Berlandaskan usaha pada tahun 2024, kami mempertingkatkan usaha untuk memperluas jangkauan serta memperkukuh kesan libat urus dan komunikasi BNM. Dari Semenanjung Malaysia hingga ke Sabah dan Sarawak, BNM bertemu dan mendekati rakyat Malaysia, para peniaga dan juga pelbagai organisasi. Libat urus BNM merangkumi keutamaan negara seperti pembaharuan struktur untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memajukan sistem penjagaan kesihatan, Kepengerusian ASEAN Malaysia serta isu harian yang mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia seperti pengurusan kewangan dan penipuan kewangan.
Mempertingkatkan Ketelusan dan Memperkukuh Libat Urus
Orang ramai merupakan kelompok penting bagi BNM. Matlamat BNM adalah untuk memenuhi keperluan orang ramai dari segi maklumat dan panduan bagi membantu mereka memahami hal ehwal ekonomi dan kewangan dengan lebih baik. Pada masa yang sama, orang ramai juga menjadi sumber maklumat yang penting dalam penilaian ekonomi dan kewangan serta perumusan dasar BNM.
Pada tahun 2025, BNM meneruskan usaha untuk membina keyakinan melalui komunikasi yang jelas dan disampaikan tepat pada masanya.
Menjadikan dasar monetari dan ekonomi mudah difahami
Gabenor mengadakan temu bual secara berkala dengan media untuk menjelaskan keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari serta perkembangan ekonomi dengan cara yang lebih mudah difahami.


Bekerjasama dengan media
Media memainkan peranan penting bagi memastikan orang ramai sentiasa dimaklumkan tentang usaha BNM. Pada tahun 2025, BNM menganjurkan pelbagai bengkel teknikal untuk memperkukuh pemahaman pihak media berkenaan isu-isu seperti ekonomi dan kewangan Malaysia, serta pembaharuan dasar dan inisiatif BNM untuk melindungi pengguna kewangan. Melalui forum sebegini, di samping sesi libat urus tertutup bersama pengurusan kanan BNM, pihak media berpeluang untuk memahami dengan lebih jelas tentang pemikiran dan tindakan dasar BNM.


Menyantuni pihak berkepentingan, memperkukuh dialog
BNM mengambil maklum bahawa perumusan dasar yang berkesan dibentuk melalui dialog yang bermakna. BNM mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuklah ahli parlimen, ahli ekonomi dan penganalisis kewangan untuk bertukar-tukar pandangan tentang topik berkaitan ekonomi dan kestabilan kewangan. Dialog yang membina ini membolehkan BNM menjelaskan usaha dan pemikiran dalam banyak bidang di samping mengalu-alukan pihak berkepentingan untuk sama-sama berkongsi pandangan masing-masing.


Memanfaatkan media sosial dan saluran digital
Menerusi media sosial, BNM berkongsi penerangan berkenaan topik dan dasar semasa. BNM juga terus mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai mengenai isu seperti penipuan kewangan. BNM turut menambah saluran komunikasi digital melalui TikTok.


Daripada tinta kepada wacana
Sasana Symposium diadakan sekali lagi pada tahun 2025 dengan tema “Pembaharuan Struktur: Membina Malaysia yang Berdaya Tahan”. Acara ini menyerlahkan kepentingan pembaharuan struktur dalam memperkukuh daya tahan dan keupayaan Malaysia untuk menghadapi ketidaktentuan. Simposium ini mencetuskan perbincangan yang bermakna tentang isu berkaitan aset digital, inflasi, kos sara hidup, jaringan keselamatan sosial, pembaharuan penjagaan kesihatan dan kewangan iklim. Hab inovasi aset digital dan inisiatif RESET turut diumumkan semasa simposium ini.


Mendorong dasar dan mendapatkan maklum balas
BNM mendapatkan maklum balas secara meluas daripada orang ramai dan industri tentang dasar serta inisiatif utama. Pada tahun 2025, BNM menerbitkan 15 draf dedahan, kertas perbincangan dan kertas penyelidikan untuk mendapatkan maklum balas serta menggalakkan perbincangan tentang pelbagai bidang termasuk kecerdasan buatan, kewangan terbuka dan tokenisasi aset. Satu kertas kerja yang mengkaji perspektif Syariah terhadap wang moden dan mata wang digital bank pusat turut diterbitkan. Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen BNM untuk membangunkan serta mendorong dasar yang memajukan lagi sektor kewangan, supaya dapat memainkan peranan yang lebih bermakna dalam ekonomi negara dan untuk manfaat rakyat Malaysia.
Melindungi pengguna dan memperkasakan budaya pematuhan
BNM mula menerbitkan tindakan penguatkuasaan secara berkala dalam laman sesawang dan media sosialnya. Melalui ketelusan dan penzahiran yang lebih meluas, BNM berusaha untuk memperkukuh prinsip pencegahan dalam tindakan penguatkuasaan serta meningkatkan keyakinan terhadap sistem kewangan.



Meningkatkan Kesedaran Awam Terhadap Penipuan Kewangan
Pada tahun 2025, BNM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penipuan kewangan melalui pelbagai saluran dan platform.


Memperkasakan Literasi Kewangan di Seluruh Negara
BNM terus menggalakkan akses kepada perkhidmatan kewangan dan celik kewangan. Galakan ini bagi membantu rakyat Malaysia menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik serta membina daya tahan kewangan yang berkekalan. Melalui keupayaan kewangan yang lebih baik, rakyat Malaysia juga akan lebih berupaya melindungi diri daripada risiko seperti penipuan kewangan dan hutang berlebihan. Seterusnya, hal ini menyokong mandat BNM untuk membangunkan sistem kewangan negara yang berdaya tahan dan inklusif.
Pada tahun 2025, BNM menganjurkan dua Karnival Celik Kewangan (KCK), masing-masing di Tawau dan Pulau Pinang. Karnival ini memberikan pendidikan kewangan secara langsung kepada masyarakat menerusi pameran interaktif, bicara pendidikan, bengkel dan aktiviti mesra keluarga (Gambar Rajah 1). Melalui semua aktiviti ini, para pengunjung memperoleh pengetahuan praktikal tentang topik seperti kewangan peribadi, pembayaran digital dan penipuan kewangan.


Di KCK Pulau Pinang, BNM telah melancarkan Just-in-Time Financial Education (JITFE) dengan kerjasama bank-bank peserta untuk menerapkan pendidikan kewangan bersasar tentang pembiayaan peribadi. Pelanggan bank-bank peserta akan menerima nasihat praktikal semasa proses membuat pinjaman, lantas membantu mereka memahami terma, kos dan risiko pembiayaan sebelum mengambil pembiayaan peribadi.

Bulan Literasi Kewangan 2025: Usaha Seluruh Negara
Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)[1] telah menganjurkan Bulan Literasi Kewangan (Financial Literacy Month, FLM) 2025 pada bulan Oktober. Dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, FLM memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk menangani kos sara hidup serta menyesuaikan diri dengan dunia yang semakin digital. Jelajah FLM Seluruh Negara oleh Skuad Literasi Kewangan telah mengunjungi 125 lokasi dan menyantuni 26,000 rakyat Malaysia.

Tinjauan yang dijalankan semasa acara ini berlangsung juga menunjukkan bahawa para peserta lebih peka terhadap penipuan kewangan. Mereka mempelajari tabiat kewangan digital yang baik seperti menjalankan transaksi dalam talian dengan lebih selamat dan menggunakan kata laluan yang lebih kukuh.

Seiring dengan penganjuran FLM, Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 turut dilancarkan. Pelancaran ini menandakan komitmen nasional Malaysia yang telah diperbaharui bagi memperkukuh tahap celik kewangan melalui pendekatan seluruh negara yang inklusif dan digital.

Memperkukuh Jangkauan Peringkat Wilayah
BNM mempunyai pejabat wilayah di seluruh negara yang berfungsi sebagai “mata dan telinga” untuk memperoleh pemahaman, yang seterusnya menjadi input kepada perumusan dasar BNM. Kakitangan di pejabat wilayah membantu BNM untuk lebih memahami situasi sebenar perniagaan dan komuniti setempat. Pejabat-pejabat wilayah ini juga menjalankan pemantauan dasar, advokasi dan program jangkauan.
Pada tahun 2025, BNM telah membuka pejabat wilayah yang keenam, iaitu di Kuala Lumpur. Pejabat ini meliputi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Pejabat keenam ini memperluas rangkaian BNM di seluruh negara yang terdiri daripada Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.
Selain itu, BNM turut mengadakan kerjasama erat dengan agensi kerajaan negeri dan rakan kerjasama peringkat wilayah untuk menggiatkan usaha dalam bidang pembangunan serta rangkuman kewangan. Contohnya, pada tahun 2025, BNM bekerjasama dengan rakan strategik tempatan untuk memperluas penggunaan Baucar Perlindungan Tenang 3.0 dengan membantu penerima yang layak untuk menggunakan baucar bernilai RM30 bagi mendapatkan perlindungan insurans mikro atau takaful mikro.
Pejabat wilayah BNM turut bekerjasama dengan rakan strategik tempatan untuk mempercepat pelaksanaan inisiatif iTEKAD. Rakan strategik tempatan ini termasuk unit perancangan ekonomi negeri, majlis agama Islam negeri, koridor ekonomi wilayah, dewan perniagaan serta agensi kerajaan negeri. BNM menghubungkan institusi ini dengan institusi kewangan yang menyertai iTEKAD serta rakan pelaksana. Matlamatnya adalah untuk membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperoleh pendapatan yang stabil dan meningkatkan taraf hidup mereka.
Libat urus secara langsung dengan pihak berkepentingan wilayah membantu BNM merangka dasar yang mencerminkan keperluan Malaysia yang pelbagai serta realiti setempat. Melalui jangkauan bersasar, pejabat wilayah membantu BNM memajukan agenda pembangunan dan rangkuman untuk semua rakyat Malaysia.

Menggabungkan Seni, Budaya dan Kewangan
BNM Museum and Art Gallery (BNM MAG) ialah muzium dan galeri seni BNM yang mendidik orang ramai melalui seni, budaya serta kewangan. Melalui pameran dan aktiviti pendidikan, BNM MAG bukan sahaja memberikan galakan supaya warisan numismatik dan seni dihargai, malah turut meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai tentang peranan BNM dalam ekonomi dan sektor kewangan.
BNM MAG juga merupakan platform untuk BNM memberikan pengalaman pembelajaran yang menarik serta mengeratkan hubungan dengan masyarakat. Pada tahun 2025, BNM MAG telah menerima 391,327 pengunjung dengan catatan tertinggi sebanyak 6,598 orang pada hari paling sibuk.
Pameran ASEAN: Numismatic Marvels dan Rona & Kata
Pada tahun 2025, BNM MAG telah bekerjasama dengan 10 bank pusat untuk menganjurkan dua pameran:
- Numismatic Marvels memaparkan kisah 20 kerajaan purba di Asia Tenggara berserta dengan model Pasaran ASEAN; dan
- Rona & Kata meneroka jalinan antara seni dengan kesusasteraan melalui lebih 150 karya daripada Malaysia dan negara ASEAN.

Meneroka ASEAN Melalui Permainan di Festival Kanak-kanak @ MAG 2025
Disesuaikan untuk kanak-kanak dan remaja berusia tujuh hingga 17 tahun, program ini memberikan tumpuan pada hal ehwal wang, kesedaran terhadap warisan dan budaya, serta inovasi dan kelestarian. Acara ini diinspirasikan daripada Kepengerusian ASEAN Malaysia dan komitmen BNM untuk mencipta pengalaman yang bermakna buat kanak-kanak.

MHIT: Pendekatan Seluruh Negara
Sepanjang tahun 2025, BNM telah bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan utama berhubung dengan RESET, iaitu siri pembaharuan bagi menangani cabaran inflasi perubatan (rujuk bab “Menggalakkan Sistem Kewangan yang Progresif dan Inklusif” untuk maklumat lanjut).

Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan RESET serta pembentukan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) semasa Sasana Symposium pada bulan Jun 2025.

JBMKKS, yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kewangan II dan Menteri Kesihatan, dipertanggungjawabkan untuk menerajui usaha kebangsaan dalam merangka dan melaksanakan langkah-langkah yang menyokong penjagaan kesihatan berasaskan nilai. Model ini mengubah tumpuan daripada “perkhidmatan yang disediakan” kepada “hasil rawatan pesakit” bagi memastikan penjagaan yang berkesan dan mampu milik serta memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dan mengutamakan pesakit.

BNM bekerjasama dengan banyak pihak berkepentingan untuk membentuk pembaharuan ini. Pihak berkepentingan ini termasuk doktor, hospital swasta, pembuat dasar, kumpulan pengguna serta ejen insurans dan takaful. Perbincangan ini memberikan input dan maklum balas penting yang memberikan panduan dalam merangka pembaharuan tersebut termasuk pelan MHIT asas. Pelan MHIT asas merupakan pelan penjagaan kesihatan yang bertujuan menjadi lebih mampu milik dan mampan untuk rakyat Malaysia.
Hala Tuju Seterusnya
Pada tahun 2026, BNM akan terus menyantuni rakyat Malaysia. Sama ada untuk memperjelas usaha BNM, membentuk dasar yang lebih baik bagi memenuhi keperluan sebenar atau membantu meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap perkara berkaitan ekonomi dan kewangan, BNM akan berusaha untuk memperkukuh ketelusan, memupuk dialog yang bermakna serta menjadikan komunikasi BNM lebih mudah diakses dan difahami.
Nota
[1] FEN dipengerusikan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ahli lain ialah Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, Permodalan Nasional Berhad serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).