak dirancang sehingga menjejaskan perkhidmatan perbankan asas. BNM telah mengambil tindakan terhadap sembilan bank yang gagal memenuhi jangkaan pengawalseliaan yang ditetapkan, termasuk mengenakan penalti berjumlah RM5.6 juta.
Selain itu, BNM melaksanakan “tindakan mengganggu dan membongkar” serta “tindakan membanteras” (Gambar Rajah 4) terhadap jenayah kewangan seperti pengambilan deposit secara haram (illegal deposit-taking, IDT), menjalankan perniagaan perkhidmatan wang (money services business, MSB) haram dan pengubahan wang haram. Tindakan ini bertujuan memelihara integriti kewangan, melindungi kepentingan awam serta memastikan institusi pelapor melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mencegah sistem kewangan daripada dieksploitasi oleh penjenayah.

Selaras dengan Pendekatan Penguatkuasaan BNM, BNM terus mendukung ketelusan melalui penerbitan tindakan penguatkuasaan di laman sesawang BNM untuk mencegah salah laku pada masa hadapan. Langkah ini juga mencerminkan pendirian sifar toleransi BNM terhadap ketidakpatuhan yang serius.
Membina daya tahan melalui kerjasama pada peringkat tempatan dan global
Dalam sistem kewangan global yang saling berkait rapat, penglibatan yang erat dengan peserta industri, agensi kerajaan dan pengawal selia amat penting untuk berkongsi pengetahuan, memperkukuh keupayaan penyeliaan serta mendukung piawaian antarabangsa. Penglibatan sedemikian seterusnya memperkukuh kestabilan kewangan, pencegahan krisis dan pengurusan krisis.
Pada peringkat global, sebagai sebahagian daripada Penilaian Bersama (Mutual Evaluation) oleh Financial Action Task Force (FATF), BNM bekerjasama rapat dengan rakan sejawat antarabangsa dan agensi dalam negeri untuk menunjukkan kemajuan Malaysia dalam memperkukuh rangka kerja integriti kewangan negara.[12]
BNM turut mengambil bahagian dalam forum penyeliaan (supervisory colleges)[13] untuk bertukar pandangan mengenai pengaturan pengawasan serta berkongsi amalan terbaik. Usaha ini menyumbang kepada pengukuhan sistem kewangan global. Pada peringkat serantau, BNM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MoU) dengan Bank of Thailand, yang memperluas rangkaian kerjasama siber negara dengan pengawal selia pada peringkat serantau. Inisiatif ini seterusnya memperkukuh daya tahan siber dan melindungi sektor kewangan serantau daripada penipuan digital.
Di dalam negeri, BNM bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk membina daya tahan keselamatan siber industri kewangan. BNM telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan perbincangan mengenai strategi kriptografi pascakuantum (post-quantum cryptography), disokong oleh Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT), Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) serta Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM). Inisiatif ini menggalakkan sektor kewangan untuk mengambil langkah awal bagi melindungi sistem penting daripada risiko berkaitan dengan teknologi kuantum. Langkah ini juga tepat pada masanya memandangkan kemajuan dalam kuasa pengkomputeran, termasuk potensi penggunaan teknologi kuantum pada masa hadapan, berkemungkinan menjadikan instrumen keselamatan pada hari ini kurang berkesan. Tanpa persediaan yang sewajarnya, institusi kewangan akan menghadapi kesukaran untuk menguruskan serangan siber dan pencerobohan data, sekali gus menjejaskan kestabilan kewangan secara keseluruhan.
Kerjasama ini mencerminkan komitmen BNM yang utuh untuk memperkukuh integriti kewangan, melindungi pengguna serta memastikan sistem kewangan Malaysia kekal selamat dan dipercayai.
Langkah Selanjutnya
Memandangkan landskap kewangan global terus berkembang dan menjadi semakin kompleks, BNM kekal tertumpu pada usaha untuk memelihara kestabilan kewangan. Bagi tahun 2026 dan seterusnya, BNM akan:
- terus menyelaras piawaian kehematan dengan amalan terbaik global, dan pada masa yang sama menyesuaikannya dengan persekitaran kewangan Malaysia yang unik;
- memastikan sistem kewangan lebih bersedia untuk menangani gangguan perkhidmatan, kejutan ekonomi dan potensi krisis kewangan;
- menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab dalam sektor kewangan, dan pada masa yang sama menguruskan risiko yang timbul daripada teknologi baharu;
- mengambil kira risiko berkaitan iklim dalam pengawalseliaan kewangan, dan pada masa yang sama menyokong amalan lestari dan peluang untuk pertumbuhan hijau; dan
- mendukung piawaian integriti, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi agar para pengguna kewangan dilayan secara adil serta sistem kewangan kekal selamat dan boleh dipercayai.
Secara keseluruhannya, usaha-usaha ini mencerminkan komitmen BNM untuk membina sistem kewangan yang kukuh, selamat, inklusif dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan. Hal ini memastikan sektor kewangan dapat memainkan peranannya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberikan hasil yang bermakna untuk isi rumah dan perniagaan di Malaysia.
Nota
[1] Anggaran risiko berasaskan model merujuk ukuran seperti kebarangkalian mungkir, kerugian apabila mungkir berlaku dan dedahan pada masa mungkir yang dianggarkan oleh bank menggunakan model dalaman untuk mengira aset berwajaran risiko di bawah pendekatan IRB.
[2] “Kadar rata” merujuk kadar faedah/keuntungan yang kekal pada kadar tertentu sepanjang tempoh pinjaman/pembiayaan, dan faedah/keuntungan itu dikira berdasarkan jumlah pinjaman/pembiayaan asal yang diberikan pada permulaan tempoh pinjaman/pembiayaan.
[3] “Kaedah Peraturan 78” merujuk kaedah pengiraan faedah/keuntungan yang mengenakan caj lebih tinggi kepada pengguna pada permulaan tempoh pembiayaan dan lebih rendah menjelang akhir tempoh pembiayaan.
[4] Transaksi kad tanpa kehadiran fizikal, merujuk transaksi kad pembayaran tanpa kehadiran pemegang kad (iaitu, tidak bersemuka) di premis perniagaan semasa pembayaran dibuat. Contoh termasuk transaksi dalam talian, transaksi pesanan mel/telefon dan transaksi autodebit berulang.
[5] Untuk maklumat yang lebih terperinci mengenai Akta Kredit Pengguna 2025, rujuk laman sesawang Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (Pasukan Petugas CCOB) www.ccob.my.
[6] Pihak berkuasa yang diberi mandat pengawalseliaan kredit pengguna termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
[7] Untuk maklumat lebih terperinci tentang inisiatif pengawalseliaan BNM, rujuk rencana “Merapatkan Jurang: Perkhidmatan Perbankan Asas Mampu Milik dan Mudah Diakses” dalam Laporan Tahunan 2025 BNM.
[8] Pihak nth utama merujuk penyedia perkhidmatan yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan TPSP dan menyokong penyampaian akhir sesuatu perkhidmatan penting oleh TPSP kepada bank, atau yang mempunyai keupayaan untuk mengakses maklumat bank yang sensitif atau sulit, seperti yang ditakrifkan oleh BCBS mengenai prinsip pengurusan risiko pihak ketiga yang mantap.
[9] Kadar ketegaran mencerminkan pengekalan pelanggan. Kadar ini mengukur peratusan polisi insurans/sijil takaful yang masih berkuat kuasa, tanpa luput.
[10] Contoh konflik kepentingan ialah apabila pasangan seorang pekerja ajuster memiliki sebuah bengkel yang bekerjasama dengan syarikat insurans dan pengendali takaful untuk membaiki kenderaan. Dalam keadaan sedemikian, pekerja ajuster itu mungkin cenderung memilih bengkel berkenaan apabila mengendalikan tuntutan, semata-mata untuk menyokong perniagaan pasangannya, dan bukannya bertindak secara adil dan tidak berat sebelah terhadap pihak yang membuat tuntutan.
[11] Keperluan yang ditetapkan di bawah Akta-akta yang berkenaan serta dokumen dasar BNM yang berkaitan dengan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Anti-Money Laundering, AML), Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Combating the Financing of Terrorism, CFT) dan Pencegahan Pembiayaan Percambahan (Counter-Proliferation Financing, CPF).
[12] Untuk maklumat lebih terperinci mengenai inisiatif AML/CFT/CPF Malaysia, sila rujuk bab “Mengekalkan Integriti Kewangan” dalam Laporan Tahunan 2025 BNM.
[13] Forum penyeliaan ialah platform yang menghimpunkan kumpulan penyelia tuan rumah dengan tujuan utamanya adalah untuk bertukar maklumat serta mengadakan dialog bagi menangani risiko utama dalam sebuah kumpulan kewangan.